PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
DALAM PILIHAN RAYA KECIL DI DUN KUALA BERANG (6)

Kiriman: Meli

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Sejarah merupakan satu kisah benar yang telah berlaku terdahulu dari waktu kini menjadi pengajaran yang terbaik untuk menilai pemimpin hari ini. Pada satu ketika dulu Mussolini mengisytiharkan bahawa abad ke-20 ialah abad milik ”fascisme Itali, tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Begitu juga kita pernah mendengar dari mulut pemimpin-pemimpin kita yang mengatakan bahawa abad ke-21 adalah milik ”Asia-Pasifik”. Negara-negara yang digelar ”harimau Asia” satu ketika dulu, kini tumbang satu demi satu disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia dan juga menghadapi kemelut masalah dalaman masing-masing bagaikan impian tiada menjadi kenyataan [fantasy not become reality].

Saya baharu sahaja selesai melayari Internet membaca sejarah mengenai tokoh-tokoh diktator dunia yang memerintah secara zalim dan kejam terhadap rakyat yang diperintahnya. Saudara-saudara juga boleh melayari website ini:  http://www.moreorless.au.com/ untuk mengetahui lebih mendalam peranan diktator-diktator berkenaan. Dalam website ini disenaraikan lebih daripada 30 orang pemimpin yang digelar sebagai ”killer Leader”. Pemimpin-pemimpin terbabit termasuklah Suharto [Indonesia], Ferdinand Marcos [Filipina], Augusto Pinochet [Chile], Nicolae Ceausesco [Romania], Adolf Hitler [German], Benito Mussolini [Itali] dan ramai lagi.

Dalam konteks pilihan raya kecil di DUN Kuala Berang, saya akan mengangkat sejarah Adolf Hitler dan Benito Mussolini sebagai bahan sebaran kepada pengundi-pengundi di sini. Hal ini kerana cara pemerintahan kedua-dua diktator ini sama standardnya dengan cara pemerintahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka berdua pandai membentuk suasana yang membolehkan seluruh rakyat mengagumi pemerintahan mereka, tetapi sebaliknya sejarah merakamkan mereka berdua adalah sezalim-zalim manusia yang diberi kuasa memerintah menindas rakyat. Samalah juga apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang juga bijak untuk mencipta suasana mengaburkan mata rakyat yang mereka itu adalah pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat, tetapi apa yang sebenarnya yang berlaku, merekalah pengkhianat agama dan bangsa.

Hitler dan Mussolini adalah dua orang pariah sejarah yang membawa mereka ke mercu kekuasaan adalah di atas sokongan seluruh rakyatnya sendiri. Kedua-dua mereka ialah pemimpin yang cukup popular di zaman masing-masing, malah para cendekiawan juga mengagumi mereka tanpa mengambil kira taktik politik yang kejam, namun rakyat mempunyai cara untuk menjustifikasikan betapa bergunanya mereka terhadap bangsa dan Negara masing-masing. Begitu juga yang terjadi dalam tempoh 22 tahun Mahathir Mohamad memerintah, banyak kezaliman yang berlaku, pelbagai penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan rasuah [sila rujuk laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pemuda Keadilan dan Ketua Pemuda PAS di Balai Polis Dang Wangi pada 31 Oktober 2003, diikuti di Balai Polis Kuala Terengganu, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, di Ibu Pejabat Polis Kuantan, Pahang, di Balai Polis Central Johor Baharu, Johor dan di Balai Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah]. Saya amat berharap kepada sesiapa yang mempunyai maklumat lengkap khususnya daripada pemimpin-pemimpin Keadilan [DS Anwar Ibrahim sendiri] tentang segala salah laku dan penyelewengan yang dilakukan oleh beliau semasa berkuasa dulu khasnya mastermind konspirasi menjatuhkan DSAI, simpan maklumat ini baik-baik dan kita keluarkan 10 tahun daripada sekarang, setelah beliau mati dimamah bumi. Generasi masa depan hendak tahu apa cerita sebenarnya yang berlaku terhadap seorang tokoh politik Melayu yang beridentitikan Islam dijatuhkan, dicerca, dihina, dipenjarakan dan dimalukan sedemikian rupa.

Sebelum Perang Dunia Kedua, bangsa German dan Itali mahukan seorang pemimpin yang hebat yang dapat dijadikan kemegahan bangsa. Mereka seperti didesak mahu mendominasikan bangsa-bangsa Eropah yang lain bagi memulihkan status mereka sebagai bangsa yang tertinggal sedikit dalam proses industrialisasi. Begitu juga dengan sikap orang Melayu yang mahukan seorang pemimpin yang boleh mengubah taraf hidup mereka yang daif lagi ketinggalan dalam pelbagai bidang, berbanding dengan bangsa-bangsa lain, maka Mahathir Mohamad dipilih untuk memperbaiki keadaan tersebut.

Mussolini memerintah Itali selama 20 tahun, Hitler memerintah Third Reich selama 12 tahun dan Mahathir memerintah lebih lama selama 22 tahun. Walaupun terdapat gerakan-gerakan sivil yang tercetus yang cuba menggugat pemerintahan mereka, namun kumpulan-kumpulan ini tidak diterima oleh masyarakat yang ketika itu terpukau dengan kuasa ”the Duce [Mussolini]” dan ”Fuhrer [Hitler]”.

Facisme ciptaan Mussolini hidup di atas semangat nasionalisme. Facisme adalah satu ideologi yang menolak semangat kebebasan individu dan kesamaan manusia dan bangsa. Mussolini menggunakan kuasa dalam bentuk dan stail Machiavellianisme dengan slogan ”untuk yakin, untuk patuh dan untuk berjuang”. Mahathir menggunakan slogan ”Malaysia Boleh”. Semuanya bertujuan menaikkan semangat rakyat dan meningkatkan semangat nasionalisme. Apa yang dipentingkan dalam kedua-dua slogan ini adalah untuk meraih sokongan rakyat secara membabi-buta.

Mussolini dan Hitler menanamkan perasaan nasionalistik yang kuat ke dalam jiwa rakyatnya bagi mencapai matlamat-matlamat yang lebih besar. Rakyat di kedua-dua Negara ini mahu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka adalah hebat dan mereka boleh mencapai status yang sama seperti Britain dan Perancis yang lebih maju dalam sektor perindustrian. Mahathir juga serupa, mencipta wawasan 2020 untuk menjadi Negara maju, tetapi sekarang sudah senyap-sepi, apa sudah jadi dengan dasar ini. Sekarang Negara heboh dengan istilah Islam Hadhari yang dipopularkan oleh Dollah Badawi.

Fahaman facisme ini berkembang luas di kalangan rakyat Itali adalah ketika ekonomi Itali mengalami krisis pada 1920-an. Sebelum itu, ekonomi Itali berada di peringkat yang amat memberangsangkan. Pasaran saham Itali telah dibanjiri oleh wang panas dari luar. Mata wang Itali, Lira merudum jatuh nilainya dan pasaran sahamnya pula dispekulasikan oleh para kapitalis yang mengaut untung dari keadaan kecairan ini dengan keadaan ekonomi Itali yang runtuh. Mahathir juga menghadapi masalah yang sama, pada awal 1990-an keadaan ekonomi Negara sangat baik dengan kadar pertumbuhan 8% setahun. Satu pencapaian yang di luar jangkaan. Negara mewah, tetapi rakyat marhaen tetap miskin. Negara dilanda krisis ekonomi pada tahun 1997 – 1998, Mahathir menyalahkan George Soros yang membuat spekulasi di BSKL yang menyebabkan nilai mata wang kita merudum jatuh dengan teruk. USD1 ketika itu menyamai RM4.80 nilai mata wang kita.

Mussolini begitu marah dan berazam untuk berjuang sehingga titisan darah terakhir dengan katanya: ”Rejim facisme akan menentang dengan segala kekuatan yang ada segala cubaan untuk melemaskan Itali yang dilakukan oleh kuasa kewangan musuh. Kita akan menghancurkannya sebaik sahaja kita mengenal pasti di dalam Negara ini. Lira, yang menjadi nadi kepada perkembangan ekonomi kita, lambang pengorbanan kita dan hasil kerja keras kita, kita akan pertahankan dan dipertahankan dengan tegas dan dengan apa jua harganya”.

Mussolini menetapkan mata wang Liranya pada piawaian mas dengan menetapkan kadar mata wangnya, seperti Malaysia menetapkan kadar RM3.80 sama USD1. Bagi melaksanakan dasar baru ini, Mussolini telah bertindak memecat Menteri Kewangannya, De Stefani dan menggantikannya dengan seorang industrialis dan ahli bank yang bernama Guiseppe Volpi. Volpi melaksanakan dasar perlindungan dan deflasionari dan menetapkan nilai Lira pada kadar 90 Lira bersamaan dengan 1 Pound sterling. Tahap gaji diturunkan dan semua bentuk kesatuan sekerja diharamkan. Kerajaan campur tangan dalam sektor perbankan dan mengambil alih sektor perindustrian.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, seluruh rakyat mengalu-alukan kuasa yang ada padanya. Seluruh institusi Negara di bawah genggamannya. Beliau juga berjaya mengusir musuh-musuhnya dalam dan di luar parti pimpinannya. Mussolini yakin kepada dirinya dan tidak ada belas kasihan terhadap musuh-musuh politiknya, katanya: ”Saya yakin dengan kekuatan dan kepercayaan saya. Oleh itu, saya tidak mahu terjebak di dalam sebarang konsesi dan kompromi. Saya meninggalkan mereka tanpa menoleh dan melihat ke bawah dan mereka tidak akan dapat mengatasi saya”. Tiada ada ruang untuk berkompromi dengan beliau.

Dengan keyakinan dan semangat tersebut, beliau dianggap seorang yang pintar dan sebagai wira Negara, malah Winston Churchill turut mengaguminya dan Hitler juga menggagap Mussolini sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia. Beliau telah banyak membawa pembangunan terhadap Itali.

Mussolini menganggap, pemimpin mesti betul setiap masa. Beliau melantik dirinya sendiri sebagai Menteri dalam Negeri, dari tahun 1926 hingga 1929, beliau memegang jawatan di lapan kementerian untuk dirinya sendiri. Beliau sangat benci terhadap kebebasan media dan bahan-bahan yang akan disiarkan ditapis secara langsung oleh beliau, pembangkang-pembangkang dan kesatuan-kesatuan sekerja diharamkan. Kerajaan diberi kuasa untuk menangkap dan menahan sesiapa yang dikehendaki dan beliau menubuhkan sebuah pasukan polis yang diberi nama OVRA. Walaupun begitu, beliau masih dianggap wira oleh rakyatnya dan diberi gelaran ”Duce” bererti pemimpin. Di tembok-tembok di seluruh Itali ditulis perkataan”Duce adalah senantiasa betul”.

Atas sifatnya yang terlalu ego, angkuh dan sombong kerana kuasa yang ada padanya tidak dapat digugat dan dicabar dan selepas kejayaan beliau menakluki Ethiopia, mendorong beliau berpakat dengan Hitler meneruskan kempen-kempen peperangan mereka untuk menakluki dunia. Akibatnya beliau dikalahkan oleh tentera pihak bersekutu.

Hitler juga serupa dengan Mussolini yang mempunyai daya tarikan yang menyebabkan seluruh rakyat German menyokongnya sebagai pemimpin iaitu Canselor German. Beliau berulang kali meminda perlembagaan negaranya untuk memperkukuhkan kedudukannya. Beliau meluluskan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Membolehkan yang memberikan kuasa kepadanya tidak terbatas.

Hitler amat gemar membina tugu-tugu peringatan dan bangunan-bangunan raksasa, kini disebut sebagai projek-projek mega yang terbesar di dunia. Hitler membina sebuah stadium yang boleh menampung seramai 100,000 orang penonton di Nuremberg untuk temasya sukan Olimpik tahun 1936. Stadium ini kerap kali digunakan untuk rapat umum politik yang mana beliau akan menanamkan sentimen-sentimen politiknya. Beliau juga membina jambatan terpanjang merentangi sungai Elbe dan sebuah jalan raya timur-barat di Berlin. Beliau beranggapan dengan pembinaan struktur-struktur raksasa ini adalah lambang kemegahan ”Malaysia Boleh”

Kedua-dua mereka adalah perancang taktik politik yang canggih, dikagumi oleh lain-lain pemimpin antarabangsa, disanjung oleh rakyat, mempunyai visi yang maha hebat sebagai Pembina Negara. Sikap autoritarianisme yang diamalkan oleh kedua pemimpin ini terhadap mereka ialah pengunduran dari ”lembut” kepada ”kasar” dan akhirnya kepada versi ”ketidak perikemanusiaan”.

Akhir sekali, perjuangan menegakkan keadilan, kebebasan dan kebenaran mempunyai harga yang terlalu mahal untuk membayarnya, terpaksa pertaruhkan suasana yang tidak stabil hatta nyawa hilang dari jasad.

Sekian, bertemu lagi di wacana pilihan raya kecil DUN Kuala Berang siri ke-7.

InsyaAllah. Terima kasih. Wassalam.

Oleh: Meli - 22.08.2004 (suntingan M@RHAEN)
Rujukan:
Meli: Senarai Laporan Polis dan BPR

Hantar artikel ini kpd sahabat: