TAG 1571:
Minyak, Keganasan Dan Perang Kuasa Di Selatan Thailand
(Oil, violence, and the scuffle for influence in southern Thailand) Oleh MGG Pillai - 06.04.2004
Versi asal yang sudah banyak diedit ada disiarkan dalam Malaysiakini


Hubungan antara Malaysia-Thailand kini dihenyak oleh satu masalah yang tidak mudah diubati. Gara-gara empat wilayah Melayu di Selatan Thailand negara itu yang dianggap oleh Bangkok dan Kuala Lumpur melalui tanggapan yang berbeza. Itulah tanggapan yang diwarnai agenda nasional masing-masing dan menjadikan sebarang usaha mencapai penyelesaiannya menjadi satu perkara yang mustahil.

Pada 1987, Britain telah melaksanakan satu persempadanan antara Semenanjung Tanah Melayu dan Thailand. Ketika itu Thailand bersetuju menyerahkan wilayah berdaulat Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah telunjuk penjajah British dan terus menyimpan Pattani, Narathiwat, Satun dan Yala (walaupun semua wilayah itu dihuni oleh orang Melayu dan beragama Islam - penterjemah). Sejak itu masyarakat Melayu Thailand telah bermusuhan dengan kerajaan Bangkok yang berpaksikan agama Buddha. Bangkok terus bertahan dengan karenah itu dan tidak pula berusaha membetulkan putik-putik keresahan masyarakat yang memusuhinya.

Sejak lima dekad yang lalu khususnya selepas Kuala Lumpur berjaya menagih kemerdekaan daripada British selepas 1957, keresahan masyarakat Melayu Thailand telah menarik minat Kuala Lumpur. Semua Perdana Menteri Malaysia merdeka – bermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra hinggalah kepada Dato’ Seri Abdullah Badawi, telah memainkan peranan penting dalam keadaan politik di Selatan Thailand. Tidak ada sesiapa yang sanggup menceritakannya, walaupun muslihat pembabitan Malaysia dalam hal itu memang amat menyerlah. Orang Melayu Thailand sebenarnya mahu menganggotai Malaysia merdeka sedangkan kerajaan Thai di Bangkok mahu mengekalkan kedaulatan mereka ke atas wilayah itu.

Lantas, berputiklah suasana syak-wasangka antara dua negara sejak itu, gara-gara tanggapan yang jauh berbeza, sehingga membesar bibitnya hari ini. Pasukan risik Malaysia dan banyak pegawai lain telah dikejarkan ke kawasan Selatan Thailand, terbaru minggu lalu, apabila berlakunya ledakan yang semakin memuncak. Satu ketika dahulu pembabitan Malaysia memang sengaja dilindungi oleh tipu-helah yang kurang perancangannya. Kira-kira awal 1970-an saya pernah bersua dengan seorang pemberontak Melayu yang menganggotai PULO (Pattani United Liberation Organization) di Kuala Lumpur. Ketika itu pemimpin wanita ini sedang menunggu untuk bertemu Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Malangnya beliau gagal berbuat demikian kerana mampu bertemu pegawai bawahan di jabatan Perdana Menteri sahaja. Namun, kehadiran wanita itu tidak pun mengejutkan banyak pihak kerana pada waktu yang sama memang ada beberapa kumpulan pemberontak Melayu Thailand yang berlumba-lumba mahukan sokongan kerajaan Malaysia, melalui beberapa pemimpin UMNO. Memang ada satu dasar luar negara yang tidak dihebohkan betapa sokongan perlu diberikan kepada kumpulan minoriti Melayu di negara asing yang berjuang untuk ruang kebebasan kalaupun bukan untuk menuntut kemerdekaan.

Pada awal 1960-an, Tunku Abdul Rahman yang mula-mula mendesak masyarakat Acheh yang memperjuang kemerdekaan wilayah mereka daripada Jakarta, agar memindahkan kerajaan-dalam-buangan mereka yang ketika itu berada di Belanda dan berpindah ke Malaysia. Duta kerajaan itu yang sudah pun berusia sekitar 80-an kini menetap dalam persaraannya di sebuah pekan kecil di pinggir Kuala lumpur. Sekitar 10,000 orang Acheh yang mengikut beliau menetap di perkampungan FELDA.

Kuala Lumpur pernah juga memberi galakan kepada masyarakat Melayu Moro di selatan Filipina agar menuntut kemerdekaan daripada kerajaan di Manila, dan membenarkan kira-kira 100,000 orang menetap di Sabah. Tetapi usaha semacam itu dibuat semacam hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kurang empat dekad kemudiannya, Kuala Lumpur telah bertindak songsang, menghalau bangsa Moro pulang dan penderhaka Acheh kembali ke negara asal mereka. Sudah tentu tindakan ini menjadikan mangsa bahan sasaran untuk mati katak sahaja. Antara pemimpin yang dinyahkan itu ialah Nur Misuari dan Hashim Selamat. Ada pihak yang membuat tanggapan bahawa sikap Kuala Lumpur dalam hal ehwal Selatan Thailand ada kena mengena dengan masalahnya dengan PAS. Ini bererti masyarakat Melayu di Selatan Thailand sedang menghadapi bahaya besar seandainya berlaku perubahan dalam keadaan hubungan UMNO-PAS.

Satu ketika dahulu memang wujud perjanjian dua hala antara Kuala lumpur dan Bangkok yang membolehkan angkatan bersenjata Malaysia memasuki wilayah Thailand dalam operasi kejar-mengejar saki-baki pengganas Parti Komunis Malaya (MCP). Di samping itu askar Thailand boleh ‘menceroboh’ wilayah Malaysia semasa mengejar pasukan penentang Islam. Tetapi, perjanjian itu ditamatkan pada 1976. Pada 1990-an, MCP telah menyerah-diri secara rasminya. Akan tetapi Bangkok masih bertegas bahawa pasukan pemberontak Islam Thailand masih bebas bergerak di seberang sempadan kerana mereka diberikan perlindungan (oleh kerajaan Malaysia). Memang wujud kebenaran dalam tohmahan itu, kerana pertalian kekeluargaan yang sudah lama terjalin di kalangan penduduk di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Pada 1970-an dulu, Thailand telah membuat bantahan rasmi kepada kerajaan Malaysia yang melantik Tengku Ahmad Rithaudeen sebagai Timbalan Menteri Luar, kerana beliau mempunyai ramai ahli keluarga yang bergerak aktif dalam kumpulan pemisah. Sebetulnya, paman Tengku Rithaudeen yang merupakan seorang MP UMNO adalah ketua utama satu kumpulan pemisah, dan merupakan rakan sedarjah seorang bakal Perdana Menteri Thailand. Namun demikian, waktu itu, apa juga perbalahan dan perbezaan pendapat boleh diselesaikan melalui meja perundingan antara para pemimpin kedua-dua negara. Keadaan itu tidak dapat diulang lagi pada waktu kini.

Keadaan keganasan di Selatan Thailand kini, bermula sejak 2001 lagi, adalah kesan pembabitan tiga unsur yang memainkan peranannya. Masyarakat Melayu Thailand sedar betapa kekayaan mereka pasti datang daripada minyak dan gas, dan tidak mengharapkan percantuman dengan Malaysia, tetapi sebagai satu negara merdeka yang bebas berdiri di atas kaki sendiri. Oleh kerana perkara ini, kerajaan Thaksin Shinawatra di Bangkok sengaja mengecutkan usaha-usaha mencari gali minyak di kawasan tersebut. Beberapa syarikat minyak yang diberikan lesen menggerudi bumi wilayah itu diberikan arahan untuk mengecutkan aktiviti mereka. Bangkok mahu menyekat kemaraan ancaman Selatan itu secara ugutan dan menafikan hak mereka. Bangkok menggembar-gemburkan ketegangan di Selatan Thailand sebagai satu bahagian perang keganasan di peringkat global. Yang sengkeknya inilah propaganda yang turut dipersetujui oleh Kuala Lumpur. Sedangkan inilah propaganda yang tidak dapat diterima akal yang waras. Ada pandangan yang menganggap taktik Bangkok sebagai helah mahu melaksanakan undang-undang tentera di sana, dan ada juga pendapat yang mahu mengotorkan imej kerajaan PAS di Kelantan, serta segala agensinya sebagai bersekongkol dengan pertubuhan fundamentalis Islam yang ekstrem. Propaganda busuk ini pun tidak dapat bertahan lama.

Rupa-rupanya, masyarakat Melayu di Thailand sudah dipengaruhi kini oleh penaung yang lebih berpengaruh. Mereka merupakan satu kumpulan yang cukup berpengaruh dalam negara sendiri yang nampak betapa masyarakat Melayu Thailand tidak perlu bergantung nasib kepada Kuala lumpur ataupun Bangkok. Minyak dan gas sudah cukup untuk disandarkan harapan untuk mereka hidup bebas. ( he.he.he. bukankah itu juga sandaran rakyat Kelantan dan Terengganu akhirnya satu hari nanti? – penterjemah)

Ada sumber-sumber yang menyebut betapa reaksi orang Melayu Thailand telah diserlahkan melalui berita pembunuhan yang dirancang. Begitu juga dengan beberapa rombakan yang berprofil tinggi sepanjang 2002, pembunuhan anggota polis sepanjang 2003, askar dan agamawan Buddha sepanjang 2004. Semua perancangan yang disusun rapi ini menyebabkan Bangkok menuduh Kuala Lumpur sebagai sama terlibat, sedangkan segala itu memang tidak nampak ada kebenarannya. Sesungguhnya, selama Kuala Lumpur membabitkan diri dengan Selatan Thailand, tidak ada satu perancangan jitu yang dirancang sehingga ada ketikanya terpaksa dihantar pasukan yang lebih pakar untuk menyelamatkan keadaan mereka di sana.

Kita mesti sedar betapa masyarakat Melayu Thailand adalah lebih tersusun. Siapa menyusun atur mereka, tidak siapa yang tahu. Yang jelas mereka tidak mampu merancang serangan yang rapi tanpa bantuan luar. Sebagai contoh pada 18 Mac, 40 tempat berasingan telah dicucuh api di Selatan Thailand. Ini merupakan satu tindakan besar-besaran yang tidak pernah terjadi di sana. Tentunya tidaklah menghairankan kalau Selatan Thailand kini dikawal oleh undang-undang tentera sejak Januari tahun ini.

Daripada satu sudut, Selatan Thailand boleh dianggap persis Kashmir – cuma ia merupakan satu ‘Kashmir’ dengan versi Asia Tenggara. Kashmir sebenar merupakan satu wilayah yang sedang dituntut oleh India dan Pakistan untuk kuasa mengawalnya, sedangkan penduduk Kashmir sendiri mahukan kemerdekaan untuk diri mereka. Di satu ketika dahulu, Kuala Lumpur tidak mahu melayan permintaan Thaksin untuk diwujudkan satu pertemuan dua hala di Kuala Lumpur dengan Paklah. Kini Kuala Lumpur sudah bersetuju pula. Jelas, betapa Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Syed Hamid Albar terjebak, kerana pemimpin Thai itu mahu membincangkan peranan Malaysia sebagai medan latihan dan kawasan selamat pemberontak Melayu Thai, dan pembabitan Kuala Lumpur sebagai batu-api yang membuatkan Melayu Thai terus berani merusuh. Yang lebih menakutkan Malaysia ialah ura-ura Thailand mahukan bantuan Amerika Syarikat meredakan keganasan di Selatan Thailand.

Kini, ada pula satu lagi kegerunan yang tidak diperbesarkan di Bangkok: bahawasanya sokongan Malaysia terhadap kumpulan pemisah di Selatan Thailand itu adalah satu dasar haprak kerajaan Malaysia yang mahu menekan Thailand agar bersetuju dibina satu terusan di Segenting Kra (Isthmus of Kra) dalam usaha untuk memisahkan Singapura dan Bangkok.

Sesungguhnya Thailand dan Malaysia memang tersilap langkah dalam usaha menguruskan masalah Selatan Thailand. Kedua-dua belah pihak bukannya arif sangat dengan apa yang perlu mereka laksanakan, gara-gara keghairahan mahu menonjolkan rencana sendiri ka tahap yang paling akhir sekali. Masyarakat Melayu Thailand sudah menjadi macam sebilah kacip di mana pemegangnya dikongsi sama oleh Bangkok dan Kuala Lumpur. Keadaan huru-hara yang semakin sengit adalah sebahagian fenomena itu sahaja. Tetapi sikap acuh-tak-acuh daripada pihak Kuala Lumpur dan Bangkok terhadap nasib masa depan masyarakat Melayu Thailand adalah satu faktor lain pula. Satu ketika dahulu Thailand naik ranggi dengan penemuan minyak dan gas di sempadannya dengan Malaysia, sehingga sanggup membenarkan puak Melayu Thailand naik ghairah sama. Namun demikian sifat kerajaan Thaksin yang lebih nasionalis mahu melihat kumpulan minoriti di Selatan itu sengaja direnggangkan, seacara berusaha menafikan hak asasi kumpulan itu. Inilah yang mencetuskan reaksi berantai yang mengejutkannya. Masalah begini hanya mampu diselesaikan dengan perubahan yang lebih dramatik. Sudah ada satu cadangan kini akan caranya. Cuma, apakah kehadiran seorang raja yang sudah uzur dan dimamah usia mencemar duli di kawasan selatan itu dapat menyelamatkan keadaannya?

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
08.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN