Jackie Chan Bebas Setelah Badan Penilai Puas Hati Dengan Rayuan
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bekas ketua MCA cawangan Persiaran Gurney, Pulau Pinang, Ong King Ee atau lebih dikenali sebagai "Jackie Chan" dibebaskan pada 30 Jan lepas setelah panel khas berpuas hati dengan alasan rayuannya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin berkata setiap pusat tahanan mempunyai panel tersendiri yang akan bertindak untuk memutuskan sama ada setiap tahanan itu boleh dibebaskan atau sebaliknya.

"Apabila dia ditahan dia boleh cabar atau mengemukakan rayuan. Bukan sahaja Jackie tetapi orang lain juga. Apabila dia ditahan di tempat-tempat tertentu, ada panel yang boleh menilai, berhak untuk bertanya dan mengetahui mengapa dia ditahan serta (meneliti) bukti-bukti lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Anti Dadah Kebangsaan di Dewan Ibu Pejabat Kebangsaan di sini, Isnin.

Zainal berkata demikian apabila ditanya oleh pemberita mengenai pembebasan pemimpin kontroversi itu

Beliau berkata panel terbabit berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan dan telah menyokong pembebasan Jackie yang ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat 1969.

Ong yang juga didakwa ketua kumpulan kongsi gelap Sio Sam Ong (Tiga Maharaja Kecil) menyerah diri kepada polis di ibu negara pada 31 Julai tahun lepas dan ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor sebelum dibebaskan setelah mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Zainal berkata pembebasan itu tidak bermakna Jackie tidak boleh ditahan semula jika dia melakukan kesalahan jenayah.

"Yang bebas ini tidak bermakna dia tidak boleh disentuh dan sesiapa yang telah terlepas dan jika melanggar peraturan, mereka akan ditangkap semula," katanya.

Sumber: Bernama: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=45205 - 09.02.2004



Berita Hairan: MCA belum terima permohonan ‘Jackie Chan’ sertai semula

KUALA LUMPUR: MCA belum menerima sebarang permohonan daripada bekas Ketua MCA cawangan Persiaran Gurney, Ong King Ee atau lebih dikenali sebagai ‘Jackie Chan’ untuk menyertai semula parti itu.

Pengerusi MCA Pulau Pinang, Wong Kam Hoong, berkata mana-mana individu yang berminat menyertai parti itu perlu memohon melalui prosedur sah.

“Mereka yang berminat menjadi ahli MCA perlu menghantar borang permohonan ke mana-mana cawangan MCA, mendapatkan persetujuan mereka dan kemudiannya borang itu akan dihantar ke Jawatankuasa Pusat (CC) parti sebelum diluluskan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ong yang juga ketua kumpulan kongsi gelap Sio Sam Ong (Tiga Maharaja Kecil) itu meletak jawatan dan menyerah diri kepada polis di ibu negara pada 31 Julai lalu.

Dia ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat 1969 dan dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor.

Pada 30 Januari lalu, dia dilepaskan daripada tahanan selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Ong dan rakannya, Chee Kok Loong, 26, sebelum ini dikehendaki kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah seperti mengedar dadah, membunuh, menculik serta merompak di Pulau Pinang dan negeri jiran.

Mereka juga dipercayai terbabit dalam pembunuhan ngeri membabitkan enam orang, termasuk sepasang suami isteri di Sungai Petani, Kedah pada 1992.

Wong berkata, CC perlu mengkaji rekod dan jenis jenayah yang pernah dilakukan oleh Ong sebelum memutuskan sama ada hendak melulus atau menolak permohonannya.

Beliau berkata, mengikut Perkara 14.1 Perlembagaan MCA, seseorang itu tidak boleh menjadi ahli atau boleh dilucutkan keahliannya jika beliau didapati tidak layak memegang jawatan atau menyertai mana-mana parti politik mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Perkara 14.2 pula menyatakan bahawa nama individu yang didaftar di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) tidak boleh menjadi ahli MCA.

Perkara 14.3 pula menyatakan bahawa sesiapa yang pernah dikenakan tindakan mengikut sub seksyen (4) Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966 atau sebarang undang-undang sedemikian di negeri lain.

Perkara 14.4 menjelaskan bahawa bekas ahli yang pernah dilucutkan keahlian atau keluar daripada parti dan belum mendapat kelulusan secara bertulis daripada Jawatankuasa Pusat (CC) parti untuk memulihkan keahliannya.

Sumber: Berita Harian: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Nasional/20040208223548/Article/

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN