TAG 1612:
Penderaan Pengasuh dan Pengadilan Secara Histeria
(Maid abuse and trial by hysteria) Oleh MGG Pillai - 22.05.2004

Seorang pembantu rumah warga Indonesia telah didera dan diseksa. Ini bukannya perkara baru, kerana kerja-kerja mendera dan menyeksa pengasuh dari negara asing sudah dianggap perkara biasa. Tidak ada sesiapa yang mahu ambil peduli. Kecuali segelintir manusia daripada pertubuhan amal ataupun pertubuhan bukan-Kerajaan (NGO). Kerajaan sengaja berdiam diri seolah-olah bibirnya terkunci. Semuanya bermula pada minggu lalu, apabila tersiar kisah seorang pengasuh muda Indonesia bernama Nirmala Bonat dengan kisah penderaan dan penyeksaan yang merosakkan barang tubuhnya. Kisah tragis itu mewarnai muka depan akhbar perdana Malaysia sekali gus meledakkan satu histeria seluruh negara. Menteri-menteri kerajaan dan orang lain berlumba sakan untuk menyuarakan kejutan dan keprihatinan mereka. Kumpulan NGO turut semangkuk dengan beberapa hujah untuk dijolok. Tajuk lidah pengarang akhbar dan laporan berita penyeksaan itu sengaja diperbesar-besarkan untuk mencetuskan suasana gila-gila: Peguam Negara telah menjanjikan satu pengadilan yang pantas dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman penjara selama 67 tahun. Ugutan begini adalah sebahagian daripada pengadilan secara histeria. Secara tiba-tiba sudah tidak ada keamanan lagi. Polis tidak mampu melakukan tugas mereka yang sepatutnya. Satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada 1,000 anggota polis telah ditubuhkan untuk mengawal golongan kaya-raya dan perkasa selepas berlakunya kecurian di kediaman duta-duta dan kedutaan mereka. Penubuhan pasukan ini pun adalah disebabkan tercetusnya histeria. Apakah terubat segala kelemahan itu? Tidak mungkin. Anggota polis entah pergi ke mana, sedangkan kelibat segelintir anggota polis sudah mencukupi untuk menakutkan pembuat salah. Kini polis sudah membuat keputusan betapa segelintir warga asing adalah lebih penting daripada penduduk tempatan. Keselamatan orang asing itu adalah lebih penting daripada keselamatan kita semua.

Malaysia memang sudah lama menghadapi masalah menghormati keluhuran undang-undang negara sendiri. Pengadilan kes Anwar Ibrahim dan kisah percutian Ketua Hakim Negara dengan seorang peguam kepada seorang peniaga utama menjadi topik hangat apabila Ketua Hakim Negara itu enggan menarik dirinya dalam mengadili kes yang membabitkan peniaga tersebut. Ada beratus lagi kisah seperti itu. Ia tersebar dalam pelbagai cara yang berbeza. Beberapa syarikat korporat Malaysia yang menandatangani kontrak perniagaan, lebih selesa bertegas mahu merundingkan sebarang masalah perjanjian mereka di luar negara (melalui campur tangan mahkamah asing). Sistem pengadilan negara sudah lama terhumban. Kesalahan utama harus ditujukan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Kepala Taik Mahathir, yang tidak ambil pusing akan sejarah silam, dan tidak mahu ambil kira bagaimana sistem keadilan itu beroperasi dan tidak peduli apakah kesannya kalau sistem itu tergugat. Yang lebih dipentingkannya ialah agar segala arahan beliau dipatuhi tanpa soal lagi. Dia tidak faham akan perjalanan sebuah kerajaan, kerenahnya mahupun sejarahnya. Itulah sistem yang menentukan kesinambungannya. Dalam setiap urusan, adalah menjadi tanggungjawab seseorang untuk menyesuaikan diri kepada sesuatu sistem dan bukannya merobah sistem itu untuk menyesuaikan kerenahnya. Kalaulah sistem itu mesti ditukar ganti, mesti disediakan terlebih dahulu apakah alternatifnya; seperti yang dilaksanakan oleh People’s Action Party (PAP) di Singapura. Inilah yang tidak dilakukan di Malaysia. Begitu juga halnya oleh Amerika di Iraq.

Justeru, setiap kali muncul sesuatu masalah, ia cuba diselesaikan dengan apa cara juga, dan bukan dengan membetulkan dasar seandainya berlaku kepincangan yang mencetuskan masalah itu. Memang ada alasan berbuat begitu. Siapa pun tidak tahu apakah dasar sesuatu perkara itu. Para menteri dan pegawai perkhidmatan awam sudah lama angkat tangan, mengalah. Apabila muncul isu kemalangan lalu lintas, ataupun pengasuh Indonesia yang didera, ataupun kes rogol dalam kem Latihan Khidmat Negara, reaksi yang muncul adalah sama sahaja: ia muncul dalam bentuk yang dicerna, sengaja direka dan dibiarkan histeria-massa yang dikawal gerakannya. Keributan yang muncul adalah laksana putaran gelojak kandungan cawan teh yang mudah surut dengan pantas, selalunya tanpa ada penyelesaiannya. Demikianlah kisah yang menyangkuti Nirmala Bonat. Akan tetapi histeria yang meledak daripada kes itu sengaja diperpanjangkan kerana tujuan tertentu: ia menjadi modal besar menunggu ketibaan pemilihan pucuk kepimpinan UMNO. Inilah peluang para pemegang jawatan dalam UMNO dan yang mahukan jawatan dalam kerajaan memberitahu para pengikutnya betapa mereka amat prihatin terhadap perkara semacam ini dan sekali gus para pengundi mereka harus ingat peranan mereka pada hari mengundi nanti. Perdana Menteri telah menunjukkan perhatian berat, dan begitulah juga dengan setiap anggota kabinet beliau. Hukum undang-undang diberikan penekanannya. Ada menteri yang mengugut mahu mengkaji pula undang-undang mengenai pengambilan pengasuh daripada negara asing. Satu ketika dahulu itulah jadinya dalam hal rogol. Ketika histeria menjelma, satu atau dua penangkapan yang dibuat adalah sebagai contoh sahaja dengan hukuman selama dua hingga lebih tempoh hukuman penjara sepanjang hayat. Orang sudah tidak banyak bercakap perihal rogol sekarang ini, walaupun perbuatan itu masih berterusan dan menggila. Jadi dalam kes yang ini, hukuman minimum yang dijanjikan ialah tiga kali hukuman penjara seumur hidup.

Kini segala hukuman sudah dihalakan ke arah wanita yang didakwa menyeksa pengasuh yang dimangsakannya. Saya memang tidak boleh maafkan perbuatan gila perempuan ini. Dia memang telah melakukan kerja yang salah. Dia harus diadili dan dikenakan hukuman yang boleh dijadikan satu contoh-teladan. Akan tetapi dia tidak seharusnya menjadi bahan histeria massa seperti yang berlaku sekarang. Keadilan yang terbaik dapat dilaksanakan dengan baik kalau ia dianggap sebagai perkara harian sahaja, dan dijatuhkan hukuman tanpa gembar-gembur dan histeria. Peguam Negara, Gani Patail tidak ada hak untuk membuat komen terhadap kes itu seperti yang tersiar di akhbar (21 Mei, 2004). “Saya mahu melihat keadilan dilaksanakan. Kita akan meminta hukuman yang paling maksimum, dan sudah tentu hukuman itu akan dijatuhkan secara berurutan,” kata beliau. Tidak ada ikat jamin dalam hal ini. Seorang Pendakwa Raya Kanan sudah pun ditentukan. Kalaulah begitu cara Jabatan Peguam Negara mahu mengendalikan urusannya, kita tidak boleh kata apa-apa. Tetapi, apabila dia sebut apa yang menjadi niat dan hasratnya, dia telah mengenakan tekanan ke atas hakim Mahkamah Sesyen, seolah-olah memberikan satu amaran lembut seandainya beliau tidak menjatuhkan hukuman maksimum, dia boleh ucapkan selamat jalan kepada masa depannya dalam bidang kehakiman negara. Kalau benar Peguam Negara berhasrat mahukan keadilan, sepatutnya dia menjalankan peranannya tanpa publisiti murahan dan histeria.

Oleh kerana sistem kehakiman sudah begitu korup, khususnya di kalangan pemegang jawatan yang tinggi-tinggi, sikap berdiam membisu tidak menjadi satu pilihan lagi. Apabila tetuan politik membuat keputusan akan cara penghukumannya, orang di bawah tidak terkata apa-apa selain akur sahaja. Demikianlah caranya bagaimana keputusan politik digunakan untuk memusnahkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pihak kehakiman telah bersetuju. Ketua Hakim ketika itu telah membuat keputusan yang dia tidak dapat menepis kehendak tuan besar politiknya. Lebih-lebih lagi apabila dia baru sahaja selesai mempengerusikan satu majlis yang menghumban orang yang mengetuainya dahulu, dan sekali gus tindakannya menjadikan sistem keadilan negara sebagai hamba abdi kepada ketua eksekutif politik sahaja. Dalam kes Anwar, pihak penghakiman mempunyai terlalu banyak alasan yang direka cipta kenapa ia tidak boleh diharap menghakimi kes itu mengikut meritnya. Apabila Ketua Hakim Negara (Tun Salleh Abas) dan Timbalan Ketua Eksekutif negara boleh dihina untuk diaibkan, apakah lagi harapan untuk rakyat marhaen? Dengan tercetusnya histeria massa ini, wanita yang dituduh tidak akan merasa satu pengadilan yang benar-benar adil. Memang tidak ada sebarang laporan mengatakan yang beliau tidak patut dilayan semacam itu.

Histeria massa begini memang sengaja direka cipta untuk tujuan politik semata-mata. Inilah ciptaan yang direka oleh parti politik yang mahukan keuntungan sampingan daripadanya. Pada masa lampau, pihak media sudah pasti kena panggil oleh Peguam Negara. Beliau pasti mengeluarkan amaran agar akhbar menghentikan komen semacam itu. Tetapi masa kini beliau turut tumpang sekaki untuk berceloteh dalam isu begini. Adalah menjadi satu tanggapan ramai bahawa orang yang mendera Nirmala Bonat akan dipenjara dan dihukum dengan dahsyatnya. Apakah ini akan membetulkan keadilan? Tidak. Apakah ia dapat mencegah pengasuh lain semacam Nirmala Bonat daripada menjalani pengalaman pahit begitu? Tidak. Apakah Malaysia akan disebut-sebut kerana reputasi sistem penghakiman yang unggul? Tidak. Apabila pengadilan menjadi amalan suka-suka hati sahaja, ia mengembara sesuatu yang tidak wujud lagi dan bukan kerana ia menikmatinya. Ketua Hakim Negara sepatutnya sudah masuk campur untuk menghentikan histeria ini. Dia tidak pun bertindak begitu. Menteri Kehakiman sepatutnya sudah masuk campur. Dia pun tidak berbuat begitu. Akan tetapi apabila Perdana Menteri mula menyibuk dalam hal ini, apakah yang anda harapkan daripada mereka semua?

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
25.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN