Kenyataan Media SMM:
KENYATAAN AKHBAR SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM) 
BERHUBUNG ISU PTPTN

PADA : 26 FEBRUARI 2005

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) terpanggil untuk memberikan pandangan berkaitan isu yang berbangkit tentang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) khususnya berkaitan kelewatan atau ketidakakuran para peminjam untuk membayar semula pinjaman mereka selepas tamat pengajian sehingga menyebabkan tunggakan yang mencecah lebih daripada RM 6 bilion.

SMM berpandangan bahawa masalah ini perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dilihat dalam perspektif yang bersifat sehala semata-mata. Mengikut perjanjian antara pihak PTPTN dan mahasiswa sebagai peminjam, bayaran balik pinjaman perlu dibuat selepas selepas bekerja. Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa jumlah graduan yang menganggur seperti angka yang disebutkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Mustapha Mohamad adalah sebanyak 80,000 orang. Masalah pengangguran ini menghalang para peminjam membayar semula pinjaman pendidikan mereka lantaran masalah kewangan yang dihadapi.

Justeru adalah sangat tidak wajar sekiranya mereka dikenakan tindakan undang-undang tanpa usul periksa terlebih dahulu bagi mengelakkan penganiayaan kepada para peminjam yang bermasalah. SMM sangat mengharapkan agar wujud satu mekanisme yang jelas dan berkesan antara pihak PTPTN dengan peminjam yang bermasalah supaya pertimbangan budi bicara dapat didahului sebelum sebarang bentuk penalti ke atas mereka.

SMM juga menyeru kepada semua graduan yang sudah berkerjaya untuk melunaskan semula hutang pendidikan sebagaimana yang telah termeterai dalam perjanjian dengan pihak PTPTN. Golongan graduan harus mempamerkan sifat tanggungjawab yang tinggi bagi membolehkan generasi seterusnya juga dapat merasai pinjaman pendidikan tinggi yang disediakan. Bak kata pepatah orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.

SMM berpendirian bahawa pendidikan percuma adalah sebahagian daripada hak rakyat. Justeru kami mengusulkan agar kos pengajian ditanggung oleh pihak kerajaan dan pinjaman pendidikan yang diberikan kepada para mahasiswa hanyalah untuk menampung kos kehidupan mereka seperti kos perbelanjaan harian, penginapan, pengangkutan dan sebagainya. Ini bermakna peminjam hanya memulangkan kos sara hidup mereka semasa di kampus sahaja tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

Kami sangat yakin dan pasti sekiranya kerajaan dapat menterjemahkan budaya perbelanjaan berhemah, kos pengajian pendidikan tinggi dapat ditampung tanpa banyak masalah. Bagi SMM usul bukanlah suatu yang tidak munasabah untuk dilaksanakan, malah negara kita sememangnya mempunyai keupayaan untuk melaksanakan dasar ini sekiranya kajian teliti dilaksanakan dan keutamaan perbelanjaan negara dinilai semula.

SMM juga menuntut pihak PTPTN khususnya supaya telus dalam pengurusan pinjaman pendidikan tinggi negara kita. Kami tidak mahu mahasiswa menjadi mangsa sekiranya disebabkan ketidakcekapan dan kelemahan pengurusan PTPTN. Kami mmendesak supaya pihak PTPTN membentangkan kepada pengetahuan umum butiran tentang peruntukan dan belanjawan perbadanan tersebut termasuk persoalan pinjaman antara PTPTN dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM2 bilion dalam tempoh 2 minggu daripada sekarang. PTPTN juga perlu membentangkan belanjawan tahunannya bagi memastikan segala butiran kewangan diketahui oleh masyarakat umum dan mengikis segala kebimbangan dan tanggapan negatif terhadap PTPTN.

Kami sangat bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri di Forum Antarabangsa Jeddah (JIF 2005) bahawa pendidikan adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi sesebuah negara. Justeru pembiayaan penuh pihak kerajaan terhadap kos pengajian tinggi di negara ini adalah salah satu langkah konkrit untuk merealisasikan matlamat terbut.

Sekian, terima kasih

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

26 Februari 2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: