TAG 1613:
Igauan Politik Gara-gara Anwar Ibrahim
(The political nightmare that is Anwar Ibrahim) Oleh MGG Pillai - 25.05.2004
{Artikel asal ada di Harakah terbitan 25 Mei, 2004}


Gagasan Barisan Nasional (BN) dan parti utamanya, UMNO semakin tertekan apabila berdepan dengan perpecahan daripada dalam. Walaupun sudah berjaya menang besar dalam pilihan raya umum yang berlalu, dengan keputusan yang terbaik pencapaiannya, ia masih teraba-raba hingga mencetuskan petaka. Hasilnya ramai pemimpin yang termangu-mangu, lebih takutkan masa depan tidak menentu; berdepan igauan apakah parti komponen gagasan dapat terus bertahan. Masyarakat Melayu sudah berpecah, hilang arah, serba salah dan masih mencari seorang tokoh baru untuk memimpin bangsanya gara-gara kehilangan seorang tokoh begitu apabila UMNO memperlekehkan budaya Melayu ketika memecat Timbalan Presidennya, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Presiden UMNO ketika itu tidak ambil peduli akan kesan tindakannya kerana begitu taksub dengan tindakan yang mesti dilaksanakannya. Akan tetapi dia juga begitu taksub mahukan Anwar dihina dan diaibkan supaya beliau tidak lagi akan bangkit sebagai pemimpin menyerlah di luar UMNO. Anwar telah ditahan mengikut undang-undang zalim ISA, dilanyak dengan ganasnya oleh Ketua Polis Negara ketika itu, didakwa dan dihukum kerana tohmahan melakukan sodomi dan korupsi. Semua itu adalah usaha menentukan yang Anwar tidak mampu membela dirinya di mahkamah ungka. Dia telah dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun, segala rayuannya sengaja diperlekeh oleh mahkamah. Seperti yang dijangka rayuannya telah ditolak ke tepi, lantas mencetuskan kesangsian tentang keadilan dalam urusan pengadilan negara. Inilah yang menghambat rakyat Malaysia dengan kesedaran betapa BN dan UMNO sengaja tidak mahu membebaskan Anwar semata-mata mahu mempertahankan masa depan politik mereka.

Enam tahun sudah berlalu, para penyokong Anwar sudah pun digugat sehingga ramai yang menghilang tanpa kelibatnya. Kekosongan yang terjadi telah diambil alih oleh segelintir penyokong setia dan tukang sibuk sahaja, setiap orang mempunyai muslihat sendiri mahukan beliau bangkit untuk berada di tengah pentas perdana. Dalam dunia politik memang tidak ada unsur kesetiaan yang abadi, hanya kepentingan diri sebagai galang-ganti. Kepentingan diri merupakan penyebab kenapa Dato’ Seri Anwar tidak boleh dibiarkan bangkit semula. Kerana takutkan petaka seandainya dia perkasa semula, menyebabkan gagasan BN bersatu dengan UMNO, serta pegawai perkhidmatan awam dan ramai lagi. Mereka mempunyai matlamat mahukan beliau terus terpenjara selama 15 tahun, kerana selepas itu dia dijangka tidak lagi berbisa; untuk menggugat masa depan politik mereka.

Eloklah dirakamkan di sini, betapa BN dan UMNO masih angkuh dan bertegas bahawa Anwar tidak merupakan ancaman yang punya sebarang kekuatan. Kenapa? Satu ketika dahulu wujud kira-kira 90 laman web yang menyokong beliau dan pergerakan reformasi yang diasaskannya. Kini bilangan itu telah mengecut kepada sekitar sedozen sahaja. Beliau sudah dilupakan kerana layak dicatat oleh sejarah sahaja. Untuk memudahkan unsur putaran minda ini, kerajaan telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk memaksa para penyokong beliau menolaknya. Walaupun benar semua gejala ini, kumpulan penyokong beliau tetap wujud dan masih lagi bertaut. Inilah yang tidak mampu dijejaskan oleh Kerajaan. Namun, kerajaan bertegas bahawa Parti Keadilan National yang diasaskan oleh Anwar sudah laksana rumput di tepi jalan - hidup segan mati tak mahu. Ramai pemimpin parti itu sudah terjebak dengan masa depan politik mereka ataupun mahu terus berkempen agar Anwar dibebaskan. Ada pihak yang memang tidak nampak gunanya usaha itu semua, dan lebih rela melupakan perjuangan itu dan menghilangkan diri mereka.

Gejala demikian memang sudah lama dijangka. Tetapi, masalah yang menghantui BN dan UMNO tidak ada kena mengena dengan KeADILan mahupun para pemimpin parti itu. Yang lebih menakutkan ialah kemampuan Anwar Ibrahim mengatur satu libasan secara kawalan jauh daripada bilik penjara. Inilah yang pernah dilaksanakan oleh Anwar dengan penuh bijaksana. Beliau telah mencorakkan dirinya dengan imej yang baru, dan serangan beliau yang bertubi kali terhadap BN dan para pemimpinnya sudah mula mengena sasarannya. BN dan UMNO sudah terjebak dan para pemimpinnya terpaksa bertindak setiap kali muncul dengan tuntutan barunya. Mereka terkejut beruk semasa KPN menghayunkan pukulan maut karate yang hampir melumpuhkan Anwar. Apabila Anwar membuat permohonan agar dibenarkan pergi keluar negara untuk rawatan penyakitnya, kerajaan tidak tahu berbuat apa-apa. Sebaliknya kerajaan berdolak-dalik tanpa mahu menyatakan yang dia tidak boleh pergi, dan terus mewajarkan alasan kenapa dia tidak boleh pergi jua. Menteri Kesihatan ketika itu mengeluarkan satu jawapan yang sungguh jelas di Parlimen, yang mencetuskan satu kesan yang praktikal: bahawasanya kerajaan masih lagi takut-takut akan bayang-bayang Anwar Ibrahim. Keadaan kesihatan Anwar semakin buruk, dia perlu memakai pengekang leher, dan bergantung kepada kerusi roda, tentunya beliau menanggung kesakitan yang amat sangat. Tetapi kerajaan masih tidak boleh membenarkan beliau keluar negara untuk rawatan penyakitnya, ataupun mengizinkan pakar perubatan datang merawatnya di sini. Kalau kerajaan mengalah, bererti ia kalah untuk menonjolkan ketuanannya di kalangan masyarakat Melayu.

Kerajaan mahu mahkamah menentukan agar kisah Anwar dapat ‘diperbetulkan’ untuk selama-lamanya. Tetapi, mahkamah turut kekalutan juga, walaupun para hakim yang dilantik mengadili kes rayuan sengaja dipilih agar memenuhi hasrat kerajaan bertaraf gila. Oleh kerana keputusan dan pandangan segelintir hakim ini begitu tidak disenangi oleh rakyat marhaen, ramai daripada para halim yang terpaksa diberikan perlindungan keselamatan polis sepanjang waktu. Perlindungan polis itu bukannya disebabkan mereka telah menerima ugutan tetapi ia merupakan kesan kerajaan yang menggelabah tidak keruan. Kalaulah benar kerajaan mahu menghancurkan masa depan Anwar untuk selama-lamanya, ia sepatutnya meneruskan kes mahkamah itu tanpa henti. Tetapi bukan begitu pula keadaannya. Sambil kes rayuan Anwar didengar di mahkamah, ramai menteri kabinet dan pemimpin kanan UMNO yang sudah sedar betapa kerja-kerja mengaibkan Anwar kini sudah mencetuskan bencana kepada ketokohan mereka sendiri. Yang lebih menakutkan ialah usaha mengadakan sembahyang hajat yang menakutkan para pegawai kerajaan dan segelintir manusia yang memang pernah aktif dalam usaha menghancurkan Anwar. Dua orang hakim telah menghubungi keluarga Anwar untuk meminta ampun. Tetapi mereka tidak bersedia pergi ke Sungai Buluh dan berdepan dengan Anwar. Seorang sudah pun mati. Yang seorang lagi masih termangu-mangu seolah-olah dihambat hantu. Ada seorang pendakwa raya sudah menunjukkan kelembapan upaya untuk bertindak. Ketika berada di mahkamah semasa rayuan Anwar didengar, dia telah meminta maaf daripada Anwar.

Ini tidak pula bermakna bahawasanya Dato’ Sri Anwar Ibrahim tidak pernah berbuat salah. Dia mempunyai keyakinan apabila Tun Kepala Taik Mahathir bersara daripada jawatan Perdana Menteri, dia mempunyai peluang yang lebih cerah di mahkamah. Anwar gagal menyedari betapa dia sudah menjadi satu ikon yang mendedahkan segala ketidakadilan yang dikenakan ke atasnya. Beliau dianggap begitu berbahaya sehinggakan pihak yang berkuasa tidak berani membenarkan ikat jamin kepadanya. Beliau telah berdegil, enggan beralah, sambil mencerca sesiapa sahaja yang berkuasa yang telah menganiayainya. Beliau telah berjaya mengubah ketokohannya menjadi ikon Melayu, mangsa satu persekongkolan Melayu yang penuh dendam kesumat. Sekali gus beliau telah mendedahkan betapa ramai pemimpin Melayu dalam UMNO dan BN adalah pemimpin haprak yang tidak berguna. Inilah peranan yang satu ketika dahulu pernah dimainkan oleh Nelson Mandela selama 27 tahun beliau terpenjara sehinggakan ketokohan beliau terus membesar sepanjang masa dia. Inilah juga yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar, dengan bantuan segelintir pemimpin UMNO dan BN yang pernah disauknya secara begitu bijaksana dalam perangkapnya. Inilah dilema UMNO dan BN yang merupakan bikinan sendiri. Dulu mereka tidak memikirkan masak-masak rencana mereka, betapa pada hari ini mereka akan tumpas seandainya mereka akur kepada satu permintaan Anwar. Sebaliknya mereka akan kehilangan pengaruh seandainya mereka lupakan perkara ini.

Biarlah kita bincangkan perkara ini dengan satu contoh sahaja.

Anwar dijadual akan dibebaskan pada 14 April 2009. Itu pun kalau dia mendapat kebenaran mengurangkan hukuman setakat dua pertiga. Ini bererti pilihan raya umum mesti diadakan sebelum tarikh tersebut. Jika tidak, Anwar akan kelihatan menjelajah negara dengan kerusi roda sepanjang kempen pilihan raya itu dan ini pasti menggerunkan UMNO dan BN. Seandainya beliau tidak dibebaskan pada waktu itu, maka pilihan raya umum akan diadakan selepas tarikh itu dan kelewatan membebaskannya akan menjadi satu isu kempen pilihan raya. Ini bererti, besar kemungkinan pilihan raya umum diadakan jauh lebih awal, mungkin pada pertengahan 2008. Akan tetapi, ramai bijak pandai berpendapat, bahawa Anwar tidak lagi terdaya untuk mempengaruhi sesiapa pada ketika itu.

Bukankah menghairankan kita bagaimana BN dan UMNO sanggup menghabiskan banyak masa terhadap manusia yang dikatakan tidak berpengaruh lagi dan terus menganggap beliau sebagai bahan igauan mereka yang amat digeruni?

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
26.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN