APAKAH TINDAKAN SELANJUTNYA DARIPADA PAS DAN KEADILAN?

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Merujuk kepada berita yang disiarkan oleh Harakahdaily.net pada 14 Mei 2004 mengenai PAS akan menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] berhubung isu penyelewengan dan penipuan pilihan raya ke-11 yang lalu, yang dilakukan oleh SPR secara langsung pada hari Isnin ini, 17 Mei 2004 di Mahkamah Sesyen, di Wisma Denmark, Jalan Ampang pada pukul 2.00 petang. Berikutan penyerahan writ saman itu, Harakahdaily.net juga turut menyeru orang ramai, ahli-ahli dan penyokong-penyokong kedua-dua parti PAS dan Keadilan turun dan mengiringi pemimpin-pemimpin PAS yang akan menyerahkan writ saman tersebut.

Terdahulu pada 29 April 2004, Presiden Keadilan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama kepimpinannya telah menyerahkan writ saman terhadap SPR di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur atas dua asas yang pilihan raya ke-11 itu batal dan tidak sah. Pertama, tipu muslihat SPR yang selama ini dianggap sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan Perlembagaan Negara dan ahli-ahlinya pula dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, tetapi rupa-rupanya ia adalah alat kepada UMNO untuk mengekalkan kuasa. Daripada aspek ini SPR tidak layak untuk mengendali pilihan raya-pilihan raya akan datang. Ia hanya layak dianggap sebagai “barua“ UMNO dan kerabat BN yang ke-15.

Dalam sesuatu pilihan raya , daftar pemilih adalah merupakan satu daftar yang amat penting. Ia mesti bersih dari segi orang yang benar-benar berhak mengundi seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, tetapi dalam pilihan raya itu daftar pemilih mempunyai senarai nama orang-orang yang tidak layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi. Ini adalah kerja-kerja jahat SPR bersama-sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Lagi tindakan biadab dan kurang ajar SPR ialah menyediakan dua daftar pemilih yang bertarikh 5 Mac 2004 dan 15 Mac 2004. Daftar pemilih yang digazetkan bertarikh 5 Mac 2004 yang serahkan pada calon-calon pada hari penamaan calon pada 13 Mac 2004 adalah sah, selain dari daftar itu tidak sah dari segi undang-undang yang diguna pakai sekarang.

Dengan adanya dua daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR telah menyebabkan daftar pemilih menjadi cacamarba. Ramai orang tidak dapat mengundi kerana nama mereka tidak ada dalam daftar pemilih. Ada nama ditukar ke tempat-tempat lain dengan sesuka hati tanpa kebenaran si batang tubuh. Macam-macam perkara berlaku yang mengelirukan. Adakah ini ada hubung kait dengan pengambilan Puteri UMNO sebagai Kerani Sambilan di SPR seluruh Negara yang menjadi satu kontroversi sedikit masa lalu sehinggakan Raja-raja Melayu masuk campur?

Kedua, tambahan masa pengundi di kebanyakan tempat pembuangan undi di negeri Selangor selama dua jam dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam. Tindakan tambahan masa mengundi ini merupakan tindakan kurang ajar dan tidak bertamadun oleh SPR kerana ia melanggar undang-undang yang dibuatnya sendiri.

Perlembagaan memperuntukkan dan telah pun digazetkan serta ditampal di seluruh Negara dan dihebahkan melalui media massa bahawa masa pengundi ialah dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, tiba-tiba SPR boleh menukarkan masa yang ditetapkan mengikut hawa nafsu golongan haiwan-haiwan politik UMNO yang tidak pernah kenal dosa pahala dalam berpolitik melainkan satu cita-cita untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun halal atau haram tidak diambil kira apatah lagi pertimbangan moral diketepikan demi kuasa.

Pada hari Isnin ini juga, 17 Mei 2004, Persidangan Parlimen Penggal ke-11 akan bermula sehingga 6 Jun depan. Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang akan membawa satu usul [malaysiakini.com, 12.4.2004] membahaskan penyelewengan SPR dalam mengendali pilihan raya ke-11 dan mencadangkan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman didakwa di mahkamah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diamanahkan kepada beliau. Saya secara peribadi sangat bersimpati dengan nasib yang terpaksa dilalui oleh Rashid. Beliau terpaksa akur dengan kehendak bajingan-bajingan politik UMNO.

Sebelum itu, PAS telah mengemukakan 23 petisyen pilihan raya bagi seluruh Negara. UMNO/BN 14 petisyen kebanyakannya tertumpu di Terengganu dan Kelantan, DAP 2 petisyen dan 1 bebas. Mengikut Akta Kesalahan Pilihan raya 1954 [pindaan 2002], petisyen-petisyen ini mesti diselesaikan dalam tempoh 6 bulan. Hakim yang mengendalikan kes-kes petisyen ini mempunyai dua pilihan. Pertama, sekiranya terbukti kesalahan pilihan raya dilakukan, maka hakim boleh membatalkan pilihan raya tersebut dan mengadakan pilihan raya semula. Kedua, hakim diberi kuasa membatalkan keputusan pilihan raya tersebut dan memberikan kemenangan percuma kepada yang kalah.

Ingat, UMNO tidak akan membuat sebarang pindaan seandainya pindaan-pindaan itu tidak memberi faedah dan keuntungan kepadanya. Sudah tentu perkara-perkara seumpama ini telah diambil kira oleh UMNO. Mahkamah dan hakim-hakim yang ada sekarang ini adalah terdiri daripada orang-orang suruhan UMNO. Bukan mereka menjalankan tanggungjawab untuk membetulkan yang salah, tetapi mereka menjalankan tugas untuk menjadikan yang salah supaya menjadi benar, sebenar-benarnya dan memaksa rakyat menerimanya dengan memutarbelitkan fakta melalui media massa yang mereka miliki. Mereka sembunyikan fakta yang sebenar dari pengetahuan rakyat. Rakyat yang tidak peka dengan taktik kelentungan UMNO ini akan terus percaya.

Khas untuk pemimpin-pemimpin PAS di Kelantan, awas jebak UMNO melalui petisyen yang mereka buat boleh menjatuhkan kerajaan PAS di sini. Oleh itu, rangkalah strategi yang mantap untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang akan berlaku nanti. Perlu ingat, mahkamah bukan tempat kita mencari keadilan. UMNO akan terus menggunakan mahkamah untuk menjatuhkan PAS di Kelantan. Apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang pada 7 Mei 2004 yang lalu wajib dijadikan pengajaran kerana Mahkamah masih berpegang pada prinsip Dollah Badawi masih layak untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas, sedangkan pada waktu yang sama KC Cheah calon DAP ditolak pencalonannya di Subang Jaya dan calon MCA Lee Hwa Beng menang tanpa bertanding. Kes Dollah sama dengan kes KC Cheah yang tidak menyertakan penyata perbelanjaan pilihan raya tahun 1999. Persoalannya kenapa berlaku penilaian pentafsiran yang berbeza, sedangkan kesnya sama?

Setelah selesai penyerahan writ saman PAS pada 17 Mei 2004 ini, maka bermakna tamat sudah fasa pertama bantahan PAS dan Keadilan berhubung penyelewengan SPR [dibantu oleh Pasukan Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain Jabatan dan Agensi Kerajaan] dalam pengendalian pilihan raya ke-11 yang lalu mengikut proses Perlembagaan dan Undang-undang di Negara ini. Bermula dengan Penubuhan Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya ke 11 yang berusaha mengumpul bukti dan membuat post-mortem, menjelajah ke seluruh Negara memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang wujud pada ketika ini adalah kerajaan haram dari segi hukum agama dan amalan demokrasi yang biasa diamalkan oleh Negara-negara yang bertamadun [Negara kita amalan demokrasinya masih lagi bertaraf jakun dan berfikiran dunia ketiga yang tidak bertamadun], mengumpul tandatangan rakyat membantah pilihan raya tersebut [ke mana hendak dibawa pengumpulan tandatangan rakyat itu belum dengar cerita perkembangan selanjutnya], membuat proses petisyen dan menyaman SPR di mahkamah. Ini adalah proses politik dan undang-undang. Bagaimana pula tindakan selanjutnya untuk memastikan pilihan raya-pilihan raya akan datang diuruskan secara adil dan bebas?

Saya berpandangan bahawa PAS dan Keadilan masih ada lagi tindakan yang belum dibereskan. PAS dan Keadilan masih ada dua fasa lagi belum bertindak. Fasa pertama membuat satu dokumentasi lengkap mengenai perjalanan pilihan raya tersebut. Dokumentasi ini perlu di bawa ke arena antarabangsa untuk didedahkan penyelewengan-penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya tersebut. Dokumentasi ini perlu lengkap dengan bukti-buktinya bagi menunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan pimpinan Dollah Badawi adalah kerajaan haram dan wujud secara penipuan. Dokumentasi ini perlu diperbincang dan diperbahaskan serta diedarkan kepada badan-badan antarabangsa seperti Parlimen Eropah, Kongres Amerika, Kesatuan Eropah, Amnesty International, Human Rights di the Hague, Belanda. Tranparency International, seluruh Pusat-pusat Pengajian yang menjurus kepada kajian Asia Tenggara, Negara-negara Komanwel, Badan Kehakiman Antarabangsa, dan lain-lain badan yang difikirkan perlu dari masa ke semasa. Tindakan ini penting untuk memberitahu dunia bahawa pemimpin yang ada ini tidak ada karisma dan kewibawaan untuk memimpin Negara, tidak mendapat sokongan rakyat dan wujudnya kerajaan pada hari ini adalah dengan cara menipu.

Perlu juga dicadangkan di sini, ketika proses mahkamah bermula bagi membicarakan kes-kes yang melibatkan petisyen dan saman, pihak PAS dan Keadilan perlu merekodkan setiap perjalanan kes itu dari mula sehingga ke akhirnya seperti mana yang dibuat oleh Pengarah FAC, Raja Petra Kamarudin. Bahan-bahan ini perlu dikumpulkan dan didokumentasikan bagi tujuan rujukan dan kajian oleh generasi akan datang seperti mana yang berlaku dalam kes DS Anwar Ibrahim. Seluruh masyarakat dunia boleh membacanya dan secara tidak langsung kredibiliti kerajaan UMNO/BN terjejas dan lebih penting lagi untuk menutup mulut pemimpin-pemimpin UMNO dari bercakap amalan demokrasi di pentas dunia.

Fasa ke tiga, PAS dan Keadilan perlu memperjuangkan sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi tulen [menurut kaca mata Islam bukan Barat] yang adil, bersih dan bebas. Pelbagai pendekatan boleh digunakan untuk mencapai matlamat tersebut. Pakar-pakar strategis yang ada di dalam PAS dan Keadilan perlu memikirkan secara serius mengenai perkara ini. Sekiranya kita gagal membuat sebarang pembaharuan terhadap SPR dalam pengendalian urusan pilihan raya di Negara ini, bermakna kita akan senentiasa berada dalam suasana kekalahan sebelum bertarung. Ini perlu dikaji secara mendalam oleh pihak PAS Pokok Sena dan PAS Temerloh yang membuat usul untuk meneruskan mengambil bahagian dalam siri-siri pilihan-pilihan raya akan datang, walaupun sistem yang diamalkan ini penuh dengan amalan penyelewengan dan penipuan untuk mengekalkan kuasa UMNO.

Kita boleh menyertai pilihan raya sekiranya sistem pilihan raya kita itu adil, bebas dan berkecuali seperti mana yang berlaku di Indonesia, Filipina, Thailand dan lain-lain Negara maju baik di barat, selatan atau pun timur. Apa guna kita masuk bertanding dengan tangan dan kaki kita diikat, mulut dikunci dan pelbagai peraturan dikenakan ke atas kita, sedangkan mereka bebas bergerak tanpa halangan. Ini masalahnya kita bertarung dengan orang “gila“ yang menyebabkan kita juga turut menjadi “gila“.

Berbalik kepada penyerahan writ saman PAS pada hari Isnin ini, ini adalah kemuncak tindakan-tindakan yang telah diambil oleh PAS dan Keadilan mengikut Perlembagaan dan Undang-undang Negara, maka amat besar maknanya sekiranya writ saman ini dikemukakan sendiri oleh Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai simbolik penentangan rakyat terhadap penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh SPR. Pihak PAS dan Keadilan perlu berusaha membawa seramai mungkin ahli-ahli dan penyokong masing-masing untuk membajiri jalan-jalan di Kuala Lumpur dengan bendera bulan penuh purnama dan bulan sabit kebiru-biruan. Tunjukkan kepada Dollah Badawi yang kita boleh kumpulan berpuluh ribu ahli dan penyokong [lebih baik mencecah angka ratusan ribu] gegarkan KL dengan aman dan tertib. Jangan menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merugikan semua pihak. Bertenang dan mengikut arahan pemimpin.

Sekian, terima kasih. InsyaAllah kita akan bertemu lagi. Wassalam.

- Meli - 15.05.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN