Daya intelek juga perlu diuruskan di USM?

Saya mahu ketawa dan juga pada masa yang sama, berasa sedih setelah membaca surat yang ditulis oleh Warga USM mengenai hal urus-mengurus Universiti Sains Malaysia (USM) oleh pihak yang berkuasa.

Di satu segi, saya merasakan aneh jawapan yang begitu menggelikan hati diberikan oleh seorang pegawai tinggi universiti yang bertaraf Timbalan Naib Canselor (TNC). Adakah disebabkan peluh dan bau ketiak yang boleh mengganggu ‘ketenteraman’ pengguna bas maka alat memegang tidak disediakan dalam bas untuk menjaga keselamatan penumpang?

Lucu juga bagi saya apabila tuan profesor itu cuba memberi contoh yang menganggap kisah penggunaan bas sama seperti membeli mi goreng. Jika mahu sedap lagi dengan dicampurkan udang, katanya, perlulah bayar lebih sedikit. Adakah soal kekenyangan perut cuba disamakan dengan hal keselamatan pelajar dan penumpang bas?

Di segi yang lain, saya berasa sedih kerana tuan profesor itu yang dipertanggungjawabkan dengan hal kebajikan pelajar bersikap acuh tak acuh bila disampaikan persoalan yang serius, iaitu hal keselamatan dalam bas. Malah beliau seolah-olah cuba menghina minda pelajar dengan memberi ‘alasan’ yang lari jauh daripada sistem logika manusia ‘sederhana’.

Memang ada benarnya pepatah Melayu yang mengatakan ‘disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga’. Tetapi tindak-tanduk pegawai tinggi ini boleh menimbulkan tandatanya sama ada pemikiran cetek seperti ini telah menular di kampus?

Lagipun pendekatan yang diambil oleh tuan profesor itu barangkali boleh diteladani sebilangan anak buahnya. Ini sudah tentunya satu persoalan penting kerana ia berkaitan dengan hal prestasi akademik tenaga pengajar dan juga pelajarnya.

Kiriman purpleusmstudents - 26.02.2004 (suntingan M@RHAEN)
http://www.malaysiakini.com/letters/200402160036223.php
Artikel berkaitan:
Mahasiswa perlu matang dari segi intelektual
Pak Lah: Siasat pengurusan USM

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN