|
Politik Syok-Syok Sendiri Peninggalan Mahathir (1) |
Politik syok-syok sendiri adalah satu budaya politik UMNO yang diasaskan oleh TKT Mahathir. Ia bermula dengan segala kelentungan untuk menipu rakyat dan menakut-nakutkan mereka sehinggalah rakyat percaya bahawa hanya beliau dan UMNO yang terunggul untuk Malaysia. Penipuan ini dipacu setiap hari sehingga dia mampu berkata “individu tidak penting kerana parti itu yang penting.”
Pacuan kata-kata itu diulang-ulang untuk mengetepikan apa yang selama ini disebut sebagai Kedaulatan Raja-raja. Kemudian diulang-ulang lagi untuk mengetepikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Apabila dua perkara ini berjaya dilakukannya, bermulalah satu episod di mana kemajuan Malaysia dipacu semata-mata untuk membolehkan para kroni membalun harta rakyat marhaen dan segala penjilatnya naik mencanak dengan peluang yang banyak HANYA untuk mereka itu semua jatuh terhenyak.
Kita harus faham politik yang berteraskan demokrasi amalan Malaysia sebenarnya merupakan politik di mana rakyat telah memilih wakilnya untuk berada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Sebagai wakil rakyat, mereka inilah yang menggubal Undang-undang dan menentukan Undang-undang itu dipatuhi. Sebagai wakil rakyat mereka yang mengawas segala pergerakan pentadbiran negara supaya kepentingan semua pihak diurus dengan adil dan saksama.
Amalan ini sebenarnya berada di tahap awalan semasa setiap calon mahu berdepan untuk bertarung nasib, apakah mereka akan terpilih menjadi wakil rakyat. Jika gagal berbuat demikian, bererti mereka menggagalkan harapan rakyat.
Untuk memperbaiki suasana itu, maka dilakar pelbagai helah di mana hukum-hakam tugas wakil rakyat itu dikaburi dengan pelbagai slogan dan kaedah propaganda. Ia bermula dengan Bersih, Cekap dan Amanah, kepada Kepimpinan Melalui Teladan sehinggalah kepada Malaysia Boleh. Di antara tiga slogan besar itu, banyak lagi slogan lain yang tidak kurang hebatnya. Slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ adalah satu penipuan mega yang tidak disedari oleh rakyat jelata sehinggalah muncul kebangkitan rakyat untuk memberontak. Lantas diusahakan pula slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ yang kosong dan tidak bermakna sebenarnya kerana yang mahu diteladani itu semuanya menjurus kepada korupsi sebagai paksi gerakannya. Menyedari kepincangan itu, maka diusahakan pula ‘Malaysia Boleh’ yang diwujudkan ketika pasukan Badminton Piala Thomas yang ditunjangi oleh anak-anak Dato’ Sidek Abdullah Kamar sedang mengharumkan negara dalam dunia sukan.
Muslihat Di Sebalik Slogan
Setiap ungkapan slogan adalah bertujuan untuk mengkhayalkan rakyat jelata. Lihat sahaja contoh ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ yang berakhir dengan sistem pentadbiran yang sungguh haprak masa kini. Sepatutnya slogan itu berbunyi ‘Amanah, Bersih dan Cekap’ kerana apabila wujud ‘amanah’ barulah kita dapat melihat pentadbiran yang ‘bersih’ dan ‘cekap’. Seerti yang saya pernah tulis dahulu, TKT Mahathir sengaja putarkan slogan itu kerana takutkan rakyat menggelar kerajaan pimpinan beliau sebagai ‘kerajaan ABC’ persis ‘Air Batu Campur’ yang kelihatan cantik dan menyelerakan tetapi akhirnya merupakan air kosong yang bergula sahaja.
Kerajaan Mahathir dan amalan ‘Mahathirisme’ bermula pada 1981. Kalau kita ambil iktibar daripada Surah Yusuf dalam Al-Quran, dan kira tujuh tahun selepas itu (1981), sebagai perenggan tempohnya sehinggalah beliau bersara pada akhir Oktober 2003, kita dapati bahawa berlaku perubahan besar setiap tujuh tahun selepas tarikh itu:
1981 - 1988 ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ yang diwarnai oleh Projek Pandang Ke Timur dan usaha menubuhkan ‘Sogososha Malaysia’ yang berakhir dengan Abdullah Ang meringkuk dalam penjara.
1989 - 1995 ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.
Inilah tempohnya TKT Mahathir
berada di luar negara lebih kerap
daripada berada di pejabatnya. Dia lebih mudah berada di Jepun daripada
melawat Kubang Pasu dan segala tempat yang dilanda bencana alam di negara
ini.
1996 - 2003 ‘Malaysia Boleh’ yang
diwarnai dengan ‘Individu Tidak
Penting kerana Parti itu penting’.
Kalau diteliti peredaran masa di atas, kita akan sedar betapa TKT Mahathir telah berjaya memukau rakyat negara ini khususnya orang Melayu dengan retorik belaka. Pada waktu yang sama, dia telah menggunakan SEMUA jentera kerajaan untuk menentukan sesiapa yang berani buka mulut menyanggahnya, tidak dapat bertahan lama.
Kalau kita mengambil iktibar daripada Surah Yusuf, kita akan sedar betapa negara ini lambat-laun akan melalui satu gelombang hidup yang bergetar dan bergegar sebelum mampu menerjah ambang pembangunan semula untuk menuju arah ataupun hala tuju yang lebih meyakinkan.
Perdana Menteri Kelima, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi muncul untuk menjadi manusia yang terpaksa menampan segala bencana dan bahaya yang akan terus menjelma. Dia tidak boleh lari daripada hukum qada’ dan qadar ini gara-gara segala tipu muslihat TKT Mahathir dan UMNO di mana dia sendiri pernah memainkan peranan untuk mengongsinya.
Kini, satu bulan sudah berlalu sejak TKT Mahathir melepaskan jawatannya secara rasmi dan Paklah sudah pun menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru. Tidak banyak perubahan yang besar-besar dan amat ketara yang dapat dilihat dan dirasakan. Ini tidak bermakna Paklah tidak berusaha menonjolkan ketokohannya. Tetapi, sebab sebenar ialah ketokohan TKT Mahathir itu terlalu besar untuk dikuis ke tepi seperti dia menepis ketokohan Tun Hussein Onn sejurus memegang tampuk kepimpinan negara pada 1981 dulu.
Aura ataupun sinar ketokohan TKT Mahathir akan terus menyinar selagi pilihan raya umum tidak dilaksanakan. Sebab musabab perkara ini akan berterusan pernah saya tulis dalam beberapa artikel yang baru berlalu. Salah satu faktor itu ialah jentera media massa yang masih lentok kepada TKT Mahathir, lebih-lebih lagi tenaga propaganda yang masih berada di TV dan radio serta media cetak. Paklah sedar akan perkara ini kerana itu berlaku penyingkiran Abdullah Ahmad ataupun lebih dikenali sebagai Dollah Komunis dan Dolah Kok Lanas.
Namun demikian, Dolah Kok Lanas bukannya propagandis tunggal yang menyinarkan ketokohan TKT Mahathir. Ramai lagi yang masih menenggek di jawatan lunak mereka di banyak cabang media elektronik dan penerbitan. Betapa pun sudah menyedari bahawa TKT Mahathir sudah merupakan bahan sejarah, mereka ini masih bertungkus-lumus menonjolkan ketokohan itu kerana memikirkan mereka akan dikekalkan di situ untuk menyambung kerja-kerja kelentungan bagi pihak Paklah pula. Sesungguhnya mereka itu harus membuka lebaran sejarah kemunculan Khmer Rouge apabila Amerika lari lintang-pukang meninggalkan Kampuchea satu ketika dahulu. Tugas utama yang dilakukan oleh Tentera Khmer Rouge ialah mencari semua juruhebah dan orang media upahan Amerika di Saigon untuk dibunuh dan diseksa.
Kita amat mengharapkan perkara semacam ini tidak akan terjadi di negara ini.
Sememangnya, kalau dilihat kepada peredaran sejarah, Malaysia merupakan sebuah negara harmonis di mana rakyatnya yang majmuk amat ‘cintakan keamanan’. Demikianlah modal TKT Mahathir semasa diwawancara sebelum berundur dahulu dan demikian juga yang diulang oleh Paklah semasa mengambil-alih tampuk kerajaan. Sesungguhnya ‘Rakyat Malaysia Cintakan Keamanan’ merupakan satu slogan yang dipasak setiap hari oleh jentera propaganda Mahathir sejurus berlakunya himpunan manusia tajaan Barisan Alternatif yang mahu berkumpul di Kelang dulu.
Pada mulanya Mahathir cuba meredakan ketegangan dan kebencian orang Melayu terhadap beliau ekoran tragedi yang melebamkan hidup Anwar Ibrahim dengan slogan “Orang Melayu Mesti Tahu Bersyukur” (kepada Mahathir dan UMNO). Apabila menyedari bahawa slogan itu tidak disenangi oleh sebahagian besar rakyat marhaen, UMNO dan Mahathir telah memacu slogan ‘Malaysia Boleh’ dengan lebih pesat lagi dan slogan ini diselang-seli dengan pelbagai upacara yang berbentuk mengisytiharkan rekod ‘kecemerlangan’ seperti bendera terpanjang, membakar lemang terpanjang, pulut inti terpanjang, dan sebagainya.
Sebenarnya kalau diambil-kira kerja-kerja bodoh yang dilakukan untuk mengisi ‘fakta’ dalam ‘Malaysia Book of Records’ itu, kita akan sedar tujuan utamanya ialah untuk melalaikan rakyat marhaen kepada masalah besar yang sebenarnya menghimpit negara ini daripada segi ekonominya dan juga iklim politiknya.
Rakyat digalakkan membuat apa sahaja upacara yang pelik-pelik untuk diambil-kira dalam catatan buku kecemerlangan itu. Bayangkan apa pendapat dunia apabila Menteri Belia dan Sukan sanggup pergi ke China untuk menggantungkan bendera ‘yang terpanjang’ di dunia di Tembok Besar China? Upacara semacam itu boleh diusahakan oleh anggota kabinet Mahathir tanpa segan-silu. Apakah tidak ada sesiapa dalam kabinet itu yang memberitahu Hishamuddin Hussein kalau kerajaan China mahu, rakyatnya boleh dikerah agar menyediakan sehelai bendera China setiap seorang untuk disambung dan digantung di sepanjang tembok besar itu?
Kerja-kerja gila-gila semacam itu telah diulangi di banyak tempat sehinggakan ada satu projek menggugurkan kereta Wira daripada udara untuk ‘turun menggelongsor’ di Khutub Utara. Yang melucukan, gambar propaganda yang merakamkan peristiwa itu turut menunjukkan kereta itu boleh dihidupkan sejurus mendarat. Soalnya sekarang mana perginya kereta itu? Saya lebih yakin projek menurunkan “Wira di Khutub Utara” adalah sama gayanya dengan kelentungan kerajaan Amerika di zaman J.F. Kennedy yang melancarkan projek menghantar manusia ke bulan.
Apakah ‘Wira di Khutub Utara’ sengaja dibiarkan untuk dijadikan satu ‘monumen pendaratan’ bagi rakyat Malaysia terjun lagi di situ? Apabila kisah yang semudah ini tidak diungkit dan dibesarkan oleh pemimpin politik parti pembangkang, ia menjadi satu contoh betapa pemimpin parti pembangkang turut syok sendiri sehingga alpa dengan tugas mereka. Bukankah perbuatan mencipta rekod terjun di Khutub Utara itu satu pembaziran wang rakyat?
Akan bersambung....
Tajuk: Cintakan Keamanan Adalah Satu
Slogan Besar
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com> 7 Syawal - 01.12.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Maklumat semasa
boleh disemak di Forum M@RHAEN.
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN. |