TAG 1697:
Kuasa Yang Tidak Mampu Bertahan Apabila Kontrak Yang Dirundingkan Terus 
Menghakiskan Perbendaharaan

(In power, but without it as negotiated contracts continue to drain the Treasury)  Oleh MGG Pillai - 11.08.2004
Tulisan asal ada dalam Harakah terkini edisi 15-31 Ogos, 2004

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sedang gelabah. Dia semakin tertekan dan terpaksa menahan ludah sendiri. Dulu dia bertegas mengatakan segala-galanya berjalan lancar, dan kerajaan masih mempunyai dana yang cukup. Apa yang perlu dilakukan untuk merenggang jauh daripada mentornya TKT Mahathir ialah memperbetulkan budaya pembaziran rejim lama itu. Salah satunya ialah amalan memberikan kontrak secara rundingan yang bernilai berbilion ringgit kepada para kroni dan tukang angguk pilihan. Dalam amalan ini harga kontrak bukan satu perkara besar, mereka cuma diberikan kontrak untuk meletakkan harganya sesuka hati sehingga mencapai niat di hati. Apabila projek ditenderkan, ia mempunyai pilihan menentukan harga yang terpaksa diturunkan oleh sesiapa yang benar-benar berminat memenangi kontrak itu, dan menyingkirkan pencabar yang lain.

Zaman pemerintahan Mahathir telah mengucar-ngacirkan keadaan. Sesiapa sahaja yang mampu mencadangkan sesuatu projek boleh menyebut harganya sekali untuk melaksanakannya. Tidak kiralah kalau projek itu seperti Menara Kembar Petronas, Putrajaya, lebuh raya nasional yang diswastakan, lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebagainya. Jarang sangat tender dipanggil untuk kerja besar semacam ini. Apabila siap, kosnya menjadi bebanan generasi rakyat negara ini yang masih belum lahir lagi. Semua ini diwajarkan sebagai perlu untuk menunjuk-nunjuk kepada dunia sejagat betapa Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara industri menjelang 2020. Semua ini dianggap penting untuk meningkatkan martabat negara. Apabila dicabar apakah berbaloi semua itu, kita diberitahu bahawa kos tidak menjadi faktor utama, kerana maruah nama baik Malaysia adalah yang lebih penting lagi.

Pembinaan semua itu dilaksanakan ketika Malaysia memang kaya raya dan mempunyai dana yang melambak-lambak banyaknya, tentunya mampu untuk melunaskan segala pembayaran. Akan tetapi apabila pembaziran menjadi satu dasar pentadbiran yang rasmi, dan yang melimpah ruah pun boleh habis terhakis. Ia menjadi semakin menyerlah di penghujung pemerintahan si tua hangkoi itu. Apabila Perdana Menteri baru mengambil alih, beliau terpaksa menyekat pembaziran begitu untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang ante-Mahathtir. Lantas dihentikan segala kontrak yang dirundingkan, kerana itulah yang paling banyak membazirkan dana kerajaan. Apa pun yang disanggah oleh pihak yang mendebatnya, segala projek semacam itu boleh ditunda pada waktu lain apabila dana melimpah ruah semula.

Akan tetapi, tindakan demikian tidak disenangi oleh UMNO, Barisan Nasional (BN) sektor perkhidmatan awam dan sesiapa juga yang selama ini bergelumang dengan projek pembaziran itu semua. Inilah yang tidak dipertimbangkan oleh Paklah semasa bertindak menamatkan sistem kontrak secara rundingan dan kembali kepada sistem tender. Betapa pun dia mencubanya, dia tidak berjaya membuat pertukaran itu. Alasan dan dalilnya adalah terlalu nyata. Kebanyakan kontrak yang dirundingkan itu dulu diberikan kepada penama yang sama. Kebanyakan kerja-kerja kontrak diberikan konsesi yang panjang tempohnya untuk si pemegang konsesi itu mempunyai hak mengutip tol selama tiga puluh hingga empat puluh tahun. Kemudian, dibenarkan harga tol itu dinaikkan secara bertahap sepanjang tempoh konsesi itu. Apabila kenaikan harga tol itu ditentang oleh rakyat jelata, kerajaan masuk campur dan menyekat kenaikannya, tetapi pada waktu yang sama pampasan diberikan kepada pemegang konsesi kerana dinafikan hak menaikkan kutipan tolnya.

Kalaulah perkara semacam ini didebatkan secara terbuka dan telus, tentulah tidak teruk keadaannya. Tetapi, projek semacam ini tidak dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan Barisan Nasional, untuk diluluskan oleh Parlimen. Kalau terpaksa juga membentangkannya di Parlimen, para anggota Parlimen diberikan maklumat terperinci akan projek itu hanya beberapa jam sebelum perkara itu didebatkan dan ada pula perkara yang terpaksa dipercepat dengan alasan kepentingan mengejar masa ataupun darurat. Itu pun keadaan semacam itu telah diketepikan pada tahun-tahun terakhir pemerintahan Tun Kepala Taik Mahathir. Putrajaya telah dibina tanpa kelulusan Parlimen kerana Petronas yang membuatnya. Sebagai sebuah pertubuhan di luar jangkauan bajet negara, kegiatan Petronas adalah di luar bidang pemantauan kabinet. Fasa pertama pembinaan Putrajaya akan melampaui RM20 billion yang dijangkakan. Kemungkinan kosnya akan naik dua kali ganda. Kini sudah muncul kesangsian apakah Petronas dapat meneruskan projek pembinaan pusat pentadbiran negara yang diidamkan itu.

Kini, kabinet sudah dimaklumkan akan keretakan yang terdapat pada jejantas sepanjang 1.7 kilometer di Middle Ring Road (jejambat utama Lingkaran Tengah). Menteri Kerjaraya Samy Vellu tidak pun gelabah akan perkara itu. Beliau mengaku keretakan semacam itu bukan satu perkara yang biasa. Tetapi, “kita tidak boleh mengharapkan kejayaan sekadar 100 peratus setiap waktu” katanya. Beliau berdalih bahawa keretakan semacam itu mungkin disebabkan keadaan tanah yang bergerak ataupun keadaan jalan ataupun keadaan yang lain. Apabila diambil kira kesesakan lalu lintas di situ, memang kita jangka laluan itu sentiasa digunakan. Soalnya kenapakah jejambat itu dirancang begitu pada awalnya. Laluan kenderaan adalah begitu pesat sehingga keretakan tidak dapat dipantau. Kerana itu jejambat berkenaan terpaksa ditutup dulu.

Siapa yang mengesan keretakan itu? Perunding daripada Jerman dan Australia. Apabila berlaku sesuatu yang tersilap kita terburu-buru mencari pakar luar negara untuk membantu. Bukankah itu tanggungan pihak yang membina jejambat itu dulu dan para perundingnya? Bukankah itu tanggungjawab Bumi Hiway, Sukmin and KKMJB dan syarikat pembuat pelan seperti Maunsell, Sharma dan Zakaria Sdn Bhd.? Samy Vellu cuba melindungi syarikat tersebut daripada diasak dan dituduh bersalah. Biar kerajaan yang dipertanggungjawabkan.

Jika tidak, kenapa pula dia terpaksa memberitahu Parlimen akan keadaan ini? Kenapakah dia tidak mengarahkan konsortium yang terbabit membaiki segala kerosakan itu dengan belanja mereka sendiri? Inilah kelemahan kerajaan yang mengambil sikap beralah kepada para kontraktor pilihannya yang gagal tanpa mahu membebankan mereka ke atas segala kesilapan yang terjadi. Soalnya sekarang ialah apabila kerja-kerja kontrak membabitkan rundingan harga, pakar-pakar kerajaan tidak mempunyai peranan besar untuk menentukan kerja kontrak itu dilaksanakan mengikut syarat yang ditentukan.

Masalah seperti ini pasti akan menghantui kerajaan pada masa depan. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan membenarkan kos pembinaan kepada syarikat berkenaan dalam bentuk pinjaman jangka panjang, yang selalunya tidak dilunaskan akhirnya. Satu per lima daripada kos terbabit diiktiraf sebagai ‘grant’ yang diberikan oleh kerajaan. Kontraktor anak emas kerajaan itu hanya memerlukan satu per enam daripada jumlah yang berbangkit sebagai perbelanjaannya kerana segala pulangan kerja itu akan dikautnya daripada konsesi yang memakan masa antara tiga puluh tahun hingga empat puluh tahun lamanya.

Konsortium Gamuda-MMC sedang membina satu terowong sepanjang 4.2 kilometer yang bernilai sekitar RM2 bilion. Ini merupakan kontrak yang dirundingkan. Kerja kontrak sudah pun bermula. Tetapi projek ini ditakrifkan dalam penilaian semula mengikut syarat baru Paklah. Kalau kerja sudah bermula, tidak ada yang boleh menghentikannya. Mereka yang arif berkata kalau kontrak itu ditenderkan, kos projek itu boleh menurun kepada separuh daripada harga yang diluluskan dahulu.

Pada minggu ini ada satu kontrak membabitkan janakuasa Jimah di Negri Sembilan. Sepatutnya projek itu dihentikan, tetapi tidak pula. Ada seorang tokoh utama dalam projek ini yang merupakan MP Titiwangsa, Dato Astaman Aziz (anak Aishah Ghani – penterjemah) seorang jurutera elektrik yang mempunyai nasib bertuah diberikan dua projek janakuasa swasta. Rakan kongsi luar negara beliau ialah syarikat Jepun bernama Sumitomo. Dulu, dia diberikan satu projek janakuasa di Lumut yang dijualnya kepada Malakoff Berhad dengan mendapat keuntungan sebanyak RM20 juta. Beliau juga terlibat dengan projek janakuasa di Tanjung Bin di Johor di mana saham beliau bernilai RM30 juta. Pihak yang arif memberitahu bahawa projek terakhir beliau akan memberikan durian runtuh dua kali ganda.

Projek pertama yang didapatinya ialah semasa mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Menteri Kewangan. Walaupun dia menafikan perkara ini seperti orang lain yang terpaksa berbuat begitu kalau mahu terus meraih projek kerajaan, ramai penyokong Anwar masih ingat betapa ibunya Aishah Ghani kerap melobi bagi pihak anaknya sehingga beliau sanggup pergi melepak di rumah kediaman Anwar untuk tujuan itu. Beliau memang hidup mewah sekarang ini. Beliau memiliki sebuah kereta Ferarri berwarna kuning yang bernilai sekitar satu juta ringgit. Dia juga memiliki sebuah motosikal jenis ‘Gold Wing’ bernilai RM70,000. Besar kemungkinan dia akan dilantik menjadi Pengerusi TNB di mana dia pernah berkhidmat.

Keghairahan memulakan projek yang tidak pun begitu penting adalah disebabkan keadaan perbendaharaan kerajaan yang semakin goyah. Inilah yang mencetuskan kesangsian menyebabkan tercetusnya krisis yang saling bersambung tanpa ada ruang untuk penyelesaiannya. Kebobrokan pentadbiran zaman TKT Mahathir telah menggoncang institusi kerajaan ke akar umbinya dan inilah yang memerlukan tindakan luar biasa untuk membetulkan keadaan. Inilah yang tidak mampu dilakukan oleh Paklah gara-gara kesilapan disebabkan oleh kemenangan besar semasa pilihan raya umum dulu. Sepatutnya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang menang besar secara mutlak, dia mampu menangani semua itu. Apabila gagal berbuat demikian, dia tidak mampu menunjukkan kekuatannya kerana takut libasan yang sedang menanti untuk menjatuhkannya. Keadaan terpaksa menjadi lebih teruk lagi sebelum bertukar untuk merobah menjadi baik semula.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
12.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: