TAG 1582:
Pilihan Raya Tipu Lonjakkan Paklah Atas Singgahsana Palsu
(Flawed polls put Pak Lah on uneasy throne) Oleh MGG Pillai - 20.04.2004

Rupanya, bukan semua pertanda membawa keceriaan yang diharapkan. Pada bulan lalu, pilihan raya umum telah memberikan Barisan Nasional dan Pengerusi barunya, merangkap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, satu keputusan yang memang besar kemenangannya. Mereka menang 90% kerusi parlimen yang berjumlah 219 kerusi semuanya. Mereka menguasai 11 daripada negeri yang mengadakan pilihan raya (negeri yang ketiga belas, Sarawak adalah negeri yang dikuasai BN masa kini). Namun, kisah penipuan semasa membuang undi terus berleluasa. Kisah sikap curang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibantu oleh satu kuasa gelap yang mungkin mudah dihapuskan di negara lain, telah membantunya. Sepatutnya kerajaan BN cuba menyiasat perkara ini dan bukannya sengaja tidak mempedulikannya sambil menganggap sikap Pembangkang yang menuduh adanya penyelewengan semasa pengundian sebagai sikap orang yang tidak sanggup menerima kekalahan. Cuma ada satu perbezaan besar dalam perkara ini. Pembangkang tidak pernah menyandarkan harapan untuk menumpaskan kerajaan BN sekali gus. Malahan mereka menjangka kerajaan hanya mampu mempertahankan kuasa majoriti dua pertiga sahaja. Pembangkang juga sanggup menerima taksiran yang pesimis bahawa mereka akan kalah di Terengganu. Akan tetapi, kalau diambil-kira semua ini kenapakah BN terlibat dengan kerja-kerja penipuan dalam pilihan raya? Mengikut maklumat yang terus diterima, inilah yang mengecewakan ahli-ahli UMNO dan orang lain. Kerana semua itu telah direncanakan di Tingkat 38 Pusat Dagangan Dunia Putra, di mana UMNO mempunyai ibu pejabatnya.

Keputusan pilihan raya itu mengejutkan semua pihak termasuk pemimpin BN dan UMNO. Najib Razak, timbalan perdana menteri, tidak pun begitu yakin akan peluangnya di Pekan, dan dia pernah bertanya para pembantunya sehari sebelum pembuangan undi agar mendesak calon PAS, seorang jeneral bersara, agar menarik diri. Paklah sudah berserah kepada takdir bahawa Kelantan dan Terengganu akan terus dikuasai oleh PAS, dan dia menyandarkan harapan yang tinggi untuk mengekalkan Perlis dan Kedah; sambil cuba menahan pendarahan di negeri-negeri yang lain. Pada waktu yang sama, adalah sukar untuk mempercayai bahawa mereka tidak sedikit pun tahu-menahu akan rencana penipuan sebesar itu. Sepatutnya mereka campur-tangan apabila SPR cuba berlaku curang dengan daftar pengundi dan memanjangkan waktu membuang undi di Selangor. Alasan rasmi SPR memang tidak masuk akal. Waktu mengundi sudah pun digazetkan antara 0800 pagi hingga 1700 petang. Waktu itu hanya boleh diubah dengan izin para calon yang bertanding. SPR tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu sesuka hatinya.

SPR berkata kehadiran para pengundi yang mendadak di tempat mengundi sebelum waktu mengundi tamat adalah alasan rasmi kenapa waktu mengundi dipanjangkan. Tetapi itu satu alasan haprak yang tidak boleh dipakai. Setiap pengundi tahu waktu mengundi di mana-mana tempat. Memanjangkan waktu mengundi di saat terakhir sebagai menampung orang yang berada di halaman tempat mengundi mungkin boleh diterima akal. Tetapi tidaklah sampai dua jam untuk membolehkan orang luar datang mengundi. Lagipun lanjutan waktu ini tidak pun dihebahkan. Bagaimana mungkin seseorang pengundi tahu akan perubahan waktu? Apa pun ia berlaku di Selangor sahaja dan bukan di negeri-negeri lain. Kenapa? Apa keistimewaan Selangor sehingga boleh dilanjutkan waktu mengundi? Yang amat jelas, sehingga waktu tengah hari pada hari mengundi 21 Mac, tidak lebih dari sembilan persen pengundi yang telah datang mengundi. Daftar pengundi ternyata berkecamuk, di Selangor dan di tempat lain, dan SPR tidak mampu menyatakan daftar mana yang harus digunakan. Ramai pengundi yang datang di sebelah pagi tidak dapat menjejak nama mereka dan pegawai SPR, yang kebanyakannya ahli-ahli Pemuda UMNO dan Puteri UMNO, tidak mampu membantu secara menggunakan komputer yang dimiliki oleh SPR. Apa pun daftar yang ada amat berbeza dengan maklumat yang ada dalam senarai komputer.

Seandainya SPR memang boleh melanjutkan waktu mengundi, ia hanya mampu berbuat demikian di Selangor dan itu pun bagi kerusi parlimen dalam negeri sahaja. Ini tertakluk kepada peraturan yang berbeza. Mereka yang mengundi di Selangor mempunyai kelebihan untuk calon parlimen mereka. Keistimewaan ini tidak ada pada negeri-negeri lain. Parti-parti pembangkang telah pun menyediakan satu senarai bagaimana pilihan raya itu sengaja dikucar-kacirkan. Inilah yang menjatuhkan maruah SPR. Pengerusinya, Abdul Rashid Abdul Rahman, telah mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja. Tetapi cadangan itu telah ditolak tepi oleh presiden BN dan Perdana Menteri, Paklah. Yang pentingnya, ini merupakan satu pengakuan bahawa SPR telah gagal menjalankan tugas, dan begitu serius kegagalan itu, sehinggakan pilihan raya umum 2004 boleh dianggap tidak sah lagi. SPR sengaja mengabaikan tanggungjawabnya yang termaktub dalam perlembagaan dan membuat kerja yang paling aib dengan menyediakan satu daftar pengundi yang palsu. Dalam pilihan raya, senarai daftar pengundi yang paling terbaru digazetkan; merupakan daftar pengundi yang diiktiraf untuk digunakan bersama. Tidak kiralah kalau ia digazetkan satu bulan sebelum itu. Itulah cara yang diamalkan selama ini. Tetapi kali ini, senarai pengundi sepatutnya merupakan daftar yang diserahkan kepada calon pada hari pencalonan. Tidak pula begitu, jadinya. Yang digunakan ialah daftar yang digazetkan pada 15 Mac, yakni dua hari selepas hari pencalonan, dan itu pun ada daftar yang digazetkan hanya dua hari selepas 21 Mac (hari mengundi) yang telah digunakan.

SPR bertegas sesiapa yang tidak bersetuju harus mencabarnya di mahkamah. Ia telah bersiap dulu dengan undang-undang yang menjadikan usaha ini begitu mahal harganya kepada sesiapa yang berani berbuat demikian. Mula-mula ia memerlukan wang deposit sebanyak RM10,000 dalam setiap petisyen pilihan raya yang dikemukakan. Di Malaysia, pilihan raya adalah begitu mahal. Kalau seseorang itu tidak mempunyai minimum RM250,000 dalam bentuk tunai, adalah satu kerja membazir untuk bertanding. Tujuan SPR ialah untuk memufliskan calon Pembangkang dan mana-mana pihak yang mahu bertanding. Sesiapa yang mahu menubuhkan satu kerajaan alternatif mestilah menyediakan sekurang-kurangnya RM100 juta. Saya tidak tahu bagaimana pembangkang akan menyahut cabaran ini mengikut pendekatan kamikaze SPR. Memang jelas SPR perlu memberikan banyak penjelasannya. Pengundian di Selangor ternyata begitu menyimpang sehingga ia memerlukan satu pengundian baru. Ia amat penting dilakukan di kawasan parlimen dalam Selangor disebabkan lanjutan masa membuang undi selama dua jam, sedangkan keistimewaan itu tidak diberikan di negeri lain. SPR tidak berniat menerangkan tindakan seterusnya. Begitu juga kerajaan, yang bertegas bahawa martabat SPR tidak boleh dipertikai oleh sesiapa.

Akan tetapi ada lagi kerja busuk SPR selain dari lanjutan waktu mengundi di Selangor. SPR telah menggantung pengundian yang sudah pun berjalan selama lima jam di Sungai Lembing Pahang, apakala terdapat kesilapan menggunakan lambang parti kepada calon yang bertanding. Bukan itu sahaja. Pengundian itu digantung untuk satu minggu. Dengan lain perkataan, SPR telah berbuat dua kesilapan: menggantung proses membuang undi, dan menetapkan hari pengundian yang baru. Bayangkan perkara ini dan kaitkan dengan kisah bagaimana di kebanyakan kawasan parlimen, sampai 10,000 pengundi tidak membuang undi untuk calon kerusi parlimen tetapi mengundi pula untuk kerusi dewan negeri. Tentulah ini satu cerita dongeng juga.

Di setiap tempat membuang undi memang ada seorang petugas yang membantu memasukkan kertas undi dalam tong undi. Kepincangan ini telah disiarkan dengan nyatanya dalam laman web SPR, tetapi maklumat itu telah dipadamkan apabila pihak Pembangkang mula mempersoalkannya. Kenapa? Kalau itu merupakan keputusan rasmi tentulah ia tidak boleh ditarik kembali. Jika itu bukan keputusan rasmi, tentulah maklumat semacam itu tidak boleh berada di situ. Ramai rakyat Malaysia yang memuat-turun maklumat dan angka SPR itu untuk mencetuskan kesangsian akan kesaksamaan dan keadilan pengurusan pilihan raya umum 2004.

Inilah yang menyulitkan keadaan Paklah. Di sebalik kemenangan besar, dia berada di atas singgahsana yang amat rapuh takhtanya. Dia tidak boleh menuding jari arah SPR. Sedangkan beliau bersuara lantang terhadap sikap merampas kelicinan perjalanan pilihan raya umum itu oleh parti kecilan, yang menyebabkan kedudukannya semakin tidak selesa. Sepatutnya dia menyandarkan harapan menang kepada kemasyhuran peribadinya, dan keharuman prasangka sebagai seorang perdana menteri baru, dan terus bina ketokohannya dari situ. Semakin lama dia meneruskan usaha menepis kesangsian yang semakin menebal terhadap pilihan raya yang penuh penipuan ini, lagi ramai rakyat bawahan yang akan beralih kesetiaan daripada BN, dan juga beliau. Masyarakat Melayu memang sudah naik angin, kerana merasa tertipu. Cara persempadanan semula dilaksanakan di mana pengundi Cina yang besar sengaja dicampur kepada kawasan yang dimonopoli oleh pengundi Melayu dan cenderung kepada PAS dan Pembangkang telah mencetuskan momok yang lebih dahsyat berbanding peristiwa yang dicetuskan oleh mantan timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim. BN dan Paklah yakin mereka dapat menangani keributan ini. Mereka membuat andaian itu tanpa mengambil kira rusuhan yang boleh tercetus darinya. Tetapi jangan ada yang tersilap langkah, keributan itu boleh bertukar menjadi huru-hara kalau tidak ada sesuatu yang dilakukan untuk menanganinya. Sebagai permulaan mereka mesti timbangkan agar diadakan semula pilihan raya di dewan undangan Selangor. Tentu mereka tidak boleh berhenti di situ sahaja. Mungkin mereka mampu berbuat begitu dalam minggu selepas pilihan raya. Tidak lagi sekarang. Tindakan yang lebih praktikal mesti diambil untuk mengikis pendapat umum betapa kita kini sudah jatuh rendah meniru cara pilihan raya memilih Presiden Afrika selalu diadakan. Diharaplah perkara semacam ini tidak akan terjadi di sini sebagai penentuan nasib pilihan raya di negara ini.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
20.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN