PERTAHANKAN ISLAM DAN DEMOKRASI
DALAM PILIHAN RAYA KECIL DI DUN KUALA BERANG (4)
Kiriman: Meli![]()
Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,Pada ketika ini di Kuala Berang, di Terengganu Darul Iman, kempen pilihan raya kecil di situ semakin rancak. Ia masuk minggu kedua yang merupakan minggu yang teramat penting bagi semua pendokong Islam dan demokrasi yang semakin terhakis, dan secara sedar atau tidak pemerintahan ala-diktator mulai menguasai Negara ini. Semua institusi di Negara ini telah tunduk dan sujud kepada pemerintah, tidak ada lagi satu institusi pun yang boleh kita harapkan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran dengan berani dan tegas. Institusi-institusi ini bertindak mengikut kemahuan UMNO dan kepimpinannya tanpa memperhitungkan keadilan dan kebenaran, asalkan UMNO dapat terus memerintah untuk memunggah kekayaan Negara bagi difaraidkan kepada anak-anak menantu dan kaum kerabat, sahabat-handai serta kroni-kroni yang senantiasa berdampingan rapat dengan pemerintah.
Rakyat pula hidup terus tertekan dengan pelbagai masalah. Kos belanja hidup semakin meningkat dari hari ke sehari. Tahun hadapan [Januari 2005] tarif elektrik akan dinaikkan dan akan menambah lagi beban rakyat keseluruhannya. Pada tahun itu juga, harga petrol, tol, telefon, air dan sebagainya kemungkinan besar juga turut dinaikkan bagi menampung keperluan kerajaan yang berbelanja boros. Kenaikan tarif elektrik, tol, air dan petrol akan menaikkan kos pengeluaran kerana keempat-empat sumber ini sangat penting bagi setiap industri pembuatan, perkilangan, pengangkutan dan sebagainya. Kos pengeluaran yang tinggi ini akan dikenakan terhadap rakyat yang terpaksa membayar lebih untuk menampung kenaikan kos tersebut. Jadi, inflasi akan meningkat, kuasa beli rakyat akan menurun kerana kedudukan kewangan tidak mencukupi untuk berbelanja, sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat serentak dengan kenaikan kos tersebut. Rakyat akan menjadi miskin dan terpaksa mengikat perut.
Bajet yang akan dibentangkan pada bulan September depan, dijangkakan beberapa cukai barangan dan perkhidmatan akan turut dinaikkan bagi tujuan menampung perbelanjaan kerajaan yang defisit. Perbelanjaan lebih daripada pendapatan. Kerajaan sebenarnya pada ketika ini tiada ada wang untuk dibelanjakan, ia habis dibelanjakan untuk projek mengekalkan UMNO berkuasa dalam pilihan raya umum yang lalu. Banyak jabatan kerajaan terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan mengurusnya terutama perbelanjaan utiliti dan saraan diri pegawai-pegawai yang menjalankan tugas rasmi.
Kenapa kerajaan memilih dua sumber ini [elektrik dan petrol] yang sudah pasti [kalau ada bantahan pun, tidak akan diambil pusing] akan meningkatkan tarifnya beberapa peratus dari harga sekarang, kenapa tidak dipilih sumber lain yang bayak didapati dalam Negara ini seperti menaikkan tarif barangan import, industri pembalakan dan sebagainya yang tidak melibatkan kehidupan rakyat secara langsung.
Pertama, kerana kedua-dua sumber ini seluruh rakyat wajib menggunakannya. Mustahil rakyat akan kembali ke zaman batu yang berpelita minyak tanah. Banyak mana sekalipun kenaikannya, rakyat terpaksa membayarnya. Begitu juga harga petrol, rakyat juga terpaksa membayarnya kerana rakyat sekarang bukan lagi menunggang kereta lembu atau menunggang basikal lagi. Keseluruhan rakyat sekarang ini sudah memiliki sekurang-kurangnya sebuah motosikal 70CC bagi sebuah keluarga yang berpendapatan rendah [miskin] kerana ia merupakan satu keperluan asasi pengangkutan yang cepat dan murah. Manakala bagi golongan sederhana dan mewah dalam sesebuah keluarga, memiliki beberapa jenis kenderaan untuk keperluan masing-masing. Berjuta kenderaan yang menjalar di jalan-jalan raya di Malaysia. Bayangkan berapa jutaan ringgit yang boleh dipungut daripada rakyat. Hal seumpama ini pernah dilakukan oleh Syarikat Telekom Malaysia Berhad dengan menaikkan kadar sewaan bulanan yang melampau. Pelbagai sektor masyarakat membuat bantahan supaya Telekom mengkaji semula kadar tersebut dan menurunkan kadar sewa yang lebih munasabah kerana sekarang ini adalah zaman ICT, perhubungan menjadi amat penting. Bantahan tidak diambil pusing langsung dan Telekom terus membuat keuntungan tahun demi tahun. Tidak pernah rugi, walaupun perkhidmatan yang diberikan amatlah buruk samalah dengan peralatan yang diguna pakainya ketinggalan zaman.
Kedua, kedua-dua syarikat ini tidak pernah mengalami kerugian baik di masa ekonomi baik ataupun di ketika ekonomi merudum. Kedua-duanya membuat keuntungan berjuta-juta malah sampai ke angka berbilion ringgit setiap tahun seperti Petronas. Ke mana perginya keuntungan daripada syarikat-syarikat ini? Adakah membuat projek-projek untuk rakyat termiskin, malah Petronas semenjak ia ditubuhkan dengan hasil pendapatan berbilion ringgit, satu sen pun tidak pernah mengeluarkan zakat untuk membantu golongan miskin. Setiap ringgit keuntungannya dirompak oleh kerajaan yang zalim dan berboros berbelanja untuk membina projek-projek mega demi untuk mengayakan anak-anak dan saudara- mara serta kroni-kroni tanpa memberi sebarang faedah kepada rakyat terbanyak.
Ketiga, produk kedua-dua syarikat ini ialah merupakan barang keperluan wajib bagi setiap rakyat di Negara ini, maka naiklah seberapa banyak sekali pun, permintaan terhadapnya tidak akan mengubah pasaran. Jadi, keuntungan kedua-dua syarikat ini tidak akan terjejas. Ini merupakan satu usaha yang paling mudah mencari keuntungan tanpa perlu menambah kos R & D bagi menambah baik produknya. Naikkan harga, keuntungan pasti dinikmati. UMNO melalui kerajaan pimpinannya akan merampas keuntungan ini untuk membiayai projek-projek membazirnya.
Begitulah nasib malang yang terpaksa ditempuhi oleh rakyat di Negara ini. Sepatutnya kerajaan yang mendakwa dirinya “kerajaan prihatin“, basic needs [keperluan asas rakyat] dijaganya tanpa menekan rakyat dengan harga yang tinggi di luar kemampuan rakyat terbanyak. Keperluan asas rakyat seperti air, elektrik, makanan, pakaian, perumahan dan kesihatan wajib dipertanggungjawabkan kepada kerajaan yang memerintah, tetapi kerajaan UMNO keperluan asas ini diperdagangkan untuk mencapai keuntungan mudah tanpa perlu bersusah payah. Ini merupakan satu petunjuk bahawa UMNO tidak berapa lama lagi akan dimusnahkan oleh Allah SWT kerana ia melanggar larangan Nabi Muhammad SAW tidak memperdagangkan keperluan asas rakyat. Petunjuk-petunjuk itu sudah ada di hadapan mata kita sekarang ini, contohnya pelbagai gejala sosial melanda masyarakat kita begitu tenat sekali, perebutan jawatan dalam UMNO, kes-kes jenayah meningkat begitu dahsyat sekali yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan kehidupan masyarakat kita sekarang ini tidak merasa selamat lagi, nyawa dan harta benda senantiasa terancam.
Saya amat berharap dengan tersiarnya artikel ini, Lajnah Penerangan PAS atau Keadilan mengambil kesempatan menyampaikannya kepada pengundi- pengundi di Kuala Berang. InsyaAllah sekiranya kita dapat memberi penerangan yang baik dan secara berhikmah, rakyat di Kuala Berang akan faham dan seterusnya akan mengundi kita. Walau bagaimanapun kita perlu terus bekerja kuat dan senantiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan dakwah kita sehingga kita mencapai kemenangan.
Sekian terima kasih. Jumpa lagi. Wassalam.
Oleh: Meli - 20.08.2004 (suntingan M@RHAEN)
![]()