Surat Terbuka Hj Ismail Othman kepada Paklah
Tarikh: 23 Mac 2004

Daripada: Hj. Ismail Bin Othman

Kepada: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia

Perkara: Balasan bagi Surat yang Diterima Sebelum Pilihanraya ke-11

Yang Berhormat Datuk Seri,

Terima kasih di atas surat yang dikirim beberapa hari sebelum pilihanraya ke-11 yang lepas.

Syukur, pada hari ini, pilihanraya umum ke-11 sudah selesai dengan aman yang membawa bersama-samanya kemenangan luar biasa yang berpihak kepada Barisan Nasional.  Tahniah dan semoga mandat yang diperolehi akan diambil sebagai amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak.  Maaf, kemenangan luar biasa yang disaluti dengan sejuta persoalan di atas kegagalan SPR sebagai badan bebas bukanlah persoalan yang ingin ditimbulkan di sini

Hari ini, di seluruh negara malah dunia, Malaysia dinobatkan sebagai sebuah negara Islam progressif di bawah pimpinan Datuk Sri – pemimpin yang dikaitkan sebagai ikon kejayaan besar Barisan Nasional.  Dengan kempen anti-rasuah dan Islam Hadhari sebagai pertaruhan, Datuk Sri telah berjaya membawa perubahan besar pada barisan pemimpin yang akan mewakili hasrat dan aspirasi rakyat terbanyak.

Dengan mandat yang diperolehi, walaupun melalui kaedah yang cukup mencurigakan, diharap Datuk Seri akan berjaya menepati segala janji yang diberi pada rakyat sepanjang pilihanraya berlangsung.

Walaubagaimanapun, sebagai ingatan ikhlas, pada Ahad, 14 Mac 2004, kira-kira jam 3 petang, ketika melancarkan manifesto Barisan Nasional, Cemerlang Gemilang dan Terbilang, Datuk Seri telah berulang kali mengulangi sumpah dengan nama Allah, seperti yang disiarkan oleh kesemua siaran television, yang antara lain berbunyi:-

Berjanjilah pada diri, dengan nama Allah, saya tidak akan mengambil dan memberi rasuah”.

Begitu juga pada hari Ahad, 7 Mac 2004, (rujuk Utusan di http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm) seminggu sebelum sumpah itu dibuat, Datuk Seri telah bergambar di hampir kesemua akhbar di mana Datuk Seri telah mengetuai pembacaan doa di pusara Ibu bertemankan isteri.  Ini cukup meyakinkan rakyat terbanyak dan pendokong UMNO/BN; bahawa Datuk Seri adalah pemangkin perubahan dalaman UMNO dan negara - cahaya di hujung terowong yang gelap.

Namun, sebagai ingatan tambahan, di hari yang sama jugalah Datuk Seri memberi arahan kepada wartawan Utusan supaya membuat liputan tentang Kamaluddin Bin Abdullah, anak lelaki tunggal Datuk Seri, yang Datuk Sri dakwa sebagai ahli perniagaan berwibawa yang hanya berniaga di luar negara.

Saya tidak mahu membangkitkan isu Kamaluddin yang mendapat projek 2 Billion Ringgit dari Petronas sehari sebelum pengumuman pembubaran parlimen dibuat.  Saya percaya, rakyat yang matang, boleh melihat sendiri laporan tersebut di dalam The STAR Business, pada 2, 3, 4 dan 6 Mac 2004.  (Rujuk contoh dari the STAR:
1. http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/3/business/7443831&newspage=Search
 
2. http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/4/business/7449909&newspage=Search

3. http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/2/business/7435760&newspage=Search
 
4. http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/4/business/7451936&newspage=Search

Ini tidak termasuk keuntungan Kamaluddin di atas kejayaan media menyelamatkan kebocoran rahsia ini secara besar-besaran, seperti laporan the STAR pada 18 Mac 2004, tiga hari sebelum pilihanraya yang lepas (seperti di http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/18/business/7566276&newspage=Search)

Semalam, 22 Mac 2004, hanya beberapa jam selepas Datuk Seri mengangkat sumpah Perdana Menteri, Kamaluddin sekali lagi membuat keuntungan di atas penjualan sebahagian anak syarikat SCOMI seperti Scomi Transportation Solutions Sdn Bhd kepada Prestar Resources Sdn Bhd dalam di dalam industri pengangkutan untuk menghasilkan keuntungan sekelip mata RM38.25 juta.  (rujuk http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2004/3/23/business/7601706&newspage=Search)

Hari ini, esok dan pada beberapa tahun yang akan datang ini, dengan kemenangan besar Datuk Seri dan Barisan Nasional, Kamaluddin, sebagaimana laporan di atas, akan memberi fokus sepenuhnya pada industri minyak dan gas bersesuaian dengan projek pembinaan pelantar minyak Petronas di Terengganu bernilai 2 Billion yang diperolehi Kamaluddin sehari sebelum parlimen dibubarkan tempohari.

Memang sangat pasti, dengan kepimpinan baru di Terengganu, pastinya rahsia yang berjaya disembunyikan dari rakyat pada pilihanraya ke-11 yang lepas ini akan terus dapat disembunyikan oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar baru, Datuk Idris Jusoh. Tidak lama lagi, dengan penubuhan syarikat petroleum nasional kedua, Kamaluddin sekali lagi akan mendapat durian runtuh untuk bakal menjadi anak perdana menteri yang menjadi orang terkaya di Malaysia, dan dia tidak perlu tunggu sehingga 22 tahun!

Saya dan rakyat sudah memilih Datuk Seri, dan pastinya Kamaluddin adalah orang yang paling beruntung. Namun, sebagai harapan seorang rakyat yang perihatin, janganlah sumpah yang diucapkan pada pelancaran manifesto itu memakan diri, kerana jika itu berlaku, amat malanglah bagi rakyat dan negara ini, kerana cukup terpedaya dengan imej dan gambaran “pemimpin berwibawa”, anak seorang ulama yang dilagukan Raihan “iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa”.

Akhir kata, ingatan ikhlas saya, ingatlah manusia tidak mampu menongkat langit, semoga Datuk Seri dapat muhasabah secara ikhlas pandangan saya di dalam surat ini.  Selamat Bertugas!

Yang Benar,
Hj. Ismail Bin Othman - 24.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN