MELATAH HARI SELASA
KALAU RAMAI DAH TAK MAHUKAN KITA, KITA BERUNDURLAH...
Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Pak Ngah tetap kenang jasa DS Samy Vellu yang telah menjadi menteri semenjak 1979 lagi. Masa telah berubah bak kata pepatah “Sekali air bah sekali pantai berubah”. Apa salahnya, kan ianya lumrah alam. Di kampung Pak Ngah ini ada seorang imam, warak orangnya, kalau nak cari ganti memanglah sukar tetapi semenjak beberapa tahun kebelakangan ini ramai pula anak-anak kampung lulusan Al Azhar telah kembali. Sebutan huruf dan bacaannya anak muda jelas dan penuh tertib dan tajjuwidnya. Sebagai seorang imam yang warak dan berilmu beliau dengan berlapang dada melepaskan jawatannya dan melantik anak kampung yang muda pula. Begitulah agaknya tertib orang berilmu ye.

Dalam suasana politik tanah air ianya amat berbeza. Gesaan oleh Ahli-ahli Parlimen BN kepada DS Samy Vellu kian berpanjangan, jawab menjawab, kesudahannya siapalah yang tahu. Berikut petikan akhbar utama pada hari ini:

Hanya PM berhak tentukan kedudukan saya - Samy Vellu
Oleh: ZALINA YAHAYA
SEREMBAN 17 Okt. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan, hanya Perdana Menteri yang berhak menentukan kedudukannya sebagai menteri dan bukannya mengikut telunjuk dan desakan ahli-ahli Parlimen.

Kata beliau lagi, hanya Perdana Menteri sahaja berhak memecatnya jika didapati prestasi beliau tidak baik dan tidak layak lagi menjadi menteri.

"Soal letak jawatan terletak pada Perdana Menteri, tetapi kalau ahli Parlimen menuding jari kepada saya dan meminta saya letak jawatan, ia bukan satu perkara yang baik,'' tegasnya di sini hari ini.

Semenjak dahulu kita tak pun pernah dengar ada masalah, tetapi bila adanya gesaan supaya meletak jawatan baru timbul masalah. Kan lebih baik dari dulu, semua masalah ini didedahkan, barulah semua rakyat boleh nampak di mana sebab musababnya. Maklumlah rakyat mana boleh korek atau cari rahsia kerajaan sebab adanya OSA. Elok jugalah bila berlaku keadaan seperti ini, bolehlah rakyat melihat siapa yang membuat masalah tersebut.

Lihat petikan berikut:

Dalam laporan itu Samy Vellu berjanji mendedahkan ‘siapa yang membuat masalah’.

Menteri itu yang dikecam di Dewan Rakyat minggu lalu berikutan beberapa masalah yang timbul berkaitan projek seliaan kementeriannya juga berjanji menjawab ‘segala-galanya’ di Parlimen kelak.

Samy Vellu berkata, beliau akan memberi penjelasan kepada Abdullah sebelum membentangkan dalam mesyuarat Kabinet, keesokan harinya dan menyerahkannya kepada media jika mendapat kebenaran Perdana Menteri.

Kenyataan DS Samy Vellu ini adalah ekoran dari kenyataan PM semalam yang berbunyi:
Beliau mengulas mengenai kenyataan Abdullah kelmarin yang kecewa dan tidak berpuas hati dengan masalah pelaksanaan dan penyelenggaraan projek kerajaan, terutama berkaitan Kementerian Kerjaraya.

Sehubungan itu, Abdullah mahukan Samy Vellu menyerahkan laporan dan memberi penjelasan kepada beliau berhubung semua projek bermasalah di bawah seliaan kementerian itu.

Antara projek terbabit termasuk keretakan 31 daripada 33 tiang jejambat di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong dekat ibu negara, hospital berkulat di Johor Bahru dan terbaru kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Gua Tempurung, di Ipoh, Isnin lalu.

Masalah beberapa sekolah di Johor, Melaka dan Langkawi yang masih gagal memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF) walaupun siap pada 2001 serta kelewatan projek jalan berkembar di antara Mentakab dan Temerloh, turut menjadi perhatian Abdullah.

Berhubung dengan kenyataan DS Samy Vellu seperti berikut ini, terserahlah kepada rakyat untuk menilai sendiri kesudahannya.
Ketika ditanya mengenai kritikan, termasuk desakan daripada Ahli Parlimen yang menyuruhnya meletakkan jawatan berhubung masalah projek berkenaan, Samy Vellu menyifatkan ia tidak adil, sukar dipercayai dan perlu diabaikan.

“Sekiranya itu prosedurnya (untuk suruh menteri letak jawatan), setiap menteri kena letak jawatan. Jika berlaku hujan lebat, menteri kena letak jawatan, berlaku kemalangan jalan raya, seseorang meninggal dunia di hospital... menteri kena letak jawatan?”

“Saya fikir (desakan meletak jawatan) itu tidak adil, sukar dipercayai dan perlu diabaikan. Sebaliknya, saya akan bentang dan menjawab segala-galanya di Parlimen nanti. Saya tidak takut pada sesiapa.

Akhirnya dari Pak Ngah, Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kemarau setahun hujan sehari manakan dapat petani bercucuk tanam. Setiap sesuatu peristiwa yang berlaku tentulah ada hikmahnya, Sekiranya permata, walaupun di dalam Lumpur tetap terpancar cahayanya tetapi kalau kaca digilap bagaimana pun ianya tetap kaca. Selamat berpuasa dan bergembiralah di bulan penuh barakah dan nikmat ini. Salam daripada Pak Ngah dan rajin-rajinlah Tarawikh dan meningkatkan amal kebajikan yang lain semoga kita ketemu Lailatulqadar.

..….. Pak Ngah - 19.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: