SIRI KEMPEN PILIHAN RAYA KE-11:
Politik PAS [BA] V Politik Umno [BN] – Siri 6
Nafsu Pemimpin UMNO

Assamu'alaikum wm.wbt,
Para Pembaca Budiman,

Hari ini adalah hari terakhir kita berkempen. Dalam tempoh yang sesingkat ini macam-macam perkara boleh timbul hasil perencanan oleh UMNO yang menyukarkan kita untuk menyerang balas menerangkan kedudukan perkara yang sebenar kepada rakyat kerana kita tiada media untuk menyalurkan maklumat tepat dan sahih.

Perkara ini bukan asing lagi bagi UMNO. Mereka telah berjaya menjatuhkan Ku Li dalam pilihan raya ke 8 tahun 1990 dengan isu tengkolok berlambang salib. Disebabkan kekurangan media dan lain-lain saluran untuk menyerang balas menyebabkan impian Ku Li merampas kedudukan Mahathir sebagai PM ketika itu tidak berjaya, walaupun ketika kempen pilihan raya tersebut, Ku Li sudah hampir pasti parti SM46 pimpinannya akan membuat kejutan, tetapi akhirnya beliau kalah teruk dan hanya menang di Kelantan.

Untuk pilihan raya kali ini, semua petugas BA perlu berwaspada terhadap tektik seperti itu kemungkinan akan berulang. Petugas BA perlu berhati-hati dan hendaklah bertindak pantas sekiranya apa-apa yang berlaku tanpa diduga. Awasilah ia 24 jam, Kelekaan kita, menghancurkan impian untuk membina “ Malaysia baru “

Untuk semua pendokong BA [PAS dan Keadilan] janganlah sekali-kali kita memangkah UMNO untuk memenangkan calon-calonnya. Kita juga perlu berusaha bersungguh-sungguh mengajak seluruh pengundi untuk mengundi PAS dan Keadilan. Kita bermula dengan diri kita sendiri, isteri kita, anak-anak kita, keluarga kita terdekat dan kenalan rapat mengajak mereka meraka sama-sama mengundi PAS atau Keadilan, jangan sekali-kali bagi ruang untuk mereka mengundi calon-calon UMNO/BN. Mulakanlah melalui pendekatan yang saya sebutkan ini sepertimana yang pernah diamalkan oleh Nabi Besar kita, Nabi Muhammad s.a.w ketika beliau pertama kali menerima wahyu di Gua Hira’. Isterinya Khatijah orang pertama menerima pemberitaan yang beliau telah dipilih oleh Allah SWT sebagai Rasul, kemudian sahabat-sahabat terdekat seperti Abu Bakar r.a.

Kita perlu menceritakan dan meyakinkan mereka bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ini tidak pentingkan rakyat. Mereka hanya mementingkan projek untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni-kroni mereka sahaja. Nasib rakyat marhaen tidak terbela. Kos hidup semakin tinggi mencengkam kebahagiaan kehidupan harian, kenaikan harga barangan keperluan meningkat setiap hari, tiada ada lagi unsur-unsur kebajikan yang dianjurkan oleh UMNO terutama yang menjadi tanggungjawab kerajaan pemerintah terhadap rakyat yang diperintah seperti penyediaan perkhidmatan perumahan yang selesa, api dan air yang bilnya semakin hari semakin meningkat akibat pemborosan kerajaan yang berbelanja, perkhidmatan pendidikan, perkhidmatan kesihatan tiada lagi yang percuma, semuanya dikenakan caj.

Kepimpinan UMNO masa kini dihubungkaitkan dengan soal kedudukan, status,kebesaran dan darjat. apabila pemimpin itu diangkat menjadi pemimpin, maka peluang untuk mengumpul kekayaan, memperkukuhkan kedudukan,kuasa dan pengaruh menjadi matlamat utama. Mereka mula membebaskan diri dari wilayah dosa dan pahala sebab itu isu moral tidak menjadi perhitungan kepada mereka. Semua boleh dilakukan, seolah-olah Allah tidak nampak apa yang mereka lakukan. Oleh itu, rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme, kronisme dan lain-lain perkara negatif mereka sanjung dan telah menjadi budaya kehidupan pemimpin UMNO masa kini.

Lagak dan gaya hidup bermewah-mewahan, membolot harta dan mengagih-agihkannya kepada keluarga dan suku sakat semakin menjadi-jadi. Anak-anak dan keluarga terdekat memiliki harta yang banyak, dengan mudah mendapat kontrak-kontrak besar. Perhitungan moral, kemanusiaan, keikhlasan dan lain-lainnya tidak diambil kira langsung. Contoh terbaru anak Pak Lah, Kamaludin Abdullah mendapat kontrak dari Petronas sebanyak 2 billion ringgit. dalam masa lebih 4 bulan Pak lah menjadi PM, anak kesayangannya itu merupakan orang ke 10 terkaya di Malaysia dengan aset yang bernilai RM320 juta. Cuba bayangkan sekiranya Pak Lah sempat memerintah selama 4 tahun, aset anaknya akan menjadi 32 billion.

Cuba bayangkan pula kehidupan anak-anak kita. Kerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta ataupun di kilang-kilang. Berapa pendapatan mereka, bagaimana gaya hidup mereka. Adakah mereka berupaya mengumpul harta sebanyak anak Pak Lah sepanjang kehidupan mereka. Kini anak-anak kita keluar dari universiti tiada ada pekerjaan, mereka menganggur. Mereka melakukan pelbagai kerja untuk menampung sara hidup masing-masing, dalam pada itu mereka dihambat dengan hutang dari PPTN semasa mereka menuntut dulu. Hal-hal seumpama ini kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak memilih kerajaan, pilihlah kerajaan yang bertanggungjawab dan ada insaniah dalam kepimpinannya.

Materialisme menjadi tuhan-tuhan baru yang dipuja, pemimpin dianggap pemberi rezeki dan kerana itu ia mesti ditaati dan diundi sekali lagi. Mengkritiknya bermakna menumpahkan periuk nasi ke tanah dan rezeki akan terancam. Oleh itu,menerima sahaja apa yang disuap, mengkritik bererti mengundang bahaya. Akibatnya daya fikir masyarakat menjadi beku dan mati dan hilang harga diri. Tiada ada jati diri.

Sebaliknya BA berjanji memberi kebebasan rakyat untuk mengkritik dan membahaskan semua dasar yang akan dibentuk sekiranya ia diberi kuasa untuk memerintah kelak. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang boleh menerima secara berlapang dada sebarang kritikan yang dituju terhadapnya dan kerajaan itu akan bermuhasabah mengenai pemerintahannya. Bukan sebuah kerajaan yang ingin disanjung sepanjang masa. Sebarang kritikan yang diterima dianggap sebagai elemen yang mengancam ketenteraman negara. Digunakan pelbagai undang-undang yang tidak beretika dan bertamadun untuk menutup mulut rakyat dari bersuara membentangkan yang haq dan membenamkan yang bathil.

Inilah tamadun yang diwarnai oleh UMNO selama ia memerintah. Tidak mungkin sebuah tamadun yang tinggi boleh diwujudkan, malah watak gagah berani, berjiwa besar pasti tidak akan muncul di bawah kepimpinan seperti ini. Justeru itu, marilah kita bersama-sama membuat perubahan pada hari Ahad, 21.3.2004 dengan mengundi PAS dan Keadilan untuk membawa satu cahaya baru dalam kehidupan kita, anak-anak kita dan cucu-cicit kita untuk masa hadapan yang lebih cemerlang bukan temberang, tembelang dan terus hilang.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

- Meli - 20.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN