TAG 1792:
Moral Yang Tergugat
(Morals At Stake)
Oleh: Marina Mahathir - The Star 5 Mac, 2005     - Laman M@RHAEN
Sebagai ibu bapa yang hidup di bandar-bandar, salah satu tugas kita yang paling mencabar dalam membesarkan anak gadis kita ialah mengekang keghairahan mereka untuk keluar malam bersama kawan-kawan. Gara-gara risau akan keselamatan, kita menjadi ibu bapa yang sungguh kerap meleter akan bahaya kalau mereka minum-minum, terlibat gejala dadah dan berbual dengan lelaki yang tidak mereka kenali. Memang sukar kerja itu tetapi ia perlu dilaksanakan juga. Kini, sudah muncul satu topik baru dalam senarai berbahaya kita itu. Topiknya ialah “serbuan dan tangkapan” yang dilakukan oleh sekelompok manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai pegawai agama. Bagaimana caranya kita mewaspadakan anak-anak akan perkara ini? Apakah kita perlu memberitahu mereka agar menelefon kita secepat mungkin dan tidak mempedulikan orang-orang ini? Ataupun apakah kita perlu beritahu anak-anak agar mematuhi kehendak pegawai agama ini yang pastinya bertindak mengeluarkan arahan yang sungguh memalukan kita?

Tindakan menyerbu salah satu disko bandaraya Kuala Lumpur tentu membawa kesedaran kepada kita kerana ia mendedahkan sikap kurang ajar orang-orang ditugaskan membuat kerja-kerja ini. Apakah tindakan mereka mengaibkan orang-orang yang mereka periksa itu melegakan mereka? Apakah mereka lega dengan hitungan pahala yang mereka dapat untuk memasuki gerbang syurga dengan tindakan memaksa gadis-gadis muda menunjukkan bahagian badan kepada mereka. Sedangkan inilah kumpulan gadis muda yang mesti berpakaian menutup aurat agar tidak menggoda mereka? Sebagai seorang ibu saya memang begitu mual dengan kejadian ini. Sudahlah kita kerap dihantui ancaman pihak yang mengganggu keselamatan anak-anak kita, bagaimana pula caranya menangani pegawai-pegawai agama ini (JAWI - penterjemah) yang seolah-olah direstui perbuatannya oleh kerajaan negeri? Tentu tidak, kerana bukannya kerja mudah untuk memekap dan memeramkan anak-anak kita di rumah begitu sahaja. Perbuatan begini bukan sahaja akan membuatkan mereka menjadi degil dan memberontak, tetapi kalau mereka sudah berusia lebih 21 tahun kita tidak lagi mempunyai hak mengunci anak-anak kita di rumah. Jika demikian, bagaimana caranya kita mahu melindungi anak-anak daripada kumpulan yang taksub ini?

Jawapannya ialah kita mesti hentikan segala sifat membiarkan keadaan begini terus berlaku. Tangkapan dan penggeledahan semacam ini mestilah dihentikan kerana ia adalah sama dengan sifat hipokrasi dan bermuka-muka. Pada prinsipnya kalau satu golongan penduduk kita tidak boleh keluar malam di disko kerana takutkan mereka dirasuk pengaruh tidak bermoral, kenapa mesti digeledah hanya satu disko sahaja pada sesuatu malam? Kita tidak mahu membincangkan perihal kesopanan dan sensitiviti tangkapan semacam ini, kerana kita mahukan segala kegiatan pemeriksaan mendadak sebegini mesti dihentikan. Kita perlu bertindak menentang perbuatan yang begitu memalukan, lebih-lebih lagi asas dilakukan pemeriksaan seperti itu masih boleh diragukan nawaitunya. Kita harus pertanggungjawabkan kelompok yang melakukan penggeledahan semacam ini sebagai orang-orang yang bertanggungjawab merosakkan anak-anak kita, kerana menakut-nakut dan mengaibkan mereka tidak tentu fasal. Lagi pun kerja-kerja mereka itu dibuat atas nama agama, kesannya anak-anak ini akan membenci terus agama mereka.

Apakah caranya kita mahu meyakinkan mereka betapa agama mereka itu adil dan penyayang sedangkan orang-orang yang melantik diri sendiri sebagai penjaga keluhuran agama itu ternyata tidak bersikap begitu? Secara terus terang biarlah saya nyatakan di sini, kalaulah saya salah seorang ibu bapa yang mempunyai anak gadis yang telah diaibkan oleh kumpulan begini, sudah pasti saya akan menyaman mereka hingga ke lubang cacing. Apa yang sudah berlaku sebenarnya sudah menguji kesabaran kita hingga ke garisan penamatnya, kalau pun tidak ke tahap kita terus putus asa.

Tibalah masanya kita mesti bertindak tegas kalau kita mahu melihat negara kita ini bergelar sebuah negara Islam yang moden. Kita mesti bertegas dan bersungguh-sungguh. Seandainya kita mahu mempertahankan imej sebuah masyarakat toleran dan adil, kita mesti menentang kumpulan yang tidak adil dan tidak toleran ini yang ternyata begitu riang menyalahgunakan apa juga kuasa yang ada di tangan mereka. Kita harus tentang segala usaha serbuan dan tangkapan di kelab-kelab malam dan jua ke atas pasangan berdua-duaan (yang memadu asmara? – penterjemah). Hakikatnya nanti kita bertanggungjawab hanya kepada Yang Maha Esa sebagai Bos kita. Siapakah orang-orang yang menganggap diri mereka sebagai proksi Bos kita di bumi ini? Maafkan saya bercakap begini, tetapi sudah tentu kita tidak mahu sekumpulan manusia seperti ini yang ternyata sakit (mental?) dan mahu membelek-belek anak gadis kita yang ketakutan atas nama jabatan agama yang berkuasa.

Di mana sahaja saya menjelajah negara membangun ramai orang yang memberitahu saya betapa mereka kagum melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berjaya. Inilah negara yang menjadi contoh dan menunjukkan apa juga boleh dicapai kalau kepentingan rakyat diambil-kira selalu. Mereka kagum dengan cara kita menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum sambil meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendidikan, kemudahan rumah kediaman dan kemudahan perubatan yang boleh berdaya-saing dengan negara-negara maju. Tup-tup berlaku pula kejadian serbuan dan tangkapan semacam ini, memalukan kita hingga tidak tahu macam mana nak sorok muka. Percayalah saya, hanya mereka yang ada otak macam Taliban (dan mereka yang mahu melihat Malaysia jatuh standardnya setakuk dua) beranggapan bahawa serbuan dan tangkapan semacam ini adalah baik. Orang yang berfikiran bahawa dunia tidak memerhatikan kita adalah kelompok yang hidup laksana katak di bawah tempurung.

Apakah kesan semua ini nanti? Mereka yang berharta sudah tentu akan menghantar anak-anak mereka keluar negara kerana tidak mahu mereka diaibkan oleh kegiatan (pegawai JAWI) seperti ini. Ini bererti bahawa jurang pemisah akan bertambah luas, apa lagi dengan renggangnya hubungan rapat mengenai kampung halaman sendiri yang akan tersisih jauh daripada anak-anak yang dihantar belajar luar negara. Mereka yang tinggal akan menjadi semakin membenci akan nasib buruk mereka. Sesungguhnya kita sedang berada di puncak gunung berapi yang hampir meledak disebabkan golongan muda-mudi yang semakin memberontak. Siapakah yang patut kita persalahkan?

Marina Mahathir
Klik di sini untuk memberikan komen anda terhadap artikel ini.


Catatan Penterjemah:
Ahem....Kira-kira lima tahun dahulu seorang sepupu Marina yang merupakan anak lelaki seorang bekas Menteri Besar Selangor telah memandu keretanya dengan laju di subuh pagi setelah bersantai semalaman di satu kawasan peribadi. Kemalangan itu mengorbankan nyawa anak gadis seorang hartawan. Hingga hari ini kes kemalangan (di Bangsar) disebabkan pemandu yang mabuk itu tidakpun disebut lagi di mahkamah. Ramai yang turut berpesta malam itu sudah pun berumah tangga kini dan beranak-pinak.

Kira-kira sebulan yang lalu, salah seorang adik lelaki Marina telah ditahan di sebuah kasino di Monte Carlo kerana kalah judi melebihi satu juta dollar. Bolehkah dia berjudi begitu banyak hanya dengan meminum air mineral? Kisahnya tersiar di akhbar perdana di merata dunia. Di manakah Marina menyorokkan mukanya?

Terjemahan MT-SPAR  - 06.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: