HALIM ABDUL RAHMAN DITAJA
UNTUK REBUT JAWATAN NAIB PRESIDEN PAS

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Bendahari Pas Pusat Datuk Paduka Abdul Halim Abdul Rahman kini ditaja untuk merebut salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden Pas menjelang Muktamar parti itu awal Jun hadapan yang akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa Kelantan.

Beberapa orang yang ‘makan di tangan’ atau merupakan ayam didik kumpulan ‘tiga abdul’ dikatakan menjadi manager menaja Halim Abdul Rahman untuk merebut jawatan itu.

Walaupun Halim keberatan untuk menerima ‘pencalonan’ itu setelah menyedari pengaruh politiknya di dalam Pas berkurangan, namun kumpulan penaja ‘kutu berahak’ itu terus mendesak Halim agar bertanding.

Di dalam perkiraan kumpulan itu, Halim Abdul Rahman perlu untuk mendapat pencalonan dan seterusnya memenangi jawatan berkenaan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan selepas muktamar akan datang.

Di dalam perhitungan mereka sekiranya Halim memenangi kerusi itu beliau berhak untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas berbanding tokoh-tokoh muda lain di Kelantan.

Kumpulan ‘tiga abdul’ yang menaja Halim itu kini sangat terdesak di dalam politik Kelantan justeru mereka perlu melakukan sesuatu untuk membuat bingkasan semula.

Mereka sangat berharap Abdul Halim akan menang dan seterusnya dilantik menjadi Pesuruhjaya bagi memastikan agenda mereka yang tergendala sebelum ini dapat dilaksanakan semula.

Agenda mereka (kumpulan ‘tiga abdul’) ialah untuk menguasai Kelantan dan mengetepikan kepimpinan ulama yang dipelopori Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu para penaja Halim itu juga khabarnya sedang giat turun ke 14 kawasan Pas di Kelantan. Halim katanya tidak berani turun sendiri memandangkan beliau sudah lama ditolak oleh beberapa bahagian Pas di Kelantan.

Halim sendiri menyedari bahawa eranya sudah pun berakhir. Apabila di dalam pilihan raya lalu beliau dilempar bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, maknanya beliau sudah diminta secara terhormat agar berehat dari berpolitik.

Mana-mana kawasan yang diketuai oleh golongan muda, telah menyatakan awal-awal mereka keberatan untuk mencalonkan Halim.

Selain itu isu lama mengenai diri Halim seperti tidak membayar hutan, serta memperdayakan rakan kongsi perniagaan dalam syarikat batu bata dan sebagainya adalah di antara isu yang menjadikan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan semakin tidak popular.

Selain daripada beberapa kawasan di Kelantan menjadi tumpuan penaja Halim itu, beberapa kawasan di Terengganu juga cuba ditembusi. Beberapa kawasan khasnya yang diketuai oleh kenalan Halim dikatakan bersimpati kepadanya. Bagaimana pun kawasan di Terengganu juga tidak memberi jaminan akan mencalonkan Halim ke jawatan itu.

Halim dikatakan akan mendapat sokongan lebih 60 peratus di Kelantan dan kira-kira 10 peratus di Terengganu. Sementara di negeri-negeri Utara, Selatan dan Pantai Barat Halim akan berhadapan dengan Muhammad Sabu, Nasharuddin Md. Isa, Husam Musa dan juga Mahfuz Omar yang dikategorikan sebagai calon muda dan profesional.

Dalam pada itu penaja Halim di dalam kempen memastikan ketua kumpulan “tiga abdul” itu dicalonkan, mereka memburukkan dua bakal calon lain, Muhammad Sabu dan Mahfuz Omar. Kempen memburukkan dua bekas calon Naib Presiden pada Muktamar dua tahun lepas sedang giat dijalankan.

Di antara hujah yang diguna pakai ialah konon Halim lebih lama berada di dalam parti berbanding mereka berdua – Muhamamd dan Mahfuz. Lebih menyedihkan isu peribadi mengenai Muhammad Sabu yang pernah ditangkap khalwat juga turut sama diungkitkan.

Dalam pada itu ada setengah pemerhati politik dalaman Pas berpendapat meskipun Halim mendapat cukup pencalonan beliau mungkin akan menarik diri di saat akhir. Sebagai seorang politikus yang licik (play save) atau tidak suka mencari penyakit Halim tidak akan sedia untuk beradu tenaga merebut jawatan itu, apa lagi apabila beliau sudah dapat mengesan awal-awal akan kalah.  – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 05.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: