TAG 1593:
Dilema Terengganu
(The Terengganu dilemma) Oleh Raja Petra Kamarudin - 25.04.2004

Pada hari Jumaat 23 April 2004, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kuasa Ketua Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Menteri Besar Terengganu yang baru, Idris Jusoh. Memang kenalah tempatnya. Selalunya apabila sesebuah negeri dikuasai oleh parti pembangkang, seperti yang terjadi pada Terengganu daripada 20 November 1999 hingga 21 Mac, 2004, Perdana Menteri ataupun Timbalannya yang memegang kuasa itu. Kini, setelah kembali ke pangkuan gagasan yang memerintah (Barisan Nasional), seharusnyalah jawatan itu pulang ke tangan Menteri Besar.

Ketika menyerahkan tugas dalam satu majlis khas, Abdullah berkata: “Oleh kerana BN telah berjaya menang besar, dia merasa yakin bahawa Idris akan mampu menjalankan tugas dengan jayanya.”

Ini merupakan satu penghormatan kepada Idris ataupun sebaliknya?

Sesungguhnya Abdullah telah menyerahkan satu benda panas ke pangkuan Idris. Terlalu banyak masalah yang tidak diselesaikan di Terengganu. Seandainya Abdullah terus memegang kuasa jawatan itu sebagai Ketua Perhubungan Negeri Terengganu, sudah tentu dia terpaksa membantu menyelesaikan masalah tersebut. Apabila menyerahkan tugas itu kepada Idris, terpulanglah kepada Menteri Besar baru itu menanganinya dan Perdana Menteri tidak lagi tertekan menyelesaikan semua masalahnya.

Apakah ini laksana tikus yang terjun daripada kapal yang ternyata akan tenggelam?

Salah satu masalah yang dihadapi oleh Terengganu ialah kisah Wang Ihsan yang sudah dibayar oleh Petronas sejak empat tahun dahulu dan disedut keluar oleh UMNO setakat ini bernilai RM3.8 bilion. Wang itu telah dibayar kepada UMNO dan bukannya kepada kerajaan negeri sepanjang tempoh PAS memerintah di sana. Mengikut undang-undang yang digubal mematuhi akta Parlimen dan juga mengikut dua perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Terengganu, wang itu adalah hak kerajaan negeri dan bukannya UMNO.

Kini kerajaan Persekutuan terpaksa membuat keputusan apakah terus menyalurkan Wang Ehsan itu ataupun mengalihkan semula sebagai royalti seperti yang sepatutnya selama lebih 20 tahun sebelum ia menjadi Wang Ehsan pada 2000? Dari sudut Perlembagaan, Wang Ehsan dan penyalurannya kepada UMNO adalah tidak sah. Seharusnya ia merupakan royalti dan dibayar kepada kerajaan negeri dan bukan kepada UMNO yang meraih kenikmatan sebanyak lebih kurang RM800 juta selama empat tahun yang lalu.

Kemudian pula timbul persoalan, bagaimana memperakukan penyaluran RM3.8 bilion itu yang telah disedut keluar oleh UMNO? Apakah UMNO Terengganu terpaksa membayar balik wang itu kepada kerajaan negeri sebanyak RM3.8 supaya tidak dianggap melanggar Akta Parlimen?

Namun demikian bukanlah satu kerja mudah menyelesaikan perkara ini kerana ia membabitkan kerja-kerja menyemak semula segala catatan buku akaun dan bagaimana wang itu telah disalurkan. UMNO juga perlu menjelaskan bagaimana ia telah menyalurkan satu bahagian yang besar daripada Wang Ehsan sebagai duit raya sekitar RM300 kepada setiap warga Terengganu. Sekurang-kurangnya itulah yang dikatakan tercatat dalam buku akaun, walaupun belum ada sesiapa yang dapat mengesahkan semua orang telah dibayar sebanyak itu.

UMNO telah berjanji kalau menang dalam pilihan raya wang itu akan digandakan menjadi RM600 setiap seorang rakyat setiap tahun. Ini bererti pada tahun ini, dan setiap tahun seterusnya setiap warga Terengganu yang layak akan menerima sejumlah RM600 juta.

Tetapi Terengganu akan hanya menerima RM800 juta setahun daripada Petronas. Kali ini kerajaan negeri dan bukannya UMNO yang akan menerima wang royalti itu – lainlah mereka mahu mencemar undang-undang dan teruskan istilah Wang Ehsan dan tidak lagi royalti. Bagaimana caranya UMNO mencari Wang Ehsan untuk mengeluarkan Duit Raya kecuali:

1. Teruskan program Wang Ehsan dan terus melanggar undang-undang;
2. Beralih semula kepada royalti dan negeri cari duit lain untuk menunaikan janji Umno, yang merupakan dua perkara yang berbeza;
3. Umno mungkiri janji pilihan raya dan tamatkan pembayaran Duit Raya.

Satu lagi masalah UMNO ialah kewarasan belanjawan untuk meneruskan pembayaran Duit Raya walaupun ia mampu menyelesaikan masalah perundangan yang terlibat. Terengganu memerlukan sekitar RM600 juta setahun hanya untuk mentadbir negeri – membayar gaji, melunaskan bayaran hutang kerajaan pusat dan sebagainya. Ini tidak pula mengambil kira perbelanjaan pembangunan negeri. Kalau dicampurkan pula Duit Raya bernilai RM600 juta bererti jumlah semuanya ialah RM1.2 bilion setiap tahun. Kemudian timbul pula masalah biasiswa yang perlu dibayar – melibatkan kos basikal percuma kepada setiap kanak-kanak yang masuk sekolah, hadiah kerana prestasi tinggi di sekolah, dan pelbagai lagi bentuk hadiah kepada rakyat semasa negeri itu diperintah oleh parti pembangkang.

Jumlah sebenar yang dibayar telah merupakan “satu rahsia negara kerana sebahagian besar wang itu telah dipesongkan ke tempat lain”. Jumlah itu pun telah dianggarkan memakan beberapa ratus juta ringgit lagi.

Ada satu anggaran ilmiah yang mengatakan pembabitan kerajaan Terengganu setiap tahun boleh mencecah RM1.5 bilion - Duit Raya, khidmat bayaran hutang kepada kerajaan pusat, hadiah dan biasiswa, dan banyak lagi bentuk pembayaran yang lain. Bagaimanakah membuat bayaran sebanyak RM1.5 bilion sedangkan sumber pendapatan hanya sekitar RM800 juta?

Sejurus beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Abdullah pernah berkata apa sahaja yang diperlukan oleh Terengganu akan diluluskan. Idris hanya perlu memintanya. Sudah tentu Terengganu mahukan segala kenikmatan selama empat tahun itu berterusan, tanpa ada sesuatu yang dinafikan dan bayaran Duit Raya yang digandakan seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya.

Semasa pihak pembangkang mengambil alih negeri itu pada November 1999 dulu, kerajaan PAS telah memansuhkan cukai pintu, yang merupakan satu sumber pendapatan yang besar kepada kerajaan negeri. Setelah menyedari bahawa ia akan menghadapi laluan sukar mengimbangi buku akaun, kerajaan baru sudah pun mengenakan kembali bayaran cukai pintu. Malahan ia mula memikirkan apakah wajar dituntut cukai pintu yang tertunggak selama empat tahun yang lalu.

Mereka telah diberikan nasihat agar tidak mengutip cukai pintu dalam bentuk bayaran tertunggak selama empat tahun kerana rakyat berkemungkinan membantah secara berkumpulan. Sebaliknya mereka mengira cukai pintu itu bermula daripada 1 Januari 2004.

Akan tetapi wang bukan merupakan hanya satu masalah yang menghantui kerajaan negeri. Pada akhir 2003, PAS telah memperkenalkan undang-undang Islam untuk umat Islam dan mengharamkan perjudian di negeri itu, walaupun minuman keras masih dibenarkan kepada golongan bukan-Islam. Kini UMNO terpaksa membuat ketetapan apakah merombak semua itu. Jika demikian, UMNO akan membuktikan kebenaran PAS yang menyebut bahawa UMNO ialah sebuah parti yang bersifat anti-Islamik. Sebaliknya kalau ia tidak mengubah undang-undang Islam itu, bererti UMNO mengaku bahawa PAS telah bertindak betul dalam memperkenalkannya.

Apa pilihan sekali pun, PAS dikira menang juga. Kalau UMNO merobah undang-undang Islam, PAS akan menang. Kalau tidak menyentuhnya PAS dikira menang juga. UMNO sudah tersepit dalam satu situasi ‘kalau ditelan mati emak dan kalau tak telan mati bapak’.

Wang Ehsan dan undang-undang Islam bukan merupakan hanya dua isu yang tidak dapat ditangani oleh UMNO. Sebenarnya banyak lagi. Sebagai contoh: Di Terengganu terdapat lebih 1,000 kontraktor Bumiputra yang didaftar. Semua mereka telah diberikan janji kontrak bernilai sekitar RM2 juta (setiap kontrak) kepada setiap kontraktor untuk setiap tahun. Ini bermakna jumlah kontrak yang mesti diwujudkan mestilah bernilai berbilion ringgit. Jumlah RM2 juta untuk setiap kontraktor adalah satu jumlah yang kecil dan ‘kacang’ sahaja. Setiap kontraktor memerlukan sekurang-kurangnya RM5 juta ataupun RM10 juta setahun hanya untuk bernafas lega.

Di manakah wang yang akan diragau oleh kerajaan Terengganu untuk membiayai semua kontrak ini? Sekarang ini para kontraktor sedang berbaris di luar pejabat Setiausaha Kerajaan negeri setiap hari menunggu habuan mereka. Umno sudah menjanjikannya dan setelah Umno menang, Umno mesti melunaskan janjinya.

Semua kontraktor Bumiputra menganggap segala habuan itu adalah hak mereka dan adalah menjadi tanggungjawab UMNO untuk menentukan mereka menerima kontrak tersebut.

Kerajaan Terengganu yang baru memang dipantau dengan telitinya. Rakyat sedang menilai apa yang akan dilaksanakan oleh negeri itu. Terlalu banyak janji yang telah ditabur. Tidak ada satu pun yang telah ditunaikan. Malahan Wang Ehsan yang dinikmati oleh rakyat selama ini semasa negeri itu ditadbir oleh PAS, sudah pun ditangguhkan pembayarannya. Satu janji yang telah dibuat betapa cukai pintu tidak akan diperkenal semula, sudah pun dilanggar begitu sahaja.

Patutlah Abdullah tergesa-gesa menyerahkan kuasa kepada Idris Jusoh sebagai Ketua Perhubungan UMNO Terengganu. Tidak ada guna sesiapa mencemburui Idris kerana dia sudah tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan bagaimana menyelesaikan masalahnya.

Apakah perjudian akan dibenarkan semula di Terengganu? Bukankah UMNO yang menuduh PAS menafikan hak rakyat untuk berjudi? Kalaulah perjudian dibenarkan apakah pendapat rakyat mengenainya? Apakah ini bukti yang UMNO memang menentang Islam?

Mujur juga saya tidak menjadi Menteri Besar Terengganu.

-Raja Petra Kamarudin - 01.05.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN