KEBIMBANGAN DI SEBALIK KEPULANGAN ANWAR 31 OKTOBER INI
Oleh Tun Paduka Tuan

Pejuang dan aset semua bangsa Sdr Anwar Ibrahim akan pulang ke tanah air pada 31 Oktober ini setelah kira-kira sebulan menjalani rawatan di Munich, Jerman. Satu acara sambutan telah diatur-susunkan. Semua pihak, individu dan NGOs serta parti politik Barisan Alternatif (BA) mengambil bahagian, masing-masing sebagai ‘pengarah’ sambutan. Semua pihak tidak sabar lagi untuk melihat dan berjabat salam dengan tokoh dan wira mereka itu.

Apa yang orang ramai ingin lihat nanti ialah seri wajah, gaya, penampilan serta jenakanya selepas sihat daripada mengalami sakit tulang belakang. Kalau dalam keadaan derita beliau masih boleh berjenaka dan menghibur orang ramai, tentulah selepas sihat dan mendapat kerihatan selepas diperapkan selama kira-kira enam tahun lebih, tentulah kepulangannya kelak tambah ceria dan menggembirakan.

Seperti ramai menjangkakan, kehadiran orang ramai menyambut kepulangannya tentu lebih ramai daripada bilangan mereka yang menyerbu airport KLIA untuk menghantarnya ke Jerman tempoh hari. Kerinduan dan harapan yang mereka sangkutkan ke atas bahu wira itu agar menjadi penyelamat mereka menjadikan orang ramai akan berpusu-pusu ke KLIA.

Menyedari kemungkinan itu, maka cadangan mengadakan sambutan itu di luar kawasan KLIA adalah sangat elok. Ini untuk mengelakkan berlaku kesesakan dan gangguan kepada mereka yang berurusan dengan KLIA.

Lagi pun, bila jumlah manusia bertambah susah untuk menguruskannya. Di dalam jumlah yang ramai, boleh berlaku apa-apa sahaja. Apa yang perlu diingat, walaupun ribuan yang hadir itu atas semangat dan harapan untuk meletakkan Sdr Anwar di atas persada kuasa sebagai kandil bangsa, tetapi masih ada yang membenci dan cuba meneruskan pengkhianatan kepadanya.

Musuh-musuh beliau yang belum insaf dan masih berlingkaran dengan nafsu akan terus memainkan peranan untuk melakukan sesuatu ke atas Anwar.

Kita faham kenapa mereka ini kurang senang terhadap bakal pemimpin agung semua bangsa itu. Kerana bagi mereka pembebasan dan kemunculan Anwar boleh mengganggu mimpi dan igau mereka. Ketika ini mereka sedang bermimpi untuk berada di atas kerusi emas. Justeru mereka akan berusaha dan melakukan apa sahaja demi impian mereka tidak terkubur.

Untuk tujuan itu, tidak boleh dalam baik (sembunyi) mereka akan lakukan di dalam jahat (nyata). Apa yang berlaku selepas beberapa jam Anwar dibebaskan, mereka telah menunjukkan kebencian mereka.

Mereka memulakan serangan mereka dengan mengeluarkan kenyataan yang menghiriskan sukma. Misalnya belum pun Anwar memasang niat untuk mengetuk pintu UMNO, (untuk melihat apakah bekas Presidennya sakit atau sihat, menggeletar atau tidak selepas mahkamah membebaskannya), mereka telah membuat kenyataan pintu UMNO untuk Anwar sudah tertutup.

Budak-budak UMNO yang tidak sepatutnya mencampuri percaturan politik orang tua, (kerana kurang pengalaman dan buta sejarah!) turut sama membuat kenyataan; kami tidak akan membenarkan walaupun seinci untuk Anwar memasuki UMNO! Wah... hebatnya budak UMNO ini.

Lebih melucukan lagi mereka teruk memburukkan Anwar sebagai penderhaka. Betapa jahil dan bodohnya kenyataan itu. Lebih memalukan lagi, sebagai orang Melayu mereka persis tidak memahami apakah definisi penderhaka sebenarnya. Dari konteks Islam (Melayu) penderhaka itu hanya berlaku kepada tiga keadaan (institusi) sahaja. Anak kepada ibu bapa, murid kepada gurunya dan umat kepada Nabinya. Dalam hubungan yang ditafsirkan oleh budak hingusan UMNO itu, definisi penderhaka itu tidak pun berlaku ke atas Anwar.

Apakah bekas Presiden UMNO yang sanggup mengaibkan orang itu boleh dianggap sebagai guru? Apakah parti UMNO itu boleh dianggap sebagai Ibu bapa? Tidak, jadi apakah makna penderhaka yang diucapkan itu. Kalau kita tidak memahami dan mengerti mengenai definisi, konotasi dan falsafah dan juga hujung jatuh sesuatu perkataan itu, lebih baik jangan cakap. Kalau kita cuba juga bercakap maka akan terserlahlah kepandiran kita.

Berbalik kepada majlis sambutan tadi kita semua kena hati-hati agar sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Tidak mustahil golongan yang pengecut dan ‘desprado’ itu akan mengambil kesempatan. Mereka boleh lalukan apa-apa termasuk menimbulkan kekecauan sehingga mencetuskan huru-hara pada majlis itu.

Mereka mempunyai ‘kepakaran jahat’ di dalam hal ini. Sejarah lampau menunjukkan bagaimana mereka berperanan. Beberapa siri tunjuk perasaan (puak reformasi) telah diganggu oleh mereka. Kesannya, ia memberi implikasi buruk kepada pihak reformis, mereka pukul, tangkap dan menyeretnya ke dalam black maria kemudian dibawa ke mahkamah.

Golongan yang pengecut itu sangat mengharapkan suasana itu bagi mereka menyuntikkan jarum jahat mereka. Bagi mereka itu adalah satu cara untuk menggagalkan agenda reformasi.

Seperti dihebahkan permohonan untuk mendapat permit di stadium Bukit Jalil masih belum diluluskan. Dan jika pun diluluskan, ia besar kemungkinan tidak dibenarkan. Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab ke atas stadium itu, yang juga bekas ‘Puteri Gergasi’ UMNO, Azalina Said telah membayangkan pihaknya keberatan untuk membenarkan stadium itu sebagai tempat menyambut kepulangan Sdr Anwar.

Eloklah kalau pihak tertentu yang menguruskan kepulangan Sdr Anwar nanti mencari jalan lain. Kalau boleh biarkan secara harmoni dan tidak menyusahkan mana-mana pihak. Pada saya, persediaan plan B atau C yang disembunyikan itu tidak berapa elok kerana ia boleh menimbulkan beberapa spekulasi dan tanggapan negatif kepada pihak reformasi. Lebih baik kita berterus terang sahaja.

Sekiranya sudah pasti tempat itu tidak dibenarkan, maka pengumuman mengenai di manakah majlis sambutan itu akan dibuat, hendaklah diumumkan segera. Rasanya tidak menjadi masalah, kalau tidak boleh di Bukit Jalil, atau di Shah Alam atau mana-mana tempat awam di Lembah Klang, mungkin di luar seperti di Johor, Pahang, hatta Pulau Pinang pun boleh di adakan. Para pejuang dan penyokong dan peminat Anwar akan bersedia pergi beramai-ramai ke mana sahaja tokoh telah teruji serta terbilang itu pergi.

Kalau enam tahun mereka boleh bersabar inikan pula untuk berkonvoi ke tempat ratusan batu!

Apa pun, sambutan itu kelak biarlah secara teratur, tenang dan suasananya kelak menggambarkan bahawa para reformasi sudah matang setelah melalui perjalanan pahit selama berbulan-bulan di awal meletusnya reformasi (1989) dahulu! – reformasi.

Tun Paduka Tuan - 22.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: