PERTANDINGAN 
PENERIMA DAN PEMBERI ANUGERAH DATUK TERBANYAK
Oleh Tun Paduka Tuan

Luahan kebimbangan di atas terlalu banyak anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri (YDPN) nampaknya tidak dihiraukan. Makin dibimbangi dan dinasihati, makin menjadi-jadi pula penganugerahan itu. Sesetengah Raja atau Sultan seperti tidak berkenan pandangan itu dicampakkan kepada mereka. Hari ini penganugerahan itu seperti satu pertandingan pula!

Baru-baru Yang DiPertua Negeri Melaka menganugerahkan darjah dan bintang kebesaran kepada 84 orang. Di mana angka itu mencatat sebagai rekod terbanyak. Jangan main dengan Melaka walau negerinya terkecil selepas Perlis, tetapi mampu menganugerahkan darjah kebesaran terbanyak. Inilah yang dikatakan tubuh kecil tetapi nafsu besar. (Tak percaya ke.. tanya Khalil Yaacob)

Bagaimana pun rekod itu bertahan hanya tidak sampai sebulan, apabila sultan Pahang sempena hari jadinya pada 24 Oktober lalu telah menganugerahkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk seramai 109. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kerajaan Pahang di atas kejayaan mencatatkan rekod itu. Biarpun negerinya sudah hampir muflis namun darjah kebesaran boleh diperbanyakkan. Masih ada peruntukan untuk menempah darjah kebesaran dan pinggan? Atau kalau kerajaan negeri tidak ada wang minta sahaja wang daripada penerima untuk membeli pingat dan bintang kebesaran mereka.

Barang kali disebabkan teguran dan pandangan yang diberikan tidak berapa dipedulikan, maka eloklah perkara ini dibiarkan sahaja. Bagi orang degil tidak ada guna kita menasihati atau memandunya sebab bodohnya akan kembali kepada kita. Biarlah Labu terjun dengan labunya. Sebaliknya kita mengesyorkan pula agar diadakan pertandingan penganugerahan dan penerima darjah kebesaran dan pingat terbanyak.

Pertandingan ini boleh dianjurkan oleh peringkat nasional, dan tuan rumahnya secara bergilir-gilir di antara 13 buah negeri yang ada di dalam Malaysia ini. Elok kalau Abdullah Badawi al-Hadhari membincangkan cadangan ini di dalam mesyuarat kabinet akan datang ataupun pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO esok atau lusa.

Hadiah besar berupa gajah boleh diberikan kepada mana-mana negeri atau Raja yang paling banyak mengurniakan anugerah.

Di samping itu pertandingan penerima anugerah terbanyak juga boleh diadakan pada setiap tahun. Mereka yang paling banyak menerima anugerah darjah kebesaran dan bintang akan dipilih sebagai pemenang. Hadiah boleh disediakan untuk mereka ini. Buat masa ini bekas PM adalah dirasakan elok kalau dipilih sebagai pemenang penerima anugerah terbanyak. Beliau pun suka dengan benda-benda macam ini.

Kepada sekalian ahli Parlimen (terutamanya yang membangkitkan isu Sammy Vellu baru-baru ini) saya mohon mencadangkan untuk di bawa ke Parlimen ala Jakun seperti mana kata Muhammad Sabu itu.  – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 25.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: