MELATAH HARI KHAMIS
SENDIRI BUAT, SENDIRI KATA OKAY…
Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Kita umpamakan diri kita sebagai orang yang diamanahkan untuk menyediakan laporan terperinci berhubung dengan satu projek, apabila siap kita pun memajukan kepada Bos kita. Adakah kita yang perlu memaklumkan yang bos kita berpuas hati atau Bos kita sendiri yang akan mengeluarkan kenyataan yang dia berpuas hati dengan laporan projek kita. Kalau kita sendiri yang memaklumkan demikian amatlah tidak kena dan tidak selayaknya, apatah lagi sekiranya Bos kita itu Perdana Menteri. Tetapi lihatlah apa kata DS Samy Vellu.:
PM puas hati laporan projek - Samy Vellu
Oleh: HELMI MOHD. FOAD
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpuas hati dengan laporannya berhubung pelbagai masalah projek yang berkaitan dengan kementeriannya.

Samy Vellu berkata, beliau telah membentangkan laporan enam projek yang bermasalah dan tindakan penyelesaian yang telah diambil oleh kontraktor, syarikat konsesi dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Katanya, laporan itu dibentangkan dalam pertemuan selama 35 minit dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 2 petang ini.

Laporan berkenaan menyentuh mengenai keretakan jejambat Lebuh Raya Lingkaran Tengah 11 (MRR2); Lebuh Raya Pantai Timur (LPT); Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang diserang kulat; kecacatan bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Gua Tempurung dan projek jalan baru di Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

Lihatlah justifikasi yang digunakan oleh DS Samy Vellu untuk mengatakan yang PM berpuas hati dengan laporan yang dibentangkannya:
Sehubungan itu, beliau menyatakan Perdana Menteri telah mengarahkan agar laporan tersebut dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet esok.

''Jika Perdana Menteri tidak puas hati, mengapa beliau meminta saya membentangkannya (laporan tersebut) kepada Jemaah Menteri, beliau berpuas hati dengan penjelasan saya,'' katanya.

Sungguh enak didengar, cantik dipandang dan murni perlaksanaan dan dilakukan oleh Menteri Kerja Raya yang mematuhi semua aturcara pemberian kontrak seperti mana diterangkan oleh DS Samy Vellu. Kalau sedemikian rupa perlaksanaannya, di manakah lagi silapnya kerja Menteri Kerjaraya ini. Ahli Parlimen yang menggesa beliau meletakkan jawatan perlu menunjukkan bukti, perhatikan kenyataan dari DS Samy Vellu ini:
Pada sidang akhbar hampir satu jam itu, Samy Vellu berkata, kenyataan beberapa ahli Parlimen terhadapnya adalah satu cara baru bagi mendesak Menteri Kabinet memberikan jawapan pada sidang Dewan Rakyat.

"Ini sebenarnya menggalakkan orang lain yang tidak mempunyai kaitan membuat tuduhan yang sama. Tuduhan-tuduhan itu adalah tidak mempunyai puncanya kerana kalau mahu menuduh mesti kemukakan bukti, mana ada bukti,'' katanya.

Sebaliknya, beliau menyatakan, banyak pihak termasuk orang awam salah faham dan percaya bahawa setiap menteri Kabinet mempunyai kuasa memberikan projek kepada sesiapa yang disukai. Kata DS Samy Vellu.
Sedangkan jelasnya, apabila tawaran tender dikeluarkan ia akan dihantar kepada Lembaga Penilaian yang dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk daripada Kementerian kewangan.

"Segala keputusan dibuat tanpa pengetahuan Menteri dan semua tender diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Apabila sudah lulus baru fail dihantar kepada Menteri dan ia akan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya. Itulah kuasa besar Menteri,'' katanya.

Persoalan yang timbul adalah MENGAPA SEGALANYA ITU ADALAH INDAH KHABAR DARI RUPA sahaja. Cakap tak serupa bikin, baling batu sembunyi tangan. Orang lain memotong nangka, orang lain pula yang kena getahnya.

Perkara ini akan berterusan selagi orang yang sama, kelakuan yang sama, emosional yang sama, suasana yang sama, amalan yang sama berterusan. Permainan politik yang amat merugikan rakyat ini akan berterusan sekiranya pemainnya tetap ahli politik yang sama untuk beberapa tahun akan datang ini. Berpolitik tidak salah tetapi salah pemainnya akan menyebabkan rakyat dipaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tidak berfaedah dan tidak pada tempatnya.

Pemerintah Negara yang merasakan diri dan sentiasa memperakui negara menuju era kematangan, globalisasi dunia tanpa sempadan, berpandangan jauh ke hadapan tetapi jelas kelihatan individu-individu yang amat mementingkan diri sendiri, merasakan diri mampu bekerja sekalipun rakyat terbanyak mengatakan tidak mampu lagi, minda yang mundur dan sempit masih mahu berpaut di tampuk pemerintahan negara. Malaysia yang berjaya adalah Malaysia yang berani Keluar dari paradigma pemerintahan yang kalut kepada pemerintahan yang telus, adil, terbuka dengan gaya baru Malaysia Baru.

..….. Pak Ngah - 21.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: