TAG 1791:
Apakah Chin Peng Warga Malaysia?
(Is Chin Peng a Malaysian citizen?)
Oleh: MGG Pillai - 03-03-2005 04:54 pm      - Laman M@RHAEN
Pada 2 Disember, 1989, Malaysia dan Thailand telah memeterai satu perjanjian dengan Parti Komunis Malaya (CPM) dan sekali gus menamatkan darurat yang dimulakan lima dekad yang lampau. Keadaan darurat itu telah dihentikan pada 1960. Kenapa ia berlaku begitu perlu menunggu penjelasan sejarah sebagai penghakimannya. Malaysia bertegas mengatakan bahawa PKM telah ditumpaskan oleh kuasa dan strategi yang lebih perkasa. Namun, ada satu perkara mengenai Darurat itu yang menceritakan kisah sebaliknya. Buku itu mendedahkan betapa PKM telah mengambil keputusan pada seawal 1950-an lagi bahawasanya perjuangan mereka tidak dapat bertahan lama.

Persidangan di Baling antara bakal Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpin PKM, Chin Peng hanya merupakan satu alasan sahaja kerana perjuangan komunis menjadi semakin malap selepas itu. Perbalahan dan singitan dalaman di kalangan pemimpin PKM menyebabkan tercetusnya perbalahan untuk merangkul kuasa di wilayah tertentu di bumi Malaysia. Akan tetapi pergocohan dalaman ini disalah-anggap oleh Kuala Lumpur sebagai bukti bahawa wujudnya bahaya besar daripada PKM yang menggugat martabat Malaysia.

Sejak pertengahan 1950-an, PKM telah menjalankan operasinya daripada Selatan Thailand, menyebabkan kerajaan Malaysia dan Thailand merasa tergugat sama. Bangkok sengaja bersedia merelakan kehadiran PKM di bumi Thailand selagi Kuala Lumpur bersedia menyekat kemaraan puak pemisah yang berada di wilayahnya di seberang sempadan Apabila Thailand bertindak pada 1980-an untuk berdamai dengan PKM, Malaysia pada mulanya tidak bersetuju tetapi tiada pilihan untuk turut serta juga akhirnya. Setelah dijalin beberapa perbincangan yang sungguh rumit, satu perjanjian dicapai hingga mendorong semua pihak menandatangani perjanjian damai pada 1989.

Anggota PKM yang mempunyai persaudaraan dengan penduduk di wilayah Malaysia telah dibenarkan pulang dan diberikan elaun penempatan semula setelah menjalani satu sesi temubual dan bukannya siasatan, mereka dibenarkan pulang untuk hidup seperti orang biasa. Apa juga yang tercapai dalam rundingan damai itu perlu lembaran sejarah untuk menjadi penghakimnya. Segala laporan yang diterbitkan setakat ini adalah merupakan laporan persendirian yang memperbesar-besarkan peranan si penulis sedangkan laporan sebegitu tidak dapat dianggap sebagai mempunyai kesan yang autoritatif.

Kenyataan Yang Tidak Disangkal

Pada prinsipnya, perundingan Baling itu telah gagal kerana Tunku dan kerajaan British bertegas agar tawaran Chin Peng untuk meletakkan senjata dikira sebagai penyerahan dirinya dan juga warga PKM. Apa yang Chin Peng maksudkan ialah beliau serta konconnya mahu meletakkan senjata dan berundur secara bersahaja. Seandainya beliau menggunakan perkataan menyerah diri, bererti kerajaan Malaysia boleh menangkap dan mendera anggota PKM sesuka hatinya.

Semasa perundingan dimulakan pada 1989, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, TKT Mahathir, berkata kalau itu yang dimahukan oleh Chin Peng, biarlah ia terjadi begitu – sedangkan kita menganggapnya sebagai proses menyerah diri juga.

Saya merasa intrig dengan kisah yang dihikayatkan oleh Chin Peng dalam bahasa Melayu di Haadyai: “Sebagai rakyat Malaysia kami mengaku taat setia kepada Yang DiPertuan Agong dan Malaysia. Kami akan bubarkan pasukan bersenjata dan musnahkan segala senjata sebagai bukti akan kejujuran kami menamatkan darurat dan perjuangan bersenjata.” Tidak ada seorang pun pegawai Malaysia yang menyanggah kenyataan ini. Malahan media Malaysia telah mencetuskan desas-desus bahawa Chin Peng akan bertanding dalam pilihan raya umum.

Saya pernah bertanya kepada beberapa pegawai kerajaan ketika itu dan juga selepas peristiwa itu, apakah Chin Peng berkata begitu. Mereka berpendapat bahawa beliau tidak berkata perkara itu. Namun, setakat ini beginilah pendapat rasmi kerajaan kita. Beliau tidak dianggap sebagai warga Malaysia kerana telah mengangkat senjata untuk menentang kerajaan yang sah. Kerajaan pernah membuat tindakan menggugurkan kewarganegaraan rakyat Malaysia dan menghalau mereka untuk mencari suaka di China disebabkan hubungan komunisme mereka.

Chin Peng ialah warga Malaysia kerana dilahirkan di Kampong Koh, Sitiawan, Perak. Waktu itu kampung tersebut adalah sebahagian wilayah Dinding yang mempunyai pelabuhan bernama Lumut. Kerajaan British mahu mendirikan satu pangkalan tentera laut di sana. Dinding merupakan sebahagian ‘Straits Settlement’ (Jajahan British) pada 1874 apabila ia diserahkan kepada Britain dalam satu perjanjian dinamakan Perjanjian Pangkor. Inilah perjanjian yang membawa ketuanan British merajai Malaya.

Sesiapa sahaja yang lahir di Dinding antara 1874 hinggalah kemerdekaan Malaya isytiharkan pada 31 Ogos, 1957 telah diberikan kerakyatan Malaysia secara automatis, tidak kiralah di mana mereka berada ketika itu. Sepanjang tempoh darurat dan selepas itu, tidak pun ada usaha melucutkan kerakyatan Chin Peng daripadanya. Apa yang perlu dibuktikannya ialah surat beranak yang mengatakan beliau lahir di kawasan itu.

Chin Peng merupakan warga British sejak beliau dilahirkan seperti mereka yang lahir di Pulau Pinang dan Melaka. Chin Peng pernah dikurniakan bintang OBE (Order of The British Empire) kerana peranan KPM menentang Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan pernah menyertai barisan kemenangan di London pada 1946 bersama seorang lagi pemegang bintang OBE daripada Sabah, Tun Dato Mustapha Haron, yang kemudiannya naik menjadi seorang menteri kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sabah dan juga Yang DiPertua Negeri. Bintang OBE itu telah ditarik balik apabila PKM bangkit menentang British dua tahun kemudiannya. Tetapi tidak pula ditarik hak kelahirannya.

Memang aneh, seperti yang disebut oleh Chin Peng dalam memoir beliau, betapa Ketua Cawangan Khas (Special Branch) ketika itu bernama Rahim Noor (yang kemudiannya menjadi Ketua Polis Negara kemudiannya) mahukan pengampunan turut diberikan golongan fundamentalis Islam yang ditahan sebagai tahanan politik seperti yang dipinta oleh KPM. Tetapi beliau telah menarik balik cadangannya.

Apa yang telah berlaku adalah persis pengalaman Abdullah Badawi yang menghadapi masalah dalam perundingan dengan bekas mantan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong mengenai isu dua hala. Mahathir tidak mampu mencapai kesepakatan perjanjian dahulu, seandainya anggota PKM diterima sebagai sebahagian masyarakat Malaysia.

Anggota Melayu PKM Diterima Masuk

Dengan lain perkataan, Malaysia terpaksa menarik balik satu aspek penting dalam perjanjian dahulu. Chin Peng telah diberitahu yang dia tidak dapat dibenarkan masuk Malaysia. Bagaimana perkara itu dapat dikuatkuasakan sedangkan kewarganegaraan beliau tidak pun dimansuhkan adalah satu perkara yang tidak jelas. Kerajaan tidak boleh menafikan beliau satu pasport seandainya beliau meminta. Akan tetapi kerajaan sengaja menghalang pergerakan beliau untuk masuk balik negara kelahirannya.

Di waktu yang sama anggota Melayu PKM telah dibenarkan masuk. Selalunya mereka tidak dikenakan satu tempoh tahanan yang kerap dikenakan kepada anggota PKM yang pulang semula. Pengerusi PKM, Musa Ahmad bersama isteri beliau, Shamsiah Pakih, telah dibenarkan pulang setelah mendapat perlindungan suaka berdekad lamanya di Beijing. Anak perempuan mereka, seorang doktor perubatan daripada sebuah universiti di China yang tidak pun diiktiraf di negara ini telah dibenarkan memasuki perkhidmatan perubatan Malaysia.

Inilah yang kini menjadi satu bahan pergolakan politik. Dengan munculnya lebih banyak dokumen menyerlahkan zaman pasca perang yang bergelora itu, para pengkaji sejarah dapat menilai peranan Puak Kiri, baik Cina mahupun Melayu sebagai memainkan peranan penting dalam pencapaian Merdeka. Ternyata betapa kumpulan puak kanan Melayu yang mempunyai hubungan intim dengan kerajaan British sengaja digalakkan menubuhkan satu pergerakan politik untuk meminggirkan puak Kiri. Seperti yang didedahkan oleh banyak rakaman sejarah, puak Kiri, khususnya golongan Kiri Melayu mempunyai peranan yang amat besar dalam pencapaian kemerdekaan Malaysia.

Semasa PKM memberontak pada 1948, gara-gara keengganan British menunaikan perjanjiannya semasa menentang Jepun, British mengizinkan penubuhan MCA (Malayan Chinese Association) yang dianggotai oleh para penyokong Kuomintang, sejurus Republik Rakyat China diwujudkan pada 1949. MCA sengaja diwujudkan untuk menentang PKM. Sebenarnya waktu ini, MCA lebih takut berbanding UMNO kalau-kalau PKM dibenarkan bangkit menyertai percaturan politik Malaysia.

PKM juga mempunyai beberapa pemimpin India . Ada yang lari ke Beijing selepas darurat diumumkan. Ini memang amat difahami oleh Barisan Nasional. PKM adalah sebuah pertubuhan politik daripada 1945 hingga 1948. Selepas itu barulah ia diharamkan sejurus darurat diumumkan. Kemunculan Parti Keadilan Nasional yang hangat-hangat tahi ayam sudah mampu menakutkan Barisan Nasional. Bayangkan kalau satu lagi parti politik yang sudah nyata sejarah organisasinya selama ini, dibenarkan bangkit semula. Sudah pasti BN akan kekejangan segala otot-ototnya, laksana bangkai yang sudah tidak bernyawa.

Chin Peng yang merupakan seorang warga Malaysia berusia sekitar 80-an memang tidak mungkin dibenarkan masuk semula di Malaysia.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com
Terjemahan MT-SPAR  - 04.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: