REFORMASI – UBAT PALING BERKESAN HAPUS RASUAH POLITIK
Oleh Tun Paduka Tuan

“Selesema” politik wang yang menyerang UMNO pada pemilihan kepimpinan parti itu baru-baru ini masih belum kebah. Tanda-tanda ianya akan ‘sendik’ (baik) juga tidak ada walaupun berbagai vaksin dan ubat pelali yang diperkenalkan. Berbagai idea telah dilambakkan bagi mengurangkan suhu politik wang itu, termasuklah oleh para sang juaranya sendiri.

Politik wang alias rasuah, (kita pakai istilah rasuah), bukan senang dihapuskan. Ia telah membudaya dan menyelinap ke dalam urat saraf dan pembuluh darah daging ahli-ahli parti kebangsaan itu di semua peringkat. Buatlah tindakan, peraturan, hatta hukum dari langit sekali pun selagi sikap ahli UMNO yang mengejar kebendaan bermaharajalela dalam diri, ia tidak akan dapat diselesaikan.

Bagi orang yang mengenali UMNO di era bekas Presidennya yang membelakangkan perjuangan Melayu dan agama, tidak perlu berusaha lagi kerana dunia seluruhnya sudah mengetahui bahawa nilai perjuangan di dalam UMNO sudah tidak ada, baik untuk agama, bangsa dan Malaysia. Apa yang ada UMNO memperjuangkan orang-orang tertentu di dalam parti itu sahaja, dan bagi memastikan mereka yang mendapat manfaat (kekayaan) darinya kekal.

Bukan semua yang berada dalam UMNO bobrok, rakus dan gila wang, ada yang masih baik dan tersisa, tetapi kerana sistem di dalam UMNO menghalalkannya, maka usaha untuk menghapusnya dilihat sebagai kerja sia-sia sahaja. Adalah bodoh bagi orang yang tidak menggunakan sistem itu sedangkan ia ada dan berpeluang memperoleh manfaat darinya.

Rasuah di dalam UMNO bukan bermula dari peringkat bawah, tetapi dari peringkat atasan. Selalunya orang bodoh belajar dari orang cerdik, selain daripada alam maya sebagai gurunya. Umpama hujan ianya turun dari atas bukan dari bawah! Rasuah bermula dengan sistem kuota untuk bertanding sesuatu jawatan di dalam pemilihan UMNO. Di sinilah ianya bertitik tolak. Peraturan itu hanya digunakan pakai oleh orang yang tidak yakin kepada wibawa diri sendiri. Kalau sudah tidak mempunyai karismatik bagaimana ia akan berlaku adil dan layak menjadi pemimpin?

Presiden UMNO sebelum Abdullah Badawi al-Hadari yang memperkenalkan sistem itu dan meneruskannya demi kekuasaannya. Kenapa dia buat begitu, jawapannya (cepat), kerana ia hendak memperkukuhkan kuasanya. Jadi kuasa yang diperolehi secara tidak jilah – bersih – suci – bermaruah, itu tidak akan melahirkan sistem, kepimpinan dan matlamat yang baik. Air kencing tidak boleh digunakan untuk berwuduk.

Dari situlah bermulanya. Kalau ia bermula di atas bagai mana diharapkan di bawah akan senyap dan berakhir. Biasanya anak menjadi borek apabila bapaknya rintik. Anak ayam tidak akan lahir dari telor itik walaupun dieramkan oleh seribu ibu ayam.

Masalah rasuah itu serius dan ia memberi kesan buruk kepada sistem politik demokrasi negara ini. Disebabkan UMNO menjadi pemerintah ia terbawa pula ke dalam kerajaan. Dunia luar memandang Malaysia sebegitu hodoh dan borok. Orang akan kehilangan, kepercayaan dan keyakinan dengan gejala bejat itu.

Betul dan benar pandangan yang diberikan oleh Prof. Syed Hussein Alattas di dalam Mingguan Malaysia semalam (17 Oktober 2004). Katanya; Dengan letupan besar politik wang dan pemilihan parti pada bulan September lalu, maka sangkaan akan timbul di beberapa kalangan di dalam dan di luar negara, bahawa kemenangan besar pilihan raya UMNO juga dihasilkan oleh politik wang. Kalau politik wang diamalkan dalam pemilihan pemimpin parti, sudah terang lebih lagi dalam pilihan raya..,” begitulah kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya yang berfahaman sosialis itu.

Kali ini bukan orang Pas atau keADILan atau PRM yang kalah teruk dalam pilihan raya lalu mendakwa bahawa UMNO bermain politik wang, membeli undi, tetapi oleh pemerhati dan cendekiawan luar yang bebas. Bagaimana UMNO hendak menyembunyikan hakikat ini lagi?

Walaupun itu suatu pandangan bebas tetap ia berasas dan bersebab. Memang logik kalau rasuah politik digunakan di dalam pilihan raya, sebab kemenangan pilihan raya lebih penting dan diperlukan daripada kemenangan di dalam pemilihan parti.

Kalau benar ini, bermakna kerajaan yang ada hari ini tidak bermaruah. Kerajaan yang korup dan dipilih dengan membeli undi rakyat. Kedudukan ini samalah juga dengan kemenangan yang dinikmati bertahun-tahun oleh bekas Presiden UMNO yang mengekalkan kuasa menerusi sistem kuota tadi. Rupa-rupanya selama ini kita dipimpin oleh orang yang tidak bermoral dan berwibawa!

Sekali lagi Islam Hadhari Abdullah teruji dengan persepsi ini. Islam Hadhari perlu mencari penawar mujarab bagaimana hendak mengatasinya. Kalau Abdullah sendiri benar-benar ‘Hadhari’, maka beliau perlu menilai kembali kecemerlangannya di dalam pilihan raya lalu serta kemenangan selaku Presiden tanpa bertanding dalam UMNO. Beliau tidak boleh mendabik dada bahawa kemenangan itu sebagai tanda penghormatan rakyat kepadanya melainkan kerana berlakunya korupsi.

Berbalik kepada rasuah politik di dalam UMNO dan sistem demokrasi atau pun dalam sistem pentadbiran kerajaan UMNO hari ini, saya tidak nampak ianya akan selesai dengan mudah. Masalah ini akan tetap hidup subur selagi sistem yang ada diguna pakai. Selagi orang yang menghalalkan segala kerja bobrok itu ada (menjadi pemerintah dan pengendali sistem) maka selama itulah ia akan berlaku.

Justeru, masalah ini dapat diatasi dengan satu cara sahaja. Iaitu melakukan satu reformasi ke atas sistem pentadbiran kerajaan dan parti. Apa yang dilaungkan oleh Sdr Anwar Ibrahim untuk melakukan perubahan itu adalah tepat. Itulah penawar mujarab bagi membanteras rasuah politik di dalam UMNO dan kerajaan hari ini.

Untuk melaksanakan ini, semua memerlukan perubahan (reformasi). Tenaga manusia selaku pengendali kepada sistem juga harus ditukar. Kalau Abdullah gagal membedah jiwa dan rohani orang-orang UMNO, maka harapan itu akan gagal. Di sini apa yang saya nampaknya satu sahaja, dengan berani bertindak melakukan perubahan dari setiap sudut. Dan untuk melaksanakan ini saya tidak nampak ada individu handal di dalam UMNO atau di luarnya melainkan wira yang sedang didendangkan kini Sdr Anwar Ibrahim.

Sebabnya mudah, kenapa (jawab cepat), beliau telah melakukannya pada tahun 1989 sebaik beliau disingkir dari UMNO. Peluangnya untuk bertindak dari dalam gagal, maka beliau bertindak dari luar. Tindakan suci membawa perubahan rohani dan jasmani itu seharusnya disokong oleh kita semua. Reformasi...!

Tun Paduka Tuan - 18.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: