TAG 1696:
Pertempuran Menguasai Masyarakat Islam Dan Minda Pemikiran Melayu 
Menghancurkan Masyarakat Bukan-Melayu Dan Golongan Menengah

(The turf battles for the Muslim and Malay mind destroy the non-Malay and middle ground)  Oleh MGG Pillai - 09.08.2004

Islam kini berada di tengah-tengah pentas perdana politik. Kerajaan Barisan Nasional (BN) mahukan pentadbiran agama Islam di bawah naungan dan kuasanya. Itu sebabnya BN begitu ghairah mengotak-ngatikkan para pemimpin agama lantikannya dengan bertegas mereka kuatkuasakan apakah yang dibenarkannya dan apa pula yang mesti dijauhkan. Inilah yang mencetus pertembungan dengan para penganut Islam kerana ketiadaan penjelasan lanjut ataupun penjelasan kenapa sesuatu itu difatwakannya.

Kedudukan Islam di persada politik akan menentukan politik berperlembagaan di Malaysia. Inilah satu perdebatan di mana golongan bukan-Islam tidak boleh masuk campur. Sejak kebelakangan ini politik di Malaysia adalah tertumpu kepada politik orang Melayu yang kini sudah berkisar tertumpu kepada amalan keIslamannya. Satu ketika dahulu masyarakat bukan-Melayu tidak masuk campur, tetapi buat kali ini golongan bukan-Islam turut terpinggir juga. Dahulu, masyarakat bukan-Melayu boleh juga mengeluarkan pendapat mereka; tetapi kini kalau mereka berbuat demikian, mereka akan diberitahu agar tidak masuk campur kerana mereka bukan beragama Islam.

Golongan bukan-Melayu dan parti politik bukan-Islam, akan kehilangan air muka kalau mereka tidak bersuara dan bertegas semoga Malaysia kembali kepada landasan harapan yang dicipta oleh pengasas kemerdekaan. Akan tetapi inilah yang tidak termampu dilakukan oleh mereka yang menganggotai BN kerana para pemimpin mereka hanya bernafas untuk membesarkan tembolok masing-masing. Kriteria biasa di kalangan seseorang pemimpin BN ialah tempoh lamanya dia berkuasa, dan ada di kalangan pemimpin itu yang telah mencengkam kuasa lebih daripada dua dekad. Peranan yang mereka lakukan adalah menutup mulut masyarakat yang melantik mereka sehinggakan masyarakat itu terpinggir akhirnya.

Kini muncul satu krisis pula. Gara-gara kesulitan menjuarai kepentingan orang Melayu dan budayanya, UMNO cuba mengekalkan kuasa demikian dengan mengambil langkah menggunakan Islam sebagai wadah perjuangannya. Ini merupakan satu usaha mencabar pengaruh PAS yang sudah pun menguasai sebahagian besar masyarakat Melayu. Dengan berbuat demikian UMNO telah mengabaikan masyarakat bukan-Melayu dan juga bukan-Islam. Usaha demikian telah menyempitkan minatnya sehinggakan orang bukan-Melayu dan bukan-Islam sudah dilupakan.

PAS memang tidak pernah berganjak dalam usaha mahu menubuhkan sebuah negara Islam di mana hukum-hakam syariah dijuarainya. Kekuatan PAS tertumpu kepada negeri-negeri yang bermajoriti orang Melayu; yakni di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Namun, secara perlahan ia mampu menjangkau mempengaruhi masyarakat Melayu apabila UMNO hilang pengaruhnya di kalangkan masyarakat yang sama dan juga pengaruh feudalnya. Dari satu sudut nampak sangat betapa UMNO terpaksa menonjolkan warna-warni keIslamannya untuk mempengaruhi masyarakat Melayu yang satu ketika dulu memang dijuarainya.

Rentetan itu membuatkan UMNO mengambil sikap bertahan. Untuk membuktikan bahawa ia benar dalam tindakannya, UMNO telah meminda perlembagaan untuk menonjolkan Islam dengan peranan politiknya sedangkan itu tidak pernah berlaku sebelum itu. Mahkamah Syariah dan sivil kini diberikan taraf yang sama, sedangkan satu ketika dahulu Mahkamah Syariah hanya dikhususkan untuk undang-undang peribadi keIslaman seperti kahwin, cerai dan kelakuan peribadi. Hukum jenayah sudah diambil kira dan tidak lama lagi satu hukum jenayah mengikut undang-undang Islam akan dikuatkuasakan. Mereka yang dikenakan tuduhan jenayah boleh memilih mahkamah mana yang boleh menimbangkan kesnya.

Angin Islamisasi yang baru menjalar ini telah membawa bersamanya satu kebangkitan yang tidak diwar-warkan. Ia berkait rapat dengan sikap angkuh pihak yang mencengkam kuasa yang berfikir mereka boleh memperlekehkan pengaruh alim ulama dan ketua agama Islam yang ada. Sebagai contoh, kita ambil Konsert Karnival TV3 berjudul ‘Sure Heboh’. Program itu dibiarkan berkembang dengan membelakangkan tapisan hukum agama. Konsert seperti ini memang kerap mencetuskan kemarahan pihak penguat kuasa agama yang menganggapnya sebagai majlis meruntuhkan akhlak.

Karnival ‘Sure Heboh’ memang tidak terkecuali. Beberapa orang mufti dan kadi lantikan kerajaan telah membantah terhadap program ‘Sure Heboh’. Ada seorang menteri kabinet yang telah bersuara lantang mencabar bangkangan pihak ketua agama, tetapi beliau cepat mengalami proses ‘kecut telur’ hitamnya untuk menarik balik apa yang dikatakannya secara lantang dulu. Dia tentu sedar betapa perangainya yang lantang itu akan melibasnya kembali semasa dia menghadapi musim pemilihan pucuk pimpinan tidak lama lagi. Akan tetapi kerajaan begitu yakin untuk mengizinkan program ini sambil mencabar para alim ulama yang menentangnya. Pada waktu yang sama TV3 masih berdegil untuk meneruskan program ‘Sure Heboh’ merata negara, sambil memperlekehkan alim ulama dan pihak berkuasa yang tidak selesa dengannya.

Pertembungan di medan perang antara ahli politik Melayu dan pemimpin agama Islam menjejaskan keharmonian masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam. Karnival ‘Sure Heboh’ adalah satu muslihat untuk menarik minat orang Melayu, bukannya penonton bukan-Melayu. Muslihat di sebalik karnival itu ialah memberitahu muda-mudi Melayu bahawa UMNO dan kerajaan bukannya calang-calang pertubuhan kerana ia sentiasa menjaga kepentingan mereka semua. Akan tetapi golongan alim ulama menganggap aktiviti ini sebagai tidak bermoral. Mereka membangkitkan kisah banyaknya kondom yang terpakai yang berselerak merata tempat selepas berakhirnya karnival itu.

Perkara ini mungkin sengaja digembar-gemburkan. Tetapi kedua-dua pihak mahu menguji tahap pengaruh mereka dan tidak suka berunding antara satu dengan lain. Kerana itu mereka kerap bercakap meleret-leret. Apabila ada bukan-Melayu ataupun bukan-Islam terlibat, haknya turut terjejas juga.

Satu contoh lagi ialah kisah penjagaan anak-anak keluarga Moganarajah. Si suami telah memeluk agama Islam dan membawa anak-anaknya sama-sama menjadi mualaf. Janda beliau telah mencabar kes ini di mahkamah sivil tetapi Mahkamah Tinggi telah memberi perintah agar beliau merujuk perkara itu kepada Mahkamah Syariah. Sebenarnya hakim itu tidak ada hak memberikan perintah itu dan mengeluarkan penghakiman yang tidak boleh dikuatkuasakan. Beliau memberi penghakiman membenarkan si ibu mempunyai hak menjaga anak-anak tetapi dengan syarat beliau tidak boleh mengajar mereka agama Hindu. Si bapa dibenarkan hak melawat anak-anaknya. Penghakiman itu (dikatakan) sungguh mengelirukan (konon), sehingga si ibu keluar meninggalkan negara.

Satu lagi bidang yang mencetus kekalutan ialah apabila ada penganut agama Islam yang bertindak mahu keluar menjadi murtad. Mengikut undang-undang yang ada, dia tidak boleh berbuat begitu, tetapi ada juga mualaf yang diizinkan berbuat begitu. Kalau kerajaan benar-benar mahu mengemaskinikan (?) Islam agar tetap segar dan relevan mengharungi abad ke-21 ini, hak keluar daripada sesuatu pegangan agama tidak boleh diabaikan. Demikian yang terjadi kepada empat orang Melayu yang murtad dan telah dipenjarakan. Mereka telah diarah menghadiri kelas agama dan kembali menganut agama Islam jika tidak mahu dikenakan hukuman lagi.

{Catatan penterjemah: MGG Pillai harus sedar tidak ada istilah mengemas kini agama Islam dalam Islam yang memang syumul - penterjemah)

Kekalutan (apa yang disebut sebagai) mengenai Islam moden di Malaysia adalah disebabkan percanggahan antara kumpulan Melayu yang dianggap bijak pandai di satu pihak dan kumpulan fundamentalis yang berpandukan Al-Quran di satu pihak yang lain. Setiap pihak mahu bercakap mengenai Islam tetapi masih takutkan satu pihak yang lain. Di satu pihak kumpulan elitis yang berpendidikan tinggi ala barat berdepan dengan kumpulan berpendidikan tinggi hasil asuhan universiti Islam yang terkenal di dunia ini. Satu pihak mempunyai pandangannya yang tersendiri dan bertentangan dengan rencana dan pendapat satu pihak yang lain pula.

Dalam pertembungan begini, golongan masyarakat menengah yang berkecuali ataupun toleran telah ghaib sama sekali. Inilah yang menjadi satu bahaya besar menghantui Malaysia. Ia merupakan bahaya yang lebih besar kalau dibandingkan dengan pertembungan untuk menguasai masyarakat Melayu dan minda Islam.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
09.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: