KHIR TOYO SIAP SEDIALAH UNTUK DIGUGURKAN!

Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Di awal pemilihannya sebagai Menteri Besar (MB) Selangor lagi orang sudah mempersoalkan siapa dia Khir Toyo ini, dan mampukah dia memikul tanggungjawab sebesar itu? Nama Khir Toyo tidak pernah ada dalam kepala sesiapa pun di Selangor yang membayangkan beliau dilantik menjadi MB menggantikan Abu Hassan Omar.

Khir dan keluarganya juga jauh sekali merasakan dia akan dipilih oleh bekas PM (ketua gagak hitam) menjadi peneraju Selangor, kecualilah isterinya Azizah Kechik kononnya sudah bermimpi yang suaminya akan menjadi MB!

Bagi Toyo Endikromo pula cukuplah kalau anaknya berjaya menjadi thabib mencabut gigi orang, itu sudah kejayaan besar di dalam keluarga petani itu.

Justeru sebelum mengangkat sumpah memegang jawatan Khir sepatutnya mengenali dirinya sendiri, tahu sejauh mana kemampuan yang beliau ada dan juga rating popularitinya di Selangor.

Ketika dilantik menjadi MB dia hanya Ketua Pemuda parti berulat (Umno) Tanjung Karang dan juga Exco Pemuda Umno Malaysia. Beliau dilantik sebagai Exco pun bukan atas dasar kehebatan dan popularitinya tetapi sekadar memenuhi kuota ustaz (Islam) di dalam pergerakan itu. Si Khir ini dikenali sebagai al-ustaz di kalangan pemuda Umno.

Beliau masih belum ada track record di dalam Umno. Belum ada pengalaman dan darahnya juga hanya setampuk pinang yang amat naïf mengenai sepak terajang politik. Beliau lebih dikenali sebagai pencabut gigi sakit daripada seorang ahli politik.

Di dalam majlis anjuran pemuda beliau dikatakan menjadi tukang baca doa sahaja. Tarafnya samalah dengan bekas calon Umno yang kalah dan berperangai buruk menendang kerusi dan meja di Permatang Pauh. (Maaf namanya dah lupa). Itulah Khir tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Tetapi nasib menyebelahi Khir Toyo apabila bekas PM (ketua gagak hitam) apabila gagal menemui seorang pun tokoh veteran yang bersih di Selangor untuk dilantik menjadi MB, beliau tercapai nama Khir bin Toyo@Erodikrono. Itulah salasilah bagaimana Khir Toyo boleh diangkat menjadi pembesar!

Sifat pelantikan Khir Toyo rata-rata orang tahu sebagai, tidak ada rotan akar pun berguna. Sebenarnya Khir Toyo memang tidak layak untuk memimpin Selangor. Beliau tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, dan kredibilitinya tidak sepadan dengan negeri Selangor.

Selangor sebagai sebuah negeri termaju berdekatan Kuala Lumpur memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mempunyai wawasan tinggi, tetapi kuat fizikal dan mental. Sesiapa yang bermimpi nak menjadi MB mesti mempunyai ciri-ciri dan sifat itu.

Kerana ciri-ciri demikian tidak ada kepada Khir Toyo itulah ada orang berdendang pelantikan Khir itu sebagai Menteri Besar main-main – sementara sahaja. Lantaran itu orang lebih menanti bilakah Khir akan turun daripada untuk melihat kecemerlangan Khir.

Karenah ataupun masalah yang berlaku di Selangor bukan kecil seperti negeri-negeri lain; Melaka atau Perlis, tetapi besar dan sentiasa mencabar. Ini sejajar dengan kedudukan Selangor sebagai negeri yang paling maju. Jadi sekiranya Khir tidak memiliki kelebihan itu maka beliau akan menghadapi masalah.

Mana-mana tokoh yang menduduki kerusi itu tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan cabaran dan ujian besar itu.

Contoh klasik ialah apa yang berlaku ke atas Harun Idris. Walaupun beliau adalah idola rakyat Selangor dan berjaya membangun sosial ekonomi dan politik orang Melayu Selangor, namun apa jadi dengannya? Akhirnya beliau di penjara.

Muhammad Taib juga demikian. Beliau digelar sebagai bapak pembangunan moden di Selangor kerana banyak membawa pembangunan dan memberi kekayaan kepada kroni, akhirnya bekas menantu raja itu juga diseret ke mahkamah di Australia.

Begitu juga Abu Hassan Omar yang berzina dengan pembantu peribadinya (PA) juga hampir-hampir dibawa ke mahkamah. Kalau tidak ada campur tangan politik sudah tentu MB berkepala putih itu akan disumbat ke dalam kandang orang salah.

Apa lagi Khir yang dari segi fizikalnya sudah tidak cukup ‘setimenter’ bertambahlah masalahnya. Seharusnya Khir patut sedar diri sewaktu hendak menerima pelawaan ketua gagak hitam dulu. Beliau patut ukur ketinggian dan berat badannya.

Seperti mana hendak menjadi askar atau polis kalau tidak cukup ketinggian maksimum (5 kaki 2 inci) tidak layak. Rasanya dari segi fizikal Khir tidak mencapai ketinggian maksimum untuk layak menjadi prebet polis atau askar.

Kalau syarat menjadi MB memerlukan ketinggian maksimum itu sudah barang tentu Khir tidak layak, begitu juga dengan bekas MB Negeri Sembilan, Isa Samad. Mereka akan ditolak sewaktu mengisi borang permohonan lagi.

Dan kini ternyata akibat kelemahan dan kekurangan itu Khir mula menghadapi masalah. Pendedahan mengenai kepincangan pembangunan di Selangor dewasa ini dilihat sebagai permulaan untuk membebankan hati dan perasaan Khir.

Pendedahan mengenai penyelewengan pembangunan itu bukan seperti mana pendedahan rasuah beliau yang dibuat oleh Pas. Kali ini Khir terpaksa mengeluarkan segala ilmunya untuk menjawab segala masalah yang dilemparkan ke atasnya. Beliau tidak boleh jawab mengikut sedap mulutnya sahaja sebalik kena mengemukakan bukti dan keterangan yang jelas.

Utusan Malaysia – yang membuat pendedahan bersiri itu tentu ada agenda tersendiri di sebalik misi itu. Ia bukan iseng-isengan. Selepas mendedahkan kemusnahan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam disebabkan pembangunan tidak teratur di UJ10 kini terheret pula kepada pembotakan bukit di Selayang.

Kita percaya selepas ini akan ada beberapa lagi pembongkaran dan penyelewengan di dalam pentadbiran di Selangor. Semua pendedahan itu bermotif untuk menunjukkan kelemahan dan kurang cekap dan tegasnya Khir Toyo sebagai MB itu sahaja.

Kalau Khir dapat menyelami maksud tersirat yang jelas tersurat itu beliau tidak payah bersoal jawab lagi. Khir Toyo harus bijaksana dan jangan syok dengan glamour menjadi MB. Sebelum mendapat malu besar lebih baik Khir cepat-cepat jumpa nujum untuk menilik nasibnya.

Rasanya hasrat mereka yang ingin menyintakkan Khir turun akan menjadi kenyataan kali ini. Hari ini Abdullah Ahmad Badawi al-Hadhari memberi perhatian serius kepada masalah di Selangor. Cara Abdullah memulangkan masalah di Selangor kepada Khir Toyo itu menunjukkan Abdullah memberi warning kepada MB itu agar mempersiapkan diri untuk diambil tindakan.

Dan sekiranya Abdullah bertindak, seadil-adil tindakan ialah dengan menggugurkan Khir Toyo daripada menjadi MB Selangor. Sama-samalah kita menyaksikan opera Cina di Selangor yang baru masuk malam kedua ini.  – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 28.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: