Masa Depan Pemikiran Islam
TAG 1495-1:
Bahagian Satu: Perubahan Besar Di Kalangan Masyarakat Islam
(The Big Change in Islamic Societies) Oleh Tarek Heggy. 26 Disember, 2003

Satu perbandingan antara masyarakat Arab dan Islam hari ini dengan yang berada pada satu abad yang lalu mendedahkan bagaimana menyeluruhnya pemikiran keganasan, seperti yang terpampang dalam masyarakat itu hari ini. Namun, bahaya sebenar tidak berapa berada pada pemikiran keganasan itu yang sudah meresap kepada banyak sektor masyarakat Islam da Arab itu sendiri berbanding penyebaran budaya yang begitu penting pada pertumbuhan dan pembangunannya. Inilah budaya yang membiak kumpulan militan yang membangunkan pemikiran keganasan dan suasana umum yang membenarkan bertapaknya unsur itu. Saya percaya wujud lima faktor bertanggungjawab kepada fenomena ini:

a) Penindasan politik (oleh beberapa bentuk kerajaan yang autokratik sehingga mencekik demokrasi);

b) Kemunculan Islam berunsur Wahabisme (yang muncul dengan pengunduran model yang lebih toleran dan telah lama wujud berabad lamanya);

c) Perkembangan nilai-nilai kekabilahan (tribal values) yang menyusul pengembangan ajaran Wahahbi;

d) Sistem pendidikan yang begitu terasing daripada keadaan semasa;

e) Korupsi yang bermaharajagila, hasil tekanan politik yang tidak dapat dielakkan.

Mungkin juga, antara yang paling berbahaya di kalangan begitu banyak kesan negatif kepada tekanan politik itu ialah kuasanya membunuh pergerakan sosial, di mana ia menafikan unsur yang terbaik dalam setiap masyarakat peluang untuk bangkit kepada kedudukan yang utama dalam pelbagai jurusannya. Kematian kepada proses pergerakan sosial yang sihat itu sehingga menjadikannya dalam situasi yang statik membolehkan orang-orang yang tidak berguna, haprak dan mempunyai perangai yang berunsur gila-gila muncul untuk mengisi jawatan yang tinggi semata-mata kerana berkebolehan untuk memberikan kesetiaan membabi-buta kepada ketuanya. Apabila penindasan membunuh pergerakan sosial, bererti kekurangan pergerakan sosial itu sendiri membunuh kecekapan dalam pelbagai jurusan. Penindasan sememangnya mengundang pengikut, dan bukannya orang yang cekap, dengan membawa kesan bahawa kehaprakan yang menyeluruh itu menjadi perkara yang biasa sahaja. Inilah yang menyebabkan satu situasi kehampaan, dan dari situ muncul pemikiran keganasan, yang meruntun nilai hidup manusiawi, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain. Dengan lain perkataan, masyarakat Arab dan Islam di zaman ini, pada umumnya, sedang terjebak dalam satu persimpangan yang saya syorkan sebagai persimpangan kemusnahan.

Dalam persimpangan kemusnahan ini kita dapat melihat bagaimana autokrasi membunuh pergerakan sosial, kekurangan pergerakan sosial itu menghancurkan kecekapan di semua tahap masyarakat; kekurangan kecekapan di semua tahap masyarakat mencetuskan satu tenaga jahat yang perkasa yang penuh kehampaan, dan kehampaan membiak pemikiran keganasan, meruntun nilai hidup manusiawi yang mewujudkan keinginan untuk membalas dendam.

Selama empat dekad yang berlalu, ramai penulis telah mengemukakan hujah mengenai kebangkitan keganasan dalam begitu banyak masyarakat Islam dan Arab. Yang anehnya tidak ada antara mereka yang menggunakan istilah kecekapan, ataupun tidak cekap (ketidakcekapan), dalam menganalisis fenomena ini. Demikianlah yang dibuat oleh beberapa profesor yang handal-handal seperti Samuel P Huntington (Harvard universiti) dan juga oleh para wartawan. Saya tidak pernah melihat kunci kata penting ini dalam tulisan mengenai perkara ini. Lantas ia menjentik minda kepada satu syarahan yang saya berikan kepada pelajar MBA di American University di Kaherah. Saya pernah menyatakan betapa daripada ratusan perbualan yang saya adakan dengan banyak pihak mengenai tokoh masyarakat, sama ada di tahap tempatan ataupun di tahap antarabangsa, perkataan ‘kecekapan’ tidak pernah muncul. Ini merupakan satu kealpaan yang tidak sepatutnya, kerana banyak masalah adalah disebabkan kurangnya kecekapan sedangkan apa juga kejayaan yang dicapai adalah disebabkan kecekapan. Malahan saya yakin, kehampaan yang dirasakan oleh masyarakat Islam dan Arab seperti kurang daya yang mencetuskan kemarahan dan keganasan, berputik daripada hakikat bahawa masyarakat itu dipimpin oleh manusia yang dipilih bukan kerana kecekapan mereka tetapi kerana kesetiaan dan kesedaran untuk menghambakan diri kepada ketuanya. Dalam bidang sains pengurusan moden, kecekapan itu adalah satu istilah yang tidak diambil peduli oleh sistem politik yang autokratik.

Sistem pendidikan yang jauh terpesong daripada arus pergerakan harian adalah satu hubungan penting dalam rantaian kemusnahan. Sistem pendidikan dalam kebanyakan masyarakat Islam dan Arab menggalakkan konsep memencilkan diri dan memperkasakan sifat pemencilan daripada masyarakat besar yang lain, menggalakkan fanatisme dan ketaatan, tanpa sebarang asas saintifik, dan rangka kerja keagamaan dalam perjuangan adalah semata-mata berunsur politik. Kaedah menyedut ungkapan-ungkapan (teks) keagamaan secara longgar membolehkan mereka menyemai semangat tidak sabar, sehingga tidak mampu bersikap toleran kepada orang lain. Apalagi dengan ketandusan kepercayaan dalam pluralisme, dan penindasan terhadap kaum hawa. Lagipun kebanyakan kaedah pembelajaran mereka diolah untuk membangunkan mentaliti menjawab (patuh) dan bukannya untuk menyoal dan mempertikai. Dalam kebanyakan masyarakat Islam dan Arab, program pendidikan gagal menyemai ajaran di kalangan golongan muda bahawa kemajuan itu adalah satu proses manusiawi, di mana mekanismenya adalah bukan mirip kebaratan ataupun ketimuran, tetapi lebih universal sahaja. Hakikat ini terserlah apabila dilihat senarai negara yang paling maju di dunia ini adalah Barat/Kristian seperti Amerika Syarikat dan Eropah Barat, dan yang lainnya mungkin mempunyai latar belakang Jepun, China ataupun keIslaman seperti Malaysia.

Memang wujud satu kecenderungan dalam bidang kemanusiaan dan sosial untuk menghentikan pembiayaan terhadap pengalaman manusia dalam segala warisan yang terkumpul sejak bertahun-tahun lamanya di antara pelbagai tamadun itu. Dalam satu kisah yang pernah saya berikan baru-baru ini di satu Universiti di Britain, saya pernah berkata betapa pada zaman enam puluhan dulu saya telah banyak membaca karya klasik daripada Homer hingga Sartre, yang mencetuskan pelbagai nama, bahasa dan latar belakangnya. Seperti dengan ramai kontemporari yang lain, saya telah membaca semua tulisan ini dalam Bahasa Arab. Kebebasan yang tidak tersekat-sekat yang kita nikmati waktu dulu untuk menyelam kesusasteraan dunia yang hebat klasiknya telah menghubungkan kita kepada kemanusiaan yang tidak dapat dibayangkan pada hari ini, tanpa sebarang kekurangan dalam bidang penterjemahan di arena budaya di kalangan negara-negara Arab dan Islam. Ramai hadirin kuliah saya ketika itu begitu hairan apabila mengetahui betapa generasi saya telah membaca Aeschylus, Aristophanes, Euripides, Sophocles, Virgil, Dante, Shakespeare, Flaubert, Balzac, Bernard Shaw, Pirandello, Albert Camus, Steinbeck, Faulkner dan pelbagai kemilauan falsafah Jerman dalam bahasa Arab, yang diterjemahkan oleh orang-orang yang kebanyakannya berasal daripada Mesir, Syria, Lubnan dan buku-buku itu diterbitkan di Mesir dan Lubnan.

Hari ini, daya pemikiran antara kaum muda mudi dalam negara Islam dan Arab sudah terpisah jauh daripada segala karya besar hasil kreatif manusia. Pemisahan itu sudah melebar secara dramatik sekali. Tambahan pula, generasi baru sudah tertumpu kepada benda-benda setempat. Inilah yang menjadikan mereka terpisah jauh daripada kemanusiaan sejagat dan pertambahan pemikiran keganasan dan budayanya.

Akan bersambung ke Bahagian 2: Islam dan Pertembungan Tamadun

- Tarek Heggy
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 01.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Tangguhkan dahulu!