TAG 1608:
Apa Jadi Kepada Orang Muda Yang Tergesa-Gesa Dalam UMNO
(What happens to young men in a hurry in UMNO) Oleh MGG Pillai - 21.05.2004

UMNO, yang merupakan satu parti politik yang terpenting dalam gagasan Barisan Nasional, tidak berapa suka dengan orang muda yang bersikap pelahap dan terburu-buru dalam urusan partinya. Tidak kiralah sama ada orang itu adalah seorang anak emas kepada Perdana Menteri, seperti mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ataupun menantu kepada Perdana Menteri, seperti insan bernama Khairy Jamaluddin. Hanya masa yang menentukan ketikanya bila keseluruhan parti bergabung untuk mengenyahkan mereka. Pada 1976 dulu, memang terjadi kisah seorang anak muda yang tiba-tiba muncul secara tergesa-gesa sejurus kematian Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Ketika itu, anak lelaki beliau, Najib, yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, telah ditonjolkan ke depan untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen di Pekan. Inilah peristiwa yang hampir mencetuskan suasana huru-hara dalam UMNO. Lantas dicipta satu peraturan baru secara terburu-buru. Sejak itu setiap ahli UMNO mesti berkhidmat sebagai seorang perantis selama lima tahun dulu sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya, baik kerusi ADUN mahupun Parlimen. UMNO sebenarnya sudah lama mereput, khususnya selepas pucuk kepimpinan digugat sehingga meledaknya peristiwa berdarah 13 Mei, yang telah meminggirkan segala parti politik yang lain. Pucuk kepimpinan tidak mahu mereka dicabar dan telah mencipta pelbagai peraturan baru untuk mengekalkannya. Inilah yang diperkasakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed. Para pemimpin telah diberitahu agar menunggu giliran mereka, persis hukum-hakam Buggin’s Turn (lantikan berasaskan kekananan bukan berasaskan meritokrasi). Sesiapa yang cuba memintas gilirannya mesti sanggup menghadapi risikonya, betapa pun pahit rasanya. Cemuhan kritik yang paling pedas terhadap Dato’ Seri Anwar ialah beliau merupakan seorang muda yang tidak sabar dan tergesa-gesa sahaja, sedangkan UMNO tidak selesa dengan kerenah itu.

Terlalu banyak persamaan antara Anwar yang sudah pun ditohmah sebagai seorang penjenayah biasa oleh putar-belit penguat kuasa yang pintar dalam mainan menghapuskan musuh politiknya, dengan Khairy yang menganggap dirinya seorang yang bijaksana, pintar, dan lebih perkasa serta lebih berpengaruh berbanding orang lain dalam UMNO. Anwar tumpas apabila si Perdana Menteri sendiri menganggap beliau terlalu berbahaya pada masa depannya. Sudah tentu Khairy akan tumbang juga gara-gara alasan yang sama. Adalah tidak menjadi satu kejutan apabila Khairy yang selama lima tahun yang lalu naik mencanak laksana peluru tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan selain talian perkahwinan. Dalam dua kisah ini, kedua-dua Perdana Menteri memang menanggung malu. Apabila dipantau sejarah kenaikan kerjaya mereka berdua, memang tidak dapat dinafikan betapa mereka tidak dapat mengelak bencana yang pasti datang bertandang. Mereka mempunyai kumpulan tukang karut yang sungguh hebat dan tidak mudah senang dengan kata-kata orang yang mengkritik mereka. Semua akhbar Perdana kerap melonjakkan puji-pujian terhadap mereka, sampai mengetepikan penentangan yang semakin membara, dan menghenyak sesiapa yang mengeluarkan kata nista. Dato’ Seri Anwar naik mencanak pada 1981, setelah muncul satu dongengan yang dia telah menjadi ahli UMNO sebelum dia menjadi pengkritik parti ketika di Universiti pada 1970-an. Selepas itu dia terus menghadapi cabaran semakin ramai musuh politik dan akhirnya berdepan dengan bencana. Khairy tidak pandai menyungkup nafsu besarnya, seperti Anwar Ibrahim, sambil terus mengumpul pangkat dan kedudukan laksana seekor anjing yang mengumpul kutu di badan. Namun, masih wujud perbezaan dalam kerjaya mereka. Dato’ Seri Anwar mempunyai satu golongan pengikut yang setia walaupun sudah tumbang dan kecundang. Tetapi Khairy tidak mempunyai apa-apa.

Mereka berdua memang tidak senang dengan hukum-hakam menunggu giliran dalam parti. Dato’ Seri Anwar melanggar hukum itu dan berjaya naik melonjak ke atas. Inilah yang membuatkan hierarki UMNO naik melenting dan menggerakkan satu pasukan anti-Anwar sejurus beliau naik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Khairy bergerak tanpa golongan penyokong setia kerana ingin menubuhkannya apabila sudah berada di atas. Kumpulan tukang karut beliau menonjolkan puji-puja yang jauh berbeza daripada hakikatnya sambil berusaha mewarnai ketokohannya sebagai calon terbaik untuk Majlis Tertinggi Pemuda UMNO yang dianggap sudah tidak berguna dan bermaya. Sekarang sudah ada kesedaran di kalangan penentang Anwar betapa beliau merupakan insan yang berjaya menyelamatkan Mahathir daripada kecundang di tangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada 1987 dulu. Akan tetapi, kesetiaan kepada seseorang pemimpin tidak membawa sebarang makna apabila akar umbi parti bersekongkolan dan si pemimpin menjadi kecut terhadap Timbalannya. Dalam kisah Khairy pula, bapa mertua beliau masih belum menjadi Presiden UMNO yang sah. Golongan yang menentang beliau mengungkit kisah budaya nepotisme dan melonjaknya Khairy naik ke atas begitu pantas. Khairy telah memijak terlalu banyak tumit orang lain, dan bapa mertuanya terpaksa bertindak untuk menyelamatkan kedudukannya sendiri. Kemelut mereka bermula semasa Pilihan Raya Umum Mac lalu. Sepatutnya beliau bertanding kerusi Parlimen di Rembau, tetapi UMNO Negeri Sembilan telah membantah. Khairy telah melepaskan jawatan istimewa, Khas Untuk Penyandang (KUP) dalam Perkhidmatan Awam yang direkacipta khusus untuknya dengan pangkat Staf III. Tujuan pengunduran itu untuk menjadi Ketua Pegawai Operasi Khazanah Holdings. Berita naik-pangkat itu telah dibocorkan oleh pejabatnya sendiri, kononnya. Kini, ternyata bahawa dia terlepas peluang mengepalai empayar perniagaan bernilai RM150 bilion itu, yang berada di bawah telunjuk bapa mertuanya selaku seorang Menteri Kewangan. Khairy juga tidak akan bertanding jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO semasa pemilihan bulan September nanti. Beliau telah membuat keputusan tidak akan bertanding, kerana tidak ada pilihan lain lagi.

Saya percaya Dato’ Seri Anwar bersikap betul dalam usaha mahu melakukan perubahan kepada UMNO agar menjadi satu tenaga politik yang perkasa. Begitu juga, saya percaya bahawa Khairy seharusnya dibiarkan menguji dirinya dalam politik. Jangan dihiraukan sangat siapa yang menyokong ataupun melindungi mereka. Akan tetapi itu bukannya cara UIMNO mereput menangani kerenah orang baru. Semasa Majlis Tertinggi (MT) UMNO membincangkan kisah cabaran kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, sekali gus ia telah melumpuhkan niat Khairy mahu mencabar jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO. Betapa pun kita menilai kes ini, bukan ada sesiapa yang menjadi Presiden UMNO sekarang ini. Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi, hanya merupakan pemangku Presiden. Secara hakiki, dia adalah Timbalan Presiden. Dato’ Seri Najib Tun Razak ialah pemangku Timbalan Presiden. Majlis Tertinggi UMNO mahukan Paklah dan Najib dilantik tanpa cabaran sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Kalaulah kehendak MT Umno itu diterima pakai secara seriusnya, ia membawa makna bahawa jawatan Presiden UMNO masih kosong sedangkan jawatan Timbalan Presiden sudah pun diisi. Perkara inilah yang membuatkan parti berpecah-belah. Keadaan semakin bercelaru selepas kemenangan besar Pilihan Raya Umum Mac dulu. Paklah sudah sedar daripada igauannya betapa dia mesti mengekalkan kabinet lama dan menambah lagi beberapa kayu reput pilihan dirinya. Jika tidak, akan terbentuk satu kumpulan anti-Paklah. Sebenarnya kumpulan semacam itu sudah pun terbentuk dan Khairy adalah mangsa pertamanya. Sebagai kiasan, demikianlah yang terjadi dalam kes Anwar dulu, betapa ketidaksabaran dan kehampaan muncul daripada sifat kebijaksanaan, dan keyakinan bahawa ini sahaja sudah mencukupi untuk melonjakkan mereka naik mencanak ke jawatan yang lebih tingi. Dato’ Seri Anwar sudah pun sedar betapa sukarnya laluan itu walaupun sudah memiliki satu barisan penyokong setia dan tukang karutnya. Inilah yang tidak ada pada Khairy. Mereka berdua sudah terlupa bahawasanya politik itu adalah hasil seni serba kemungkinan. Mereka berdua yang menanggung musibahnya.

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
22.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN