MADAH BERHELAH (BELA DIRI) KHIR TOYO

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Lalu bermadah dan berkicaulah Khir Toyo, twit… twit…twit… mengatakan keadaan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam dalam keadaan sihat sejahtera dan Alhamdulillah, adanya.

Tidak ada apa-apa kerosakan ke atas taman berkenaan. Tidak ada juga pencerobohan ke atas taman seluas 800 hektar seperti mana yang dihebohkan. Serentak itu Khir mencabar (mereka yang membuat tuduhan) dan orang ramai agar datang setiap hari ke taman berkenaan, melihat sendiri apa yang berlaku di sana.

Khir nampaknya berani dan begitu konfiden dengan penjelasannya itu. Dia seperti sedikit pun tidak merasa cemas dan juga kecut perut dengan apa yang didedahkan itu (meskipun kepulangan secara mendadak dari luar negeri itu menunjukkan beliau tidak senang duduk dan sakit perut semasa di sana).

Beliau lantas terus membela dirinya dan tetap menegaskan dan menjelaskan bahawa taman itu tidak terjejas. Bukan itu sahaja, keluasan tanah hutan simpan kekal itu juga sudah berkurang daripada 3,145 ekar pada awalnya, kini tinggal 2,116 ekar. Katanya walaupun sebelum ini status taman pertanian itu direvoked (ditarik balik), tetapi beliau lepaskan semula dan mengekalkan status seperti yang ada hari ini.

Apapun usaha dan budi murni Khir Toyo itu perlu disanjung tinggi. Khir nampaknya bersikap mesra alam dan berusaha mengekalkan taman berkenaan yang akan menjadi pesaka alam (‘warisan bangsa’) seperti mana asal diwujudkan. Khir juga menyatakan sayangnya dia kepada taman berkenaan. Selalu juga berjogging ke situ? (Ada apa-apa ke berjogging di situ?)

Namun dalam jawapan itu serta melihat kepada body language  Khir dalam memberi penjelasan ke atas masalah itu ada beberapa perkara yang menjadi kemusykilan. Situasi ini menjadikan seolah ada sesuatu yang masih belum di‘celar’ sepenuhnya. Masih ada yang tesangkut dan tertutup.

Misalnya Khir tidak menafikan projek di sekeliling bukit (U10) yang menjejaskan taman berkenaan. Beliau hanya bercerita dan menegaskan bahawa taman itu tidak diceroboh dan masih wujud. Itu sahaja. Beliau mengalih pandangan dengan memberi tumpuan kepada Taman Botani itu sedangkan perkara pokok yang didedahkan ialah mengenai projek pembangunan di U10.

Memanglah taman pertanian itu masih ada, tidak ke mana. (Cuma sudah rosak dan musnah sahaja) Tetapi apa yang dipertikaikan ialah projek di sekelilingnya sehinggakan meratah sempadan taman itu dan menjejaskan ekologinya yang dihebohkan.

Khir tidak mengulas perkara itu, malah secara tidak langsung mengakui apa yang dilaporkan itu bahawa berlaku projek bersifat Firaun dan Haman di situ. Patutnya Khir membuat penjelasan berhubung  bagai mana projek itu diuruskan. Berlaku penarahan bukit kelas 4, penerokaan kawasan yang belum diluluskan. Inilah yang menarik dan ingin diketahui.

Motif pendedahan itu juga adalah untuk mengetahui perkara itu sementara soal Bukit Cahaya Seri Alam itu sebagai alasan atau model sahaja. Kesimpulan yang ingin diketahui umum mengenai hal itu ialah beberapa perkara beriktu:

1. Kenapa tidak ada pemantau ke atas projek berkenaan sehinggakan menjejaskan alam sekitar?
2. Kenapa tidak diambil tindakan kepada syarikat yang melakukan kesalahan walaupun diberikan amaran lebih dari tiga kali?
3. Kenapa begitu banyak syarikat (35) yang diberikan kebenaran menjalankan projek berkenaan?
4. Siapakah pemilik projek berkenaan dan berapa keluasan tanah yang diluluskan serta berapa nilai semasanya?
5. Di zaman (MB) siapakah tanah itu diluluskan?
6. Apakah kalau tidak ada pendedahan itu kerajaan Khir atau kerajaan Selangor akan bertindak?
7. Apakah segala projek itu mendapat kelulusan dari Ikram atau pun pihak berkuasa alam sekitar lain?

Khir dan kerajaan Selangor harus menjelaskan perkara ini dengan sejelas-jelasnya. Beliau tidak perlu menyembunyikan apa-apa fakta. Segala maklumat dan fakta itu perlu disenaraikan dan didedahkan kepada umum. Kalau boleh ditampalkan di semua tempat awam di Selangor dan juga Kuala Lumpur.

Mungkin satu kertas putih juga perlu disediakan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menjelaskan perkara ini kepada rakyat secara rasmi dan lebih bertanggungjawab.

Dengan berbuat demikian sahajalah baru orang boleh mempercayai ketulusan Khir dan para anggota Exconya. Kalau setakat mengakui hatta bersumpah dengan nama Tuhan sekali pun orang tidak akan mempercayai Khir.

Sejarah masa lampau yang menimpa beberapa orang Menteri Besar dan menteri di dalam Umno tidak pernah padam dari ingatan orang ramai.

Apabila seseorang Menteri Besar atau menteri dihimpit masalah, mereka akan melepaskan diri dengan apa cara sekali pun termasuklah menafi dan bersumpah. Namun akhirnya terpaksa juga mengaku apabila tembelang mereka terus busuk dan memburuk sehingga melampaui semua ceruk negeri.

Sebenarnya opera Cina di Selangor ini semakin mendebarkan Khir Toyo.  – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 03.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: