TAG 1496:
Pada Hari Ayah Bercuti 
(Daddy’s day off) Oleh Marina Mahathir The Star Online 31 Disember, 2003


Bagaimana dia sekarang? Tanya mereka kepada saya. “Susah juga nak cakap. Saya sendiri pun tak berapa dapat berjumpa dengannya,” jawab saya pula.

Yang mereka maksudkan sebagai ‘dia’ itu adalah Ayah saya. Sebabnya kenapa saya jarang bersua mukanya ialah kerana dia sendiri pun tidak berdiam diri walaupun seminit sejak bersara ataupun sebelumnya. Sejak 31 Oktober, dia telah berada di Greece, Sepanyol, Jepun, Thailand, Itali, Jepun sekali lagi, Korea Selatan, dan Eropah lagi. (Semacam tidak mahu mengalah, saya pun sudah ke Indonesia, Thailand, Jepun, Indonesia lagi dan Eropah). Ada kalanya kami bersama-sama di beberapa tempat itu, jika tidak begitu, selalunya kami selalu bertanyakan apakah “Ayah dah pulang?”

Tentulah ibu sentiasa mengekori ayah. Tetapi ini bukannya sesuatu yang diminatinya selepas persaraan itu. Ibu fikir dapatlah menyudahkan kerja-kerja memunggah barang-barang di Seri Perdana dulu (tak mungkin ibu dapat menyudahkannya) mengikut keselesaan masanya, dan berlatih dengan bahasa Peranchis serta meluangkan masa untuk cucu-cucunya. Malangnya, tidak begitu jadinya.

Setahun yang berlalu memang merupakan sesuatu yang sungguh luar biasa. Baik daripada sudut yang baik-baik dan daripada sudut yang lagi satu. Biarkan saya sebutkan perkara yang pelik-pelik itu dulu.

Sejurus berakhirnya 31 Oktober, ibu sudah pun keletihan sangat. Tiga bulan yang terakhir ini memang paling membebankan mereka kalau dibandingkan pengalaman yang lalu. Kita tentu masih ingat betapa mereka berada di merata tempat, melayan pelbagai rupa manusia dan keluar setiap malam untuk jamuan makan ataupun apa juga majlisnya. Suami saya pernah pulang setelah mengikuti mereka ke Timor Leste dan Papua New Guinea dan menggelengkan kepala. “Memang mereka gila!” kata beliau setelah melihatkan tenaga ibu bapa saya dan jadual lawatan mereka yang begitu padat.

Selain daripada itu semua, ada sahaja manusia dan ibunya yang mahu bertemu mereka. Seolah-olah semacam “Ya Allah, aku mesti berjumpa dengan mereka SEKARANG!” Seolah-olah mereka terkejut dari tidur selama 22 tahun. Inilah yang mencetuskan kerumitan setiap hari kerana bukannya mudah merangka jadual untuk memberi kepuasan kepada semua orang. Memang ramai orang yang kecewa. (Pernah terjadi seseorang yang muncul di Sri Perdana pada Hari Terakhir untuk menghadiahkan sesuatu dan mempromosikan apa yang sedang dilakukannya, sedangkan semua mata sudah berlinangan merenungnya).

Buka sahaja ibu dan ayah yang terpaksa melalui satu jadual yang begitu padat pada bulan-bulan yang terakhir itu. Adik beradik saya turut juga dihantui masalah yang saya hadapi kerana ditemu bual berulang-ulang kali. Lucu juga apabila memikirkan hanya pada saat-saat akhir barulah orang mahu tahu bagaimana perangai ayah di rumah sendiri. Saya fikir semua itu tidak penting sebelum itu. Akhirnya saya terpaksa minta para wartawan berkumpul beramai-ramai kerana memang tidak ada jalan lain untuk saya memberitahu setiap seseorang mereka secara peribadi dan berasingan. Lagipun mereka mengemukakan soalan yang sama sahaja!

Di sini ingin saya membetulkan beberapa perkara:

Pertama, tarikh lahir yang disebut-sebut untuk Ayah sebenarnya bukan tarikh lahir beliau yang sebenar. Itulah ‘tarikh lahir’ yang diberikan oleh datuk untuk memudahkan ayah masuk sekolah dulu. Tarikh lahir sebenar ialah jauh berbeza di tahun yang sama dan kami mahu merahsiakannya untuk membolehkan ahli keluarga menyambutnya. Faham sahajalah, kami pun mahu menyimpan sedikit rahsia keluarga.

Kedua, lagu ‘My Way’ bukan lagu kegemaran Ayah. Kalau anda dengar perkataan lagu itu dengan hati-hati, anda akan faham kenapa. Semasa beliau masih mencengkam kuasa, kata-kata lagu itu memang tidak sesuai langsung. Hanya sekarang ada sedikit relevannya, tetapi kami kerap mengeluh juga kalau ada seseorang yang bangun menyanyikan lagu itu sebagai satu penghormatan baginya. Cukuplah setakat itu!

Namun, pada bulan-bulan yang terakhir memang kelihatan bagus kerana banyak hal. Mula-mula sekali, kami memang tidak bersedia untuk menyaksikan luahan perasan pelbagai jenis manusia kerana persaraannya. Saya dapat bertahan juga tetapi apabila membaca segelintir kiriman SMS yang dikumpulkan oleh sebuah akhbar, saya pun merasakan tidak tertahan juga. Saya kerap bertanyakan editor mana perginya kiriman yang negatif, dan beliau berkata tidak ada mesej semacam itu. Orang berbelanja untuk mengirimkan mesej yang baik-baik.

Keadaan itu masih berterusan. Salah seorang kawan lama ibu bapa saya minta saya mengucapkan terima kasih kepada Ibu kerana jasanya yang dilakukan oleh ibu pada 1952! Ada seorang teman yang tinggal dan bertugas di Indonesia telah menelefon saya beberapa minggu lalu untuk memberitahu kisah ini: Pada 31 Oktober dia berada di Jakarta menunggu pesawat untuk terbang ke Bali. Semasa menunggu itu dia tersedar yang dia sedang menyaksikan tayangan Hari Persaraan di TV secara lintas langsung. Dia terpegun melihat babak Ayah melangkah keluar pejabatnya untuk kali yang terakhir. Tanpa disedarinya, air mata mengalir sehingga ramai penumpang yang merapati untuk bertanyakan kenapa.

Kawan saya yang berusia 31 tahun, berkata bahawa dia tidak mengenali PM lain dalam seluruh hidupnya. Beliau datang daripada satu keluarga India yang miskin, dan tidak pergi ke universiti sehinggalah sudah lama bekerja terlebih dahulu. Kini dia bertugas sebagai perunding kesihatan awam yang membolehkan beliau berganding bahu dengan perunding daripada negara maju dan diterima sebagai setara di setiap tahap kerja. Ramai orang yang mengenali beliau terkejut mengetahui yang dia datang daripada sebuah negara Dunia Ketiga. Dia telah menelefon untuk memberitahu betapa dia adalah contoh sebenar Malaysia Boleh – betapa seorang warga Malaysia mampu bertugas merata dunia tanpa perasaan rendah diri. Dia percaya, dirinya adalah produk kerajaan yang bertahan selama 22 tahun itu.

Saya sudah begitu tersentuh! Ini adalah seorang anak muda yang muncul daripada satu masyarakat yang terpinggir, bertugas di kalangan penagih dadah, dapat merasakan akan hak asasi manusia dan amat jelas akan pelbagai hal. Namun dia begitu setia kepada negara ini dalam banyak hal, dan mahu saya memahami kenapa semuanya jadi begitu.

{Rehat minda: Hairan juga, anak seorang bekas Perdana Menteri Melayu bercakap perihal hak asasi manusia sedangkan ratusan anak Melayu yang dibelenggu di bawah Akta ISA termasuk seorang mantan Timbalan Perdana Menteri yang diseksa oleh bapanya tidak pernah disentuhnya.... Sebenarnya Marina lupa ataupun tidak ambil kisah keluarga yang terkapai-kapai tidak menentu kerana dituduh menganggotai Al Arqam, Al Qaeda, KMM dan banyak lagi - penterjemah}

Semua pujian yang disiarkan di akhbar memang bahan bacaan yang menyeronokkan untuk dibaca, walaupun ada yang tidak semestinya betul semuanya. Ada satu perkara yang tidak disentuh melibatkan usaha Ayah menaikkan kaum wanita. Saya percaya Ayah telah menaikkan lebih ramai wanita ke perjawatan tinggi semasa dia berkuasa, berbanding sesiapapun sebelumnya. Dia juga telah memastikan bahawa Akta Jenayah Tempatan (Domestic Violence Act) dikuatkuasakan selepas ada usaha pihak tertentu mahu melengahkannya. Ayah pernah bersuara lantang mengenai diskriminasi terhadap wanita, seperti menyebutkan bahawa “adalah lebih baik berkubang bersama khinzir dariapada berjabat tangan dengan kaum wanita” beberapa tahun dulu. Ayah tidak pun merasa hairan melihatkan lebih ramai wanita di universiti berbanding kaum lelaki. Sebabnya kerana beliau amat percaya dengan kebolehan wanita, sedangkan kita tidak boleh bergantung harap kepada lelaki setiap masa. Sebagai contoh, dia kerap memuji para jurutera perunding wanita di Putrajaya yang kerap berada di tempat kerja setiap kali dia menjenguk projek itu selepas waktu kerja, sedangkan petugas lelaki sudah lama pulang ke rumah mereka.

Mungkin juga Ayah merasa senang dengan kaum wanita kerana dia mempunyai seorang isteri dan anak perempuan yang perkasa di rumahnya; termasuk 10 orang cucu perempuan daripada 15 orang cucu semuanya. Akan tetapi dialah ketua dan raja di rumah tidak kira jantina ahli keluarganya.

Kami dapat melakukan sesuatu yang berbeza tahun ini dengan cara berhari raya secara satu keluarga besar untuk pertama kali sejak 22 tahun. Pada petang raya kami telah menziarahi dua kakak ayah, Rafiah (Mak Teh) dan Habsah (Mak Bibi) di Alor Star. Untuk pertama kali dalam ingatan ini, kami telah menziarahi pusara datuk dan nenek saya Mohamad dan Wan Tempahwan. Kami telah mengambil peluang menziarahi beberapa pusara pakcik dan makcik dan saudara lain yang tidak berapa dapat dipastikan pertaliannya. Mak Bibi mempunyai ingatan yang segar dan berkata: “Pada zaman dahulu, kalau ada orang berkata itu adalah saudara kita, kami terima sahaja cakap mereka. Tapi sekarang, orang suka bertanya: “saudara sebelah siapa?”

Kami telah menghabiskan hari raya di sebuah negara jiran. Kami cuba melakukan perkara biasa (ke masjid, bermaaf-maafan, memberi duit raya dan makan-makan). Tetapi ada juga gangguannya kerana umat Islam di masjid tempatan dapat mengenali Ayah dan meminta beliau berucap sedikit. Jadi, dia lewat pulang untuk bersama kami. Namun, kami dapat bersendirian dan menikmati kesepian begitu.

Kami akan berkumpul semacam itu hari ini menjelang tahun baru. Ini adalah kali pertama kami berbuat demikian. Setiap tahun yang sudah-sudah kami leka dengan urusan sendiri, kerana ibu bapa sentiasa terpaksa menyambut tahun baru di Dataran Merdeka. Kami akur semua itu kerana mereka adalah milik orang ramai, walaupun pada ketika semacam itu. Kini, akhirnya itu semuanya adalah peluang kami.

Bagaimana masa depan? Tak boleh cakap saya tahu jawapannya. Diharapkan lebih banyak peluang untuk keluarga berkumpul. Lebih banyak peluang untuk cucu-cucu bersuka ria dan mengelilingi Tok dan Tok Det mereka. Mungkin jua kami dapat menyelaraskan jadual kehidupan kami dengan rentak yang lebih perlahan untuk semua.

Apa pun, segala-galanya memang ternyata pengalaman yang menyeronokkan, walaupun ada naik turunnya. Secara tiba-tiba, 22 tahun sudah berlalu, tanpa kami duga dan bayangkan sebelum itu. Sememangnya satu waktu untuk bergerak sudah tiba masanya.

Secara peribadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang memang telah begitu baik hati sepanjang tempoh ini. Kebanyakan mereka itu adalah orang biasa sahaja yang akan menghampiri saya untuk bertanya dan berkirim salam sedangkan mereka jarang sangat memberitahu nama dan mengharapkan apa-apa. Saya masih ingat dengan penuh nostalgia akan makcik-makcik yang akan memeluk saya untuk memberikan satu kucupan sedangkan saya tertanya-tanya untuk satu waktu yang lama kenapa sebabnya; sehinggalah saya sedar bahawa itu kucupan mesra untuk orang tua saya jua. Saya fikir semua kelakuan yang amat ikhlas itu adalah lebih bermakna berbanding segala hadiah dan sanjungan yang diterima oleh ibu bapa saya kerana itulah lambang perasaan yang datang dari lubuk hati mereka, walaupun melalui orang tengah seperti saya.

Dirgahayu 2004 kepada semua!

http://thestar.com.my/lifestyle/story.asp?file=/2003/12/31/features/6977515&sec=features

Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 01.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Tangguhkan dahulu!