MELATAH HARI SENAYAN
PAK NGAH TABIK KEPADA DR. MAHATHIR
DALAM ISU MENOLAK BUSH

Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Kalau nak marah kepada Pak Ngah kali ini, marahlah, Pak Ngah terima dengan hati terbuka tetapi sesiapa juga nak jaga Islam tetap Pak Ngah kata bagus, begitu juga kepada Dr. M.

Bila Dr. M kata tolak Bush, Pak Ngah kata cukup bagus tetapi bukankah lebih elok kata masa tengah dok memerintah dulu. Masa nak serang Afghanistan dulu, masa nak berbincang dengan Arafat dulu, masa sebelum serang Iraq, masa boleh bercakap di PBB dulu, semuanya yang dulu-dulu lah. Masa ada kuasa dulu. La ni dok buat apa, bukan boleh buat apa lagi pun dah…. Dah tak jadi PM.. tetapi baguslah juga, tak lah melalut tak ketahuan sangat lagi...

Lihatlah petikan semangat Dr. M seperti berikut:

Dr. M gesa tolak Bush
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa umat Islam di Amerika Syarikat (AS) bersatu menyingkirkan Presiden George W. Bush pada pilihan raya Presiden negara itu 2 November ini demi Islam dan keadilan.

Bekas Perdana Menteri menegaskan Bush mesti disingkirkan kerana beliau menjadi punca umat Islam menderita sejak empat tahun lalu, iaitu yang terburuk sepanjang sejarah perkembangan Islam.

Katanya, terdapat kaitan yang sangat jelas antara nasib umat Islam yang ketika ini dihina dengan polisi dan cara pemikiran Bush sejak mula memimpin AS pada Januari 2001.

"Kita tidak boleh mengharapkan banyak perubahan polisi AS terhadap Islam dan umatnya walaupun di bawah Parti Demokratik atau Republikan tetapi tugas kita ialah memastikan Bush tidak lagi menjadi penentu nasib kita untuk empat tahun lagi.

"John Kerry mungkin tidak ada bezanya tetapi calon-calon Presiden AS mesti disedarkan bahawa dalam demokrasi negara itu, umat Islam mempunyai suara dan mampu mempengaruhi pemilihan pucuk pimpinan negara itua.

"Saudara-saudara sekelian, singkirkan Bush dari White House kerana itu adalah ibadah,'' tegasnya dalam surat terbukanya kepada umat Islam AS yang dipetik dari laman web www. IslamiCity. com.

Menurut Dr. Mahathir, Presiden AS telah membuktikan kepada dunia bahawa beliau sendiri sebenarnya menjadi puca tragedi di Afghanistan, Palestin dan Iraq.

Katanya, rakyat di negara-negara terbabit termasuk kanak-kanak, wanita, penduduk yang tidak berkeupayaan dan menderita terus dibunuh di negara mereka.

"Atas alasan kononnya mahu menghapuskan pengganas, seluruh penduduk bandar dan kampung dimusnahkan dengan serangan roket dan bom,'' ujarnya.

Di Palestin pula, katanya, kereta kebal milik Yahudi menyerang kampung-kampung dan bandar dengan membunuh lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

"Semua ini dilakukan dengan perakuan Presiden Bush dan kuasa veto AS dalam Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); dan tidak dapat dinafikan beliau akan meneruskan (sikap itu) jika dipilih semula,'' jelasnya.

Namun begitu, jelasnya, dengan izin Allah, Bush akan kalah dan Kerry akan menyedari kemenangannya adalah kerana sokongan penduduk Islam.

"Insya Allah, Presiden Kerry akan ingat kepada umat Islam AS apabila memerintah negara nanti,'' jelas Dr. Mahathir.

Memandang Dr M telah menunjukkan minat di jalan Islam, Pak Ngah mengesyorkan kepada Dr. M untuk memberikan ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar. Apa salahnya. Dulu pun beliau pernah berceramah di pentas PAS. Kalau orang ingin bersama perjuangan Islam dan kembali bersama Islam, sesiapa pun sepatutnya diterima.

Bolehkan tuan puan bayangkan Dr M berucap di Taman Melewar? Menyatakan secara terbuka memohon ampun maaf kepada rakyat, apa jua yang telah berlaku sama ada secara sedar atau tidak sedar. Apakah ada manusia mampu berbuat demikian? Jika ianya berlaku ianya manusia amat hebat. Allah maha mengatur segala-galanya. Umat sebelum ini banyak juga yang amat buruk tingkahlakunya, tetapi dengan kebesaran Islam mereka kembali ke jalan Islam dan menjadi manusia yang patuh dan insaf di akhir hayat mereka, Semoga Allah melapangkan dada Dr M. Pak Ngah menantikan saat itu.

..….. Pak Ngah - 18.10.2004
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: