TAG 1585:
Peraturan Khas Di Selangor Jadikan Pilihan Raya Umum 2004 Bercelaru
(When special rules in Selangor threw the 2004 general elections into confusion and doubt
Oleh MGG Pillai - 21.04.2004


{Artikel asal ada dalam HARAKAH terbitan terkini 21 April,2004.}

Media rasmi dan aliran perdana tidak pun mempedulikannya. Bukan disebabkan perkara ini satu remeh-temeh tetapi kerana ia adalah satu isu besar. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badwi, sedang mencengkam kuasa, tetapi ternyata tidak menguasainya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR yang mengendalikan pilihan raya), telah disedarkan pada tahap yang terlambat betapa ia tidak mengawal perjalanan pilihan raya itu seperti yang sepatutnya. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman telah terkejut beruk dengan keadaan yang terjadi tetapi dia telah menggelabah sehingga menjadi tidak tentu arah. Lagi kerap dia membuka mulutnya, lebih banyak kelentungan yang didedahkannya sehingga menampakkan dengan jelas betapa pilihan raya yang berlalu itu adalah satu pilihan raya tipu. Beliau menyuarakan kenyataan yang bercanggahan pada setiap sidang akhbar yang dikendalikannya. Apabila sudah hilang modal untuk mewajarkan pilihan raya itu dia telah mencadangkan agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat keadaan. Tetapi Paklah menolaknya mentah-mentah. Beliau tidak mahu kemenangan besarnya itu dicemari satu laporan sahih betapa pilihan raya itu memang sudah diselewengkan secara sengaja. Kerana itu dia bertahan begitu sahaja. Namun, akan tiba masanya seperti sekarang ini, apabila kuasa yang dikecapi tidak mewajarkan bagaimana kuasa itu boleh dinikmati. Lantas, sikap berdiam diri diharapkan dapat ditiru oleh semua pihak. Inilah sikap yang amat besar kesilapannya.

Sudah menjadi satu kefahaman yang tidak perlu dikata betapa dalam politik Malaysia gagasan Barisan Nasional (BN) yang memerintah memang untung besar setiap kali dihasilkan persempadanan semula. Selalunya setiap satu dekad, selepas persempadanan itu. Tetapi, para pemimpin BN masih tidak puas hati dengan pencapaian melalui penipuan begitu. Walaupun sudah lebih lapan tahun berlalu dan dua pilihan raya selesai sudah. Mengikut satu teori, keuntungan dan kemenangan besar diraih setiap kali diadakan pilihan raya selepas kerja-kerja persempadanan semula. Akan tetapi, PAS yang telah bertugas secara senyap-senyap, tanpa gembar-gembur telah berjaya bergerak tangkas membina satu jentera pilihan raya yang kini mampu mencabar BN dan khususnya UMNO. Keadaan masyarakat Melayu yang berpecah belah membantu usaha PAS demikian. SPR telah membuat persempadanan semula dengan memisahkan kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri mengikut pecahan perkauman. Di mana PAS sudah begitu mantap menerima sokongan orang Melayu, SPR telah melambakkan pengundi bukan-Melayu di situ sambil menyedut pengundi Melayu keluar ke tempat lain. Inilah yang membuatkan PAS kalah teruk, gara-gara penyelewengan persempadanan semula. Selalunya, selepas pilihan raya yang memberikan kemenangan besar untuk BN, PAS akan berjaya memecah kebuntuan kerana BN dan UMNO akan duduk berkhayal sehingga tidak sedar betapa pembangkang sudah lama mengekalkan tapak perniagaan mereka.

Sepatutnya Pilihan Raya 2004 berjalan seperti yang dijangka, tanpa ada perbezaannya. BN sepatutnya menang mudah dengan majoriti dua pertiga dan menang lebih banyak kerusi. Pembangkang pula tentu dapat bertahan walaupun kehilangan sedikit kerusi pegangannya. Akan tetapi BN sedar betapa amalan lama tidak boleh sentiasa mengena. Semasa diadakan pilihan raya semula (kecil) di kawasan Parlimen Pendang dan kawasan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, BN menang satu kerusi dan kalah yang satu lagi. Kesan pilihan raya dua tahun dahulu itu memberikan satu pertanda yang semacam amaran kepada BN – betapa ia tidak harus bergantung kepada pengundi Melayu yang sudah lama mual dengannya selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim diaib dan terpenjara. Apalagi setelah beliau dihina dengan dihenyak sehingga hampir tak bernyawa. Ini merupakan satu perbuatan biadab yang bertentangan dengan budaya Melayu dan inilah yang menjentik satu anjakan haluan untuk bersekutu dengan orang Cina dan kaum bumiputera di Sarawak dan Sabah. Kerana itu dianggap satu kerja penting untuk meminggirkan PAS. Di Parlimen, PAS sudah menyanggah di barisan depan mengemukakan satu soalan demi soalan terhadap kerajaan pusat yang gagal mendebatkan isu itu semuanya, sehinggakan mereka ketakutan setiap kali ada pemimpin PAS yang berdiri. Lantas ramai yang sengaja menghilangkan diri daripada Dewan itu setiap kali muncul isu yang hangat yang memang sukar untuk dipertahankan. Kerana itu diputarbelitkan segala kelebihan yang ada dalam usaha persempadanan semula dan disisip segala muslihat untuk menipu secara besar-besaran di situ.

Maka berlakulah satu jalinan memenuhi agenda tersembunyi bikinan UMNO yang tidak disedari oleh BN untuk membawa kembali DAP agar bernafas dalam Parlimen 2004. Itulah agenda yang menumpaskan PAS kerana PAS begitu bijak menyerang UMNO dari sudut budayanya sehinggakan ia gagal menepisnya. Tetapi DAP tidak akan berbuat begitu kerana lebih cenderung menyerang kerajaan dalam ruang lingkup amalan demokrasi berparlimen ala-Westminster, sedangkan amalan itu memang sukar difahami oleh masyarakat Melayu. Apabila DAP hadir sebagai pembangkang, kerajaan tidak akan merasa tertekan sangat menghadapi isu yang dikemukakannya. Kerana itu UMNO cuba merancang muslihat yang tidak tentu hala perancangannya sehinggakan pemimpin UMNO dan masyarakat Melayu naik takut dibuatnya. Pembangkang Melayu memang sudah menjangka semua itu dan tidak tertekan menghadapinya. Tetapi, masyarakat Melayu tidak mahu bertolak-ansur dalam perkara itu. Lebih-lebih lagi apabila SPR bertindak pelahap menukar peraturan mengundi sesuka hati, sehingga tidak mampu menyediakan satu daftar pengundi yang tidak diragui, sedangkan daftar yang ada pun memerlukan keupayaan setiap pegawainya menyatakan kesahihannya. Di sini, lahir satu agenda lain seperti yang selalu berlaku juga. UMNO tidak berfikir panjang semasa mencabar PAS dalam hal ehwal keagamaan, sama ada pandangan UMNO ataupun PAS yang mesti diambil kira. Kerana itu ia bertindak memusnahkan PKN ataupun KeADILan, yang sudah pasti akan merupakan sebuah parti alternatif yang mampu menarik orang ahli-ahli UMNO mahupun PAS yang tidak mahu terlibat dalam isu teokrasi.

Setelah menyedari putar-belit begini, pengundi Melayu telah menjauhkan diri daripada BN dan sanggup memulaukan hari mengundi pada 21 Mac 2004. Tindakan ini amat ketara di Selangor. Setakat tengah hari, tidak sampai sembilan peratus pengundi yang datang membuang undi. UMNO menjadi gelabah. Perdana Menteri baru rupanya tidak dapat berlagak sombong dan mendakwa yang dia disokong oleh orang Melayu untuk menjadi Presiden mutlak UMNO yang akan berlangsung pemilihannya pada akhir tahun ini. Inilah yang membuat sekumpulan penyangak di ibu pejabat UMNO, yang terletak di Tingkat 38, Bangunan PWTC, berbuat sesuatu yang amat bodoh untuk memutarbelitkan keputusan pilihan raya itu. Keputusan untuk melanjutkan waktu mengundi walaupun bertentangan dengan hukum-hakam pilihan raya, telah dibuat di pejabat itu. Segala peraturan telah dibuang begitu sahaja dengan sengaja. Memang mereka sudah pasti ketika itu, kalau tidak dibuat penipuan begitu, BN pasti terhumban di Selangor. Ada sumber yang amat arif memberitahu betapa Menteri Besar Selangor Mohd Khir Toyo sudah pun kalah. Ternyata SPR memang tidak mempunyai niat untuk mengendalikan satu pilihan raya yang adil dan saksama. Kerana mahu BN menang tidak kiralah apa juga caranya. Kerana itu di banyak tempat di Selangor, ramai pengundi yang pergi mengundi mendapati nama mereka tidak ada dalam daftar pengundi. Mereka yang datang dengan membawa maklumat yang disahkan oleh lamanweb SPR mendapati nama mereka turut hilang pada hari mengundi. Malahan nama mereka pun berbeza dengan nama yang ada dalam percetakan komputer SPR di pondok mengundi. Yang peliknya, nama yang hilang pada waktu pagi boleh muncul semula dalam komputer pada sebelah petang. Ada satu calon yang mempunyai bukti betapa hanya 30 peratus pengundi yang datang membuang undi tetapi apabila kertas undi dikira dia dapati seramai 70 peratus yang telah mengundi. Lagipun semasa SPR melanjutkan waktu mengundi, ia mencetuskan banyak teka-teki: IA MEMBENARKAN PENGUNDI YANG DATANG LAMBAT MEMBUANG UNDI UNTUK KERUSI PARLIMEN DAN DEWAN UNDANGAN NEGERI. Dengan lain perkataan, pengundi Selangor mempunyai masa yang lebih lama untuk membuang undi memilih calon Parlimen, berbanding pengundi di tempat lain. Apakah ini dikira sah? Akan tetapi penipuan di Selangor itu hanya sekilas pandang kepada bermacam-macam penipuan yang terjadi.

Tan Sri Rashid tidak memainkan peranan dalam kelentungan ini. Tetapi, Setiausaha SPR, Dato’ Wan Ahmad, seorang anggota khidmat risikan Malaysia tidak boleh lari daripada menanggung segala tohmahan dan tuduhan. Begitu juga dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, dan Jabatan Pendaftaran Negara yang mengeluarkan kad pengenalan. Kenapakah Tan Sri Aseh berada di PWTC bersama Paklah untuk memantau keputusan pilihan raya pada malam 21 Mac sambil menyeringai setiap kali diumumkan kemenangan BN? Nampak sangat betapa cerianya beliau dalam siaran lintas langsung TV di situ berbanding raut muka hadirin lain yang berada di sana.

Sekarang ini adalah penting untuk menerima hakikat betapa BN dan UMNO menang pilihan raya dengan cara itu, dan teruskan urusan mentadbir negara. Tapi cakap begitu memang mudah sahaja. Pilihan raya kali ini membuktikan tanpa sebarang syak wasangka lagi betapa SPR sengaja menyeleweng daripada menentukan satu pilihan raya yang berkeadaan aman dan adil tanpa tipu daya. Sekali gus Malaysia berada sebaris dengan beberapa negara di Afrika seperti Zimbabwe pimpinan Mugabe, di mana pilihan raya diadakan hanya untuk membolehkan parti yang memerintah terus berkuasa dan parti pembangkang disapu habis daripada muka bumi mereka. Apakah ini Malaysia yang diinginkan oleh BN untuk masa depannya?

Kerja-kerja penipuan yang begitu haprak bukan sahaja terjadi di Selangor. Ia menjadi semakin lumrah di empat negeri di bahagian utara semenanjung Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kini, BN mesti membuat pendirian, apakah ia mahu dikenang sebagai sebuah parti yang menang untuk berkuasa secara penipuan dan kelentungan, ataupun menerima hakikat betapa segala penipuan itu memang tidak dapat diterima. Ataupun ia mahukan satu pilihan raya yang adil dan saksama setiap masa. Malangnya ini bukan masanya untuk pemimpin BN memikirkan perihal nasib politik mereka semua. Satu perbuatan yang tersalah sasar adalah satu kekalahan yang besar. Pembangkang telah tersilap arah, dan kerana itu BN membuat andaian mereka merepek sebagai orang yang kalah. Tetapi pandangan begitu memang tidak boleh diterima-pakai. Orang Melayu sudah berada di satu tahap yang mereka benci, marah dan tidak suka. Semasa PAS meminta diboikot sahaja pilihan raya semula Sungai Lembing, Pahang, gara-gara salah guna lambang parti untuk calon pembangkang yang bertanding, reaksi pengundi adalah satu pertanda bahawa seandainya kehaprakan ini tidak diperbetulkan dengan cepat akan meledak satu kebangkitan rakyat yang begitu besar, dan mungkin berbentuk ganas - lebih seratus kali ganda besarnya daripada ketumbukan yang muncul menyokong Anwar Ibrahim semasa dia mula-mula diaibkan dulu. Namun, pandangan begini tidak akan mengganggu-gugat tidur yang penuh impian bagi pemimpin BN dan UMNO. Itu pun tidak menjamin perkara ini dapat dibetulkan. Jalan terbuka yang ada ialah mengisytiharkan satu pilihan raya semula di Selangor untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Tetapi ini mencetuskan satu lagi tanda tanya: kalau keputusan di Selangor dianggap sumbang bagaimana pula keputusan di tempat lain? Kalau Dewan Undangan Negeri Selangor itu dianggap tidak sah, bagaimana pula dengan Dewan Undangan Negeri lain? Segala jawapan kepada persoalan begini yang akan menentukan masa depan negara ini akhirnya.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
22.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN