TAG 1610:
Ketahanan Rakyat Jelata
(The will of the people) Oleh MGG Pillai - 20.05.2004
Orang politik di merata dunia melihat demokrasi sebagai satu idealisme, tetapi tidak pula pilihan raya umum yang bercelaru dan mencetuskan banyak kejutan. Tidak kiralah dari mana datangnya mereka; Amerika Syarikat, United Kingdom, Iraq, Iran, Soviet Union, Malaysia, Singapura, Zimbabwe ataupun India. Mereka mencanangkan slogan yang sama dan kepercayaan politik yang serupa, serta memutarbelitkan kata dan hukum-hakam agar melentuk kepada kepentingan mereka. Namun, mereka akan merungut dan mendengus kalau keputusan Pilihan Raya Umum itu tidak memenuhi kehendak yang diingini.
Tidak banyak negara di dunia ini yang percaya kepada amalan demokrasi dan pilihan raya yang bebas. Ia menjadi lebih sulit dalam zaman globalisasi ini, yang mengizinkan serta menerima hakikat betapa dunia ini mesti ditonjolkan laksana satu perkampungan Hollywood, di mana segala budaya tradisi dan kepercayaannya perlu dihumban jauh seandainya ia menjadi batu penghalang. Pemikiran takrif demokrasi itu mesti diubahsuai agar serasi dengan perkampungan Hollywood, yang merupakan satu penjajahan budaya yang belum pernah dilihat di mana-mana, sebelum ini.
Satu ketika dahulu, demokrasi fahaman begini dibenarkan menyubur dan membangun dalam ruang lingkup nilai budaya sesuatu masyarakat. Yang diperolehi ialah satu sistem yang tidak sesuai dengan sesuatu ide sedangkan itulah ide yang dipercayai oleh rakyat jelata. Keadaan demikian tidak wujud kini, kerana bingkai demokrasi sedemikian sudah dicabar oleh suara sumbang daripada rangkaian TV global yang terus memantau sebarang anjakan norma itu, sambil mengkritiknya selalu untuk mencetuskan satu hasil yang tidak akan diterima-pakai lagi.
Apabila diteliti perkara ini, kita dapati betapa pemilihan Presiden Zimbabwe dan Amerika Syarikat yang menaikkan Presiden Robert Mugabe dan Bush adalah peristiwa yang memang banyak kesalahannya. Mereka berdua tidak sepatutnya berada di jawatan sekarang. Namun, gara-gara tipu-helah globalisasi, Presiden Bush menang tanpa banyak soal, sedangkan bukan begitu pula yang menyambut kemenangan Presiden Mugabe. Washington yang bertegas bahawa pilihan raya adalah ubat mujarab kepada kekalahan sistem mempunyai tanggapan kalau rakyat turun mengundi, bererti segalanya berkeadaan baik belaka. Yang perlu ditunjukkan sebagai menyokong tanggapan itu ialah menyenaraikan beberapa negara dan wilayah yang tidak mampu bernafas lega tanpa bantuan Barat di mana bahaya terbesar yang mengancam ialah pemusnahan sistem segala nilai budayanya.
Islam Sebagai Musuh
Keadaan demikian menjadi lebih buruk lagi dalam suasana peperangan mengganyang keganasan yang merebak merata dunia, di mana Islam adalah seterunya. Sebaliknya kita diberitahu secara bertalu-talu melalui TV global yang sudah menjadi ketaksuban kita bahawasanya Islam bukanlah musuhnya. Begitu juga dengan umat Islam. Tentu orang faham, memang ada umat Islam yang baik dan yang tidak baik. Akan tetapi umat Islam tidak senang hati dengan definisi ini yang dikuatkuasakan oleh prinsip Judae-Kristian secara rawak ke atas mereka dan oleh golongan Orientalis yang bertegas agar dunia hanya menerima Islam dan menyenangi umatnya mengikut tafsiran mereka yang sempit itu. Yang dimaksudkan oleh definisi ini ialah: seandainya dunia Islam mencabar keperkasaan tamadun Judae-Kristian, seperti yang dilakukan oleh Osama bin Laden, maka Islam yang harus bersalah. Seandainya seorang yang beragama Islam memenggal kepala seorang warga Amerika, ini harus dianggap sebagai bukti sahih terhadap kemunduran Islam. Akan tetapi seandainya seorang askar Judae Kristian menjerut seorang banduan Iraq dengan tali jerutan ataupun memaksa sekumpulan banduan itu melakukan gerak-geri seksual di luar tabii, kesalahan mesti diarahkan kepada askar individu yang terlibat, bukan kepada tamadun anutannya.
Semua ini mengelirukan sesebuah negara yang dipaksa akur kepada prinsip-prinsip tamadun orang asing, sehinggakan ia dipaksa meminggir prinsip tamadun dan budayanya untuk memberi ruang kepada ide asing itu. Memang bukan mudah memaksa perubahan demikian, tetapi tujuan sebenarnya ialah mencetuskan kecelaruan. Semasa kelam-kabut beginilah mereka dipaksa menukar cara hidup mereka kepada sesuatu yang amat samar hala tujunya. Perkara demikian hanya boleh terjadi kalau sesebuah negara itu terjebak kepada budaya TV global di mana segala kesangsian dan prinsip asal mereka dibasuh dengan perbualan yang tidak bermakna dan muzik yang dimainkan di TV sepanjang 24 jam setiap hari.
Malaysia sudah terjebak dengan keributan ini. Bilangan mereka yang menjadi penagih program TV begini semakin bertambah setiap hari. Di Malaysia perbualan kosong mengenai kisah drama murahan, ataupun buruk-baik jenis-jenis muzik yang dimainkan, selalunya dianggap sebagai debat ilmuwan yang penuh kebijaksanaan. Apabila Pilihan Raya Umum datang menjelang, dan parti pemerintah mendapati rakyat jelata dan akar umbinya tidak menyenangi cara pakaian yang terdedah serta melambaknya pameran seksual yang terbuka, parti itu mengeluarkan ugutan mahu menapis program ataupun mengambil tindakan mahu menarik balik program sedemikian sebagai langkah tidak mahu menyentuh budaya sendiri yang tidak menyenanginya.
Hakikat yang sebenar ialah mereka tidak boleh melakukannya. Sebarang usaha untuk menapis program itu akan mencetuskan libasannya di kawasan bandar dan ini boleh membawa padah semasa pilihan raya nanti. Segala kata laluan dalam senjata cengkaman globalisasi mudah ditonjolkan sebagai kebenaran: tidak perlu tapisan, kebebasan dalam setiap segi kehidupan tanpa kawalan, hak individu berbuat sesuka hatinya, mengetepikan kerajaan daripada kehidupan mereka, dan apa juga falsafah hidup yang tidak menentu fikirannya. Apabila muncul tahap ini maka segala usaha sudah hilang arahnya. Kerajaan sedar betapa ia tidak lagi mampu gostan ke belakang. Ia telah membiarkan dirinya terpinggir dalam debat globalisasi ini, dan kini tertekan kepada satu peranan untuk memusnahkan industri tempatan agar syarikat besar global boleh meraih keuntungannya.
Apabila menyedari cengkamkannya semakin terhakis, kerajaan bertindak laksana seorang diktator semata-mata mahu membuktikan yang ia masih berkuasa. Langkah pertama ialah menentukan pemilihan sistem kediktatoran itu. Semakin terhakisnya kawalan terhadap rakyat jelata, memerlukan undang-undang yang lebih keras dan menjadikan rakyat semakin sukar menyuarakan pendapat mereka. Peraturan dan hukum-hakam digubal untuk menyulitkan Pembangkang mendapat kemenangan. Pihak Pembangkang dimomokkan. Di Malaysia, kebenaran tidak menjadi persoalan lagi, persis kes yang melibatkan Osama bin Laden. Persepsi awam yang diperkukuh oleh propaganda TV global yang menuduh Osama Bin Laden bertanggungjawab dengan segala kerja gila, mudah dipercayai di negara ini.
Mampukah sesiapa menyanggah trend ini? Boleh, tetapi ini bukannya kerja mudah. Televisyen ialah satu kotak dungu. Kita tidak perlu bertungkus lumus duduk di hadapannya untuk menonton apa juga rangkaian program yang bertaraf haprak itu. Tidak perlu berfikir ataupun melakukan latihan pergerakan minda. Apabila semua pihak bersetuju betapa masyarakat yang ideal itu berada di California, sudah tentu tidak perlu berbalah-balah lagi. Golongan yang persis Osama bin Laden di dunia ini sudah menentukannya. Seandainya PAS dianggap oleh golongan tertentu perlu dimomokkan dan dikaitkan dengan Osama bin Laden, bererti ia terpaksa menanggung nasibnya walaupun lebih dahsyat daripada itu. Untuk menentukan kejayaan pandangan ini, negara ini mesti dihubungkan kepada rangkaian global. Jika tidak, masalah akan meledak lagi.
Bill Gate vs. Air
Hari ini Iraq dihantui malapetaka kerana terlalu lama hidup terkongkong dengan ketat, laksana semua masyarakat Arab yang lain, di mana pandangan hidup Judae Kristian tidak diberi tempat. Semasa Amerika Syarikat menyerang dan menakluki Iraq, ia sebenarnya menyediakan satu resipi kemusnahan yang terbukti kebenarannya. Salah satu tindakan pertama pentadbiran Amerika ialah menentukan wujudnya rangkaian TV global yang disalut dengan kod penapisan seperti ini. Begitu juga di Afghanistan dan di Pakistan. Presiden Musharraf telah membuat janji kepada Washington untuk menyerahkan kumpulan ekstrem Islam dengan mudah sahaja. Itu sahaja yang termampu dibuatnya. Negara itu tidak pun ada hubungan TV global untuk menjalani proses melembut yang tidak dapat dielakkan.
Di India, kerajaan telah mengangkat konsep globalisasi ini secara menyeluruh sehingga mengabaikan kawasan luar bandar. Semasa kerajaan Vajpayee memerintah, Bill Gates dianggap lebih penting daripada kemudahan air bersih untuk rakyat jelata. Enron telah diberikan kuasa mengagihkan tenaga elektrik di Mumbai, menyebabkan harga tinggi dan semakin ramai rakyat terpaksa merana serta diabaikan sahaja. Apabila Enron kecundang, laporan di India menyatakan perkara itu sebagai satu peluang yang hilang dan bukannya kisah korporat global yang rakus yang lebih mementingkan keuntungan daripada memberikan khidmat kepada rakyat seperti yang dipersetujui dalam kontrak kerja.
Para pengundi yang merasa tersisih dan diabaikan, hidup tanpa kemudahan TV global, terpaksa hidup mengikut rentak budaya sendiri sambil berusaha sedaya upaya untuk menghumban penyangak yang menghimpit hidup mereka. Laungan propaganda yang dipancar daripada pusat pentadbiran negara tidak memikirkan perkara ini kerana terlalu memikirkan keuntungan India kalau menyertai empayar globalisasi. Bursa saham telah jatuh merudum kerana takutkan tindakan kerajaan baru yang mementingkan kesejahteraan rakyat jelata, dan apa akan jadi kepada korporat global di India di bawah kerajaan yang baru. Inilah kesan pengaruh TV global yang menjadi penyedar penduduk bandar raya tetapi begitu asing kepada rakyat marhaen di luar bandar. Kalau mereka masih tidak mampu mendapatkan bekalan elektrik, bagaimana pula untuk mendapatkan khidmat TV global. Tanggapan sebegini memberi kepentingan kepada penentuan agar penghawa dingin di metropolis bergerak secara lebih berkesan berbanding masalah penduduk kampung yang tidak menikmati bekalan elektrik ataupun mendapat kemudahan hidup yang lebih selesa.
Kalaulah keseluruhan India mempunyai rangkaian global dan tidak terhad kepada bandar besar dan kota raya sahaja, keputusan Pilihan Raya Umum mungkin sudah jadi lebih berbeza. Daripada satu sudut, ketahanan rakyat jelata tentu telah dapat didengar lebih berkesan lagi di luar ruang lingkup globalisasi. Demikian juga nanti di negara lain di mana rakyat jelata mampu berdikari dan tidak sanggup lagi menjadi pembelah kayu api dan pembawa air tanpa hak kepada kedua-duanya.
MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
23.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
![]()