LAGI ANALISIS PILIHAN RAYA UMUM KE-11

Assamu'alaikum wm.wbt

Semua rakyat dari pelbagai golongan terperanjat beruk apabila NAZI FRONT kembali berkuasa dengan majority lebih daripada 2/3 di Parlimen dengan mendapat 198 kerusi parlimen dari 219 kerusi yang dipertandingkan. Kini NAZI FRONT telah menjadi sama taraf dengan parti GOLKAR semasa pemerintahan Suharto yang memerintah Indonesia selama lebih 32 tahun. Setiap kali pilihan raya diadakan, parti GOLKAR senantiasa kembali memenangi pilihan raya hampir 99%, tetapi akhirnya Suharto digulingkan melalui jalan raya yang banyak menelan korban. Bersediakah rakyat Malaysia ke arah itu?

PAS mengalami kekalahan paling teruk semenjak tahun 1986 dengan hanya menang 6 kerusi Parlimen di Kelantan dan 1 kerusi di Kedah, menjadikannya berjumlah 7 kerusi semuanya. Manakala Keadilan hanya menang 1 kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang merupakan kubu kuatnya. Kalau Keadilan rebah di sini, bermakna terlalu sukar bagi parti itu untuk bangun semula dalam keadaannya ia diperintah oleh sebuah kerajaan berbentuk pemerintahan ala NAZI di zaman Adolf Hitler di German.

Dalam pilihan raya ini DAP sahaja yang dapat menambah kerusi dari 10 buah menjadi 12 buah kerusi dan hampir pasti Lim Kit Siang akan kembali menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia apabila Parlimen akan bersidang dalam tempoh 60 hari daripada sekarang dan beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang selama 32 tahun, kemudian diambil-alih oleh Allahyarham Dato’ Mohd. Fadzil Noor [ kemudian diambil-alih pula oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ] ekoran kekalahan Lim dalam pilihan raya tahun 1999. Inilah realiti parti DAP yang oportunis yang memperjuangkan Malaysian Malaysia dan Negara sekular seperti mana yang dilaksanakan oleh NAZI FRONT.

Kalau kita perhatikan sepanjang perjuangan DAP dalam politik Malaysia semenjak ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966, graf pencapaiannya turun naik tidak melebihi 20% kerusi yang dimenanginya, iaitu di antara 9 hingga 24 kerusi dalam tempoh 35 tahun [1969 - 2004] di mana ia masuk bertanding dalam pilihan raya. Malah ketika PAS menganggotai NAZI FRONT pada tahun 1974, DAP terus memperjuangkan prinsipnya dan ia tetap menang disokong oleh pengundi-pengundi Cina di bandar-bandar besar seperti di Perak, Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur. Ia tetap berada di Parlimen bagi menyuarakan kepentingan masyarakat Cina dan menentang dasar-dasar kerajaan yang dianggapnya pro kepada orang-orang Melayu.

Jadi, NAZI FRONT tidak merasa takut atau gentar untuk berhadapan dengan DAP. Ini disebabkan perjuangan DAP ditolak oleh sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu. Mustahil DAP akan dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan mahu pun di peringkat negeri. Oleh yang sedemikian, NAZI FRONT tidak pernah bermusuh [ malah ia membiarkan DAP bergerak cara ia tersendiri dan memainkan jarum hasutannya supaya DAP keluar dari pakatan BA pada tahun 2001] seperti mana ia bermusuh dengan PAS dan Keadilan. Ini kerana kedua-dua parti ini merupakan dua pencabar terkuat yang WAJIB dimusnahkan dengan apa cara sekali pun.

Terbukti dalam pilihan raya ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2003 [Ahad] minggu lepas, NAZI FRONT berjaya melumpuhkan kedua-dua parti ini dalam arus perdana politik Negara. Dua unsur penting yang berperanan meranapkan impian parti-parti ini ialah, pertama, kerabat ke 15 NAZI FRONT itu SPR. Presidennya Abdul Rashid Abdul Rahman sangat bijak memainkan peranannya. Bermula dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya baru yang tidak mengikut kehendak perlembagaan, taburan pengundi-pengundi secara cacamarba dan mencipta pelbagai undang-undang dan peraturan yang mengharu-birukan perjalanan pilihan raya, yang sebelum ini semenjak merdeka tidak pernah berlaku perkara-perkara seumpama itu, walaupun di kala itu, kita hidup bukan di zaman ITC. Matlamatnya hanya satu untuk memenangkan NAZI FRONT.

Unsur kedua ialah kerabat yang ke 14 NAZI FRONT, iaitu Pasukan Polis DiRaja Malaysia. Peranan kerabat ini pula ialah melakukan pelbagai langkah sekatan dan menghalang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kedua-dua parti ini dari tarikh 1.7.2001. Semenjak dari tarikh tersebut, kedua-dua parti ini menghadapi pelbagai masalah untuk menjalankan aktivitinya menyampaikan maklumat kepada rakyat, termasuk bahan-bahan penerbitan yang tidak sealiran dengan NAZI FRONT diharamkan, kecuali akhbar parti sebulan 2 kali, sedangkan pada masa yang sama, NAZI FRONT dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa sekatan malah dapat perlindungan yang amat mahal harganya. Berdasarkan line-up kabinet baru ketua NAZI FRONT, beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, bermakna PAS dan Keadilan akan terus menghadapi masa depan yang gelap kerana amalan demokrasi yang pernah kita sama-sama kita alami sebelum tarikh keramat itu berkemungkinan akan dihancurkan oleh tangan-tangan ala-NAZI itu.

Untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, dua-dua unsur ini dibantu oleh 3 elemen, iaitu, pertama rangkaian media massa yang memainkan peranannya 24 jam menanam propaganda dan mengasak fikiran rakyat bahawasanya NAZI FRONT sahaja yang boleh memerintah dan boleh membawa pembangunan. Orang lain tidak boleh. Kedua, politik wang yang menjadi darah daging NAZI FRONT telah berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat yang berfikiran sempit, terutama orang-orang luar bandar dan dalam bandar yang hidup susah. Duit luruh bagaikan daun getah di musim kemarau panjang. Ketiga ialah penggunaan jentera-jentera kerajaan dan kemudahan awam untuk berkempen tanpa ada halangan. Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka. Mereka di atas undang-undang dengan sistem kehakiman yang haprak.

Jadi, bagaimana untuk mengatasi penipuan secara besar-besaran yang kita alami tempoh hari yang dilakukan oleh NAZI FRONT. Pendekatan ini boleh digunakan:

i. Langkah PAS menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji secara mendalam urusan pengendalian pilihan raya dengan mengumpul segala maklumat dan bukti untuk di bawa ke mahkamah pilihan raya sangat dialu-alukan. Langkah ini perlu mendapat kerjasama penuh dari lain-lain parti pembangkang, terutamanya Keadilan yang mempunyai pemimpin yang berpengalaman luas dalam sepak terajang politik di Negara ini. Ingat sistem mahkamah kita dikuasai oleh NAZI FRONT begitu juga dengan Majlis Raja-raja yang telah hilang kukunya.

ii. Langkah mengumpul tandatangan rakyat sebagai bantahan terhadap penipuan secara besar-besaran oleh NAZI FRONT perlu melibatkan ke semua parti pembangkang, bukan terhad kepada parti PAS sahaja. Ia perlu turun dari pusat ke negeri, dari negeri ke kawasan dan dari kawasan ke cawangan-cawangan secepat mungkin.

iii. Membuat surat dan memaklumkan akan penipuan ini kepada semua duta-duta yang berkhidmat dalam Negara ini.

iv. Membuat laporan mengenai perjalanan urusan pilihan raya ini kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bahagian Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Geneva. Kempen berterusan di peringkat antarabangsa perlu diadakan segera bagi menunjukkan kepada dunia betapa buruknya sistem amalan demokrasi yang kita amalkan ini.

v. Perlu mendapatkan kerjasama dari semua parti-parti pembangkang, semua NGO dan semua pertubuhan-pertubuhan serta rakyat awam bagi membentuk satu force [tekanan] yang kuat seperti mana yang pernah dilakukan oleh GERAK dalam isu Anwar Ibrahim menekan kerajaan NAZI FRONT supaya membatalkan keputusan pilihan raya tersebut dan mengadakan pilihan raya semula. Kalau cara ini juga gagal, bermakna kita berada di ambang kehancuran dalam dimensi politik di Negara ini.

vi. Adakan kempen kepada seluruh ahli-ahli jangan membeli akhbar dan adakan boikot berterusan terhadap akhbar-akhbar di Malaysia terutama Berita Harian, Utusan Malaysia dan NST. Kalau kita terus membeli akhbar-akhbar ini bermakna kita bersama-sama bersubahat memperkayakan dan memperkukuhkan kedudukan akhbar-akhbar ini, seperti mana kita membeli rokok memperkukuhkan ekonomi orang-orang Yahudi.

vii. Kalau semua langkah ini tidak berjaya, maka tidak ada jalan lain, semua parti pembangkang harus mengambil tindakan memboikot pada pilihan raya akan datang, bukan setakat di Sungai Lembing sahaja. Ini menandakan protes kita terhadap amalan demokrasi yang kita amalkan ini yang bercanggah dengan amalan demokrasi di Negara-negara lain di dunia ini. Tidak ada faedahnya kita masuk bertanding dalam satu perlawanan yang senget sebelah yang kita tahu bahawa kemenangan pasti menyebelahi NAZI FRONT.

viii. Islam tidak boleh ditegakkan di bumi Malaysia ini dan di mana-mana jua di dunia melalui pilihan raya. Oleh itu, cari formula lain bagi memenangkan ISLAM.

ix. Teruskan perjuangan dengan kaedah lembut dan keras. Lawan tetap lawan.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

- Meli - 23.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN