TAG 1757:
Bolehkah Kucing Bertanduk?
(Could an iron tree blossom?) Oleh MGG Pillai 18-10-2004 08:19 pm - Laman M@RHAEN

Gara-gara terlalu lama bergayut kepada tampuk kuasa, seorang menteri kabinet Barisan Nasional (BN) menjadi angkuh bahawa dia adalah insan yang bijaksana, tidak boleh diugut dan digugat; tidak boleh disentuh dan dipecat. Akhbar perdana yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang diwujudkan untuk menyebarkan berita kepada semua pihak, mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak masuk akal dengan penuh butirannya. Para editor akhbar itu sudah lama tahu, kalau mereka akur dengan peraturan begitu, sudah pasti akan muncul emas kencana ataupun gelaran bintang sebagai habuannya; kalau bukan kutukan sebagai balasan. Tokoh politik ini perlu dipuji-puja tanpa banyak dakwa-dakwi, dan diserang ataupun diperlekeh kalau ada arahan berbuat demikian. Selama tiga dekad pembaca akhbar sudah mahir bagaimana membaca apa yang tersirat untuk mencungkil andaian dan sindiran yang secara lahiriahnya tidak pun dicetak ataupun disiarkan.

Yang memudahkan perkara ini ialah kerana mereka yang membuat laporan terpaksa berhati-hati, takut kehilangan pekerjaan yang menutup punca rezeki. Tidak siapa yang inginkan perkara itu terjadi padanya. Lantas, apabila timbul ketika menemu bual seseorang tokoh penting BN, kerja itu perlu dilakukan oleh seorang editor kanan ataupun beberapa wartawan yang lebih rendah sikit pangkatnya. Untuk seorang wartawan sahaja membuat temu bual itu merupakan satu tugas yang berbahaya, kerana kesilapan si wartawan muda itu akan menggugat kerjaya orang atasannya. Inilah lumrah alam. Pertama, terdapat beberapa versi wawancara itu sebelum disediakan kisah temu bual yang sepenuhnya. Di zaman rakyat tidak minat dengan media perdana, hanya singkatan wawancara itu yang akan dibaca, bererti berita penuh temu bual itu hanya terdapat di lawan web Internet sahaja.

Laporan para wartawan adalah laksana catatan teringkas seorang setiausaha akan apa yang disebut oleh ketuanya Para editor merungut kepada sesiapa yang sedia mendengar, betapa sukarnya membaca laporan wartawan mereka. Mereka mengeluh dan menyalahkan para wartawan yang tidak mahir dalam bahasa Inggeris dan menyediakan laporan yang memerlukan masa yang panjang untuk menyuntingnya. Memang ada kebenaran dalam rungutan ini. Tetapi, selalunya inilah cara seseorang menteri kabinet atau pegawai tinggi kerajaan bercakap. Mereka mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris, sehinggakan laporan wartawan pun menjadi bahasa rojak yang sukar disunting oleh para editor. Namun demikian, segala kebobrokan dan kekecewaan adalah sebahagian tugas harian. Mereka sedar kalau berita yang disiarkan itu menyakitkan pihak yang berkuasa, mereka akan kehilangan pekerjaan juga.

Pihak akhbar akan memberitahu berita lanjut hanya kepada mereka yang ingin mengetahuinya. Berita buruk mereka boleh bertukar menjadi sesuatu yang berharga. Lebih satu dekad yang lalu, saya pernah berada selama satu bulan di Myanmar. Budaya yang sama masih wujud, tetapi inti beritanya lebih ketat dan lebih dikawal di sana. Akan tetapi, dengan membaca apa yang tersirat, dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris, saya dapat faham apa yang sebenarnya sedang bergolak di negara itu. Berita itu kemudiannya dapat diperakukan apabila kita bertemu para menteri, pegawai tinggi dan orang-orang kedutaan. Semasa itu saya ada seorang rakan wartawan yang berusia sekitar 80-an ketika itu, yang dapat menambah segala butiran cerita. Cara inilah juga yang sedang diamalkan di sini.

Ada satu perkara yang tidak boleh dilakukan di Myanmar tetapi diamalkan di negara ini. Ia adalah menyangkuti cara para menteri berinteraksi. Kalau kita ambil kira kerenah para menteri negara ini memang naik nak muntah para pembaca dan ruang cetak mungkin tidak mencukupi. Eloklah kita perhatikan beberapa contohnya. Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri S. Samy Vellu, telah dihenyak dengan teruknya kerana kegagalan beberapa projek awam yang dibina oleh syarikat kroni tanpa kawalan rasmi.

Pada kali pertama terbongkarnya kisah laluan Lingkaran Tengah II di Kepong, Samy Vellu telah menyalahkan sesiapa sahaja yang dapat difikirkannya KECUALI si kontraktor, pembuat pelan (designer) dan arkitek (jurubina). Pendapatnya ketika itu adalah laksana seorang pakar bedah yang mengumumkan kejayaan pembedahannya sedangkan si pesakit (yang dibedah) sudah pun mati. Kemudian timbul cerita beberapa hospital baru di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Ipoh yang dijangkiti kulat berbahaya, sebelum hospital itu dapat beroperasi penuh. Sekali lagi Samy Vellu mengumumkan bahawa para kontraktor tidak bersalah. .

Pihak akhbar perdana telah membuat laporan akan perkara ini. Kemudian muncul berita beberapa bahagian laluan Lebuhraya Utara-Selatan yang rosak kerana tanah runtuh disebabkan hujan lebat. Secara tiba-tiba dan semacam bersekongkolan pula, ahli Parlimen UMNO bangkit memberontak, meminta Samy Vellu melepaskan jawatannya. Samy Vellu telah diserang tanpa belas kasihan dalam Parlimen. Beliau tidak hadir ketika itu. Tetapi perkara itu tidak penting. Lantas Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak bertegas agar Samy memberikan penjelasannya.

Samy terlalu angkuh dengan anggapan yang dia terlalu kebal, walaupun dia bertindak balas untuk menyenarai-hitamkan para kontraktor golongan kroni. Namun, autanya masih dikekalkannya. Beliau akan dedahkan segala kepincangan yang wujud di kementerian lain, di Kementerian Pelajaran dan Pertahanan, sambil menghayunkan sedikit sindiran terhadap kerja-kerja haprak Timbalan Perdana Menteri yang pernah mengendalikan kementerian yang sama. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, yang tidak tahu menahu akan hal ini sehinggalah ia terdedah, menempelak ahli Parlimen UMNO kerana mahukan Samy Vellu melepaskan jawatannya. Paklah fikir mereka tidak boleh berbuat demikian, dan meminta satu laporan daripada menteri berkenaan.

“Saya merasa susah hati dengan apa yang terjadi. Terlalu banyak aduan. Mesti ada sesuatu yang tidak kena,” kata Pakalah (The Star Ahad ms 1). “Saya mahu dengar penjelasan Samy apa yang sebenarnya berlaku.” Inilah yang memberi semangat kepada Samy Vellu. Akan tetapi suara lantangnya laksana singa itu sudah semakin kurang gemanya apabila perkara yang sebenar semakin menyerlah.

Tidak ada sesuatu yang dibiarkan terbengkalai. Kalaulah ahli parlimen bersuara lantang terhadap Samy Vellu, mereka berbuat demikian bukan kerana kehendak sendiri. Mereka tahu bahana bersikap songsang, tetapi ahli-ahli parlimen semakin berani sekarang ini kerana sokongan rakyat yang mahukan mereka mengkritik kerajaan. Paklah mesti berlakon seolah-olah dia memang prihatin akan perkara ini. Kalau boleh dia mahu Samy Vellu melepaskan jawatannya secepat mungkin, Tetapi dia terhalang oleh perjanjian BN di mana pemimpin parti komponen BN tidak boleh dipecat. Dato’ Seri  Samy Vellu tidak akan melepaskan jawatannya. Hanya dengan tekanan rakyat marhaen, barulah beliau terpaksa melepaskan jawatannya.

Samy Vellu telah bangkit laksana seekor singa tua yang pandai mengaum sahaja untuk menyerang balik para pengkritiknya. Beliau merupakan seorang lagi pemimpin BN yang telah berkuasa selama 22 tahun. Kini, kerjayanya tergugat dan terpaksa menggapai sabut yang dapat disambarnya untuk terus timbul terapung. Dulu, dia fikir dia telah menutup segala muslihatnya semasa menafikan Timbalannya kerusi parlimen untuk ditandingi. Akan tetapi, semua itu adalah masalah kecil sahaja untuk Paklah. Ugutan Samy tidak bermakna apa-apa. Dia terpaksa akur kepada peraturan juga. Ramai lagi yang lebih perkasa sanggup masuk penjara kerana berdegil.

Seandainya Samy Vellu melepaskan jawatannya, Presiden baru MIC, yang bukan seorang ahli parlimen (MP) dan tidak boleh menjadi senator kerana beliau pernah berkhidmat seperti itu selama enam tahun, tidak pun mampu memegang jawatan dalam kabinet. Jikalau Paklah mahu, beliau boleh melantik seorang kaum India, yang tidak semestinya daripada MIC, menganggotai kabinet. Akan tetapi kawan-kawan rapat Samy Vellu boleh mengungkit kisah Tan Koon Swan semasa menjadi Presiden MCA dulu. Kalau Tan boleh menjadi Presiden MCA tanpa sebarang jawatan dalam kabinet, kenapa tidak S. Subramaniam menjadi Presiden MIC? Akan tetapi, dalam keadaan politik semasa, analogi semacam itu tidak boleh diambil kira.

Sesungguhnya para pemimpin parti komponen BN berpendirian bahawa masyarakat mereka menerima banyak faedah kalau mereka terus mengepalai parti masing-masing. Lantas mereka terus mahu mencengkam kuasa baik secara jujur ataupun sebaliknya, hanya untuk kehilangan sokongan di akar umbi yang kemudiannya mencetuskan beribu-ribu bangkangan yang mereka enggan akui. Dalam dunia penuh khayalan, mereka sudah lama kehilangan arah, dan bertindak keras, kerana percaya bahawa akar umbi tidak berani bertindak balas kecuali dengan memenuhi kerenah mereka. Ini adalah bukti kukuh betapa anggota parti mereka adalah laksana orang suruhan dan hamba sahaya sahaja.

Tanggapan ini semua adalah tidak benar. Lebih-lebih lagi kalau para juak dan jongos sengaja mahu pertahankan kepentingan diri, dan sanggup menampan kebenaran daripada pengetahuan para pemimpin mereka. Tetapi, terlalu banyak perkara buruk yang sudah terjadi. Walaupun Paklah terpaksa bertindak segera dan tegas, dia tidak mampu melakukannya. Paklah sedang bertarung dengan Timbalannya, Najib Razak, dan pertarungan itu memang membebaninya. Begitu juga halnya dengan MCA, Gerakan (GRM), PBDS, SNAP, dan UMNO Sabah. Semuanya sedang berantakan dari dalam.

Ada dua sebab kenapa perkara begini terjadi: Pertama ialah mantan Presiden BN dan UMNO selama 22 tahun, Tun Kepala Taik Mahathir; dan lagi satu ialah bekas sahabat beliau dan kini musuh ketatnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pertarungan kalah-mati mereka berdua pada 1998, telah menjadi titik-tolak kemusnahan BN dan UMNO. Dua musuh ketat ini mesti bersatu semula sebelum UMNO dan BN dapat disuntik semangat baru untuk menjadi perkasa semula. Apatah lagi selepas berlakunya perpecahan dalam UMNO dan BN yang mencetuskan banyak pertembungan kalah-mati itu. Bolehkah perkara ini terjadi? Bolehkah kucing bertanduk di kepala?

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com - 19.10.2004
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: