TAG 1695:
Rasuah Dan Salah Guna Kuasa 
Dalam Proses Pemilihan UMNO Hadhari

(Corruption and abuse of power in UMNO Hadhari elections)  Oleh MGG Pillai - 07.08.2004

Rasuah dan salah guna kuasa sudah mendarah-daging dalam kehidupan seharian ahli-ahli politik UMNO. Mereka tidak boleh bernafas lega tanpa unsur-unsur jijik ini, seperti yang telah diputuskan oleh golongan yang arif-arif, para hakim. Demikian yang telah terserlah dalam kes pengadilan Anwar Ibrahim, di mana rasuah dan salah guna kuasa telah turut digembleng bersama. Sifat buruk ini memang menjadi amalan dalam UMNO tanpa ada kesan buruk pada golongan yang mengamalkannya. Kalau seseorang ahli politik tidak berjaya menggunakan wang untuk mencapai kehendak nafsu serakahnya, dia akan menggunakan kuasa yang ada untuk memperolehnya. Tidak kiralah kalau si ahli politik itu mahu menjadi Presiden UMNO ataupun sekadar Ketua Cawangan parti itu sahaja.

Akan tetapi, korupsi dan salah guna kuasa, apabila dibiarkan berleluasa akan menghancurkan UMNO juga. Para pemimpin menerima perkara ini seperti ahli-ahlinya juga. Sedangkan inilah yang ditegah oleh perlembagaan parti, kerana parti itu akan hancur-lebur seandainya para pemimpin mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa. UMNO memang sudah berpendirian betapa amalan ini adalah salah dan mengharamkannya. Namun, sudah menjadi satu kenyataan bahawa tidak ada ahli politik UMNO yang mampu memegang jawatan kalau beliau tidak bergelumang dengan amalan jijik itu. Inilah yang sudah menjadi sebahagian budaya UMNO di mana undi seseorang ahli perwakilan diperuntukkan kepada penyogok rasuah yang paling tinggi.

Jumlah sogokan yang perlu disediakan oleh seseorang calon bergantung kepada reaksi pemimpin UMNO terhadap rasuah dan salah guna kuasa. Dalam pemilihan pucuk kepimpinan UMNO kali ini, pemangku Presiden UMNO telah menyalahgunakan kuasa seseorang Perdana Menteri untuk menentukan hanya dirinya sahaja yang dicadangkan untuk jawatan itu. Salah guna kuasa beginilah yang menyebabkan orang yang digantinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu telah dipenjarakan kerana korupsi. Sejurus selesai pemilihan itu dan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah dimenangi, dua orang yang terbabit telah menyerang amalan rasuah.

Kini pesanan SMS sedang ligat berlegar dan menyerlahkan keadaan semasa: “Beri salah, tak beri kalah – pesanan Paklah”. Semasa diadakan persidangan Bahagian Taiping, para perwakilan telah disogok RM1,100 setiap seorang dalam tiga ansuran, RM300, RM300 dan RM500 untuk setiap undi. Inilah yang telah diulang-ulang di setiap bahagian UMNO di Semenanjung dan Sabah. Satu ketika dulu UMNO pernah memecat seorang Ketua Bahagian kerana membelanjakan RM6 juta untuk menjadi seorang Ketua Bahagian.

Pelbagai kisah rasuah memang merebak secara meluas selalunya daripada mulut orang yang menerima habuan demikian. Ternyata, walaupun sudah ada peraturan dan undang-undang yang mencegah amalan itu, rasuah tidak boleh dibendung lagi. Seseorang perwakilan yang menyedari nilai dirinya tetap akan menuntutnya. Dia sudah tidak kira apakah benda itu haram ataupun sebaliknya. Kalau ada orang yang mahu menghulur untuk merasuah, dia mesti bersedia menyambutnya. Kalau mereka menjadi begitu dungu kerana tidak memerlukan jaminannya, dia akan terus bersedia menadah tangan menerima sogokan yang serupa daripada orang lain yang sanggup menyogok juga. Kemudian terpulang pada budi bicaranya siapa yang harus diberikan undi itu.

Nilai satu undi daripada perwakilan untuk persidangan UMNO bulan depan ialah sekitar RM600, termasuk empat hari kos sewa hotel dan perbelanjaan lain. Seperti pada masa-masa yang lalu, setiap perwakilan memang mendapat durian runtuh menghadiri setiap persidangan UMNO. Kadar itu naik sebanyak RM100 apabila UMNO menegah amalan berkempen, kerana setiap perwakilan harus mengenali siapa calon mereka untuk diberikan undi.

Ini membawa erti bahawa pemimpin UMNO yang kerap menyerlah dan diketahui umum namanya - seperti menteri kabinet, Ketua Menteri, Exco negeri-negeri, pemimpin korperat bertaraf keparat - mempunyai keutamaan yang sedia ada berbanding mereka yang berpolitik secara dari bawah dan perlu memperkenalkan dirinya dulu. Cara terbaik untuk golongan seperti ini ialah melakukan kerja-kerja menyogok. Inilah caranya orang Melayu mahu naik pangkat dalam urusan kerjayanya dan kehidupan profesionalnya. Dia mesti rapat dengan pihak yang mempunyai kuasa politik. Kerana itu dia perlu menyerahkan jiwa dan raganya tanpa berdolak-dalik.

Cuba perhatikan mereka yang berjaya disenaraikan sebagai calon Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Puak yang menerima paling banyak pencalonan pastinya telah menggunakan kuasa kewangan dan politik mereka. Mereka yang hanya mampu melepasi syarat sahaja turut menggunakan kuasa itu. INILAH satu perbezaan asasi antara UMNO (asal) yang diharamkan oleh mahkamah dengan UMNO Hadhari ciptaan TKT Mahathir dan Paklah. Dalam UMNO asal dulu, sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk bertanding, dengan syarat dia menerima dua pencalonan.

Suasana itu telah berubah pada 1987 apabila Tengku Razaleigh Hamzah tidak menerima sebanyak pencalonan yang diterima TKT Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO, tetapi beliau kekurangan 40 undi untuk mengalahkan TKT. Satu hari nanti apabila sejarah UMNO ditulis semula dan segala peristiwa lalu dikaji dengan tenang dengan penuh kesedaran, sudah tentu akan terserlah segala tipu muslihat pemimpin UMNO ketika itu untuk menjuruskan parti itu diharamkan. Kemudian akan menyerlah kisah bagaimana satu parti UMNO yang baru ditubuhkan hanya untuk menafikan hak Tengku Razaleigh Hamzah mencabar si tua hangkoi itu.

Dengan lain perkataan, UMNO Hadhari telah ditubuhkan untuk menafikan Tengku Razaleigh Hamzah hak untuk mencabar para pemimpin parti. Seperti biasa, di negara kita yang bertuah ini, segala peraturan dan hukum-hakam digubal secara melulu, dan terburu-buru dan ada yang diubah dan dipinda mengikut nafsu untuk mengelakkan kekalahan yang datang berderu. Cara perundangan dipintal secara terburu-buru ini, maka lenyapkan segala kemurnian yang tersirat di sebalik kewujudan UMNO Hadhari. Inilah sebabnya sekarang ini Paklah tidak akan berjaya mendapatkan watikah kesahihan yang amat diperlukannya sebagai Presiden UMNO yang mutlak.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila Tengku Razaleigh yang mewakili satu golongan yang mempunyai pendapat yang berbeza dalam UMNO, hanya mampu meraih satu pencalonan, itu pun daripada bahagian pimpinannya di Gua Musang. Kerana itu, pada kali ini, Paklah terpaksa bertungkus-lumus memastikan bahawa orang-orang pilihan beliau akan dilantik sebagai Naib Presiden UMNO dan anggota Majlis Tertinggi. Ini bukannya satu laluan yang mudah.

UMNO di peringkat akar umbi sudah naik marah dengan gelagat salah guna kuasa dan unsur-korupsi dalam penentuan pencalonan Presiden UMNO dan Timbalannya, dan perihal segala putar belit yang telah dilakukan. Walaupun akar umbi bergelegak dengan kemarahan itu, tidak ada yang boleh dilakukannya, kerana kuasa membuang undi bukan berada di tangan mereka. Kuasa itu ada di tangan para perwakilan. Soalnya apakah para perwakilan akan mendengar cakap akar umbi ataupun hanya akur kepada kuasa wang dan salah guna kusa yang sudah menjadi lambang keagungan UMNO Hadhari. Sesungguhnya masa depan UMNO Hadhari terletak kepada tangan para perwakilan ini.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
07.08.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: