NASIB MENTERI BESAR BERKEPALA ‘BUTUT’
Oleh Tun Paduka Tuan

Akhirnya Menteri Besar “berkepala butut” Adnan Yaacob mengakui bahawa negeri yang dipimpinnya berada dalam keadaan dhaif dan nazak. Pahang Darul Makmur kini berada di ambang muflis, begitulah akui Adnan tanpa mempedulikan maruah dan kemaluannya lagi.

Kita sedikit pun tidak terkejut dan merasa sedih di atas pengakuan Adnan itu. MB yang tidak senonoh (kerana membuat lambang lucah ketika pilihan raya kecil Sanggang), tidak ada pilihan lain melainkan mengakui hakikat yang berlaku. Sudah tidak ada alang atau tabir untuk beliau menyembunyikan diri dan musibah yang menimpa negeri dan dirinya itu.

Keadaan Adnan di Pahang hari ini seperti orang kesejukan mendapat kain selimut kecil. Di selindung kaki nampak kepala, di tutup kepala nampak kaki.

Pahang Darul Makmur sebenarnya sudah lama berada dalam penjara bankrap kalau bukan ianya salah sebuah kerajaan yang bergabung dengan kerajaan Persekutuan. Nasib baik lagi, ianya adalah kerajaan Barisan Nasional. Pinjaman demi pinjaman dan modal perkapita diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri itu. Ianya ditimbun tanpa mengira keuntungan dan kerugian!

Mengenai kedudukan Pahang ini sebenarnya bukan baru. Ada orang mengira keadaan ekonomi Pahang nazak apabila negeri itu dipimpin oleh Khalil Yaacob. Sebenarnya tanggapan itu salah sama sekali. Lama sebelum itu ekonomi Pahang sudah tenat.

Banyak kawasan balak yang merupakan sumber pendapatan utama negeri diceroboh dan diluluskan sesuka hati macam harta mak bapanya mereka. Pernah satu ketika Khalil ketika menjadi Menteri Besar meluluskan kawasan balak sehingga melebihi kuota kepada Sultan Pahang. (Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis, namun kesannya seperti mencurah garam ke laut sahaja. Tidak ada apa-apa tindakan dan siasatan dibuat).

Tidak cukup dengan sikap rakus dan tidak berhemah di dalam menguruskan komoditi itu, banyak anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, (SEDC) yang merupakan sumber utama pendapat negeri mengalami kerugian. Semuanya berada dalam keadaan hidup merugikan, mati pun merugikan!

Keadaan ini berlaku ketika Najib Razak menjadi MB Pahang dari tahun 1982 hingga 1986. lagi Ketika inilah banyak penyelewengan dan rompakan siang hari dilakukan ke atas anak syarikat SEDC. Di antara syarikat yang dikenal pasti seperti Aspa, Dara digunakan sewenangnya untuk kepentingan bapak politik UMNO Pahang.

Jadi kesimpulannya orang bertanggungjawab sehingga Pahang jatuh bankrap ialah mereka bertiga, Najib sebagai perasmian pengkhianatan ke atas ekonomi Pahang, Khalil pula meneruskannya sementara Adnan sebagai penutup kepada pengkhianatan itu. Selepas ini Pahang akan bankrap terus dan rakyat negeri itu siap sedia untuk dilelong bagi menebusnya semula.

Apa yang berlaku itu sepatutnya dirasai dan ditanggung oleh mereka. Mereka patut menerima kesan dan akibatnya. Tetapi disebabkan ketiganya insan yang bermuka tebal mereka tidak merasa apa-apa pun jauh sekali untuk menyesal. Kalau mereka bertanggungjawab ketiga mereka harus melepaskan jawatan kerana gagal untuk membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat negeri Pahang.

Apakah orang seperti ini boleh diharap menjadi pemimpin? Khalil Yaacob selepas meletakkan Pahang dalam keadaan muflis sepatutnya tidak layak diangkat menjadi menteri Pusat. Apa lagi sebagai Tuan Yang Dipertua Melaka lagilah tidak layak. Begitukah sifat dan perwatakan orang yang diharap bertanggungjawab kepada agama Islam? (Ketua agama di Melaka ialah TYT) Rakyat Melaka tunggulah masanya untuk menerima penangan Khalil Yaacob pula selepas ini.

Demikian juga Najib orang yang bernafsu besar untuk menjadi pemimpin nombor satu negara. Kalau beliau sudah terbukti gagal untuk membawa kemajuan dan membangun negeri Pahang, apalah yang boleh beliau lakukan untuk sebuah negara seperti Malaysia. Kalau negeri kecil pun lemah, apa lagi negeri besar?

Kelemahan ‘semula jadi’ Najib itu tidak ditambah lagi oleh peranan dan juga sikap “queen control” si isterinya Rosmah Mansor yang dikatakan mengawal dan menjadi mentol kepada dunia politik Najib. Apabila sudah menjadi wanita utama negara nanti, kuasa queen control Rosmah itu makin besar dan lebar. (Doakan agar Allah menghindarkan segala bahaya ini).

Apa yang berlaku di Pahang sepatutnya dinilai dan diinsafi oleh rakyat Pahang Indrapura seluruhnya. Mereka jangan terus terpesona dengan janji dan kata-kata manis pemimpin negeri itu. Mereka harus cerdik dan peka dengan apa yang berlaku. Apakah mahu tunggu sampai nasi menjadi bubur baru hendak sedar!

Lakukan perubahan dan reformasi segera. Sifat berani Mat Kilau menentang penjajah perlu dihayati bagi menentang penjajahan baru yang dijelmakan melalui UMNO dan BN. Di dalam pilihan raya akan datang, ajarlah pengkhianat khazanah rakyat itu. Reformasi...

Glosari:
Butut’ ialah kepala yang tidak bulat sekata, senget, leper pun tidak bulat pun tidak. Pokoknya, kepala hodoh.

Tun Paduka Tuan - 20.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: