Tiada Pertandingan Bahagian Dan Cawangan:
Umno Kuala Selangor Pecah Rekod? 


Menurut satu sumber yang rapat dengan Umno Bahagian Kuala Selangor semua jawatan penting di peringkat bahagian dan cawangan telah diputuskan untuk tidak ditandingi pada mesyuarat agung akan datang.

Jawatan-jawatan penting tersebut melibatkan :

a. Ketua ,Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.
b. Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda,Wanita serta Puteri Bahagian.
c. Ketua dan Timbalan Ketua Cawangan.
d. Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda,Wanita serta Puteri Cawangan.

Keputusan berkaitan telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Penaja Pengurusan Umno Bahagian baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Ketua Penaja Umno Bahagian YB Dato Mohd Daud Tarihep.

Sejauh mana keputusan tersebut akan diterima belum dapat dipastikan tetapi difahamkan YB Dato Daud telah mengarahkan jenteranya turun ke cawangan-cawangan untuk memastikan perkara itu mendapat sokongan sebulat suara.

Kalau hasrat YB Dato Daud itu berjaya, Umno Bahagian Kuala Selangor akan mencatatkan rekod sebagai bahagian paling harmoni dan terbilang di Malaysia.

Walau bagaimana pun, tujuan murni YB Dato Daud itu agak sukar untuk dicapai kerana sudah ada gerakan-gerakan yang mahukan semua jawatan penting di peringkat bahagian dan cawangan ditandingi.

Bukan setakat itu sahaja malah terdapat satu kumpulan yang didokong oleh seorang kontraktor eletrikal adik kepada salah seorang wakil rakyat di bahagian itu yang mendakwa gerakannya mendapat restu YAB Menteri Besar Selangor Dato Seri Dr Mohd. Khir Toyo.

Sejauh mana dakwaan itu benar tidaklah diketahui tetapi umum sudah maklum kononnya Dr. Khir mahukan YB Ustaz Sayuti ADUN Bukit Malawati sebagai Ketua,YB Amiruddin Sutero Adun Jeram sebagai Timbalan dan Hj Jahaya Ibrahim sebagai Naib Ketua Bahagian Kuala Selangor.

Kebanyakan ahli-ahli Umno di cawangan–cawangan dikatakan bingung untuk membuat keputusan. Satu pihak mahukan agar jangan ada pertandingan demi kebaikan parti sementara pihak yang lain pula mendakwa pemimpin atasan mengarahkan agar pertandingan diadakan.

Apa pun ,sesetengahnya menganggap kedua-dua keputusan berkenaan kurang matang dan tidak menghormati prinsip demokrasi. “Jawatankuasa Penaja Pengurusan Bahagian tidak berhak memutuskan sesuatu di luar bidang kuasanya manakala satu pihak lagi tidak wajar memperalatkan nama MB untuk mencapai hasrat mereka.” demikian rumusan kumpulan berkaitan.

Trooper Bugis - 08.05.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN