Cara Rasulullah pupuk kasih sayang
Oleh Taraknama  (Laman M@RHAEN)

Wadah Wanita Islam:

Rasulullah pupuk kasih sayang, tidak rotan anak

SEORANG pembaca yang juga bapa bertanya mengenai penggunaan rotan dalam mendidik anak iaitu pada usia berapakah beliau boleh berbuat demikian?

Apabila membicarakan soal merotan anak, kita tidak harus melupakan hak mereka dalam Islam.

Dalam Islam, kanak-kanak mempunyai lima hak asasi yang dipanggil (dharuriyatu khamsin). Ia mesti dipelihara seperti hak asasi semua manusia.

Hak itu ialah pemeliharaan hak beragama (hifdzud dien), jiwa (nafs), akal (aql), harta (mal) dan pemeliharaan keturunan atau nasab (nasl) serta kehormatan ('ird).

Keluarga Islam mempunyai tugas berat dalam membangunkan, memelihara dan mempertahankan hak anak sebagai generasi masa depan.

Jika lalai dan leka, kita akan mengalami kenyataan pahit generasi yang hilang¡© Ia bermakna bukan hilang bilangan atau kuantiti, tetapi generasi Muslim yang hilang identiti dan keimanan.

Generasi ini bakal menjadi kerbau yang dicucuk hidung oleh kuasa yang memusuhi Islam.

Mungkin secara lahiriah mereka kelihatan cerdas, bersih, tegap dan kuat, tetapi jiwa mereka kosong iman dan Izzah Islam.

Berbalik kepada isu merotan, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.

Ulama berpendapat daripada hadis itu, Islam menyuruh ibu bapa mengajar anak membiasakan diri dengan ibadat sama ada sembahyang, berpuasa dan bersedekah sejak kecil.

Hikmahnya supaya anak dapat mengenali hukum hakam dalam beribadat sejak kecil, menanamkan rasa kecintaan kepada Allah, mensyukuri segala nikmat Allah, menyucikan jiwa anak, kesihatan fizikal, akhlak dan perbuatan serta perkataannya.

Saidina Ali juga berpesan supaya kita mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya: pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.

Pesannya bermaksud kita harus bermesra, bermain dan bergurau dengan anak ketika kecil hingga berusia tujuh tahun.

Apabila anak tiba usia ke sekolah iaitu tujuh hingga 14 tahun, didik dan disiplinkan mereka, serta ajar tatacara beribadah dengan betul, di samping menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan guru.

Selepas anak memasuki umur remaja 14 hingga 21 tahun, kita perlu menjadi kawan kepadanya supaya dia dapat merujuk masalah dan mengadu kepada ibu bapa jika menghadapi masalah.

Jika ibu bapa tidak menjadi sahabat kepada remaja, dikhuatiri kawannya yang liar atau tidak berdisiplin menjadi penasihat kepadanya.

Pada waktu itu, agak terlambat untuk berbaik dengan anak atau menasihatinya.

Berbalik kepada hadis di atas, jika perlu merotan anak, ibu bapa boleh berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun.

Mengapa pada umur 10 tahun?

Pakar psikologi berpendapat anak yang berumur prabaligh (sekitar 10 hingga 12 tahun) boleh memahami kesan hukuman yang dikenakan dan sebab perbuatan itu tidak dibenarkan atau boleh dilakukan.

Anak yang kecil tidak faham jika dia didenda atas kesalahannya.

Justeru, jika anak kecil didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Dia tidak melakukan perbuatan itu jika ibu bapa ada atau jika dia mendapat ganjaran dengan tidak melakukan perbuatan itu.

Contohnya, kalau dia tidak memukul adik, ibu akan memberinya coklat tetapi jika ibu tiada atau tidak memberinya coklat, dia akan memukul adiknya semula.

Ada pelbagai hukuman boleh dikenakan sebagai denda kepada anak. Antaranya menarik balik keistimewaan tertentu seperti tidak boleh menonton televisyen jika mereka tidak siap kerja sekolah.

Hukuman yang menyebabkan kesakitan fizikal seperti rotan sepatutnya dilakukan sebagai jalan terakhir selepas segala usaha dijalankan.

Hukuman yang menyebabkan kesakitan akan meninggalkan kesan mendalam kepada perkembangan emosi anak.

Jangan menghukum anak dengan hukuman yang memalukan mereka seperti memarahinya di hadapan kawan (terutama remaja). Ini menyebabkan anak kecewa dan berasa rendah diri.

Jika anak harus dirotan, ibu bapa sewajarnya memberitahu apakah kesalahannya yang menyebabkan dia dirotan.

Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan.

Berikan peluang kepada anak terlebih dulu seperti amaran kedua sekiranya anak masih melanggar peraturan itu. Jika peraturan itu masih tidak dipatuhi buat kali kedua atau ketiga, baru anak boleh dirotan.

Paling penting ialah perbetulkan niat kita sebelum melakukan apa-apa dan minta ampun serta petunjuk daripada Allah.

Jangan merotan anak untuk menyakiti mereka tetapi rotan mereka dengan tujuan mendidik. Jangan pukul mereka di muka. Cukup dengan merotan mereka pada punggung yang kesan kesakitan kurang dirasakan.

Memadailah dengan satu hayunan rotan saja untuk menyedarkan anak dan katakan bahawa tujuan ibu bapa merotan kerana menyayangi mereka.

Jangan rotan anak di hadapan anak yang lain kerana ini akan memalukannya.

Bagaimanapun, tidak adil untuk kita menghukum anak jika ibu bapa tidak berusaha untuk mendidik mereka dan tidak menerangkan setiap perkara yang harus menjadi panduan serta tidak mendisiplinkan mereka dari kecil.

Menasihati anak perlu dilakukan secara berterusan, di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial.

Pada pendapat saya, jika ibu bapa sudah menjalankan usaha menyemai nilai mulia dalam diri anak sejak kecil dan memberikan mereka kasih sayang dalam bentuk sentuhan dan belaian, ketegasan serta disiplin, pemurah dengan buah tangan, meluangkan masa bermain dengan anak, insya-Allah anak tidak memerlukan rotan untuk disiplin.

Saya belum terjumpa hadis yang menyebut Rasulullah merotan anak dan cucu Baginda atau menyuruh sahabat merotan anak yang degil, melainkan hadis yang banyak menyuruh manusia mendidik anak dengan kasih sayang.

Ini bermaksud rotan hanya sebagai jalan terakhir dan wajib bertegas dengan anak bersangkutan dengan hal ibadat.

Jadilah bapa yang bijak untuk menimbangkan antara antara hak bapa merotan anak dengan hak anak atas keselamatan jiwa, akal dan kehormatannya.

taraknama@yahoo.com
www.taraknama.tblog.com - 01.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: