POLEMIK HASSAN SHUKRI MENGHINA ANWAR IBRAHIM

Kiriman: Meli

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Saya amat kecewa apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Badaruzaman Md.Yusof yang disiarkan oleh Harakahdaily.net pada 14.10.2004 berhubung komen Hassan Shukri, Timbalan Presiden PAS dan juga Senator yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu yang akan menamatkan tempoh Senatornya pada bulan Disember ini, beliau menganggap bahawa pembebasan Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan pada 2.9.2004 yang lalu adalah disebabkan oleh masalah “teknikal” yang melibatkan tarikh kejadian yang dipinda berulang kali telah menimbulkan tahap keraguan yang melampui, beliau masih menganggap Anwar adalah seorang peliwat.

Kenyataan Dr. Badaruzaman dalam kenyataan tersebut menyatakan dengan jelas bahawa sikap PAS dalam soal ini dibuat secara amal jamaie iaitu secara kolektif. Ini bermakna komen yang diperbuat oleh Hassan telah dipersetujui dan telah diperkenankan oleh Jawatankuasa Pengurusan PAS Pusat. Oleh sebab itu, tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Hassan sendiri mengenai pendirian Hassan dan juga PAS mengenai isu tersebut.

Dr. Badaruzaman juga dalam kenyataannya itu merendah-rendahkan standard pemikiran dan kefahaman ahli-ahli PAS berkaitan dengan konsep kepimpinan PAS berasaskan kepada “pandangan bersama atau permuafakatan atau secara kolektif” dalam setiap permasalahan yang timbul.

Kami dalam PAS sangat memahami konsep yang dipegang oleh PAS selama ini yang memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran, al-Hadith dan ijmak-ulama, sebabkan itu kami tidak pernah menentang sebarang keputusan atau arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan PAS. Kami patuh dan taat setia selagi ia tidak melanggar prinsip-prinsip asas yang diperjuangkan oleh PAS yang saya sebutkan di atas, tetapi di dalam hal-hal berkaitan dengan sosiobudaya, politik semasa, perekonomian, pendidikan, kebudayaan, hiburan dan sebagainya [yang tidak bercanggah dengan prinsip asas], kami berhak mengeluarkan pandangan untuk perhatian dan tindakan pihak pucuk pimpinan seperti yang digambarkan dalam Muktamar yang lepas dan juga beberapa kritikan dan pandangan yang dikeluarkan selepas Muktamar berlangsung.

Kami bukan seperti ahli-ahli UMNO, yang sanggup patuh dan taat setia tanpa berbelah bagi secara membabi buta. Kami bukan seperti lembu yang boleh dicucuk hidung sesuka hati. Kami mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri selaras dengan prinsip-prinsip keagamaan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Kami bukan kaki-kaki pengampu dan bodek pemimpin. Kami ikhlas memperjuangkan keadilan, kebenaran dan Islam sebenar tanpa mengharapkan sebarang pembalasan jawatan, kedudukan dan wang ringgit. Tanyalah pendokong-pendokong PAS yang duduknya berselerak di seluruh pelosok di Negara ini. Tanyakan mereka, adakah mereka mengharapkan wang ringgit untuk membantu perjuangan PAS. Kami tidak seperti ahli-ahli UMNO/BN, yang bergerak kerana duit. Kami tahu dan sedar akan kedudukan PAS dari segi kewangan serta keupayaan PAS mengharungi onak dan badai dalam rencah-rencah politik di Malaysia yang tidak demokratik ini.

Saya sebagai contoh [maaf bukan mengungkit atau membanggakan diri dan saudara pengendali Laman Marhaen menyedari hal ini] banyak berkorban wang ringgit dan tenaga fikiran untuk PAS terutama ketika menghadapi sebarang pilihan raya umum atau kecil berdasarkan kepada keupayaan yang ada pada saya. Pengorbanan saya ini adalah suci untuk melihat keadilan, kebenaran dan Islam yang syumul tertegak di bumi Malaysia ini di suatu hari nanti, atau pun sekurangnya kita boleh amalkan ajaran Islam sebenar tanpa sekatan dan halangan dari mana-mana pihak, bukan setakat mengamalkan amalan fardu Ain atau fardu Kifayah seperti yang kita amalkan sekarang ini. Kita hendakkan lebih dari itu seperti mana yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Hadith dalam semua aspek kehidupan manusia dari segi politik, ekonomi, perundangan, kehakiman, pendidikan, budaya dan sebagainya mesti berteraskan kepada Islam.
Pilihan raya umum ke 11 yang lepas sangat mengecewakan dan memilukan, bukan kerana kita kehilangan Terengganu yang sempat kita kuasai selama 4 tahun, bukan juga kerana kita mengalami kekalahan yang teruk, kita terima kekalahan kerana ia menjadi adat pertandingan mesti ada kalah-menangnya. Kita bukan UMNO, yang masuk pertandingan mahu menang sahaja dan tidak mahu kalah, sekiranya kalah, ia akan melakukan pelbagai tindakan sabotaj seperti mana ia tunjukkan selama ini di Terengganu dan Kelantan serta kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PAS dan Keadilan. Kita kecewa dan marah dengan sikap UMNO yang tidak demokratik dengan melakukan penipuan, penyelewengan, mempergunakan semua institusi-institusi kerajaan dan bukan kerajaan serta memainkan pelbagai manipulasi sehinggakan mereka tidak menjangkakan yang mereka menang besar dalam pilihan raya tersebut. Inilah pilihan raya terkotor yang pernah kita alami. Ianya tercatat dalam sejarah hitam demokrasi di Malaysia.

Dalam kekecewaan itu, kita mulai merancang untuk masa depan parti kita. Parti PAS yang kita sama-sama dokongi ini. Kita hidup dalam masyarakat majmuk dengan pelbagai bangsa, budaya, bahasa dan agama. Tanpa sokongan dari masyarakat majmuk ini, adalah mustahil kita dapat menentang dan menewaskan UMNO melalui sistem pilihan raya yang tidak adil ini. Oleh itu, pertama sekali kita perlu mencari seorang pemimpin yang boleh diterima oleh semua kaum yang ada di Malaysia kini. Pemimpin itu mesti mempunyai pandangan yang sederhana, berkarisma, berwibawa, pengalaman yang luas dalam hubungan antara kaum, hubungan di peringkat tempatan dan antarabangsa, berkemahiran dalam berkomunikasi, berkebolehan dalam pentadbiran Negara, berwajah ceria, kelihatan kemas dan bergaya yang tidak menimbulkan ketakutan atau kejutan atau persepsi salah kaum-kaum lain terhadap perjuangan kita.

Siapa manusia yang mempunyai ciri-ciri tersebut, tidak ada orang lain lagi, melainkan Anwar Ibrahim. Bukan saya menafikan tokoh-tokoh pemimpin yang ada dalam barisan kepimpinan PAS sekarang ini seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Dr, Harun Din dan ramai lagi tokoh-tokoh muda PAS yang berilmu dan berkebolehan untuk mentadbir Negara. Kita juga mempunyai ramai pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti perundangan, perubatan, ekonomi, kewangan, sains dan sebagainya, tetapi tidak mencapai tahap yang ada pada diri Anwar Ibrahim. Oleh itu, kita mesti bergabung dan bekerjasama rapat dengan Anwar dan parti yang akan dipimpinnya. Campuran dua unsur [ keagamaan yang diterajui PAS dan moderat pimpinan Anwar ] akan menghasilkan satu kekuatan baru untuk menentang UMNO. Ini yang menakutkan pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini. Mereka mulai melatah sebagaimana yang digambarkan oleh media.

Ini terbukti, apabila beliau dibebaskan dan terbang ke German untuk berubat di Alpa Klinik. Ramai tokoh-tokoh terkenal dari pelbagai lapangan datang menziarahi beliau, termasuk Presiden kita bersama-sama dengan beberapa tokoh pemimpin PAS yang terbang ke Munich menemui Anwar. Sekembali dari lawatan tersebut, Presiden kita mengisytiharkan dalam Harakah Bil. 1272 dengan tajuk besar “ Anwar Terajui Perubahan “. Apa maknanya apabila Hassan Shukri membuat komen seperti itu?

Kita amat bersetuju dengan pandangan Dr. Badaruzaman yang menyatakan bahawa kita tidak boleh mengutamakan individu tertentu dalam usaha untuk menegakkan perjuangan Islam. Betul dan tepat ungkapan tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab semua Muslimin dan Muslimat yang berada dalam PAS, dalam Keadilan, dalam DAP, dalam UMNO juga dan dalam parti-parti politik yang lain termasuk NGO-NGO, semuanya berkewajipan menegakkan perjuangan Islam, amal makruf dan nahi mungkar.
 
Mengakhiri bicara dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini, tugas kita amat berat untuk menentang UMNO/BN bagi menegakkan keadilan, kebenaran dan Islam sebenar yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad SAW dalam keadaan amalan demokrasi telah terhapus. Tumpuan kita sekarang ialah mencari sahabat bukan mencari lawan. Tidak guna kita menang ideologi, tetapi kita kalah kerusi. Oleh itu, berhati-hatilah apabila kita hendak mengeluarkan sebarang komen mengenai rakan kita, supaya rakan kita itu tidak terguris di hati. Memang benar kita mempunyai perbezaan pendapat dan pendekatan, tetapi janganlah disebabkan perbezaan tersebut kita berbalah sesama sendiri dan UMNO/BN akan bersorak bertepuk tangan seperti mana mereka bergembira-ria apabila DAP mengambil keputusan keluar dari gabungan BA. Jangan biarkan perkara yang sama berulang lagi.
 
Sekian, SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA SEMOGA MENDAPAT HIDAYAH DARI ALLAH SWT. Terima kasih. Wassalam.

Oleh: Meli - 16.10.2004  (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: