TAG 1660:
Kalau Anwar Boleh Kena Takkan Paklah Boleh Tidur Lena?
(If Anwar Ibrahim, could not Pak Lah?) Oleh MGG Pillai - 07.07.2004

Prinsip perundangan yang memangsakan Anwar Ibrahim sehingga terperosok dalam penjara ialah apabila kuasa yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi adalah dianggap sebagai rasuah ataupun korupsi. Makna asal korupsi yang melibatkan wang ringgit sudah tidak dipakai lagi. Mahkamah Persekutuan memperakukan prinsip ini semasa menolak rayuan Anwar terhadap tuduhan yang pertama ditanggungnya. Kemudian, mahkamah yang sama enggan mendengar tuduhan yang kedua pula. Jangan dihiraukan apa sebabnya. Cuma ia menjadi satu peringatan dan amaran kepada sesiapa sahaja yang berpangkat tingi-tinggi supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Kenapa Dato’ Seri Anwar sedang kekalutan sudah tidak relevan lagi. Walaupun dia tidak berkeadaan begitu seandainya beliau tidak melawan gurunya yang juga Perdana Menteri yang bernama Tun Kepala Taik Mahathir.

Akan tetapi, prinsip ini sudah pun sengaja diperlekeh oleh mereka yang sepatutnya gerun akan kesannya. Dato’ Seri Anwar kononnya, dianggap orang jahat; yang dikatakan memang patut menerima nasibnya begitu, sedangkan kami adalah orang kerajaan yang sedang berkuasa, dan peraturan dan prinsip ini tidak akan menjejaskan kami. Demikianlah tanggapan pihak yang sedang mencengkam kuasa. Kerana itu prinsip ini sengaja dilupa dan diabaikan apabila Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Najib Tun Razak bertegas bahawa mereka mesti menang semula jawatan yang mereka sandang tanpa ada pencabarnya. Mereka mahu menang mudah jawatan sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO pada persidangan September nanti.

Kelakuan sepasang pemimpin tertinggi UMNO itu adalah sama dengan tuduhan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim satu ketika dulu dan telah pun menghukumnya. Paklah dan Najib telah memaksa Majlis Tertinggi membuat keputusan bahawa mereka mesti menang tanpa tandingan. Majlis Tertinggi sebenarnya tidak pun berbuat satu tindakan seperti itu. Paklah dan Najib hadir pertemuan itu dan cuba mempengaruhi keadaan begitu. Malahan Najib berlagak sebagai seorang jurucakap. Dia semacam tidak sedar betapa apa yang dilakukannya adalah melanggar etika dan tatasusila parti yang menegah sebarang bentuk pujuk rayu, berkempen, bersekutu, malahan mengedarkan kad pengenalan peribadi, pengiklanan, dan sebarang kelakuan yang menggugat seseorang calon berbanding calon yang lain.

Perlembagaan UMNO mempunyai peraturan yang jelas bagaimana cara memilih seseorang calon: mereka mesti bertanding sendirian, bukan sebagai satu pasukan ataupun puak berkepentingan; setiap bahagian mencalonkan seseorang calon melalui undi rahsia; seandainya terdapat dua nama pencadang bagi seseorang calon, nama calon itu mesti tertulis di kertas undi. Paklah dan Najib berganding bahu sebagai satu pasukan meminta mereka menang tanpa bertanding, dan mereka berkempen tanpa henti. Tetapi, UMNO tidak membenarkan sesiapa berkempen dalam pemilihan jawatan parti, kerana itu termaktub dalam Kod Etika parti.

Segelintir tokoh UMNO yang tidak bersetuju dengan resolusi Majlis Tertinggi, kini berkata mereka tersilap, kerana mahukan dua tokoh itu menang tanpa ada cabaran. Mereka telah memberitahu para penyokong bahawa mereka telah dipaksa berbuat demikian. Bukan itu sahaja. Tiga minggu yang lalu, Paklah telah bertemu dengan Ketua Perhubungan UMNO negeri-negeri. Kecuali orang daripada Kelantan, yang lain semuanya adalah Menteri Besar dan Ketua Menteri. Paklah mahukan semua Ketua Perhubungan Negeri bertegas agar semua bahagian UMNO mencalonkan hanya nama beliau bagi jawatan Presiden dan nama Najib sahaja bagi jawatan Timbalan Presiden. (Raja Petra: Paklah: “Pastikan hanya nama saya yang dicalonkan”) Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob telah melaporkan betapa semua bahagian dalam negeri mereka sudah pun bersetuju tidak mencalonkan nama orang lain. Negeri yang lain dijangka mengikut begitu sebelum bahagian masing-masing menamakan calon mereka pada minggu ini.

Keadaan begini tidak pun menyekat hasrat Tengku Razaleigh untuk menjadi Presiden UMNO. Media arus perdana dan agensi berita rasmi Bernama telah menyibuk memaparkan Tengku sebagai orang lama yang tidak berguna lagi sambil mempertikai kewajaran peranan beliau dalam politik masa kini. Inilah yang membuatkan beliau lebih yakin dan menakutkan Paklah serta para jongosnya. Semakin ramai penyokong yang muncul sedangkan beliau belum pun mengumumkan pencalonannya. Sudah menjadi adat resam Melayu apabila seseorang dicadangkan untuk sesuatu jawatan, dia mesti berlemah lembut dan merendah diri dan berlagak liat menerima pencalonannya, tetapi bangkit memperakukannya apabila tidak mampu bertahan dan bersabar lagi. Memang tidak syak lagi yang Tengku akan menolaknya. Yang penting mungkin ada kena mengena dengan ketepatan masa. Tengku dijangka membuat satu pengumuman ‘penting’ di Kota Bharu dalam beberapa hari yang terdekat.

Paklah dan para juaknya sedang ketegangan urat. Beliau telah memberitahu orang-orangnya yang rapat seandainya Tengku Razaleigh menerima 60 pencalonan, yakni lebih dua pencalonan daripada yang diperlukannya, beliau akan melepaskan jawatan. Mungkin ini akan menjadi satu tipu-helah politik untuk bertarung dalam pertandingan sebagai calon yang serba kekurangan. Kumpulan media peribadi beliau, The New Straits Times, telah mengarahkan wartawan memantau aktiviti di kediaman Tengku Razaleigh di Jalan Langgak Golf untuk memastikan siapa yang keluar-masuk. Sudah tentu mereka terkejut melihatkan suasana sebenar. Daripada jumlah kereta yang terpakir di luar kediaman pada hari-hari biasa sudah cukup menakutkan kem Paklah. Kalaulah kumpulan Paklah tahu siapa yang sudah beralih selera menyebelahi Tengku Razaleigh, tentu mereka akan terkejut beruk! Yang menakutkan penasihat media Paklah ialah kalau-kalau Tengku mendapat 70 pencalonan ataupun lebih daripada itu. Mampukah beliau meraihnya? Saya pun belum tahu.

Oleh sebab tertekan menyebabkan Paklah akur bahawasanya Tengku Razaleigh boleh mencabar beliau. Sudah tentu ini memperbodohkan resolusi Majlis Tertinggi, kalaulah benar ada satu resolusi seperti itu. Kini, Paklah mesti bertegas bahawasanya resolusi Majlis Tertinggi adalah dikira batal dan tidak sah; dan semua bahagian adalah bebas untuk mencalonkan sesiapa yang mereka suka sebagai calon bagi semua jawatan, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Paklah mesti menyauk semula ketokohannya yang sudah hilang dengan menidakkan resolusi Majlis Tertinggi.

Bagaimana pula Paklah boleh terjebak dalam kemelut yang sungguh kelam-kabut? Sebenarnya beliau menerima nasihat setengah masak daripada satu kumpulan anak muda Melayu yang kononnya bijaksana dan terpelajar tetapi tidak tahu selok-belok berpolitik dan kurang ajar terhadap golongan yang sudah tua. Inilah kumpulan bangsat Melayu yang memijak kaki kumpulan loyalis dan penasihat ‘lama dan setia’ Paklah tanpa segan silu. Inilah juga kumpulan bangsat yang bertegas bahawa adat resam Melayu tidak lagi diberikan tempat untuk mempengaruhi UMNO dalam abad ke-21 ini. Inilah dia satu kesilapan besar, yang belum pernah dilihat berlaku sejak UMNO asal ditubuhkan pada 1946. Gara-gara kehaprakan ini makanya Paklah tersisih daripada kumpulan yang amat diperlukannya. Sekarang sudah timbul kesedaran yang diperakui malahan oleh kem Paklah, bahawasanya gara-gara kumpulan haprak yang ‘bijaksini’ berlagak melebihi batasan telah mencetuskan huru-hara menjadikan Paklah berdepan dengan bebanan sahaja.

Tengku Razaleigh memang liat dengan hasrat bertanding jawatan Presiden UMNO. Ada cakap-cakap jalanan yang mengatakan bahawa beliau sudah pun bersedia bertanding untuk jawatan yang lebih rendah daripada itu. Tetapi itu adalah cakap-cakap tepi jalan yang tidak ada asasnya. Hanya satu sahaja jawatan yang akan dihambatnya: sebagai Presiden UMNO ataupun tidak ada yang lain. Inilah kedudukan yang dipaksa ke atasnya setelah tersembul kesilapan di pihak Paklah satu demi satu, membuatkan para penyokong Tengku bertemu secara rahsia untuk menggalakkan beliau menentang Paklah. Apabila keadaan semakin menyerlah, beliau tidak lagi dapat gostan belakang. Dengan kata lain, Tengku Razaleigh mulakan gendang perangnya kerana Paklah membuat terlalu banyak kesilapan.

Pada dasarnya Paklah telah menyalahgunakan kuasa ala Dato’ Seri Anwar. Mampukah Paklah menang tanpa dicabar ataupun ditentang, sudah tentu menjadi tanda tanya bagi pihak yang mahukan Badan Pencegah Rasuah mengambil peranan untuk bertindak. Lagipun, seandainya tercetus cabaran, beliau sedar betapa beliau akan dilenyek menjadi lempeng. Antara gelombang manusia yang akan menentang beliau adalah muka-muka yang kini berpura-pura menyokongnya, dan kumpulan tertentu yang begitu kecil-hati kerana disisihkan. Begitu juga dengan struktur dalaman yang sedang bercelaru kerana ketakutan akan masa depan mereka seandainya Paklah tewas. Paklah sedar betapa dia akan diasak sedikit demi sedikit tetapi bertubi-tubi ke satu sudut, tidak kiralah apa juga yang akan dilakukannya.

Mungkin itulah juga sebabnya kenapa dia menyebut mahu berundur seandainya Tengku mendapat 60 pencalonan. Tindakan demikian akan menyelamatkan air mukanya daripada terus menanggung keaiban kalau-kalau selepas peristiwa itu nanti, dia akan disoal siasat dan didakwa kerana salah guna kuasa. Hakikat yang amat jelas ialah, kalau Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh kena penjara, apakah Paklah boleh terlepas untuk tidur lena?

(Artikel asal yang tidak menyiarkan dua ayat terakhir ada tersiar dalam Chiaroscuro bertarikh 7 Jun, 2004. dengan tajuk: Is Paklah the underdog in the race?)

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
08.07.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: