Anwar akan hadir Kongres PKR: Wan Azizah
Petikan daripada Malaysia Today 21 Oktober 2004 - 1.26 pagi



Oleh: Zulkifli Mohamed (Seruan Keadilan)

Kepulangan Datin Seri Dr. Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Rakyat dari Munich ke Permatang Pauh baru-baru ini, untuk menghadiri perbicaraan petisyen pilihan raya, telah diambil peluang oleh wartawan Seruan Keadilan, (SK) Zulkifli Mohamed untuk menemubual beliau. Temubual berlangsung pada 6 Oktober 2004, selepas beliau mengadakan perjumpaan tertutup dengan pimpinan bahagian, pemuda dan wanita serta jawatankuasa cawangan PKR Permatang Pauh di rumah Ketua Wanita, Hajah Che Wa Harun.

Seruan Keadilan (SK): Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih kepada Datin Seri kerana dapat meluangkan masa untuk ditemuramah oleh Seruan Keadilan.  Dikesempatan ini, boleh Datin Seri maklumkan tentang perkembangan terkini kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Datin Seri Wan Azizah: Alhamdulillah, selepas pembedahan, beliau telah beransur baik setelah menjalani fisioterapi yang rapi. Saya melihat sendiri peralatan yang canggih telah digunakan. Sekarang ini telah beransur kuat. Doktor memberi nasihat jangan terburu-buru untuk membuat aktiviti yang biasa dan normal.

SK: Selaku Presiden PKR, bagaimana Datin Seri melihat keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Datuk Seri Anwar, yang menyebabkan beliau tidak boleh memegang apa-apa jawatan politik sehingga 2008 ?

Datin Seri Wan Azizah: Saudara Anwar telah menyatakan ini merupakan kemudahan kepada beliau untuk membuat keputusan, kerana dengan keputusan mahkamah yang tidak mahu menerima semakan semula dan menolak semakan semula Mahkamah Persekutuan, membolehkan Anwar membuat keputusan beliau tidak aktif memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Namun penglibatan beliau dalam bidang politik ini telah lama dan beliau tidak pernah berhenti walaupun dalam penjara. Nasihat dan pendapat beliau, kami selalu pohon agar beliau berikan untuk perjalanan politik. Walaupun dari segi formalnya, beliau tidak boleh memegang jawatan politik, tapi sebagai penasihat, beliau boleh menjalankan tugas beliau.

SK: Di Munich baru-baru ini, Datuk Seri Anwar telah dikunjungi ramai tokoh politik dalam dan luar negara, apakah objektif dan harapan mereka ?

Datin Seri Wan Azizah: Kehadiran tokoh-tokoh Keadilan, mereka membincangkan perkembangan politik semasa dan masa depan. Begitu juga perbincangan dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr. Haron Din, itulah topik yang dibincangkan. Turut dibincangkan bagaimana peranan Anwar di peringkat antarabangsa yang nampaknya kian menonjol selepas keputusan semakan semula beliau ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. Namun ada juga apabila orang-orang UMNO atau bekas UMNO yang datang, salah satu topiknya ialah tentang Perhimpunan Agong UMNO. Di mana Anwar juga memberi komen, bahawa beliau memang tidak pernah cakap pun mahu sertai UMNO, namun UMNO menjadikan isu Anwar sebagai topik hangat dalam perhimpunan tersebut. Beliau turut memaklumkan kita memang tidak ada "deal", tapi mereka kata ada "deal", itu terpulanglah kepada tafsiran masing-masing.

SK: Dalam Persidangan Agong UMNO baru-baru ini, Anwar telah dikecam sebagai pengkhianat, apa komen Datuk Seri Anwar ?

Datin Seri Wan Azizah: Apabila ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin berkata begitu, Anwar bertanya, "Dia tu tak tahu sejarah UMNO ke ? Apabila nenda beliau sendiri ( Datuk Onn )telah keluar UMNO, tidak pula dikecam sebagai pengkhianat, malah diterima dan dikhtiraf pula sebagai pengasas UMNO. Itulah jawapan Anwar.

SK: Ada pihak-pihak tertentu, mendakwa gerakan reformasi akan kembali ke jalan raya seperti 1998 ?

Datin Seri Wan Azizah: Masa beredar, suasana bertukar. Pada masa itu berlaku protes, kerana beliau dibuang, dipecat, ditangkap dan dipukul serta dihadapkan ke mahkamah. Itu adalah protes. Sekarang ini beliau bebas, kita bersyukur. Suasana dah lain dan penerimaannya juga lain. Kita bersyukur dan menjadi harapan baru untuk kesinambungan perjuangan kita.

SK: Bagaimana media asing melihat Datuk Seri Anwar, pasca pembebasannya kepada perkembangan politik dunia ?

Datin Seri Wan Azizah: Memang beliau menjadi satu bahan media yang begitu menonjol sekali. Malah ada satu kajian yang dilakukan, bahawa "hit" untuk Anwar bebas ini sampai sekarang, adalah paling tinggi dalam abad ini untuk pembebasan seseorang. Dan kita lihat dalam undian dalam majalah Times Online, untuk Hero Asia, beliau mendapat tempat kedua di belakang Aun San Suu Kyi. Di Munich, salah seorang daripada doktor yang merawatnya memberitahu, anaknya yang belajar di sebuah pekan kecil di Switzerland, yang mempunyai penduduk lingkungan 5000-6000 orang, dalam surat khabar yang diterbitkan di sana pun ada menyiarkan berita pembebasan Anwar. Jadi di mana ceruk pun, ada berita Anwar bebas yang menjadi bahan menarik perhatian orang, dan kita dapat melihat bagaimana media mengambil kesempatan itu juga membuat sedikit keuntungan pada masa itu.

SK: Apa harapan Datin Seri terhadap kongres pertama Parti Keadilan Rakyat pada Disember nanti, dan nasihat Datin Seri kepada mereka yang akan bertanding untuk memegang jawatan dalam parti nanti ?

Datin Seri Wan Azizah: Alhamdulillah, kita akan menjalani kongres pertama selepas percantuman. Kita melihat ini sebagai era baru , harapan baru, untuk persada politik negara. Kita melihat penyakit-penyakit yang melanda parti-parti politik yang lama, terutamanya parti politik yang terlama, kita tidak mahulah ini berlaku dalam parti yang kita bina, tubuh dan pupuk bersama untuk hindari gejala yang berlaku ini. Saya kira, kita mempunyai dan dokongi semangat reformasi ini, dan kita hidupkan dalam persatuan dan organisasi kita.

SK: Adakah Datuk Seri Anwar akan turut menghadiri Kongres Pertama PKR nanti?

Datin Seri Wan Azizah: Ya, InsyaAllah, beliau akan bersama kita, tapi ada berpendapat kemungkinan jika beliau hadir nanti akan menarik tumpuan semua. Beliau sendiri menyatakan, kita buat kongres dahulu, dan beliau akan bersama selepas itu, mungkin sewaktu majlis penutupan.

SK: Bagaimana Datin Seri melihat Petisyen Permatang Pauh yang masih berlangsung sekarang?

Datin Seri Wan Azizah: InsyaAllah, ini bukan sahaja ujian untuk kita, tetapi juga ujian untuk bekas imam. Seorang yang disanjung dulu dan saya rasa, seperti hari ini ketika saya memberikan keterangan sebagai saksi, saya berasa janggal untuk memburuk-burukkan terutama orang yang kita sanjung. Tapi beliau sendiri telah membuatkan satu proses mendedahkannya. Saya dimaklumkan di mahkamah, saya mesti bercakap, apa yang berlaku mesti kita suarakan. Jadi saya rasa, biarlah kita mengambil iktibar. Jadi kita pulangkan kepada hakim untuk membuat keputusan yang sewajarnya.

SK: Jika ditakdirkan pada masa depan Datuk Seri Anwar, menerajui kerajaan, adakah Datin Seri akan terus bergiat dalam politik dan memimpin parti ?

Datin Seri Wan Azizah: ( Ketawa) Kita kena tunggulah, itu spekulasi, saya tidak dapat beri jawapannya sekarang.

SK: Bila Datuk Seri Anwar dijangka pulang ke Permatang Pauh ?

Datin Seri Wan Azizah: InsyaAllah dalam bulan puasa, tarikhnya belum ditetapkan lagi.

SK: Terima kasih Datin Seri, selamat menunaikan Umrah dan selamat kembali ke Permatang Pauh.

Datin Seri Wan Azizah: Sama-sama

Sumber: Malaysia Today / Seruan Keadilan - 21.10.2004
(Emel M@RHAEN: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: