TAG 1607:
Segelintir Graduan Melayu Lulusan Oxbridge Memeras-Ugut Paklah
(A small band of detribalised Malay Oxbridge graduates holds Pak Lah to ransom) Oleh MGG Pillai - 18.05.2004

MEMANG TIDAK SYAK LAGI: Insan yang baru berusia 28 tahun dan diakui terlalu perkasa ialah seorang lulusan Oxbridge (Universiti Oxford dan Universiti Cambridge – M@R) yang bijak menelah sehingga menjadi menantu kepada seorang Perdana Menteri. Demikianlah kisahnya sehingga muncul keangkuhan dan keyakinan yang berlebihan bahawa dia adalah utusan Allah kepada Malaysia, dan kerana itu rakyat negara ini mesti bersyukur selalu, menyebabkan beliau terlupa daratan jadinya. Memang tidak dinafikan yang dia memang bijaksana, mempunyai ikatan pengaruh yang perkasa, membuatkan dia berani menggegar hierarki UMNO dan perkhidmatan awam, sehinggakan segala cakapnya mesti dianggap muktamad di Pejabat Perdana Menteri. Namun dia sebenarnya masih budak mentah lagi, tidak jauh bezanya daripada askar Amerika, Lyndie England yang berusia 21 tahun dan mengepalai kerja-kerja penderaan banduan Iraq yang dibogelkan di penjara Abu Ghraib. Beliau telah menyakitkan hati terlalu banyak insan dalam usahanya untuk mengejar masa mencapai matlamatnya. Demikianlah yang didedahkannya kepada kakitangan NTV7 sebelum mereka menemubual beliau secara rasminya. Beliau berhasrat menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri sebelum mencapai usia 40 dan menjadi Perdana Menteri lapan tahun kemudiannya. Patut jugalah dia berdepan dengan begitu banyak musuh dan seteru laksana anjing yang bergelumang dengan lalat yang menghurungnya. Beliau menyalahgunakan kuasa, di mana dia suka menambah jumlah seteru kepada bapa mertuanya. Untuk mengendurkan keadaan, Paklah telah membuat ketetapan sesiapa yang mahu bertemunya harus berbuat demikian melalui seorang pegawai kanan kerajaan di pejabatnya.

Siapakah dia insan muda yang secara tidak sedar telah memerangkap dirinya sendiri? Dia mempunyai satu cara hidup yang sungguh gemilang. Tetapi kisah sebenar bukanlah seperti yang kita ketahui. Akhbar The New Straits Times yang begitu lama merupakan lidah propaganda Presiden UMNO, tetapi tidaklah sampai menjadi seorang jurutrengkas kepada Paklah, telah menyenaraikan pencapaian pemuda ini dalam edisinya bertarikh 16 Mei 2004. Dia disebut sebagai seorang pakar ekonomi (tidak benar: kerana dia hanya mempunyai ijazah ekonomi tidak semestinya seorang pakar ekonomi): dia disebut mempunyai kepakaran seorang wartawan (tidak benar); pakar menyelesaikan masalah Melayu-Cina (tidak benar). Dia menganggotai Majlis Tertinggi Pemuda UMNO (dilantik, bukan dipilih – tetapi Pemuda UMNO sedar kenapa mereka terpaksa berlembut begitu). Sepatutnya dia bertanding kerusi parlimen Jelebu dalam Pilihan Raya Umum yang terbaru, tetapi Paklah tidak mahu memilihnya kerana memikirkan dia masih muda lagi (tidak benar, kerana UMNO negeri telah membantah dengan tegasnya dan Paklah bertindak akur setelah memikirkan perkara itu). Akhbar itu cuba mempertahankan anak muda ini kerana apa juga yang disentuhnya menjadi masalah yang turut menghantui bapa mertuanya. Memang benar perkara ini, tetapi ia tidak dapat dipertahankan kerana segala maklumat itu memang tidak kena pada tempatnya dan boleh dianggap sebagai tidak ikhlas. Apa yang telah dipengapkan ialah kisah bagaimana anak muda ini naik melonjak secara mendadak. Dalam masa lima tahun dia telah bergerak ke atas daripada seorang Pembantu Khas Timbalan Perdana Menteri, terus menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri, kemudian menanggung jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit dalam perkhidmatan awam dengan pangkat Staf III. Ini merupakan satu pangkat yang amat kecil bilangan penyandangnya.

Beliau memang dijangka naik tinggi lagi. Setelah melepaskan jawatan perkhidmatan awam yang memberikan gaji bulanan sekitar RM20,000 dia dijangka akan menjadi Ketua Pegawai Operasi (Chief Operating Officer) Khazanah Holdings, yang mempunyai aset sebanyak RM150 billion. NST membuat tohmah bahawa ada kumpulan yang cemburu yang tidak mahu beliau memegang jawatan itu. Sebenarnya ada satu kempen senyap-senyap di kalangan warga perkhidmatan awam dan pucuk kepimpinan UMNO. Jika demikian kenapa dia melepaskan jawatan lumayan gara-gara mengidamkan satu jawatan yang belum tentu akan diberikan kepadanya? Apakah ada kaitannya dengan kisah seorang menteri kabinet dan seorang timbalan menteri yang bertemu Paklah dengan pesanan yang dia tidak mampu abaikan? Ataupun apakah kerana dia telah mula meruntuhkan tapak pengaruh politik Paklah? Saya lebih setuju bahawa Khairy Jamaluddin tidak jadi memegang jawatan di Khazanah Holdings bukan disebabkan laporan yang tersiar di Asian Wall Street Journal, tetapi kerana ada kempen yang mahu beliau sedar siapakah dirinya yang sebenar. Seorang penama telah disebut untuk mengepalai Khazanah Holdings. Tetapi beliau mempunyai pendapat berbeza kalau Khairy menjadi ‘Chief Operating Officer’. Artikel NST itu merupakan satu usaha untuk menyelamatkan maruah menantu Paklah. Tapi ia tidak berjaya. Namun dia masih mempunyai banyak peluang lagi. Kini dia mahu menjadi Ketua Pemuda UMNO. Itu pun ternyata semakin menyulitkannya. Apabila hasrat beliau itu diketahui umum, maka tersiar pelbagai sindiran betapa Pemuda UMNO memilih ketuanya mengikut tradisi lama yang diwarisinya. Ini bermakna sesiapa yang masih muda lagi harus belajar bersabar sehingga tumbuh semua giginya. Dia memerlukan sekutu untuk bersaing sama, tapi tidak ramai yang mahu bersekongkol dengannya. Kemudian dia cuba untuk sama-sama berpadu dengan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo, tetapi itu pun memungkinkan dua bentuk bahayanya. Dengan lain perkataan dia terpaksa bersendirian juga.

Bagaimana pula dia boleh bergelumang dengan segala masalah ini? Memang ada segelintir graduan Oxbridge yang berkhidmat kepada beberapa menteri kabinet. Mereka ini beranggapan bahawa mereka adalah golongan yang bijaksana, yang mesti menyusun semula Malaysia kerana ahli politik dan pegawai kerajaan yang sudah hilang bisanya. Ketua kumpulan ini bernama Omar Mustafa. Beliau bertugas sebagai Pembantu Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Ketika dilantik dia telah mendesak agar pejabatnya diletakkan bersebelahan pejabat menterinya. Permohonan itu ditolak. Tetapi apabila dia merayu kepada menteri, permohonan itu telah ditunaikan. Kumpulan ini berkeyakinan mereka mampu diberikan ruang memintas dan boleh mengarah dan menyuruh-nyuruh. Orang ramai harus sedar betapa mereka adalah lulusan Oxford dan Cambridge. Ini merupakan pusat pengajian yang mesti dianggap lebih ternama daripada institusi pengajian yang lain. Tetapi mereka terlupa akan petua penting dalam kehidupan politik: bahawasanya mereka perlu mendapatkan kepercayaan akar umbi yang mahu mereka pimpin. Kalaulah kumpulan ini merupakan orang Cina ataupun India, mereka pasti berjaya dengan matlamat mereka. Tetapi mereka terpaksa bertugas dalam satu sistem di mana masyarakat Melayu mempunyai pemandu teksi yang lebih bijak berpolitik daripada rangkuman usaha pemimpin politik bukan-Melayu dan graduan Melayu daripada Oxbridge yang sudah hilang pegangan budaya Melayunya. Kalau mengikut keadaan sekarang, orang yang paling terhenyak ialah Paklah sendiri. Pada tahun 1998 dulu kita telah melihat bagaimana orang Melayu naik marah. Kalau kumpulan ini terus berlagak sesuka hati mereka, kita akan melihat kesan kemarahan Melayu sekali lagi pada pemilihan UMNO bulan September nanti. Kalau Paklah mesti diberikan peluang sekali lagi, seperti yang sepatutnya, gerak-geri kumpulan ini akan menafikannya. Akan tetapi adakah sesiapa yang mendengar dan mempercayai perkara ini?

MGG Pillai (mggpillai.com)
pillai@streamyx.com
20.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN