PENGAMPUNAN: AGENDA PERTAMA DALAM REFORMASI KEDUA
Oleh Tun Paduka Tuan

Lebih lima tahun kita berusaha untuk membebaskan Sdr. Anwar Ibrahim dari cengkaman kuku kerakusan dan kekejaman rejim bekas PM. Semua cara dan ikhtiar kita lakukan. Daripada selemah-lemah cara (berdoa) sampailah kepada seagresif tindakan; mendesak dan mencabar kerajaan bekas rejim berkenaan.

Keyakinan perjuangan kita konsisten, bahawa pemenjaraan ke atas Anwar itu dilakukan secara tidak sah dan adil. Di mana kerajaan menerusi penguasa, polis dan mahkamah yang bertanggungjawab menzalimi Anwar bukan lagi sanggup merogol peraturan dan hukum, tetapi melakukan ‘sodomi’ ke atas peraturan dan adat budaya Melayu, hukum agama dan bertindak di luar nilai-nilai manusia normal.
 
Biarpun ada di antara kita menyimpan ‘parut kenangan’ di mana-mana tubuh dalam jihad membebaskan Anwar, tetapi kita tidak serik. Selama lebih lima tahun kita tetap menggerakkan perjuangan. Kerana apa, kerana kita yakin kita berada di pihak benar – dan kebenaran itu akan muncul juga di hujung kehancuran kebatilan.

Pada 2 September 2004, segala itu terjawab. Doa dikabulkan, desakan dan bantahan akhirnya di dengar juga apabila ia cukup menggelisahkan mereka yang menjadi penyambung rejim berkenaan. Anwar akhirnya dibebaskan. Kejayaan itu menandakan kemenangan kita dalam perjuangan membebaskan Sdr. Anwar.

Barang kali ada di antara kita terlupa disebabkan terlalu simpati (alias   taksub) atau sayang kepada Sdr. Anwar, bahawa kita sebenarnya bukan sahaja memperjuangkan batang tubuhnya. Atau bukan pembebasan beliau yang menjadi inti pati perjuangan kita. Sebaliknya apa yang menjadi tujuan kita ialah memperjuangkan idealismenya dan memastikan idealismenya hidup dan berkembangan subur untuk kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Itulah inti pati sejati perjuangan kita. Adapun perjuangan untuk membebaskan beliau itu adalah kebetulan, kerana idealisme itu dipunyai oleh tuan tubuh berkenaan (Sdr. Anwar). Anwar sendiri tidak senang kalau kita memperjuangkan pembebasannya sahaja. Seperti mana yang diucapkan ketika sidang video di Markaz Tarbiah Pas di Taman Melewar baru-baru ini, “pembebasan Anwar tidak bermakna kalau rakyat jelata tidak dibebaskan daripada tekanan, penganiayaan dan ketidakadilan”.

Kini Sdr. Anwar telah bebas dan selamat menjalani pembedahan dan dijangka akan pulang ke tanah air pada 31 Oktober ini. Dia berada dalam kondisi yang cukup sihat dan mantap. Dia sudah boleh dan bersedia untuk menyemarakkan semula agendanya. Dan rakyat pun gembira, terhibur dan berkeyakinan beliau boleh melakukannya.

Maka kita semua pun seronok, gembira dan merasakan apa yang kita perjuangkan akan sukses semuanya. Tetapi kita jangan lupa di samping segala kejayaan, pembebasan yang diperolehi dan kesejahteraan yang dinikmati kini, bahawa masih ada tali besi yang mengikat kaki dan pergerakan wira semua bangsa kita itu.

Ada penjara yang masih mengelilinginya! Ada tembok batu ghaib yang melingkunginya. Apakah itu? Ianya ialah undang-undang di bawah akta pertubuhan yang tidak membenarkan seseorang yang dijatuhi hukuman penjara bergerak aktif di dalam pertubuhan siasah. Ekoran akta itu bermakna Sdr. Anwar baru boleh aktif di dalam parti atau melibatkan diri dalam apa-apa pertubuhan pada tahun 2008. Ini bermakna beliau masih dibelenggu selama empat tahun lagi.

Empat tahun tidak lama bagi kalendar seorang pejuang. Tetapi untuk sebuah negara dan rakyat tempoh itu sesuatu yang merugikan. Apa lagi dalam saat negara memerlukan seorang ‘pembangun’ seperti beliau, empat tahun itu dirasakan amat lama. Negara akan mengalami banyak kerugian dengan terbekunya Anwar selama tempoh itu. Negara sudah tidak ada masa untuk keluar dari zon penderitaan yang berlaku hari ini. Justeru kita kena usahakan agar beliau dibebaskan sepenuhnya. Tali besi akta itu hendaklah disintak dan dibuang segera.

Dalam hal ini kita tidak banyak pilihan, melainkan dengan berusaha mendapat pengampunan daripada Yang DiPertuan Agong. Itulah sahaja jalan pintas untuk menyelamatkan kita kerugian selama empat tahun. Nah.. pengampunan itu sangat penting. Justeru itu mulai saat ini kita kena jadikan soal mendapat pengampunan itu sebagai agenda utama dalam gelombang reformasi kedua ini.

Rakyat hendaklah bangkit mendesak dan memohon perkenan Yang DiPertuan Agong agar memberi pengampunan kepada Sdr. Anwar. Untuk merealisasikan perkara ini kerajaan atau Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai masalah. Sebelum ini pun ada tokoh yang dikira kontroversi yang berpotensi seperti Anwar telah diberikan pengampunan.

Datuk Harun Idris (Allahyarham – al Fatihah untuknya), bekas Ketua Pemuda UMNO dan MB Selangor yang dijatuhi hukuman penjara kerana kesalahan rasuah dan Datuk Mokhtar Hashim, bekas Menteri Belia dan Sukan kerana dakwaan membunuh telah diberikan pengampunan.

Mereka diberi pengampunan ketika kedua mereka masih dalam menjalani hukuman. Rasanya pengampunan untuk Sdr. Anwar lebih mudah dan wajar kerana beliau telah pun selesai menjalani hukum selama enam tahun yang dijatuhi ke atasnya dengan penuh kekeliruan dan kontroversi.

Bukan itu sahaja soal pengampunan ini juga perlu dilihat bukan semata kerana kita ingin melihat Anwar melaksanakan idealisme dan wawasan perjuangannya, tetapi ia adalah lebih besar daripada itu. Manfaat dan kepentingan pengampunan itu nanti adalah untuk kepentingan negara dan rakyat seluruhnya. Hendaknya pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa dalam proses pengampunan ini akan melihat kepentingan dan keperluan mendesak ini! – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 23.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: