USAHA SAAT TERAKHIR PUJUK IBRAHIM ALI
Oleh Nash Rahman - Rabu 10 Mac, 2004 (Dipetik drp MalaysiaKini)

Ada usaha-usaha pada saat-saat terakhir ini untuk memujuk bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya tidak bertanding sebagai calon bebas menentang calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber yang rapat dengan Ibrahim, demi maruah, bekas timbalan menteri itu tidak akan termakan dengan pujukan tersebut.

Menurutnya, Ibrahim, 53, sudah dipanggil menemui pemimpin tertinggi Umno yang menasihatkannya supaya tidak meneruskan hasratnya untuk bertanding di Pasir Mas.

"Para penyokong kuat Datuk Ibrahim yakin bahawa peluang beliau untuk menang di Pasir Mas amat cerah sekali. Kerana itulah, ada usaha-usaha di pihak kepimpinan Umno untuk memujuk beliau supaya membatalkan hasratnya itu," katanya kepada malaysiakini.

Menurutnya lagi, ini kerana rakyat Kelantan mudah bersimpati dengan pemimpin-pemimpin yang mereka anggap telah teraniaya sepertimana dalam kes pengguguran Ibrahim daripada dilantik semula sebagai ketua penaja Umno bahagian Pasir Mas.

Umno pusat telah melantik ahli jawatankuasa penaja Umno di seluruh negara berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang menyebabkan banyak bahagian Umno telah terpecah dan masuk ke kawasan baru.

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi Umno menggugurkan empat ketua bahagian di Kelantan daripada senarai jawatankuasa penaja parti di negeri itu.

Selain Ibrahim di bahagian Pasir Mas, yang lainnya ialah ketua bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah; Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok) dan Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).

Tempat Ibrahim digantikan oleh timbalannya Datuk Rahim Abdul Rahman manakala yang lainnya ialah Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).

"Selain sokongan padu penyokong setianya, ramai pengundi atas pagar dijangka turut menyokong Datuk Ibrahim berikutan apa yang telah terjadi ke atas dirinya," tambah sumber-sumber itu. Selain itu, katanya, beliau juga difahamkan bahawa kepimpinan Umno Kelantan sedang menimbang kemungkinan
untuk mencalonkan Ibrahim bertanding sebagai calon Umno di parlimen lamanya itu.

"Bagaimanapun, kami menganggapnya sudah terlambat. Datuk Ibrahim tidak akan mengubah pendiriannya untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Pasir Mas.

Lagi pula, ianya kemungkinan satu helah mereka sahaja...jadi di kemudian hari, mereka boleh kata kami telah tawarkan tempat kepadanya (Ibrahim), tetapi beliau menolaknya. Oleh itu, mereka tidak akan dipersalahkan," tambahnya.

Sabtu lalu, Ibrahim telah dilaporkan mengadakan perjumpaan khas dengan para penyokongnya hari ini untuk membuat persiapan baginya bertanding dkerusi Parlimen Pasir Mas.

Dalam pilihanraya pada tahun 1999, Ibrahim dikalahkan oleh calon Pas Haji Ismail Noh di kerusi Pasir Mas. Ismail memperolehi 23,967 undi berbanding dengan 15,392 oleh Ibrahim.

Parlimen Pasir Mas mempunyai tiga kerusi DUN - Tendong, Pengkalan Pasir dan kerusi Cetok. Ketiga-tiganya dimenangi oleh calon PAS pada tahun 1999.

Nash Rahman - 10.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN