Selangor Dan Melaka Akan Dapat MB-KM Baru?
Oleh Rajawali

Dalam kesibukan orang membicarakan pembebasan mantan TPM Dato Seri Anwar Ibrahim dan adik angkat beliau Sukma oleh Mahkamah Persekutuan semalam 2 September 2004 mungkin cerita yang akan disampaikan ini kurang menarik minat umum.

Apa pun anggaplah cerita yang akan dipaparkan ini sebagai selingan sekadar untuk menambah kegembiraan para pencinta keadilan yang sedang meraikan pembebasan wira sanjungan mereka itu.

Ceritanya berkenaan dengan amalan politik wang yang sedang membarah dengan teruknya di dalam Umno kini. Berbuih-buihlah sekelian mulut para pembesar Umno memerangi gejala buruk itu namun hasilnya tetap tidak mencapai matlamat kerana yang menjadi jaguh kepada politik wang itu adalah para pembesar yang besar dengan kerakusan itu sendiri.

Menurut maklumat sulit yang begitu rapat dengan pucuk pimpinan tertinggi parti akan ada suatu tindakan drastik bakal diambil untuk `mengajar` tokoh tertentu dan seterusnya membatalkan penyertaan mereka dalam persaingan untuk merebut jawatan Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi ( MT ).

Jangan terperanjat jika di dalam jangka waktu yang terdekat ini MB Selangor Dato Seri Dr.Khir Toyo akan diisytiharkan sebagai kandidat tidak layak bertanding kerana mengamalkan politik wang. Nasib yang sama akan menimpa Ali Rostam KM Melaka dan Tan Seri Isa A.Samad Menteri Wilayah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Jika hal itu benar-benar terjadi ertinya masa depan politik mereka sudah pastinya punah ranah. Walaupun Dr Khir dan Ali Rostam masing-masing ketua pentadbir kerajaan negeri dikuasi oleh Umno BN yang `mewajibkan` mereka duduk di kerusi MT Umno tetapi penulis yakin bahawa PM Pak Lah tidak akan membenarkan mereka menyertai semula barisan kepimpinan tertinggi Umno ( MT).

PM Pak Lah boleh sahaja memilih semula mereka yang terbabit dengan politik wang itu sebagai anggota MT menerusi kuota lantikan Presiden tetapi kalangan pemerhati politik amat yakin Pak Lah tidak akan berbuat begitu demi mengotakan janjinya untuk membanteras politik wang dan lain-lain amalan negatif di dalam parti.

Ke mana sudahnya Dr Khir dan Ali Rostam selepas Perhimpunan Agung Umno ditakdirkan nasib mereka benar-benar begitu ? Demi menjaga `nama baik` Umno maka mereka akan meletakkan jawatan sebagai KM dan MB,Isa Samad pula akan dinasihatkan mengosongkan Kementerian Wilayah untuk diisi oleh tokoh yang tidak main wang di dalam meraih undi.

Rajawali - 03.09.2004 (suntingan M@RHAEN)


Hantar artikel ini kpd sahabat: