Laporan Ceramah Sdr. Saifuddin di Kubang Rotan
Oleh Tapai

DUN Kubang Rotan (N16)
17 Mac 2004

Assalamualaikum w.b.t.,

Seperti yang dijangka, Sdr. Saifuddin memberikan ucapan bersemangat malam ini dalam siri ceramahnya di DUN Kubang Rotan. TV Singapura memberi liputan dan temuramah berterusan sepanjang kempen Sdr. Saifuddin di sini sehingga ada pengundi yang bekerja di Singapura menelefon beliau menyatakan sokongan dan akan pulang mengundi.

Ada perkara menarik sebelum ceramah tersebut berlangsung malam ini. Berhampiran Markas Utama (tempat ceramah), di sebuah kawasan perumahan di Jalan Kuala Kedah, Syed Razak dijadualkan hadir untuk menyampaikan pelbagai sumbangan berupa hamper kepada penjaja dan peniaga kecil di situ. Kami difahamkan bahawa majlis dianjurkan oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Kedah di Markas BN kawasan perumahan itu.

Yang menariknya hebahan ceramah BA dibuat mengatakan Sdr. Saifuddin akan hadir berceramah bersama-sama Hj. Mat Sabu. Mendengar kehadiran kedua-dua tokoh ini serentak di Markas BA yang dibuka oleh sepupu Syed Razak, Pengerusi Persatuan telah meminta penyokong BN di situ menghubungi wakil Mat Sabu supaya tidak hadir ke ceramah BA. Permintaannya ‘diterima’ (secara kebetulan) apabila wakil Mat Sabu mengesahkan yang mereka tidak dapat hadir kerana kesuntukan masa dan menghadiri program lain.

Walau bagaimanapun, mereka gagal untuk menghubungi Sdr. Saifuddin supaya membatalkan niatnya untuk hadir. Akibatnya Syed Razak enggan datang menyampaikan hadiah. Maka terbiarlah segala macam hamper di situ tanpa diterima sesiapa. Penyokong UMNO-BN turut tidak hadir. Syed Razak sebenarnya cukup phobia dengan kehadiran Hj. Mat Sabu dan Sdr. Saifuddin.

DIGERTAK

Memulakan ceramahnya selepas tiba dari Padang Serai, Sdr. Saifuddin  menceritakan bagaimana rombongannya dan Sdr. Tian Chua dua kali ditahan pihak polis kerana berceramah di atas lori di sekitar Parlimen Padang Serai untuk bertemu pengundi. Tindakan ini diambil kerana kesuntukan masa berkempen sedangkan Parlimen ini mempunyai ramai pengundi. Rombongan BA sentiasa diekor rapat oleh kereta peronda polis dan unit khas dari Bukit Aman. Apabila mereka ditahan di Taman Angsana mereka terpaksa berhujah dengan polis atas sebab dan undang-undang mana mereka dihalang bertemu pengundi. Macam biasa….. polis tidak dapat menjawab, sekadar berkata mereka mengikut arahan OCPD Kulim. Nampaknya permainan kotor polis sejak hari penamaan calon masih belum reda malah Sdr. Saifuddin terus-terusan digertak dan ditakut-takutkan.

Hari ini, menyedari bekas ‘boss’ Sdr. Saifuddin ialah Menteri Luar Negeri sekarang, Syed Hamid Albar, Syed Razak menjemput Hamid Albar berceramah di Kuala Kedah. Wakil Sdr. Saifuddin dihantar dan mengesahkan tiada serangan Syed Hamid kepada Sdr. Saifuddin dalam ceramahnya. Sdr. Saifuddin turut memuji Syed Hamid yang sepanjang perkhidmatannya di bawah Syed Hamid yang beliau kenal, Syed Hamid bukan kaki perempuan, bukan kaki minum dan sentiasa konsisten menunaikan solat walau mereka ke luar negeri. Jadi, beliau tidak ingin menimbulkan sebarang isu berkaitan Syed Hamid, tetapi menumpukan kepada isu kelemahan Syed Razak, lawannya di Kubang Rotan. (kenalah ambik hati orang UMNO sikit…)

Antara kandungan menarik ceramah malam ini ialah isu-isu diketengahkan iaitu Isu Perumahan Nelayan dan ‘Kad Laporan Kemajuan Syed Razak’.

ISU PERUMAHAN NELAYAN

Sdr. Saifuddin berpeluang menemui ramai rakyat di Kuala Kedah yang rata-ratanya dalam kemiskinan terutamanya nelayan. Antaranya yang lumpuh dan tidak terbela, tidak mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan, hidup di persekitaran yang kotor, jalan berlopak dan kawasan kampong yang daif seperti Kg. Tepi Laut yang tidak mempunyai prasarana yang sesuai. Ada satu keluarga yang 5 anaknya tidak bersekolah kerana kemiskinan. Masyarakat nelayan juga mengadu hidup dalam kesempitan dengan pendapatan yang sangat kecil sehari.

Tapi dalam siri ceramah Syed Razak dia berbohong kononnya dia pernah menangis bila menemui nelayan yang dulunya mempunyai pendapatan RM1.50 sehari kini menikmati RM60 sehari sejak dia menjadi wakil rakyat di Kubang Rotan dan kemudiannya Menteri Besar Kedah. Sdr. Saifuddin mencabar Syed Razak supaya turun sekali lagi untuk melawat para nelayan di Kuala Kedah bersama-samanya.

Hanya 702 unit rumah (berbanding beribu keluarga nelayan) bagi penempatan nelayan dibina di Kuala Kedah yang kuncinya disampaikan Syed Razak kepada penduduk baru-baru ini walaupun rumahnya belum siap malah pintu pun belum dipasang. Itupun isu ini telah lama sejak zaman Osman Aroff menjadi Menteri Besar dan Ghafar Baba TPM waktu itu sehinggalah sekarang. Rumah yang dibina sejak tahun 1986 sehingga sekarang masih belum siap sepenuhnya. Protes dari nelayan menyebabkan Syed Razak kecut perut lalu menjemput ‘bomoh’ besar mereka, Pak Lah untuk hadir semalam dan menaburkan pelbagai janji manis. TV pembodek hanya berani menunjukkan bahagian dalam unit-unit rumah yang mereka siapkan untuk siaran TV tetapi tidak berani menunjukkan keseluruhan projek terbengkalai itu. Kini anak-anak muda Kg. Seberang Kota yang terlibat dalam penempatan itu naik marah dan berkempen supaya keluarga mereka menyokong BA.

Mengikut fakta dalam Pelan Perancangan dan Struktur Daerah Kota Setar, penempatan nelayan di Kg. Tepi Laut pula hanya akan bermula dari tahun 2006-2010. Ini hanya janji kosong dan belum ada sebarang perancangan sistematik kerajaan negeri bagi tujuan itu. Kalau nelayan di Kg. Seberang Kota masih menunggu rumah mereka disiapkan sejak tahun 1986, apa pula nasib penghuni Kg. Tepi Laut? 702 rumah kecil untuk nelayan itu pula berharga RM45,000 seunit (ini bukan harga rumah kos rendah) dan nelayan ‘dipaksa’ supaya membayarnya secara sewa beli, sekaligus amat membebankan dan merupakan faktor protes dari masyarakat di sini.

Sdr. Saifuddin berharap BA diberi peluang supaya perumahan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada rumah kos rendah berharga RM25,000 supaya mampu dimiliki rakyat berpendapatan rendah. Buat masa ini kerajaan Syed Razak sanggup membina Marina Yatch (dari rumah untuk rakyat) di situ berharga RM43 juta dengan jalan masuknya sahaja RM2.8 juta, dan projek itu siap mengikut jadual.

‘KAD LAPORAN KEMAJUAN SYED RAZAK’

‘Kad Laporan Syed Razak’ didedahkan malam ini di DUN Kubang Rotan dengan merujuk kepada buku laporan Jabatan Perdana Menteri iaitu Kajian Separuh Penggal yang dibentangkan oleh TKT di Parlimen sebelum bersara. Sdr. Saifuddin hairan dan kesal kerana UPEN tidak menasihatkan Syed Razak supaya jangan mencanangkan pertumbuhan ekonomi negeri Kedah naik 15% setiap tahun sejak tahun 2000 untuk menjadi negeri maju menjelang 2010 kerana rekod pertumbuhan ekonomi yang memalukan. Katanya buat malu diri sendiri saja!!

Dalam Kajian Separuh Penggal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, dengan jelas menunjukkan Wilayah Persekutuan di tangga pertama pertumbuhan ekonomi sejak tahun 2000-2003 iaitu 5.8%, manakala Terengganu yang diterajui Datuk Seri Hj. Hadi Awang (DSHA) menduduki tempat kedua dengan kadar 5.6%. Itupun dengan royalti minyak yang dirampas!! Kalau tidak, tentulah nombor satu!! Fakta ini tidak berani ditonjolkan oleh media haprak, sebaliknya mereka mencaci yang ‘ustaz’ macam DSHA tidak pandai mengenai ekonomi. Kata Sdr. Saifuddin, kalau ‘ustaz’ yang berserban tak pandai ekonomi….mari kita cerita pasal orang pandai ekonomi yang berkot dan bertali leher iaitu Syed Razak.

Mengikut Kajian Separuh Penggal di mukasurat 80 Jadual 3-12, Pertumbuhan Ekonomi Negeri Kedah sejak tahun 2000-2003 adalah pada kadar 1.5% sahaja!! Syed Razak ternyata berbohong dengan mengcanangkan kadar pertumbuhan ekonomi Kedah meningkat 15% setahun (tempat pertama, Wilayah Persekutuan pun baru...5.8%) Kedah Maju 2010 hanya khayalan Syed Razak semata-mata sedangkan Malaysia sendiri disasarkan maju pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan ekonomi 7.5% setahun (itupun belum tentu). Sementara itu KDNK perkapita Negeri Terengganu di bawah PAS adalah RM25,000 berbanding dengan Negeri Kedah di bawah BN, hanyalah RM8,000 sahaja. Ini menunjukkan pengurusan haprak Syed Razak dan jauh ketinggalan dari DSHA.

Kedah Maju 2010 adalah mustahil dan apabila ditanyakan kepada para pakar ekonomi dan pegawai kerajaan yang menghadiri bengkel di Kelab Golf Harvard, Bedong Kedah mereka merumuskan bahawa rancangan ini tidak masuk akal. Begitu juga apabila sdr. Saifuddin bertemu Datuk Dr. Afifuddin Omar (dikatakan bakal MB kedah). Sdr. Saifuddin ada bertanya kepadanya selaku pakar yang mempunyai ‘doctrate’ dalam Ekonomi Politik, apa pandangan beliau mengenai Kedah Maju 2010? Jawapan Dr. Afiffudin ialah MENGARUT!! Apabila Sdr. Saifuddin mengingatkannya yang dia adalah pemimpin UMNO, beliau berkata, “UMNO ka….KeAdilan ka…PAS ka…kalau benda mengarut, nak setuju macam mana??”

Akhir sekali, Sdr. Saifuddin berharap fakta-fakta ini dapat dikongsi bersama-sama rakyat Malaysia keseluruhannya, rakyat Negeri Kedah khasnya dan pengundi-pengundi di Parlimen Kuala Kedah, khususnya di DUN Kubang Rotan. Sebelum beredar, beliau mendapat tepukan gemuruh dari hadirin yang pada perkiraan kami ramai juga ahli dan penyokong UMNO. Hadirin berebut-rebut bersalaman dengan Sdr. Saifuddin.

TAKBIR! 3X

Oleh Tapai - 18.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN