ABDULLAH DAN ROSMAH HADHARI!
Oleh Tun Paduka Tuan

Semasa membentangkan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO ke-55 baru lalu, Abdullah Ahmad Badawi telah menggariskan konsep Islam Hadhari yang dibanggakan sebagai landasan kepimpinannya. Ada sepuluh perkara yang beliau gariskan menerusi konsep berkenaan yang akan dijadikan panduan atau asas kepimpinannya yang berslogankan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang itu.

Salah satunya ialah, keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi.

Memahami konsep pertama itu, Abdullah mahu menekan soal keimanan dan ketakwaan di kalangan rakyat Malaysia. Dan bila bercakap hal ini, tentulah konsep atau penghayatan itu diwajibkan di kalangan pemimpin dahulu, barulah kepada rakyat.

Kita tidak prejudis atau mahu menuduh, Islam Hadhari itu mungkin sebagai suatu momokan atau gimik sahaja. Alhamdulilah kalau Abdullah benar-benar berjaya menerapkannya. Setidak-tidaknya ia menyambungkan aspirasi Sdr Anwar Ibrahim untuk mewujudkan masyarakat Madani. Sebab insan yang beriman dan bertakwa sahaja yang menolak rasuah, menolak politik wang, tidak membahagikan harta kekayaan kepada kroni dan anak pinak sendiri! Maka masyarakat demikian sangatlah penting untuk menjana negara, bangsa dan agama pada masa mendatang.

Pemimpin yang begitu juga akan menjaga tingkah laku, perbuatan, mulut dan juga khayalan. Ianya nampak syumul dan perfect sekali. Konsep Islam Hadhari yang digariskan Abdullah sangat idealis! Semoga selepas ini tidak ada lagi pemimpin yang memfitnah dan mengaibkan orang demi mendaulatkan kuasa peribadinya.

Sekali lagi kita mahu tanya apakah hasrat Abdullah itu akan menjadi kenyataan atau ianya sekadar retorik bagi melenakan rakyat dengan keislamannya sahaja? Jika dilihat kepada gelagat pemimpin UMNO hari ini, ianya nampak jauh panggang dari api, menjadikan kita keliru dan ragu.

Usaha pergi jauh lihat apa yang berlaku dalam perhimpunan agung UMNO yang lalu. Masalah politik wang masih diperkatakan dan belum dapat diselesaikan. Tidak ada formula untuk Abdullah menghapuskan aktiviti rasuah yang diibaratkan sebagai pohon lalang itu. Sementara demokrasi di dalam UMNO sudah mati terus. Apakah itu ciri keadilan dan amanah yang didokong oleh Islam Hadhari?

Kalaulah Abdullah boleh mengawalkan dirinya menjadi insan beriman dan bertakwa, bagaimana dengan pemimpin lain? Bagaimana dengan anak-anak dan isteri mereka? Apakah cukup keimanan dan ketakwaan itu kepada suami sahaja sedangkan isteri dan anak-anak hidup liar ala hippies, berantakan dan penuh kemaksiatan (mendedahkan aurat) dan jahiliah?

Najib adalah Timbalan Abdullah. Sekiranya Malaysia mengamalkan sistem Islam di zaman Khalifah jawatan Najib itu ialah Timbalan Kadhi Besar sementara Abdullah pula ialah Kadhi Besar. Sebagai timbalan tugasnya sangat besar dan berat sekali. Di bahunya terpikul tanggungjawab sebagai pembantu Tuan Kadhi Besar. Sekecil tugas ialah memutuskan hukuman gantung kepada pesalah dan sekecilnya mengijab kabulkan perkahwinan!

Apakah sudah cukup ilmu Islam yang ada kepada Timbalan Kadhi (Najib) itu? Sekali lagi kita tidak mahu menuduh dan merendahkan nilai dan taraf keIslaman Najib dalam hal ini. Tetapi beliau sebagai pemimpin nombor dua perlu dilihat kepada kemampuan dan keilmuannya sebagai ukur tara apakah beliau berhak memikul tanggungjawab itu. Perlu dipertegaskan ada sebuah hadis memesankan; sekiranya sesuatu tugas itu diberikan kepada orang yang tidak layak (pakar), tunggulah akan kebinasaannya. Kita tidak mahu negara ini binasa!

Dan hal ini kita boleh dilihat apa yang ada di persekitarannya.

Kita boleh lihat kepada gaya hidup beliau, isteri dan anak-anaknya. Rosmah adalah isteri Timbalan Kadhi. Apakah mampu untuk Rosmah lahir dan tampil sebagai hamba yang beriman dan bertakwa – serta menjadi wanita solehah selaku isteri timbalan Kadhi?

Cuba lihat dan perhatikan apa yang ada di persekitaran Rosmah binti Mansor. Paling baru tengok gelagatnya di malam Anugerah Kewartawanan. Beliau mendendangkan lagu untuk mengumpulkan wang bagi keluarga wartawan Allahyarham Farid Jamaluddin. Rosmah mendendangkan tiga buah lagu dan berjaya mengutip wang sebanyak RM40,000. Kejayaan itu sungguh dibanggakan oleh Rosmah dan orang yang sama spesies dengannya.

Saya tidak mahu menuduh dan menghukum wang itu haram ataupun ianya diperolehi dari hasil maksiat. Tetapi apakah begitu rupanya aktiviti atau pun kebajikan daripada isteri seorang Timbalan “Kadhi” untuk membantu seorang balu dan anak-anaknya dalam negeri yang mengamalkan Islam Hadhari? Apakah bersesuaian bentuk kebajikan itu?

Saya pulangkan pertanyaan ini kepada masyarakat Hadhari semuanya. Saya tidak menuduh tetapi cubalah hayati dan kaji dengan akal yang sihat serta nilai keimanan dan ketakwaan seperti yang diimpikan oleh Abdullah Hadhari al Badawi itu?

Tun Paduka Tuan - 14.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: