Pilatus PC 7 terhempas, Nuri mendarat cemas
dan meriam 30mm KD Musytari meletup.
Bila pula kepala Najib akan meletup?
Oleh Trooper Bugis
Entah di mana silapnya, bermula dari 27 Mei – 31 Mei 2004 tiba-tiba sahaja ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ditimpa musibah silih berganti. Insiden yang berlaku disepanjang tarikh tersebut telah pun mengorbankan dua orang perwira negara serta mencederakan lima orang lagi dua daripadanya parah.
Pilatus PC 7 terhempas, Najib menyalahkan juruterbang?
Insiden pertama melibatkan sebuah pesawat pelatih Pilatus PC 7 yang dipandu oleh Lt. Mualimin Jasid 23, jatuh terhempas di Sanglang Kedah pada petang 27 Mei 2004 ketika menjalani latihan penerbangan. Kejadian itu telah mengorbankan Allahyarham Lt Mualimin.
DS Najib Razak ketika mengulas insiden tersebut diberitakan berkata: “Pesawat pelatih Pilatus PC 7 akan terus digunakan kerana ia telah berkhidmat dengan baik kepada kita. Penyiasatan rapi akan dibuat tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan tergesa-gesa sebab yang terlibat ialah pelatih dalam latihan”
Tambah Najib lagi: “Pesawat yang baik pun boleh mengalami masalah jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul, tetapi jika ada kesilapan mekanikal yang serious maka kita akan mengkajinya.”
Kenyataan tersebut tidak ada bezanya dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini, apabila berlaku insiden yang serupa..
Mereka hanya pandai menuding jari ke sana sini tercari-cari kesalahan yang boleh dibebankan kepada pihak lain untuk lari daripada tanggungjawab. Pemimpin bermentalitikan kelas pariyah tidak akan pernah terpanggil untuk mengenal erti pertanggungjawaban.
Bukanlah tujuan kita untuk menyesali takdir yang menimpa namun jika berlakunya sesuatu musibah yang tidak diingini itu berpunca daripada kecuaian kita sendiri ertinya diri kita sendiri harus dipersalahkan.
TUDM memiliki pada keseluruhannya 53 buah pesawat pelatih Pilatus PC 7. Pesawat buatan Switzerland itu mula digunakan oleh TUDM semenjak tahun 1982 lagi.
Sejak tarikh tersebut sehingga kini sejumlah 11 buah pesawat telah jatuh terhempas ketika menjalani latihan penerbangan yang mencatatkan hampir kesemua juruterbangnya terkorban.
Setiap kali terhempas Pak Menteri dan para Panglima TUDM berjanji akan membuat penyiasatan terperinci punca nahas dan selepas itu akan memutuskan sama ada pesawat terbabit boleh meneruskan perkhidmatannya atau terpaksa dihentikan.
Penyiasatan yang dibuat tidak pernah menjurus ke arah suatu keputusan muktamad, dalam diam-diam pesawat-pesawat tersebut terus digunakan juga. Persoalannya siapakah yang berani memberi jaminan bahawa pesawat pelatih yang berusia hampir suku abad itu masih boleh lagi berfungsi seperti mana hari-hari awal perkhidmatannya dulu.
Jika Pusat Latihan Memandu (Driving School) yang beroperasi di atas jalan raya tidak pernah menggunakan kenderaan usang untuk melatih individu bagi membolehkan mereka layak digelar pemandu, apakah adil jika seorang bakal juruterbang yang akan bermain dengan awan di angkasa raya dilatih dengan menggunakan pesawat setua suku abad.
Negara-negara jiran yang menggunakan pesawat jenis itu untuk sesi latihan penerbangan tentera udara mereka khabarnya sudah lama menamatkan khidmatnya, sebagai ganti mereka kini menggunakan model baru Pilatus Pc-7 mk II Turbo Trainer.
Timbalan Menteri Pertahanan Dato Zainal Abidin Zain yang juga berotak belukang ketika ditanya oleh pemberita mengapa TUDM tidak bertukar kepada pesawat model baru itu, beliau menjawab: “Ianya bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.”
Nuri mendarat cemas di Bukit Kalam,Labuan.
Belum pun isu Pilatus PC 7 terhempas reda, satu lagi insiden yang hampir-hampir serupa berlaku pada 29 Mei 2004.
Kali ini melibatkan sebuah helikopter Nuri TUDM yang berpangkalan di Labuan terpaksa membuat pendaratan cemas di Bukit Kalam kira-kira 5 batu nautika dari pangkalan, kerana kerosakan enjin sebelah kiri..
Mujurlah juruterbang dan empat orang anak kapalnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Menurut Kapten Rozidah Baharuddin kejadian tersebut berlaku sekelip mata namun pada masa yang sama beliau bersama juruterbang Kapten Harris Jamaluddin sempat berusaha untuk memastikan pesawat Nuri itu tidak terhempas.
“Syukur kerana kami semua selamat, sukar untuk membayangkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.50 petang itu, tetapi apa yang penting kami selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan” ujar Rozidah yang berasal dari Rembau Negeri Sembilan.
Helikopter Nuri (Sikorsky S61) mula berkhidmat untuk TUDM kira-kira 35 tahun yang lalu. Bermula 25 April 1969 sehinggalah 29 Mei 2004 sebanyak 17 insiden nahas berlaku.
14 daripadanya melibatkan Nuri jatuh terhempas, dua daripadanya membuat pendaratan cemas dan satu ditembak oleh pengganas komunis di Gubir Kedah pada 26 April 1976.
Manakala jumlah korban yang melibatkan anggota tentera, pasukan polis hutan dan orang awam adalah 82 orang termasuk pegawai tinggi ATM Allahyarham Maj. Jen. Datuk Mustaffa Awang Pegawai Pemerintah Markaz Divisyen Kedua dan Allahyarham Brig. Jen. Datuk Hasbullah Yusof Pemerintah Briged Ketiga Infantri. Sementara jumlah yang hilang adalah tiga orang.
Jumlah yang terselamat pula di sepanjang peristiwa berkenaan termasuk mereka yang tercedera ialah 40 orang.
Statistik ringkas ini sengaja kita paparkan agar kita semua dapat membuka mata betapa pesawat Nuri telah mencipta sejarahnya yang tersendiri semenjak urusan ketenteraan negara kita dikendalikan oleh bangsa sendiri.
Sekiranya bentuk insiden diambil kira, kita akan menyaksikan hampir kesemuanya jatuh terhempas kecuali yang ditembak oleh pengganas komunis di Gubir, selainnya adalah berpunca dari masalah teknikal.
Sekali lagi persoalan yang tidak dapat dijawab oleh mereka yang diberi mandat oleh rakyat untuk memikul amanah menguruskan keselamatan dan kedaulatan negara, apa masalah sebenar sehingga begitu ramai wira-wira negara gugur tanpa bertempur dan pesawat terhempas tanpa diusik oleh sesiapa pun.
Setiap kali nahas berlaku, skrip yang sama diulang-ulangi. “Kerajaan akan membuat penyiasatan rapi punca nahas dan selepas itu barulah kami memutuskan sama ada Nuri boleh diterbangkan lagi atau terpaksa direhatkan buat selama-lamanya.”Namun akhirnya tiada apa-apa hasil yang menggembirakan! Nuri terbang lagi kemudian terhempas,terbang lagi kemudian terhempas…….. muka-muka tebal pak-pak Menteri tetap menguntum senyum, menteri tetap menteri lebih-lebih lagi jika pandai membodek PM, habis-habis kalau teruk sangat prestasi di Mindef lalu ditukar ke kementerian lain.
Yang terkorban adalah bapa, anak, abang dan adik serta sanak saudara rakyat biasa. Jarang-jarang sekali anak-anak pak Menteri, YB-YB, tokoh korperat, tauke-tauke, ningrat-ningrat serta para oportunis yang terkorban, boleh dikatakan tidak ada langsung. Mahal sangatkah nyawa anak-anak mereka jika dibandingkan dengan nyawa anak-anak rakyat biasa?
Meriam 30mm KD Musytari pula meletupJika kedua-dua nahas yang tidak diingini menimpa TUDM itu berlaku selang dua hari nampaknya Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) hanya perlu menunggu lewat sehari sebelum mereka ditimpa musibah yang sama.
Pada jam 7.00 petang 30 Mei ketika KD Musytari bot peronda TLDM sedang berada lima batu nautika dari Pulau Aur untuk menjalani latihan di Laut China Selatan. Tatkala latihan menembak menggunakan `30mm gun` tiba-tiba sahaja meriam itu tidak mahu memuntahkan pelurunya.
Disebabkan komited dengan tugas mengawal perairan negara, enam orang wira di atas kapal peronda tanpa berlengah-lengah, segera memeriksa mengapa meriam itu meragam.
Sebaik-baik diperiksa, meriam itu bukan sahaja memuntahkan pelurunya bahkan meletup terus, akibatnya Bintara Muda Idris Harun 33 dari Pengkalan Kubor Kelantan terkorban, manakala lima lagi rakannya cedera dua daripadanya parah.
Mereka yang cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Hafzan ialah Lasykar Kanan Zamizam Zahari dari Pengkalan Chepa dan Lasykar Kanan Hazizi Hassan dari Sungai Petani. Tiga orang yang lain mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
Sekali lagi wajah-wajah rakyat biasa yang `menjadi korban` khususnya bangsa Melayu, ke mana perginya etnik lain yang kononnya berbangga dengan dakwaan mereka juga sanggup berkorban demi kedaulatan negara. Karut semuanya!
Seperti biasa dan mungkin akan beginilah sampai bila-bila sekiranya tanah air ini masih dicengkam oleh sang penguasa yang tidak reti bahasa dan agama, kenyataan dibuat bahawa pihak berkuasa akan menjalankan siasatan segera punca nahas. Kali ini jurucakapnya adalah Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Mohd. Anwar Mohd. Nor.
Pelik sungguh ya, pada lazimnya meriam yang meletupkan (memuntahkan) peluru tetapi meriam 30mm KD Musytari mengapa meletupkan dirinya sendiri. Apakah dia sudah lama reput sehingga tidak tertahan menanggung bahana dan tekanan? Mana mungkin meriam sebegitu canggih boleh meletupkan dirinya sendiri jika dia benar-benar tulen.
Amat mengaibkan! Belum lagi bertempur usahkan dengan musuh yang sama taraf ketenteraannya, bahkan dengan lanun tiba-tiba meriam 30mm itu meletupkan dirinya sendiri.
Apa lagi siasatan yang mahu dibuat, apa lagi laporan yang perlu didedahkan kepada rakyat, apa lagi? Tiada apa melainkan lagu lama akan diputarkan semula, semuanya auta jauh daripada kebenaran yang diharap-harapkan.
Kita berani menyatakan secara terbuka bahawa urusan ketenteraan sejak sekian lama tidak dapat lari daripada gejala penyelewengan dan rasuah pihak berkuasa. Sama ada dia Pak Menteri atau Jeneral-jeneral pelahap semuanya sama.
Sama-sama berpakat meluluskan pembelian yang sepatutnya `first hand` tetapi hantaran yang diterima `second hand`. Kalau `first hand `sekalipun harganya berlipat kali ganda daripada harga asal pembekal sama ada Russia, USA, Britain atau pun negara-negara Eropah lain.
Apa tuan-tuan tidak ingat lagi bagaimana seorang Jeneral Pencen yang ditimpa bala apabila banglonya runtuh ditimpa bukit di Hillview dua tahun lalu.
Isteri, anak menantu, cucu dan orang gajinya terkorban. Jeneral itu terselamat kerana Allah swt ingin mendedahkan bahawa di dalam banglo yang runtuh itu tersorok tujuh buah `brief case` enam daripadanya sarat berisi wang tunai jutaan RM manakala sebuah lagi padat berisi dengan emas permata.
Dari manakah punca harta sebanyak itu diperolehinya? Adakah wang ganjaran dan pencennya, tentu bukan! Apa kata kalau kita katakan Jeneral pencen itu adalah salah seorang dari puluhan `Jeneral-jeneral Pelahap` yang menjadi proksi kepada Pak Menteri Umno (boleh jadi Najib, boleh jadi Syed Hamid, boleh jadi Dolah Badawi……..)
“Bebas ! bebas ! bebas Anwar! Anwar bebas Rakyat bebas! Anwar sakit Rakyat Sakit! Rakyat Sakit Malaysia Sakit ! R E F O R M A SI ! R E F O R M A S I ! R E F O R M A SI ! TAKBIR ! ALLAH HU AKBAR 3 X
Trooper Bugis - 01.06.2004 (suntingan M@RHAEN)
![]()