Bekas Bos Perwaja Eric Chia Ditahan BPR
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Isnin selepas siasatan bertahun-tahun berhubung kerugian bernilai berbilion ringgit yang dialami oleh syarikat pengeluar besi waja itu.

Penahanan beliau dimaklumkan dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara dan BPR.

Menurut kenyataan itu lagi Chia, 71, ditangkap oleh sepasukan anggota BPR di kediamannya di Petaling Jaya pada pukul 3.45 Isnin petang dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Selasa.

Kemelut Perwaja telah disiasat oleh BPR dan polis sejak 1996 dan lebih 50 orang saksi, di dalam negara dan di luar negara, termasuk Chia sendiri serta sebilangan kakitangan Perwaja telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Kerajaan mengarahkan siasatan dijalankan selepas satu laporan audit oleh firma audit Coopers and Lybrand menunjukkan kedudukan kewangan Perwaja dalam keadaan tenat.

Pengeluar besi-waja yang berpangkalan di Terengganu itu dikatakan menanggung beban hutang berjumlah RM10 bilion membabitkan RM926 juta dalam liabiliti semasa, RM6 bilion dalam liabiliti jangka panjang dan kerugian terkumpul sebanyak hampir RM3 bilion.

Sumber: Bernama: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=45208

HarakahDaily: BPR tahan Eric Chia

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh)- Bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia telah ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di rumahnya, Petaling Jaya jam 3.45 petang tadi.

Beliau dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Kuala Lumpur esok.

Sementara itu, PAS menyambut baik tangkapan tersebut kerana sudah lama ianya diharapkan oleh pelbagai pihak.

AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dalam kenyataannya kepada Harakah berharap lebih ramai lagi pemimpin yang terbukti salah diambil tindakan selepas ini.

Antaranya di kalangan pemimpin Umno sendiri, katanya.

Sementara itu, seorang pemerhati politik yakin para pemimpin Umno tidak akan diambil sebarang tindakan oleh BPR.

Ini kerana, tindakan ini diambil untuk mengukuhkan apa yang dikatakan imej bersih Perdana Menteri tetapi dia tidak akan bertindak sampai menyusahkan Umno dan pemimpinnya.

"Walaupun sudah terbukti dalam kes Ezam Mohd Nor dakwaan terhadap Dato' Seri Rafidah itu asli (genuin), BPR tidak akan berani mendakwa Rafidah," katanya. - zs

Sumber: HarakahDaily: http://harakahdaily.net/article.php?sid=6030&mode=thread&order=0

09.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN