Politik Syok-Syok Sendiri:
‘Cintakan Keamanan’ Adalah Satu Slogan Besar
“Rakyat Malaysia merupakan rakyat yang amat cintakan keamanan”, demikian kata media perdana dan diulang-ulang setiap hari untuk menjadi ungkapan basahan para Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan seranta.

Akan tetapi adakah timbul satu soalan: rakyat negara mana yang tidak sukakan keamanan? Tidak ada satu insan di dunia ini yang tidak inginkan keamanan. Kita melihat banyak negara luar bergocoh dan berperang, kerana matlamat asal dan utama mereka ialah kerana mahukan keamanan.

Afghanistan sedang bergelora walaupun Amerika dan tentera bersekutu telah berada di sana lebih tiga tahun dengan matlamat membawa keamanan. Rakyat peribumi yang sudah berperang sesama sendiri selepas berjaya menumpaskan penjajahan Rusia, sebenarnya menaruh harapan mahukan keamanan. Apabila Amerika menyerang mereka, alasan besar Amerika ialah mengalahkan Taliban dan kumpulan Al-Qaeda, untuk membawa ‘keamanan yang berkekalan’. Akan tetapi, rakyat Afghanistan yang cuba mempertahankan martabat negara mereka ditangkap, ditahan dan diseksa nun jauh di Kem X-ray Teluk Guantanamo di Cuba atas nama mencari jalan untuk mewujudkan keamanan di Afghanistan. Hingga ke hari ini, Amerika tidak berjaya mewujudkan keamanan itu dan sudah ada rencana untuk Amerika menarik askarnya menjelang cuti Krismas ini.

Orang Afghanistan menganggap Amerika menceroboh negara mereka atas nama mahu menegakkan keamanan, sedangkan mereka dapat membaca muslihat sebenarnya ialah menguasai rantau itu sebahagian rencana besar menguasai agihan minyak dan gas di rantau itu.

Semasa Amerika menyerang Iraq tujuan mereka ialah menumpaskan rejim Saddam Hussein dan mahu membawa keamanan juga. Iraq ditohmah sebagai menyimpan Senjata Pemusnah yang berbahaya (Weapons of Mass Destruction =WMD) sedangkan kumpulan anggota pencari senjata itu yang ditaja oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) mengesahkan yang memang tidak wujud senjata jenis itu di bumi Iraq. Amerika terus menyerang dengan bantuan Britain, walaupun kuasa besar yang lain menentangnya.

Ternyata bahawa perkataan ‘keamanan’ itu menjadi satu kata laluan Amerika untuk mencengkam pengaruhnya tanpa niat sebenar mahu mewujudkan suasana keamanan.

Tindakan Amerika itu telah diperlekeh oleh TKT Mahathir di mana juga dia diberi ruang bercakap di pentas dunia. Hinggalah pada persidangan OIC di Putrajaya TKT Mahathir berkata bahawa gelagat Amerika mahu menjadi ‘sheriff’ dunia adalah sebagai proksi Israel.

Apabila TKT Mahathir mengatakan tindakan Amerika itu tidak patut kerana menindas rakyat Afghanistan dan Iraq tanpa bukti yang nyata, dia sebenarnya turut menyindir diri sendiri dengan gelagatnya menangkap rakyat negara ini dengan menggunakan Akta ISA ataupun Akta Rahsia Rasmi Negara, tanpa bukti yang nyata.

Sudah beratus-ratus rakyat negara ini yang disumbat ke dalam penjara di bawah ISA tanpa bicara dan tanpa hak mendapatkan bantuan guaman mempertahankan hak mereka. Apakah bezanya antara penangkapan beramai-ramai rakyat negara ini di bawah ISA dengan penangkapan pejuang kebebasan Afghanistan oleh Amerika dan membawa mereka ke Kem X-Ray di Cuba?

Jelas, TKT Mahathir menggunakan faktor keselamatan dan keamanan negara sebagai helah untuk menggunakan Akta ISA dan apa juga undang-undang zalim di negara ini.

Keamanan Untuk Siapa?

Sepanjang pemerintahan kuku-besi TKT Mahathir, perkataan ‘keamanan’ itu menjadi topeng untuk dia mengekalkan satu rejim yang bersifat autoriter dan beliau menjalankan peranan seorang diktator yang dilakonkan mengikut ‘acuan sendiri’. Lantas beliau kerap berkata bahawasanya ‘kita di Malaysia mengamalkan demokrasi mengikut acuan sendiri’.

Sememangnya perkataan ‘diktator’ itu nampak satu perkataan yang keras, kerana kita cepat membuat perbandingan dengan pemerintahan di negara lain ataupun membelek lembaran sejarah untuk membuat perbandingan dengan rejim yang dahulu-dahulu di negara asing.

Akan tetapi dengan membuat acuan sendiri mengekalkan apa yang disebutnya sebagai demokrasi, memudahkan pergerakan TKT Mahathir melalui UMNO dan BN untuk bermaharajagila selama 22 tahun. Sikap buasnya itu ternyata amat menyerlah sejak 1989, sejurus beliau berjaya menipu dan memutar-belit keputusan pemilihan Presiden UMNO yang berakhir dengan pembubaran UMNO dan penubuhan UMNO (B).

Saya pernah menulis bahawa TKT Mahathir adalah seorang musibat kerana tidak pernah ikhlas memimpin negara ini mengikut ikrarnya sejak menjadi wakil rakyat dahulu. Oleh kerana dia telah melalui pahit-getir kalah dalam pilihan raya umum 1969 dahulu, dia telah menentukan bahawa setiap pergerakannya untuk naik sehingga menjadi seorang Perdana Menteri dan seterusnya mencengkam kuasa selama 22 tahun itu berjalan lancar dan licin. Tidak kiralah berapa ramai banyak yang terkorban dan berapa ramai manusia yang tidak berdosa hidup merana.

Rencana beliau untuk mencengkam kuasa atas nama ‘demokrasi acuan sendiri’ adalah berpaksikan perkataan ‘KEAMANAN’ yang sebenarnya merupakan satu helah semata-mata.

Langkah pertama beliau menonjolkan faktor keamanan sebagai helah mencengkam kuasa bermula pada 1984, sejurus Musa Hitam melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tempat beliau telah digantikan oleh Ghafar Baba. Negara mengalami satu era kemelesetan ekonominya menyebabkan berlakunya pelbagai hasutan di peringkat tertinggi UMNO dan pentadbiran kerajaan. Pelbagai pihak mahukan perubahan dalam strategi kerajaan menangani masalah krisis ekonomi yang melanda negara ketika itu.

Krisis ekonomi pertama yang melanda pemerintahan Mahathir berlaku sebelum 1984 lagi. Ia memuncak dengan pembunuhan ke atas Jalil Ibrahim, SP (*) pada Khamis 21 Julai, 1983 ekoran penglibatan beliau menyiasat kisah kerugian Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong. Kisah in telah dirakamkan oleh Alejandro Reyes dalam tulisannya berjudul ‘The War Against Cronies” yang disiarkan oleh Asiaweek. Artikel berkenaan pernah saya terjemahkan dengan tajuk ‘Peperangan Menentang Para Kroni’.

Saya telah meneliti kes Skandal BMF ini sejak ia tercetus lagi dan pernah berutusan dengan kawan-kawan lama yang terlibat dalam kes ini. Sesungguhnya sejarah akan membuktikan bahawa kes ini merupakan titik-tolak bagaimana kerajaan pimpinan Mahathir telah terus menipu rakyat marhaen untuk tembolok sekumpulan manusia yang rapat dengannya dan orang-orang kepercayaannya.

BMF merupakan anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB). BBMB telah ditubuhkan hasil Kongres Ekonomi Bumiputra pertama pada tahun 1965. Tujuan asal penubuhan bank itu ialah untuk membantu kaum Bumiputra dalam sektor ekonomi. Fungsi bank telah diselewengkan sehinggakan kerajaan terpaksa menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkannya, tetapi gagal setiap kali. Pada pertengahan 1987, BBMB terus tenat dan semakin nazak sejak itu. Akhirnya, melalui tipu-helah juga dan pembabitan Daim Zainuddin, BBMB telah diambil alih oleh Commerce-Asset Holding Berhad (CAHB) yang dikuasai oleh Tan Sri Halim Saad. Saya pernah menulis akan kisah ini dan menganggap fenomena ini laksana ular lidi cuba telan naga.

Kita lupakan dahulu kes BMF ini dan akan terus mengungkitnya secara berahap-tahap agar kita dapat menyedarkan generasi muda akan sejarah tipu muslihat Mahathir dan kroni beliau menipu orang-orang Melayu.

Sesungguhnya skandal BMF adalah biji benih segala kelentungan mega yang meruntuhkan harta kekayaan Malaysia sehinggalah TKT Mahathir melepaskan jawatannya. Ada beberapa faktor yang menjadi fenomena yang kelihatan biasa tetapi merupakan penyumbang kepada krisis ekonomi negara. Kedua, krisis ekonomi ini adalah hasil putar belit segelintir manusia yang memegang tampuk kuasa kerajaan UMNO.BN. Ketiga, apabila krisis ini meledak, ia meruntun ekonomi negara dan menggugat pergerakan bank, sekali gus mencabar setiap institusi dan kumpulan dana marhaen seperti KWSP, Tabung Haji, Dana Pencen dan beberapa tabung sumbangan pekerja yang lain. Keempat, apabila berlaku kepincangan ekonomi, kerajaan pimpinan Mahathir tidak mampu memberikan penjelasan yang menyedapkan kefahaman rakyat jelata lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang sedar bagaimana Mahathir menggunakan wang rakyat yang ada pada Petronas, KWSP, Dana Pencen dan apa juga bentuk dana simpanan rakyat untuk meredakan kegawatan itu.

Apabila kerajaan UMNO.BN gagal meredakan keadaan dan mula takut kebangkitan rakyat yang mahu tahu apa cerita sebenarnya, maka dicanai tohmahan bahawa negara ini sedang tergugat oleh anasir jahat. Lantas kisah ‘Keamanan Negara Tercabar’ menjadi topik utama propaganda Mahathir yang membolehkan beliau melakukan penangkapan terhadap pengkritik dan musuh politiknya.

Contoh yang terbaik akan fenomena ini ialah peristiwa yang terjadi ekoran keruntuhan MBF di Hong Kong yang melibatkan 4,000,000,000 (4 bilion ringgit) wang Petronas telah digunakan untuk memulihkan semula operasi BBMB.

Semasa saya menterjemahkan artikel Asiaweek tulisan Alejandro Reyes itu, saya ada mengemukakan beberapa soalan (di akhir terjemahan itu) yang boleh dijadikan asas untuk memilik-negarakan harta orang-orang UMNO yang berhutang dengan bank itu tetapi tidak pernah membayarnya balik.

Krisis ekonomi ini telah turut menggugat UMNO dan akhirnya mencetuskan satu perlawanan untuk mengambil-alih pucuk kepimpinan UMNO daripada Mahathir. Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar Mahathir telah menang, tetapi sebelum pengumuman rasmi dilakukan, bekalan elektrik telah ‘diputuskan’ oleh barua-barua Mahathir dan semasa kegelapan itu kertas undi ditukar untuk membolehkan Mahathir menang tipis.

Lantas berlakulah pelbagai rentetan selepas itu di mana Tengku Razaleigh dan orang-orang beliau telah tersingkir daripada kabinet dan akhirnya UMNO telah diharamkan.

Pengharaman UMNO yang diasaskan dan diusahakan oleh marhaen Melayu di bawah Sir Dato Onn bin Jaafar telah memungkinkan terdaftarnya UMNO Baru(a) pimpinan Mahathir dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.

Di sini kita boleh lihat bagaimana krisis ekonomi yang membarah diikuti dengan masalah dalaman UMNO, yang menggugat kepimpinan Mahathir. Kalau cabaran yang dibuat itu secara terbuka dan dikendalikan secara ikhlas dan terbuka juga Mahathir sudah pasti lama terhumban dalam penjara.

Akan tetapi, oleh kerana kuasa eksekutif berada di tangan Mahathir, dia mampu menepis segala bahaya yang datang mengancamnya dengan menggunakan propaganda ‘Keamanan Negara Sedang Terancam’. Inilah yang terjadi menyebabkan beliau menggunakan Akta ISA untuk menyauk lebih 100 ahli politik pembangkang dan aktivis NGO di bawah Operasi Lalang.

Yang ironisnya Operasi Lalang itu digunakan untuk merembat banyak pemimpin parti pembangkang yang tidak ada kena mengena dengan kes Bumiputra Malaysia Finance di Hong Kong. Begitu juga dengan beberapa aktivis sosial daripada beberapa NGO di negara ini.

Kalau dia benar-benar mahu menentukan keamanan negara sentiasa terjaga, kenapa pula dia menangkap anggota parti pembangkang? Malahan, sebelum dilancarnya Operasi Lalang, ada kekecohan di antara Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda UMNO waktu itu yang dipegang oleh Najib Tun Razak.

Apa kena mengena keamanan negara yang tergugat dengan membabitkan parti pembangkang sedangkan keributan sosial adalah antara Pemuda MCA dan Pemuda UMNO?

Daripada kes BMF itu kita akan lihat bagaimana senario yang serupa berulang-ulang beberapa kali sejak itu sehinggalah 31 Oktober 2003. Mahathir memeram masalah krisis ekonomi negara dan penyelewengan wang marhaen untuk menutup kerugian para kroninya disebabkan krisis ekonomi itu dengan berpaut kepada Akta ISA untuk menakut-nakutkan rakyat marhaen dan pencabarnya..

Oleh kerana kaedah ini kelihatan berjaya dan membawa kesan yang baik untuk mengukuhkan kuasanya, makanya kita lihat sejurus Paklah menjadi Perdana Menteri dia cuba gunakan taktik yang sama juga.

Bersambung ke Bahagian 3:
Senjata paling Berbisa Di sebalik ‘Keamanan’

Marhaintua <marhaintua@hotmail.com> 8 Syawal - 02.12.2003 (suntingan M@RHAEN)

Catatan:
SP: Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa - Allahyarham Jalil Ibrahim adalah satu-satunya orang awam yang pernah dianugerahkan pingat tertinggi negara SP. Anugerah ini lebih tinggi drp PGB - Pingat Gagah Berani yg diterima oleh 'hero penepis peluru' dalam sandiwara Sauk) - M@RHAEN
Bahan berkaitan:
Marhaintua: Peperangan Menentang Para Kroni
Alejandro Reyes: The War Against Cronies (Asiaweek 03.11.2000)
Anil Netto: Malaysia's weak war on graft (Asiaweek 16.08.2003)

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: